- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Kallie Szczepanski. (13 Julai 2018). The Battle of Talas – A Little-Known Skirmish That Changed World History. ThoughtCo.
Kallie Szczepanski. (13 Julai 2018). The Battle of Talas – A Little-Known Skirmish That Changed World History. ThoughtCo.
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Tidak ramai yang pernah
mendengar tentang Pertempuran Sungai Talas. Namun, pertempuran di antara bala
tentera Tang-China dan Abbasiyah-Arab ini memberikan kesan susulan yang sangat
penting, tidak hanya pada Cina dan Asia Tengah, tetapi juga pada seluruh dunia.
Asia pada abad ke-8
menyaksikan berlakunya perubahan kuasa yang silih-berganti. Peperangan yang
bertujuan untuk mendominasi perdagangan, kuasa politik dan hegemoni keagamaan
turut menjadi kelaziman. Era ini dipenuhi dengan peperangan, persekutuan,
pertalaman dua muka dan pengkhianatan.
Pada waktu itu, tidak
ada seorang pun menjangka bahawa sebuah pertempuran yang berlangsung di tebing
Sungai Talas di wilayah Kyrgyzstan moden, bakal menghentikan kemaraan Arab dan
Cina di Asia Tengah sekaligus mengukuhkan hubungan di antara penganut ajaran
Buddha/Confucius dengan Muslim di Asia.
Tiada siapa menjangka
bahawa pertempuran tersebut bakal menjadi instrumen yang memindahkan sebuah
ciptaan penting dari Cina ke dunia barat – iaitu teknologi penghasilan kertas,
sebuah teknologi yang bakal mengubah sejarah dunia buat selama-lamanya.
LATAR BELAKANG
PERTEMPURAN
Buat beberapa tempoh
waktu, Empayar Tang (618-906) dan pemerintahan Cina yang lalu telah meluaskan
pengaruh mereka di Asia Tengah. Dalam kebanyakan situasi, mereka menggunakan
‘kuasa pengaruh’ dengan mengadakan persepakatan-persepakatan dagangan dan permeteraian
hubungan wilayah-lindungan. Jarang sekali kaedah kekerasan dan penaklukan
ketenteraan digunakan oleh Cina untuk menguasai Asia Tengah.
Namun, penghalang
paling mencabar yang dihadapi oleh Dinasti Tang sejak tahun 640M sehingga tahun-tahun
berikutnya ialah Empayar Tibet yang diasaskan oleh Songstan Gampo. Kekuasaan ke
atas wilayah-wilayah yang kini dikenali sebagai Xinjiang, Cina Barat dan
wilayah-wilayah sekitar sentiasa bertukar-tukar tangan antara Cina dan Tibet
sepanjang abad ke-7 dan 8 Masihi. Selain itu, Cina turut menghadapi cabaran
daripada Turki-Uighur di barat laut, Indo-Eropah Turfan dan puak Lao-Thai di
sempadan selatan.
KEBANGKITAN BANGSA ARAB
Semasa Tang sedang
disibukkan dengan seteru-seteru tersebut, sebuah kuasa besar baharu muncul di
Asia Tengah.
Nabi Muhammad wafat
pada tahun 632M dan umat Islam di bawah pemerintahan Dinasti Umayyah (661-750M)
kemudiannya menguasai wilayah-wilayah
yang begitu luas – dari Sepanyol dan Portugal di barat, merentas Afrika
Utara dan Timur Tengah, sampailah ke kota-kota oasis di Merv, Tashkent dan
Samarkand di timur. Penaklukan yang dilakukan oleh bangsa Arab ini berlangsung
dengan begitu pantas.
Pengaruh dan
kepentingan yang dimiliki oleh Cina di Asia Tengah boleh dijejak seawal tahun
97SM, iaitu semasa panglima Dinasti Han yang bernama Ban Chao memimpin sebuah
pasukan tentera seramai 70 000 orang untuk mara sehingga ke Merv (di wilayah
Turkmenistan moden) dalam usaha mengejar kumpulan perompak yang sering
mengganggu kafilah-kafilah yang melalui Laluan Sutera.
Cina juga telah lama
menjalinkan hubungan perdagangan dengan Empayar Sassanid di Parsi, atau yang
lebih awal, Parthian. Malahan, Parsi dan Cina pernah bekerjasama dalam
menundukkan kebangkitan kuasa Turki. Tambahan lagi, Cina turut mempunyai
sejarah yang agak lama dengan Empayar Sogdian yang berpusat di Uzbekistan
moden.
FASAL AWAL KONFLIK
CINA-ARAB
Perluasan kuasa yang
dilakukan dengan begitu pantas oleh bangsa Arab tidak dapat tidak pada akhirnya
pasti akan bertembung dengan pengaruh-pengaruh Cina yang telah bertapak di Asia
Tengah.
Pada tahun 651M,
Dinasti Umayyah menakluk ibu kota Sassanid di Merv dan membunuh maharajanya,
Yazdegerd III. Melalui pangkalan yang baru ditakluki itu, mereka meneruskan
penaklukan ke Bukhara, Lembah Ferghana dan wilayah-wilayah sejauh Kashgar (di
sempadan moden Cina-Kyrgyz).
Berita kemangkatan
Yazdegard kemudiannya dibawa ke ibu kota Cina di Chang’an (Xian) oleh puteranya
sendiri, iaitu Firuz yang melarikan diri ke Cina setelah tumbangnya kota Merv.
Firuz kemudian menjadi panglima kepada salah sebuah pasukan tentera Cina dan
kemudian dilantik sebagai gabenor kepada sebuah daerah yang berpusat di wilayah
moden Zaranj, Afghanistan.
Pada tahun 715M pula,
buat pertama kalinya berlaku pertembungan ketenteraan di antara Arab dengan
Cina di Lembah Ferghana. Pihak Arab dan Tibet bertindak menurunkan Raja Ikhshid
dari takhtanya lalu menaikkan seorang lelaki bernama Alutar. Ikhshid kemudian
meminta Cina untuk campur tangan bagi pihaknya. Maka, Tang pun menghantar
sepasukan tentera yang memiliki kekuatan seramai 10 000 orang untuk
menggulingkan Alutar dan menaikkan semula Ikhshid.
Dua tahun kemudian,
sebuah pasukan tentera Arab-Tibet melakukan pengepungan ke atas dua buah kota
di daerah Aksu (Xinjiang moden). Sebagai tindak-balas, Cina menghantar sebuah
pasukan yang terdiri dari tentera-tentera upahan Qarluq. Pasukan tentera upahan
tersebut berjaya menewaskan kekuatan Arab-Tibet dan menamatkan pengepungan.
Setelah itu pada tahun
750M, Kekhalifahan Umayyah tumbang dan digantikan oleh Dinasti Abbasiyah yang
bersifat lebih agresif.
KEKHALIFAHAN ABBASIYAH
Menerusi ibu kota
pertama mereka di Harran, Turki, Kekhalifahan Abbasiyah memulakan kempen bagi
memperkukuhkan kuasa mereka ke atas empayar bangsa Arab yang ditinggalkan oleh
Dinasti Umayyah. Antara wilayah yang menjadi tumpuan adalah sempadan timur –
Lembah Ferghana dan wilayah-wilayah di sebaliknya.
Kekuatan Arab di timur
Asia Tengah dan sekutu-sekutu Tibet dan Uighur dipimpin oleh seorang ahli
taktikal perang yang hebat, bernama Panglima Ziyad bin Salih. Sementara itu,
pasukan tentera di wilayah barat Cina pula diketuai oleh Gabenor-Panglima Kao
Hsien-Chih (Go Seong-ji) yang merupakan seorang komander beretnik Korea. Pada masa
itu, bukanlah suatu hal yang pelik untuk melihat pegawai-pegawai asing memimpin
pasukan tentera Cina kerana bangsawan Cina ketika itu tidak gemar untuk
menceburi bidang ketenteraan.
Pertempuran penentuan
di Sungai Talas yang menjadi tajuk penulisan ini terlebih dahulu didahului oleh
sebuah pertembungan di Ferghana.
Pada tahun 750M,
berlaku persengketaan antara sempadan yang melibatkan raja Ferghana dengan
pemerintah Chach. Raja Ferghana mengadukan permasalahan tersebut kepada pihak
Cina yang kemudiannya menghantar Panglima Kao untuk membantu Ferghana.
Makanya, Panglima Kao
pun mengepung Chach. Dalam situasi tersebut, beliau bermain helah dengan
mengemukakan tawaran kepada raja Chachan untuk keluar dari ibu kota dengan
selamat. Setelah raja Chachan keluar, beliau malah memungkiri janjinya dan
memenggal raja tersebut. Sama seperti apa yang berlaku semasa kejatuhan Merv
pada tahun 651M, putera raja Chachan kemudiannya meloloskan diri dan melaporkan
insiden tersebut kepada gabenor Arab-Abbasiyah di Khorasan yang bernama Abu
Muslim.
Abu Muslim kemudiannya
menghimpunkan tentera di Merv dan berangkat untuk menyertai pasukan Panglima
Ziyad bin Salih yang sudah pun berada jauh di timur. Pasukan Arab bertekad
untuk memberikan pengajaran kepada Panglima Kao… dan menerapkan pengaruh
Abbasiyah dengan lebih kukuh.
PERTEMPURAN SUNGAI
TALAS
Pada bulan Julai 751M,
pasukan tentera dari dua buah empayar besar itu saling berhadapan di Talas yang
terletak berhampiran dengan sempadan moden Kyrgyz/Kazakh.
Catatan daripada Cina menyebutkan
bahawa tentera Tang dalam pertempuran tersebut berjumlah 30 000 orang.
Sementara itu, catatan Arab pula melebih-lebihkan angka tersebut sehingga
mencecah 100 000 orang. Jumlah tentera Arab, Tibet dan Uighur tidak direkodkan,
namun diyakini lebih ramai berbanding tentera Tang.
Sepanjang lima hari
lamanya kedua belah pihak itu saling bertembung. Tatkala Qarluq Turki
kemudiannya tiba untuk membantu pasukan Arab, pasukan tentera Tang pada
akhirnya menemui jalan penamat.
Sumber-sumber daripada
Cina mendakwa bahawa Qarluq pada mulanya berperang di pihak mereka dan
berpaling tadah semasa pertempuran sedang berlangsung. Namun, catatan Arab
menuliskan hal yang sebaliknya. Mereka mengisyaratkan bahawa Qarluq sememangnya
menjalinkan persekutuan dengan Abbasiyah sejak konflik itu belum bermula lagi.
Dakwaan daripada catatan Arab ini lebih munasabah memandangkan dalam
pertempuran tersebut, Qarluq tiba-tiba sahaja melancarkan serangan mengejut ke
atas bahagian belakang pasukan Tang.
(Jika dakwaan daripada
sumber Cina itu benar, maka bukankah Qarluq sepatutnya berada di tengah-tengah
medan perang? Dan jika begitu keadaannya, bukankah serangan mengejut tersebut
kurang memberikan kesan memandangkan mereka sudah pun berada di sana sepanjang
masa?)
Sebahagian penulisan
moden daripada Cina berkenaan pertempuran ini masih menyelitkan perasaan marah
terhadap pengkhianatan yang kononnya dilakukan oleh Qarluq itu.
Namun walau apapun
keadaannya yang sebenar, serangan Qarluq tersebut menandakan permulaan kepada
pengakhiran bagi tentera pimpinan Kao Hsien-chih. Daripada puluhan ribu tentera
yang dihantar oleh Tang ke medan perang, hanya sejumlah kecil sahaja berjaya
selamat.
Kao Hsien-chih sendiri
termasuk dalam salah seorang yang terselamat itu – namun beliau hanya dapat
meneruskan kehidupan selama 5 tahun sebelum didakwa dan dihukum atas kesalahan
berlaku korup. Selain ditimpa jumlah korban yang begitu tinggi, sejumlah besar tentera
lain pula diberkas dan dibawa ke Samarkand (kini Uzbekistan) sebagai tawanan
perang.
Keadaan ini boleh
sahaja dimanfaatkan oleh Abbasiyah untuk meneruskan kemaraan ke Cina. Namun,
laluan perbekalan yang perlu mereka tempuhi sudah pun terlalu jauh dan
menghantar kekuatan tentera yang sebegitu besar untuk merentasi pergunungan
Hindu-Kush dan wilayah bergurun di Cina barat berada di luar batas kemampuan
mereka.
Walaupun Pertempuran
Talas memperlihatkan kekalahan total buat Panglima Kao, pada hakikatnya
keputusan pertempuran tersebut adalah seri secara taktikal buat kedua belah
pihak. Mana tidaknya, kemaraan bangsa Arab ke timur habis terhenti. Empayar
Tang pula terpaksa mengalihkan perhatiannya dari Asia Tengah untuk menumpukan
kekuatan bagi menghadapi pemberontakan yang berlaku di sempadan utara dan
selatan.
KESAN SUSULAN
PERTEMPURAN TALAS
Dalam tempoh terdekat,
Pertempuran Talas tidak menampakkan kesan yang begitu signifikan. Paling tidak
pun, catatan daripada Cina menyebutkan pertempuran tersebut sebagai sebahagian
dari bibit bermulanya kejatuhan Dinasti Tang.
Pada tahun yang sama,
puak Khitan di Manchuria (Cina utara) menewaskan kekuatan imperial di wilayah
tersebut. Lao-Thai di Yunnan moden pula memberontak di wilayah selatan.
Meletusnya pemberontakan An Shi pada tahun 755-763M yang dilihat tidak hanya
sekadar pemberontakan biasa tetapi sebuah peperangan saudara, telah
mengakibatkan empayar Cina itu semakin melemah.
Menjelang tahun 763M,
Tibet berjaya menawan ibu kota Chang’an (kini Xian). Dengan begitu banyak
kehuru-haraan yang berlaku di wilayahnya sendiri, Dinasti Tang sejak tahun 751M
kelihatan tidak mempunyai sebarang tekad mahupun kuasa untuk menaburkan
pengaruhnya di Lembah Tarim.
Bagi pihak Arab pula,
Pertempuran Talas tidak memberikan sebarang titik perubahan kepada mereka.
Kebiasaannya, pihak yang memenangi sesebuah pertempuran dapat menempa
pembaharuan dalam sejarah mereka. Namun dalam hal ini, mereka tidak mempunyai
sebarang perkara yang dapat disebut-sebut sebagai kesan susulan yang signifikan
daripada Pertempuran Talas.
Barry Hoberman
menyebutkan bahawa sejarahwan Muslim abad ke-9 iaitu Imam al-Tabari (839-923)
tidak pernah menyebutkan langsung tentang Pertempuran Sungai Talas.
Sehingga separuh
millennia lamanya, barulah pertempuran tersebut mendapat perhatian sejarahwan
Arab – iaitu di dalam penulisan Ibn al-Athir (1160-1233) dan al-Dzahabi
(1274-1348).
Walau bagaimanapun,
pada hakikatnya Pertempuran Talas melahirkan kesan-kesans susulan yang agak
penting. Empayar Cina yang terus melemah kini tidak lagi memiliki kekuatan
untuk campur tangan dalam pertarungan kuasa di Asia Tengah. Kesannya, pengaruh
Abbasiyah-Arab pun dapat berkembang dengan luas.
Terdapat sebahagian
ilmuwan yang mempersoalkan peranan Pertempuran Talas yang terlalu
dilebih-lebihkan dalam dakwaan kononnya ia adalah punca utama Islamisasi di
Asia Tengah. Memang benar bahawa puak Turkic dan Parsi di Asia Tengah tidak
semuanya memeluk Islam dengan segera pada bulan Ogos 751M.
Namun, ketiadaan kuasa
yang menghalang kehadiran Arab di wilayah itu membenarkan pengaruh Arab
tersebar secara bertahap tetapi pasti di Asia Tengah. Dalam tempoh masa 250
tahun berikutnya, kebanyakan bekas penganut ajaran Buddha, Hindu, Zoroastrian,
dan Kristian Nestorian di Asia Tengah memeluk agama Islam.
Lebih penting dari itu
semua, dalam kalangan tawanan perang yang dibawa oleh Abbasiyah daripada
Pertempuran Talas terdapat sejumlah artisan mahir Cina, termasuklah Tou Houan.
Menerusi tangan mereka, dunia Arab terlebih dahulu dan kemudiannya dunia Eropah
dapat mempelajari seni penghasilan kertas. (Pada masa itu, Arab menguasai
Sepanyol dan Portugal, serta Afrika Utara, Timur Tengah dan seb.)agian besar
Asia Tengah.)
Setelah itu,
kilang-kilang pembuat kertas tumbuh dengan begitu pesat di Samarkand, Baghdad,
Damsyik, Kaherah, Delhi … dan pada tahun 1120M pula, buat pertama kalinya
kilang kertas dibina di Eropah – iaitu di Xativa, Sepanyol (kini Valencia).
Menerusi kota-kota yang dikuasai oleh Arab itu, teknologi penghasilan kertas
berkembang ke Itali, Jerman dan Eropah.
Dengan penemuan
teknologi penghasilan kertas berserta teknologi percetakan ini, kemajuan dalam
bidang sains, teologi, dan sejarah dapat dipicu di dunia Eropah pada Zaman
Pertengahan, yang hanya berakhir dengan kemunculan Wabak Hitam pada tahun
1340an.
SUMBER
- “The Battle of Talas”. Barry Hoberman. Saudi Aramco World. pp. 26-31 (Sept/Oct 1982).
- “A Chinese Expedition across the Pamirs and Hindukush, Ad. 747”. Aurel Stein. The Geographic Journal, 59:2. pp. 112-131 (Feb. 1922).
- Gernet, Jacque, J. R. Foster (trans.), Charles Hartman (trans.). “A History of Chinese Civilization.” (1996).
- Oresman, Matthew. “Beyond the Battle of Talas: China’s Re-emergence in Central Asia.” Ch. 19 of “In the tracks of Tamerlane: Central Asia’s path to the 21st Century.” Daniel L. Burghart and Theresa Sabonis-Helf, eds. (2004).
- Titchett, Dennis C. (ed.). “The Cambridge History of China: Volume 3, Sui and Tang China, 589-906 AD, Part One.” (1979).
- Get link
- X
- Other Apps
