- Get link
- Other Apps
- Get link
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
DHWTY. (21 Mac 2019). Sayyida al-Hurra: Noble ‘Sovereign Lady’ Who Terrorized the Mediterranean As A Pirate. Ancient Origins.
DHWTY. (21 Mac 2019). Sayyida al-Hurra: Noble ‘Sovereign Lady’ Who Terrorized the Mediterranean As A Pirate. Ancient Origins.
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Sayyida al-Hurra
merupakan seorang lanun wanita masyhur yang hidup di antara abad ke-15 hingga
abad ke-16 Masihi. Beliau bergiat secara aktif di bahagian barat Mediterranean
dan sering menyasarkan kapal-kapal dagang Portugis dan Sepanyol. Walaupun
dibenci oleh musuh-musuhnya dari Eropah, kejatuhan Sayyida al-Hurra dari kerusi
kuasa tidaklah disebabkan oleh serangan luar. Sebaliknya, beliau digulingkan
oleh menantunya menerusi konflik dalaman.
SAYYIDA AL-HURRA – SI
PENGHULU WANITA
Kebanyakan maklumat
mengenai Sayyida al-Hurra datang daripada sumber Kristian – secara khusus
sumber Portugal dan Sepanyol. Hanya menerusi sumber-sumber itulah dapat kita
mengenali nama Sayyida al-Hurra, yang pada hakikatnya nama tersebut merupakan
satu gelaran yang bermaksud “Penghulu Wanita”.
Kebanyakan sumber
tersebut tidak menyedari hal ini dan menganggapnya sebagai nama sebenar beliau.
Akibatnya, nama sebenar beliau hilang dari catatan sejarah, walaupun terdapat
dakwaan bahawa nama sebenar Sayyida al-Hurra ialah Aisha.
Walau bagaimana
sekalipun keadaannya, Sayyida al-Hurra dilahirkan sekitar tahun 1485M di
Kerajaan Granada yang merupakan kota Muslim terakhir di Semenanjung Iberia.
Bapa Sayyida al-Hurra ialah Moulay Ali ibn Rashid, seorang ketua kabilah
sementara ibunya pula ialah Zohra Fernandez, seorang wanita Kristian yang
memeluk agama Islam. Keluarga beliau tumbuh dari cabang puak bangsawan yang
dikenali sebagai Rashid. Susur galur keturunan mereka boleh ditelusuri hingga
ke Nabi Muhammad melalui Idris I, pengasas Dinasti Idrisiyah di Maghribi
(Morocco) pada hujung abad ke-8 Masihi.
Potret Sayyida al-Hurra si pemerintah Tetouan |
Pada tahun 1492M, Granada tumbang dalam kempen Reconquista dan ramai umat Islam melarikan diri ke selatan menuju ke Afrika Utara. Di antara mereka itu termasuklah Sayyida al-Hurra dan keluarganya. Mereka kemudiannya mendiami kawasan Chefchaouen atau Chaouen.
Sebagai anak kepada
seorang pembesar, Sayyida al-Hurra disiapkan dengan pendidikan terbaik dan
dididik dalam pelbagai bidang penting seperti matematik, teologi dan bahasa.
Kemudian setelah usianya sedikit meningkat, Sayyida al-Hurra berkahwin dengan
Abu Hassan al-Mandiri yang berusia 30 tahun lebih tua berbandingnya. Sebahagian
sumber menyebutkan bahawa usia beliau semasa mengahwini Abu Hassan adalah 16
tahun. Ada juga yang mendakwa 25 tahun.
Sama seperti Sayyida
al-Hurra dan keluarganya, Abu Hassan al-Mandari juga merupakan seorang pelarian
daripada Sepanyol. Beliau merupakan seorang pembesar kepada salah sebuah kabilah
lain dan perkahwinannya dengan Sayyida al-Hurra telah pun diaturkan sejak
beberapa tahun yang lalu.
Al-Mandari menetap di
kota Tetouan dan menjadi gabenor kota tersebut. Sayyida al-Hurra dilayan dengan
baik oleh suaminya dan beliau banyak membantu Al-Mandari dalam pentadbiran
kota. Selepas kemangkatan Al-Mandari sekitar tahun 1515 hingga 1519M, Sayyida
al-Hurra menjadi pemerintah tunggal Tetouan.
SAYYIDA AL-HURRA
MENJADI LANUN
Pada suatu masa,
Sayyida al-Hurra menjadi seorang lanun. Sebahagian sumber menyebutkan bahawa
beliau tidak pernah melupakan detik kejatuhan Granada dan bersumpah untuk
membalas dendam atas hal tersebut. Malah, beliau bertekad untuk merampas semula
Andalusia daripada Kristian. Walaupun beliau tidak berhadapan dengan Sepanyol
dan Portugal secara langsung, tetapi Sayyida al-Hurra berjaya mencetuskan
huru-hara di perairan mereka menerusi kegiatan melanun.
Lukisan yang menggambarkan kehidupan keluarga Sayyida al-Hurra selepas kejatuhan Granada |
Untuk tujuan itu, beliau membentuk pakatan dengan seorang lanun masyhur yang bernama Oruc Res (Aruj) atau dikenali sebagai Barbarossa di Barat. Ketika Barbarossa menggegarkan bahagian timur Mediterranean, Sayyida al-Hurra pula bergiat aktif di bahagian barat dan sering menyasarkan kapal-kapal dagang Portugal dan Sepanyol. Kapal-kapal itu habis diserang dan anak-anak kapalnya pula diambil sebagai tawanan. Keadaan ini kemudiannya memaksa pihak Portugal dan Sepanyol untuk melakukan rundingan dengan Sayyida al-Hurra dan mengeluarkan belanja yang besar untuk menebus tawanan tersebut.
SAYYIDA AL-HURRA MERAIH
KEKAYAAN DAN KEKUASAAN
Kekayaan yang
dikumpulkan oleh Sayyida al-Hurra serta kekuatan yang dimilikinya membuatkan
nama beliau dipandang tinggi di Afrika Utara. Kedudukannya itu diperakui oleh
Ahmed al-Wattasi, iaitu Sultan Maghribi. Beliau kemudiannya mengusulkan lamaran
kepada Sayyida al-Hurra sebagai suatu bentuk persekutuan. Lamaran tersebut
diterima oleh Sayyida al-Hurra dengan syarat Al-Wattasi perlu datang sendiri ke
kota Tetouan untuk mengahwininya.
Hal ini merupakan suatu
yang mencarik tradisi memandangkan kebiasaannya pihak wanita yang perlu
berjalan jauh ke kota yang didiami oleh pihak lelaki. Namun, syarat tersebut
dipersetujui oleh Sultan dan selepas perkahwinan berlangsung selesai, mereka
berdua kembali hidup di ibu kota masing-masing sekaligus membuktikan bahawa
perkahwinan tersebut hanya dilakukan atas tujuan politik semata-mata.
Potret Ahmed al-Wattasi, Sultan Maghribi yang berkahwin politik dengan Sayyida al-Hurra |
Pun begitu, tuah
Sayyida al-Hurra tidak berpanjangan. Pada tahun 1542M, Maghribi terlibat dalam
peperangan terbuka melawan Portugal. Mengambil kesempatan ke atas keadaan
huru-hara itu, Ahmed al-Hassan al-Mandari iaitu menantu Sayyida al-Hurra
(merangkap kerabat suami pertamanya) membentuk pakatan dengan musuh Ahmed
al-Wattasi dan berjaya menggulingkan ibu mertuanyanya itu. Sejak kejadian
tersebut, nama Sayyida al-Hurra hilang dari sejarah walaupun diandaikan bahawa
beliau kembali ke Chefchaouen dan meninggal dunia di sana 20 tahun kemudian.
Sehingga ke hari ini,
nama Sayyida al-Hurra masih dikenang di Maghribi. Pada tahun 2016, terdapat
perancangan untuk menghasilkan sebuah drama sejarah yang berdasarkan kisah
hidupnya.
SUMBER
- Conliffe, C. (2018). Sayyida al-Hurra. Muslim Pirate Queen. Headstuff.
- Dale, M. (2016). Nassim Abassi Preps Historical Drama About Morocco’s First Woman Ruler, Sayyida al-Hurra. Variety.
- Engel, K. L. (2011). Sayyida al-Hurra, Islamic pirate queen. Amazing Women In History.
- Verde, T. (2017). Malika VI: Sayyida al-Hurra. Aramco World.
- The Way of Pirate. 2019. Sayyida al-Hurra – Pirate Queen of Islamic West.
- Get link
- Other Apps