- Get link
- Other Apps
- Get link
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Adam Ali. (n.d.). Sultana Raziya of Delhi: Pillar of Women and Queen of the Eras. Medievalist.
Adam Ali. (n.d.). Sultana Raziya of Delhi: Pillar of Women and Queen of the Eras. Medievalist.
Penterjemah: AmirZayyanid
Pada zaman pertengahan, jarang sekali kaum wanita dapat memegang tampuk kekuasaan. Kisah hidup Raziya si pemerintah Delhi ini dianggap sangat menarik, bukan hanya kerana beliau dicalonkankan sebagai pewaris takhta sebuah kesultanan, tetapi juga kerana perjuangannya untuk mempertahankan haknya itu.
Raziya (Radiya dalam
bahasa Arab) merupakan wanita pertama dan terakhir yang memerintah Kesultanan
Mamluk di Delhi, bermula dari tahun 1236 hingga 1240 Masihi. Beliau tidak hanya
dikagumi kerana menjadi seorang pemerintah wanita, tetapi juga kerana beliau
dicalonkan oleh ayahandanya sebagai pewaris takhta sekaligus mengenepikan
saudara-saudara tirinya yang lain. Pemilihan ini dilakukan kerana sejak awal
lagi beliau telah mempamerkan bakat dan kebolehannya.
Hal tersebut
benar-benar mencarik adat kebiasaan pada masa itu, iaitu zaman di mana dunia
Islam dan dunia Kristian hanya akan dapat menyaksikan kaum wanita menaiki tampuk
kekuasaan sekiranya pemerintah sebelumnya tidak mempunyai pewaris lelaki.
Raziya tidak hanya dikagumi kerana berjaya mengungguli saudara-saudara tirinya
sebagai calon pewaris takhta, tetapi juga kerana beliau mampu memerintah secara
bebas dan sendiri tanpa menjadi boneka kepada mana-mana lelaki yang
berpengaruh.
Raziya dilahirkan
sekitar tahun 1205M sebagai puteri kepada Sultan Shams al-Din Iltutmish.
Iltutmish merupakan seorang hamba sahaya beretnik Turki yang berasal dari
wilayah padang rumput di Asia Tengah sebelum kemudiannya dibawa masuk ke India.
Di India, beliau dibeli oleh Qutb al-Din Aybak yang juga beretnik Turki dan
merupakan bekas hamba.
Aybak merupakan
pengasas kepada dinasti, atau lebih tepat, rejim Mamluk. Disebutkan sebagai
rejim kerana tidak semua pemerintah Dinasti tersebut dilantik berdasarkan
keturunan (monarki) sebaliknya seringkali mereka diundi secara sebulat suara ataupun
meraih kuasa menerusi jalan kekerasan.
Iltutmish merupakan
‘raja-asal-hamba’ yang paling terkemuka dan berjaya menyatukan pemerintahan
Muslim di India. Kenaikan seseorang yang berstatus hamba ke kerusi sultan
seperti yang dialami oleh Iltutmish dan raja-asal-hamba lain melahirkan sebuah
kesan yang baik buat umat Islam di India. Hal ini kerana wilayah itu didominasi
oleh sistem kasta yang sangat ketat, terutama bagi golongan bawahan.
Keadaan yang dialami
oleh Iltutmish dan yang lain-lain itu berjaya memperlihatkan kepada para
penganut agama Hindu berkasta rendah bahawa Islam itu adalah sebuah agama yang egalitarian
(agama yang berpegang pada prinsip hak yang sama untuk semua) dan berupaya
mencairkan sistem kasta tersebut.
Ia juga memberikan
kesedaran kepada mereka bahawa satu-satu individu atau kumpulan masyarakat itu
boleh sahaja mendaki tangga sosial sekaligus menggulingkan pemerintah dan
menduduki puncak kuasa seandainya memiliki keberanian, kebijaksanaan, kemahiran
dan kekuatan untuk berbuat demikian.
AYAHANDA SULTANA RAZIYA
Iltutmish mendaki
tangga kuasa dengan begitu pantas tidak lama selepas beliau memasuki India.
Pada waktu itu, tuannya, Qutb al-Din Aybak merupakan salah seorang panglima
yang berkhidmat untuk Muhammad, sultan bagi Empayar Ghurid. Empayar tersebut
berjaya mengambil-alih kedudukan Ghaznavid sebagai kuasa dominan di wilayah
timur dunia Islam pada abad ke-12 Masihi.
Sultan Muhammad
kemudian kembali semula ke bahagian barat empayarnya selepas berjaya menakluk
Delhi pada tahun 1193M. Sebelum berangkat ke barat, beliau mengarahkan Qutb
al-Din Aybak supaya kekal berada di situ untuk mewakilinya.
Beliau kemudian
meninggal dunia pada tahun 1206M dan kedudukannya sebagai sultan diwarisi oleh
Aybak. Walaupun berstatus hamba pada asalnya, Aybak berjaya mengendalikan
kepemimpinan ke atas pasukan tenteranya dengan baik dan berkahwin dengan puteri
kepada salah seorang pencabar takhta yang lain. Hal tersebut berhasil
memperkukuhkan kedudukannya sebagai pemerintah baru Kesultanan Mamluk di Delhi.
Iltutmish merupakan
salah seorang hamba dan pegawai yang berkhidmat dalam angkatan tentera Qutb
al-Din Aybak. Beliau merupakan seorang lelaki yang sangat bersemangat dan
bijaksana. Aybak memandang tinggi
terhadap keberanian, kemahiran, kesungguhan dan kecemerlangan Iltutmish dalam
memperkuat pemerintahannya di wilayah utara India. Lantas, beliau pun
mengahwinkan Iltutmish dengan puterinya.
Kesultanan Delhi pada abad ke-13 |
Tidak lama kemudian pada tahun 1210M, Qutb al-Din Aybak mangkat akibat kecederaan yang dialaminya semasa terjatuh daripada kuda ketika bermain sukan polo. Kedudukannya diambil-alih oleh Iltutmish setahun kemudian. Sebelum itu, Iltutmish sememangnya merupakan gabenor bagi sejumlah kota dan diperakui sebagai komander angkatan tentera Aybak.
Beliau memiliki
kemahiran diplomatik yang sangat hebat. Menerusi usulan ulama dan golongan
bangsawan, Iltutmish pun menaiki takhta Kesultanan Delhi. Di bawah pemerintahan
beliau, Delhi berjaya merampas sejumlah wilayah dari Ghurid.
Beberapa tahun pertama
pemerintahannya diluangkan dengan polisi pengukuhan kekuasaan ke atas
wilayah-wilayah naungan di samping memerangi beberapa orang pencabar takhta.
Salah seorang pencabar tersebut ialah Taj al-Din Yildiz, iaitu gabenor Ghazna.
Yildiz berjaya merampas Lahore selepas diusir daripada kotanya oleh Jalal
al-Din dan pasukan tentera Khwarazmi-nya yang melarikan diri dari gempuran
Mongol.
Berkat kemahiran
diplomasi yang dimilikinya, Iltutmish berjaya mempengaruhi Jalal al-Din dan
para pengikutnya agar berpindah dari Delhi dan membawa diri ke wilayah
seterunya, Kabacha. Setelah keselamatan wilayahnya terjamin, Iltutmish
menghantar pasukan tentera untuk meluaskan lagi jajahan dan berhasil menakluk
Bengal, Ranthambor dan Mandawar.
Pada tahun 1227M,
beliau berjaya menundukkan pemerintah Sind dan Daybul sehingga menjadi raja
bawahannya. Dua tahun kemudian iaitu pada 1229M, sebuah perutusan daripada
Khalifah di Baghdad datang untuk menyampaikan hadiah sepersalinan jubah
kemuliaan untuk Sultan Iltutmish dan para puteranya. Perutusan tersebut
bermaksud untuk melaporkan restu Khalifah yang memperakui kedudukan Iltutmish
sebagai Sultan Delhi – buat pertama kalinya seorang pemerintah Muslim diperakui
oleh Khalifah Abbasiyah.
Tahun-tahun
pemerintahan berikutnya diluangkan oleh Iltutmish dengan meluaskan lagi wilayah
naungannya dan menundukkan beberapa buah pemberontakan.
Beliau merupakan
seorang Muslim yang warak dan sering menghormati ulama-ulama yang berada di
wilayahnya. Istananya sentiasa dipenuhi dengan ulama, penyair, sejarahwan,
tabib, saintis, ahli matematik dan ahli falsafah yang dinaungi oleh beliau
sendiri dan beberapa orang bangsawan lain. Beliau juga melicinkan lagi
pentadbirannya dengan turun sendiri ke lapangan untuk mendengar permasalahan
rakyat dan menguruskan penghakiman.
Malahan, dikatakan
bahawa terdapat sebuah loceng besar di gerbang istana Sultan Iltutmish. Sesiapa
sahaja yang menginginkan keadilan daripada sultan dibenarkan untuk membunyikan
loceng tersebut dan memanggil sultan agar mendengar aduan masalah mereka.
Sultan yang bersemangat
waja dan berperibadi mulia inilah yang menamakan puterinya, Raziya sebagai
pewaris menjelang kemangkatannya pada tahun 1236M.
Memandangkan beliau
merupakan seorang Muslimah dan puteri kepada seorang sultan, maka Raziya
dilahirkan sebagai seorang merdeka walaupun pada hakikatnya ayahanda beliau
merupakan seorang hamba sahaya asalnya. Iltutmish membesarkan beliau dengan
pendekatan yang sangat terbuka, jika dipertimbangkan keadaan pada masa itu –
bandingan ini tidak hanya terhad pada dunia Islam, tetapi juga dunia Kristian
di Eropah dan dunia Hindu di India serta mana-mana tempat lain di zaman
pertengahan.
Dengan memulakan
kariernya sebagai seorang hamba dan kemudian mendaki kedudukan menerusi merit
kecemerlangan dan kemahiran diri sendiri membuatkan Iltutmish lebih bersifat
terbuka dalam memperakui kedudukan kaum wanita.
Tambahan lagi, beliau
beretnik Turki dan merupakan ahli kepada sebuah puak yang mendiami kawasan
padang rumput Eurasia. Hal ini menyumbang kepada keunikan cara pandang beliau.
Pada zaman dahulu, kaum wanita dalam puak nomad memiliki hak yang lebih tinggi
dan memainkan peranan yang lebih besar berbanding wanita-wanita yang hidup
secara tetap.
Puak-puak nomad
lazimnya hidup dalam suasana yang kasar dan lasak, berbekalkan sumber yang
sangat terhad. Malahan, populasi setiap puak lebih kecil berbanding masyarakat
yang hidup secara tetap. Oleh kerana itu, mereka perlu memanfaatkan kudrat
setiap ahli puak dalam usaha mengumpulkan sumber kelangsungan hidup. Setiap
seorang daripada mereka juga dikerah untuk terlibat dalam mana-mana pertempuran
yang tercetus. Makanya, mereka sama sekali tidak mengurung atau mengenepikan
peranan kaum wanita.
Berdasarkan
faktor-faktor tersebut, Iltutmish yang melihat potensi yang dimiliki oleh
Raziya puterinya, kemudiannya mengambil keputusan untuk menamakan beliau
sebagai pewaris takhta dan mengenepikan hak putera-puteranya.
Raziya sememangnya
memiliki sejumlah pengalaman dalam politik memandangkan beliau pernah
ditugaskan memerintah Delhi semasa ayahandanya keluar memimpin kempen
ketenteraan. Ketika dipersoalkan oleh orang-orang kepercayaannya tentang
penamaan Raziya, Iltutmish menyatakan bahawa beliau mendapati para puteranya
tidak memiliki bakat kepemimpinan sama seperti puterinya itu.
Walaupun penamaan
tersebut merupakan wasiat beliau, para pembesar dan komander tentera tidak
berkongsi pandangan yang sama terhadap Raziya sekaligus keputusan Iltutmish itu
diketepikan.
Saudara tiri Raziya
yang bernama Rukn al-Din kemudiannya dinaikkan ke kerusi takhta tidak lama
selepas kemangkatan Iltutmish. Setelah itu, Rukn al-Din membunuh
saudara-saudara tirinya yang mencabar kedudukannya sebagai sultan. Tindakan itu
dilakukan bagi menakut-nakutkan Raziya dan memaksanya agar kembali ke harem –
tempat yang selayaknya bagi seorang wanita, menurut Rukn al-Din.
Sebagai seorang sultan,
Rukn al-Din menjalani gaya hidup yang begitu buruk – bergelumang dalam
kemerosotan moral. Kuasa takhta yang sebenarnya pula dipegang dari sebalik
tabir oleh ibunya, Shah Turkan yang memanfaatkan hal tersebut untuk
memperdajalkan musuh-musuh peribadinya.
Lukisan moden yang menggambarkan Raziya |
RAZIYA MERAIH KUASA
Berbanding mundur
membawa kekalahan atau bersembunyi demi menyelamatkan nyawanya, Raziya
sebaliknya mengambil keputusan untuk bertemu dengan rakyat Delhi dan meminta
sokongan mereka. Dalam melakukan hal tersebut, beliau menggunakan salah satu
polisi yang diasaskan oleh ayahandanya.
Menurut sejumlah
sumber, kebanyakan rakyat umum India memakai jubah putih pada waktu itu.
Makanya, selain meletakkan loceng di gerbang istana, Iltutmish juga mengasaskan
sebuah polisi yang mengarahkan sesiapa sahaja yang mahu mendapatkan keadilan
daripada Sultan agar memakai pakaian berwarna.
Dengan demikian, jika
Sultan berangkat keluar ke lapangan dan melihat ada rakyatnya yang memakai
pakaian berwarna, maka beliau dengan segera dapat tahu bahawa orang tersebut
telah ditindas dan memerlukan pengadilan daripadanya. Lantas, beliau pun akan mendengar
sendiri aduan masalah orang tersebut.
Pada detik-detik sukar
yang sedang dialaminya ini, Raziya mengenakan jubah berwarna merah dan berjalan
di celah-celah rakyatnya untuk meminta sokongan mereka dalam menentang saudara
tirinya, Rukn al-Din. Beliau memaklumkan kepada mereka betapa beliau telah
diturunkan secara zalim dari takhta yang telah pun diserahkan oleh bapanya.
Beliau secara terbuka
menyatakan bahawa dirinya adalah mangsa kezaliman dan mengisytiharkan
pendakwaan ke atas Rukn al-Din, tidak hanya kerana telah menggulingkannya,
tetapi juga kerana telah membunuh saudara-saudara tirinya yang lain.
Dalam kesempatan itu,
Raziya meminta orang ramai agar melindunginya dari ancaman Rukn al-Din. Beliau
sering melakukan hal tersebut pada hari Jumaat, hari di mana kebanyakan umat
Islam keluar berkumpul di masjid dan tempat-tempat awam lain. Rancangan Raziya
membuahkan hasil dan ramai yang mendengar ucapannya itu. Kebanyakan daripada
mereka bertugas sebagai tentera dan mereka pun menyokong Raziya dengan
menggulingkan dan membunuh Rukn al-Din. Raziya lantas naik takhta.
Pemerintahan Raziya
berlangsung selama empat tahun. Kebanyakan sumber merincikannya sebagai seorang
pemerintah yang berdaya saing dan efisien dalam menjalankan tugas. Turut
dinyatakan bahawa beliau sering muncul di khalayak ramai tanpa memakai hijab
sambil mengenakan pakaian lelaki. Rambutnya dipotong pendek, wajahnya tidak
dihijab dan beliau sendiri keluar menunggang kuda secara bebas seperti seorang
lelaki dengan lengkap membawa busur, bekas anak panah dan pedang.
Pemakaian tersebut
tidak hanya dikenakan semasa memimpin kempen ketenteraan, tetapi juga semasa
bergaul dengan rakyatnya sekaligus mendengar aduan masalah mereka secara
terbuka. Semasa pemerintahannya, Raziya sempat mengarahkan agar syiling
dicetakkan bersama tulisan berikut:
Tiang Kaum Wanita
Ratu Pada Eranya
Sultana
Raziya bint Shams al-Din Iltutmish
Begitu juga dengan
tulisan ini:
Pada era (pemerintahan)
Imam al-Muntasir,
Amirul Mukminin, Sultan
yang Gagah
Keindahan Dunia dan
Iman
Malika Iltutmish,
puteri Sultan Iltutmish
Sang
pembawa kegemilangan buat Amirul Mukminin
Pencetakan syiling sebegini sangat penting memandangkan ia merupakan salah satu tanda kebesaran dan kepenguasaan seseorang pemerintah. Inskripsi pertama itu menekankan kedudukan Raziya sebagai seorang wanita yang berkuasa. Sementara pada inskripsi kedua pula, beliau memperakui bahawa kerajaan yang diperintahnya itu bernaung di bawah kekhalifahan Abbasiyah sebagai pendokong yang setia.
SEKALI LAGI MEREBUT
TAKHTA
Setelah memerintah
selama empat tahun, beberapa orang pegawai tentera memberontak menentang Raziya
dan menurunkannya dari takhta. Kemudian, mereka menaikkan seorang lagi saudara
tiri Raziya yang bernama Bahram Shah.
Terdapat sejumlah
faktor yang diandaikan sebagai faktor berlakunya pemberontakan tersebut. Fatima
Mernissi menghujahkan di dalam bukunya, The Forgotten Queens of Islam bahawa
Raziya digulingkan kerana beliau jatuh cinta dengan seorang lelaki Habsyah yang
berstatus hamba. Lelaki tersebut dinaikkan ke jawatan yang penting dalam tempoh
masa yang begitu singkat.
Musuh-musuh yang
sentiasa memerhati gerak-geri Raziya pula sempat menyaksikan bagaimana hamba
tersebut membantu Raziya menaiki kuda tunggangan beliau dengan meletakkan
tangannya di bawah ketiak Raziya. Hal ini dianggap sebagai suatu tindakan yang tidak
beretika antara seorang Sultana dengan seorang hamba bawahan. Sebaik sahaja
khabar angin tentang kejadian itu tersebar, nama Raziya pun tercemar.
Pendapat lain pula menyatakan
bahawa sejak awal pemerintahan Raziya lagi beliau sudah ditentang oleh para
ulama dan pihak-pihak yang masih berpegang dengan tradisi konservatif yang
menolak idea berpemimpinkan seorang wanita. Oleh kerana itu, mereka pun
mengumpulkan penyokong sepanjang empat tahun pemerintahan Raziya lalu bertindak
menggulingkannya.
Setelah digulingkan, Raziya
kemudiannya melarikan diri dari Delhi bersama sejumlah tentera yang masih
menyokongnya. Beliau dikejar oleh pasukan pemberontak yang dipimpin oleh salah
seorang amir yang bernama Ikhtiyar al-Din Altuniya.
Altuniya berjaya
menghambat Raziya lantas sebuah pertempuran pun berlangsung, memihak pasukan
pemberontak. Raziya ditangkap dan dijadikan tawanan. Tidak lama kemudian,
Altuniya sendiri jatuh cinta dengan Raziya dan sebelum mereka berdua
menghimpunkan kekuatan dan mara ke Delhi, Altuniya dan Raziya menjalinkan
perkahwinan. Namun, bala tentera yang kemudiannya dihantar oleh Delhi berjaya
menewaskan mereka.
Makam Sultana Raziya di Delhi Lama |
Perihal kemangkatan
Raziya juga mempunyai dua versi penceritaan. Bagi versi yang pertama, beliau
dikatakan telah melarikan diri selepas mengalami kekalahan di tangan pasukan
Delhi itu. Dalam keadaan kelaparan dan kehausan yang begitu menyesakkan, Raziya
singgah di sebuah kebun milik seorang petani dan meminta bantuannya. Petani itu
pun kemudian memberikan roti dan minuman kepada Raziya.
Setelah itu, Raziya
terlelap di kebun itu dan gaun bertatah batu permata yang mahal yang
terselindung di sebalik baju besinya tersingkap sekaligus membuatkan petani itu
menyedari bahawa insan yang dibantunya itu adalah seorang wanita. Lantas,
petani itu pun membunuh Raziya semasa beliau sedang tidur. Kudanya dihalau,
barangan berharga pada tubuhnya dirampas, dan jasadnya dikebumikan di kebun itu
juga.
Tidak lama kemudian,
petani itu diberkas oleh majistret tempatan dan mengakui kesalahan jenayah yang
dilakukannya. Jasad Raziya kemudiannya digali semula untuk dimandikan dan
dikebumikan dengan sewajarnya.
Naratif kedua juga
tidak kurang dramatik. Setelah mengalami kekalahan, Raziya dan Altuniya
ditangkap dan dihukum bunuh oleh Bahram Shah.
Ibnu Battuta yang
melawat makamnya di Sungai Yumuna melaporkan bahawa masyarakat setempat telah
mengangkatnya sebagai seorang wali dan mendirikan sebuah kubah di atas makam
itu. Makam Raziya diziarahi oleh orang ramai dan mereka lazim berdoa di sana
bagi menumpang keberkatan yang dimiliki oleh beliau.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Sultana Razia Si Pemerintah Delhi’
- Get link
- Other Apps