- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (7 Ogos 2018). Zmaj and the Dragon Lore of Slavic Mythology. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/zmaj-and-dragon-lore-slavic-mythology-002984
Wu Mingren. (7 Ogos 2018). Zmaj and the Dragon Lore of Slavic Mythology. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/zmaj-and-dragon-lore-slavic-mythology-002984
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Naga merupakan salah satu makhluk mitologi purba yang sangat dikenali. Kebanyakan budaya di seluruh dunia memperlihatkan penampilan makhluk ini (atau bentuk-bentuk lain yang berkaitan dengannya) di dalam kisah-kisah rakyat mereka. Di negara-negara Asia Timur misalnya, naga dianggap sebagai simbol kuasa, kekuatan dan tuah. Mereka dipercayai sebagai makhluk suci yang mempunyai kuasa ke atas air, hujan dan banjir.
Tanggapan terhadap mereka agak kontra di Eropah Barat di mana naga
dipandang sebagai makhluk yang mewakili kejahatan. Terdapat satu motif masyhur
dari kesenian di Eropah Barat yang memperlihatkan St. George membunuh seekor
naga. Salah seekor naga yang kurang dikenali adalah zmaj, iaitu naga
yang terkandung di dalam kisah rakyat Slavik.
Dalam beberapa buah
negara Slavik tertentu, naga boleh dilihat sama ada sebagai entiti yang baik mahupun
jahat, bergantung kepada jantina mereka. Dalam legenda-legenda Bulgaria
contohnya, naga-naga jantan dipercayai sebagai pelindung hasil tanaman
sementara naga-naga betina pula cenderung menghancurkan buah-buahan yang
ditanam oleh manusia.
Di negara-negara Slavik yang lain, naga dilihat sebagai
makhluk buas yang jahat sama seperti di Eropah Barat. Di Russia dan Ukraine
pula, terdapat suatu makhluk yang berbentuk seperti naga, bernama Zmey
Gorynych. Ia memiliki tiga buah kepala yang berupaya menghembuskan api –
menjadikannya makhluk yang berbahaya.
![]() |
| Lukisan berjudul ‘Zmey Gorynych’ oleh Viktor Vasnetsov |
Walau bagaimanapun, zmaj secara umum dianggap sebagai makhluk yang mulia di Serbia, sama seperti naga-naga di Asia Timur. Zmaj diperincikan sebagai makhluk yang “berkepala biri-biri dan bertubuh ular.” Naga-naga ini dipercayai melindungi manusia dari Ala, atau Azjada, iaitu makhluk yang membawa cuaca buruk dan ribut yang berupaya memusnahkan hasil tanaman.
![]() |
| Sebuah ilustrasi yang menggambarkan zmaj yang berkepala biri-biri dan bertubuh ular, dari karya Milenko Bodirogic yang berjudul “Fairies and Dragons – Serbian Mythology” |
Selain memiliki kekuatan dan kebijaksanaan, zmaj juga dipercayai mampu berubah-ubah bentuk, termasuklah bentuk manusia. Dalam bentuk manusia, zmaj berupaya mengerjakan salah satu hobi kegemaran mereka – iaitu mengejar wanita. Sebahagian zmaj dikhabarkan terlalu ralit dengan aktiviti tersebut hinggakan mereka mengabaikan tanggungjawab melindungi tanaman-tanaman dari cuaca buruk.
Jika hasil tuaian
musnah akibat dilanda cuaca buruk, penduduk kampung akan berkumpul dan mengusir
zmaj dari rumah wanita-wanita tempatan. Nafsu zmaj terhadap kaum
wanita juga menjadi tema utama dalam beberapa buah kisah rakyat Serbia seperti The
Tsarina Militza dan The Zmaj of Yastrebatz.
![]() |
| Lukisan berjudul “Naga Merah Yang Ulung dan Wanita yang diselubungi matahari” hasilan William Blake |
Dalam hikayat tersebut, Tsarina Militza dikisahkan telah dilawati pada setiap malam selama setahun oleh seekor zmaj yang datang dari Yastrebatz. Apabila suaminya, iaitu seorang pemerintah Serbia yang berkuasa pada abad ke-14, bernama Tsar Lazar mendengar tentang hal ini, beliau meminta Tsarina agar bertanya pada zmaj kalau-kalau ia ada berasa takut terhadap sesiapa selain Tuhan dan kalau-kalau terdapat wira di dunia ini yang lebih kuat berbandingnya.
Zmaj tersebut kemudian
diperdaya sehingga mendedahkan rahsia tersebut –terdapat seorang manusia yang
ditakutinya, iaitu Zmaj-Despot Vook yang tinggal di sebuah kampung bernama Koopinova
yang terletak di dataran Sirmia. Pada keesokan hari, Tsar memanggil Zmaj-Despot
Vook. Sebaik sahaja lelaki itu tiba, beliau segera membunuh zmaj dari
Yastrebatz tersebut.
Terdapat pendapat yang
mengatakan bahawa Zmaj-Despot Vook ini sebenarnya mengambil inspirasi daripada
satu figura sejarah, iaitu Despot Vuk Brankovic yang hidup pada separuh kedua
abad ke-15 Masihi. Beliau dipercayai berketurunan naga. Penampilan Vuk
Brankovich yang digambarkan sebagai seorang wira ini menunjukkan bahawa sejarah
dan legenda itu disikapi sebagai suatu yang boleh dicampur-adukkan bersesuaian
dengan keperluan seseorang pemerintah.
Vuk bukanlah seorang sahaja pemerintah
Serbia yang memanipulasi legenda zmaj untuk memperkukuhkan imejnya.
Terdapat pemerintah lain yang mendakwa bahawa bapa mereka ialah zmaj.
Mereka ini termasuklah putera dan pewaris Tsar Lazar, iaitu Stefan Lazarević, serta
Stojan Čupić dan Vasa Čarapić yang merupakan dua figura penting dalam
Pemberontakan Pertama Serbia yang berlangsung pada awal abad ke-19 Masihi.
![]() |
| Potret Vuk Brankovic |
Beberapa tahun yang lalu, terdapat rancangan
di Serbia yang berhasrat untuk mengkapitaliskan lambakan kisah rakyat berkenaan
naga di negara tersebut sekaligus menjadikannya sebagai tarikan pelancong.
Sejumlah tempat, termasuklah istana, benteng dan gereja yang dipercayai pernah
diziarahi oleh zmaj dirancang supaya diubah menjadi ‘sarang naga’ untuk
dikunjungi para pelancong.
Pada hari ini, sarang-sarang tersebut yang dikenali
sebagai ‘Laluan Naga-Naga di seluruh Serbia’ sememangnya telah wujud. Laluan
tersebut bermula dari Fruška Gora di bahagian utara, kemudian melalui ibu kota,
Belgrade dan seterusnya berakhir di Markovo Kale di bahagian selatan. Dalam
suatu sudut, hal ini mampu membantu dalam memelihara legenda-legenda zmaj ini
agar dapat diwariskan kepada generasi akan datang, selain menyumbang kepada
industri pelancongan Serbia.
![]() |
| Tarikan pelancong kini digabungkan dengan ‘naga-naga legenda’. Gambar menunjukkan naga Slavik yang berkepala tiga, bernama Zmey Gorynych |
SUMBER
- Dragonwisdom.wikia. 2015. European Dragons.
- Petrovitch, W. M. 1914. Hero Tales and Legends of the Serbians.
- Balkans Insight. 2012. Serbian Dragon Trail Awaits Discovery.
- Serbia.com. 2014. Tesla’s ways, Dragons’ roads.
- Get link
- X
- Other Apps





