- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Sarah P. Young. (26 Mac 2019). 10 Killer Tactics From the Secret World of
Ancient Assassins. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/ancient-assassins-0011666
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/ancient-assassins-0011666
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Siri permainan Assassin’s
Creed merupakan sebuah francais yang meraih kejayaan secara meluas dalam
menampilkan orde rahsia para assassin (pembunuh) yang telah wujud sejak ribuan
tahun dahulu. Permainan ini dikenali kerana ketepatan nilai sejarahnya –
walaupun komuniti di dalam permainan itu sendiri adalah fiksyen, terdapat
banyak (kalau bukan semua), watak assassin dari ketamadunan silam.
Pergerakan-pergerakan
di sebalik kumpulan-kumpulan assassin silam ini sering diselubungi misteri –
aktiviti mereka bersifat sulit dan bercakap tentang pekerjaan mereka sering
dianggap sebagai taboo. Namun, maklumat-maklumat berkenaan assassin yang dapat
kita peroleh membolehkan kita menelusuri peranan yang mereka mainkan dalam
kalangan masyarakat di zaman silam dan taktik-taktik yang mereka sanggup
lakukan semasa melakukan tugas.
Bermula dari kod-kod
rahsia hinggalah penggunaan senjata istimewa – berikut adalah 10 fakta
berkenaan assassin yang mungkin kita belum pernah dengar sebelum ini.
1. MEREKA TIDAK SELALU
MEMBUNUH SASARAN
Perkataan ‘assassinate’
(pembunuhan) pada hari ini membawa maksud membunuh seorang figura penting bagi
tujuan politik. Namun, para pembunuh di zaman silam selalunya tidak
perlu membunuh untuk mencapai matlamat tugas mereka. Hashashin, sebuah kumpulan
pembunuh yang bertapak di Parsi dan Syria sangat digeruni hinggakan apabila
mereka meninggalkan nota amaran atau petunjuk, ia sudah memadai untuk
mempengaruhi sasaran supaya melakukan apa yang disuruh oleh mereka.
Pemimpin Muslim yang
masyhur, Salahudin didakwa pernah menerima salah satu nota ancaman daripada Hashashin.
Nota tersebut diletakkan di atas meja berserta pisau beracun dan sedulang kuih
yang sinonim dengan Hashashin. Merespon hal itu, Salahudin menuruti amaran
tersebut (beliau mengundurkan pasukannya. Jika menurut sejarah, hal ini
bukanlah faktor utama pengunduran beliau).
Keupayaan Hashashin
untuk bergerak secara rahsia tanpa dikesan membuatkan mereka layak melakukan
kerja-kerja peisikan. Kadangkala, assassin diupah dengan tugas merisik dan
bukannya membunuh atau membahayakan sasaran. Risikan adalah suatu tugas yang
enggan dilakukan oleh kumpulan lain. Misalnya, samurai merasakan perbuatan
merisik tidak sesuai bagi mereka justeru mendorong orang ramai untuk mengupah
ninja.
2. ANTARA NINJA TERBAIK
ADALAH KAUM WANITA
Secara tradisinya,
peperangan melibatkan kaum lelaki dan makanya kebanyakan pahlawan dan panglima
terhebat yang kita kenali adalah dari kaum lelaki. Namun dalam dunia
pembunuhan, kaum wanita tidak seharusnya dilupakan. Apatahlagi, terdapat sebuah
kumpulan ninja bernama kunoichi yang secara khusus dianggap sebagai
pembunuh yang mahir.
Memandangkan wanita
secara umumnya dianggap sebagai suri rumah yang tidak berbahaya, kunoichi mengambil
kesempatan ke atas perkara itu untuk merapati sasaran mereka – sama ada untuk
meraih maklumat atau membunuh. Setelah berjaya menghampiri sasaran, mereka akan
menghabiskannya seganas ninja lelaki. Kunoichi juga tidak canggung
menggunakan shuriken (bintang lontar) dan katana – senjata yang
sering dikaitkan dengan ninja.
![]() |
| Ninja wanita yang dipanggil sebagai kunoichi merupakan pembunuh yang mahir |
3. MEREKA BOLEH JUGA HADIR
DALAM BENTUK SAMSENG
Pembunuh di zaman silam
boleh hadir sebagai kumpulan samseng (thug) – sebenarnya, daripada
situlah wujudnya perkataan “thug”. Sebuah kultus pembunuh silam bernama Thuggees
(bahasa Sanskrit yang bermaksud ‘penyembunyian’) merupakan sebuah geng pembunuh
yang beroperasi di India pada rentang waktu antara abad ke-13 hingga abad
ke-19M. Mereka tidak bergerak secara sendirian seperti kebanyakan pembunuh
silam lain. Sebaliknya, Thuggees menyerang sasaran secara berkumpulan
dengan setiap ahli memainkan peranan berbeza – sebagai pemantau keadaan
misalnya.
Thuggees
dianggap sebagai mafia pertama di dunia dan dipercayai bahawa mereka
bertanggungjawab ke atas 2000 000 kematian. Pada zaman mereka, Thuggees
sangat digeruni sehingga nama tersebut terus mekar dalam lipatan sejarah.
4. PEMBUNUH MEMPUNYAI
PANGKALAN YANG BESAR
Nama assassin
datang daripada perkataan Hashashin, sebuah kumpulan yang pernah
memberikan ancaman kepada Salahuddin. Pangkalan mereka terletak di sebuah
istana besar yang berlokasi di Alamut, Iran moden yang ditawan oleh mereka pada
tahun 1100an. Alamut bermaksud ‘sarang helang’ sekaligus memberi petunjuk
tentang lokasi istana – berada di puncak gunung yang tinggi. Setelah istana itu
ditawan oleh Hashashin, pertahanan kubunya ditambah baik secara meluas.
Kawasan-kawasan
sekitarnya turut diusahakan dengan begitu rancak bagi membekalkan makanan.
Sebuah perpustakaan juga dibina bagi memuatkan buku-buku langka. Begitu juga
dengan instrumen-instrumen astronomi yang turut diberikan perhatian oleh
kumpulan ini.
Kubu Hashashin
pada asalnya dianggap mustahil untuk ditembusi. Lebih-lebih lagi apabila mereka
berjaya mempertahankan istana itu daripada serangan Salahuddin pada tahun
1176M. Namun, anggapan tersebut dipatahkan apabila Mongol berjaya menawannya
sekitar tahun 1260M.
5. SEBAHAGIAN PEMBUNUH
MERAIH STATUS LEGENDA – NAMUN TIDAKLAH STATUS ITU BERUPA PUJIAN SENTIASA
Baik dianggap bertndak
sendirian, atau bergerak bersama rakan subahat, atau malah difitnah oleh pihak
Kerajaan, kesemua kemungkinan ini melekat pada batang tubuh Lee Harvey Oswald –
lelaki yang dipertanggungjawabkan ke atas pembunuhan Presiden John F. Kennedy.
Bagi masyarakat Athen purba, nama-nama seperti Harmodius dan Aristogeiton
mungkin dikenali dengan agak serupa. Tindakan pembunuhan mereka turut
dicertiakan dalam beberapa buah teks purba.
Walaupun mereka telah
menyediakan perancangan yang teliti untuk membunuh dua orang lelaki dalam
sebuah pesta keraian, mereka bertindak secara gelabah sekaligus identiti mereka
terdedah dengan begitu awal. Hal tersebut membawa kepada lolosnya salah seorang
sasaran mereka sambil Harmodius sendiri terbunuh.
Tidak seperti
Harmodius, Aristogeiton mungkin terselamat. Namun, beliau tertangkap dan
dihukum bunuh juga pada akhirnya. Kisah ini mungkin agak lucu jika
diperdengarkan pada hari. Ia juga berkemungkinan berfungsi sebagai satu pengajaran
supaya tidak cuba-cuba membunuh sesiapa atau tidak, tindakan tersebut akan
memakan diri.
![]() |
| Pembunuh silam legenda, Harmodius dan Aristogeiton |
6. SEBAHAGIAN PEMBUNUH
MEWARISKAN TUGAS MEREKA
Mungkin hal ini
kedengaran seperti plot dalam sesebuah novel fantasi. Namun dalam kebudayaan
tertentu, peranan membunuh sememangnya diwariskan daripada si bapa kepada
anaknya. Misalnya dalam Thuggees – walaupun boleh sahaja seseorang itu
menyertai kumpulan tersebut menerusi latihan oleh seorang guru, terdapat ramai
ahli Thuggees yang lahir dalam komuniti itu sendiri.
Jika sistem kasta di
India masih berpengaruh pada hari ini, maka apatahlagi pada masa dulu di mana
undang-undangnya jauh lebih ketat. Dalam erti kata lain, apabila seseorang
menjadi Thuggees, berkemungkinan besar keturunannya akan mewarisi
peranan tersebut dan turut menjadi Thuggees – generasi demi generasi.
Thuggees
bukanlah satu-satunya kumpulan pembunuh yang mewariskan tugas pembunuhan. Hal
yang sama juga berlaku dalam kebanyakan ninja. Untuk mengekalkan kerahsiaan
kumpulan dan memelihara kemisterian identiti, sebahagian keluarga ninja hanya
akan menurunkan ilmu kepada anak sendiri.
7. MEREKA MENJALANI
LATIHAN BERAT
Dalam kumpulan Hashashin,
terdapat sejumlah peringkat pembunuh. Fida’i merupakan peringkat
pembunuh yang paling rendah. Walaupun mereka dilihat sebagai ahli yang kurang
penting dan sesuai untuk dikorbankan, pada hakikatnya Fida’i menjalani
latihan yang agak ketat.
Mereka memerlukan
sejumlah kemahiran – selain kekuatan fizikal dan kemahiran bersenjata, pembunuh
juga perlu cukup bijak untuk memperdaya dan memerangkap masa. Mereka juga perlu
celik huruf dan berpendidikan agar boleh memahami budaya lain di samping
bertutur dalam banyak bahasa.
Legenda berkenaan
latihan Fida’i memperlihatkan bahawa mereka sering diberikan ganja
semasa awal penyertaan mereka walaupun hal ini cenderung adalah kesilapan
tafsir daripada para pengembara seperti Marco Polo yang mengaitkan asal-usul
nama Hashashin dengan penggunaan hashish.
Latihan bagi para ninja
juga lebih meluas, memandangkan mereka juga perlu mempelajari beberpaa
kemahiran lain seperti meninjau (scouting) dan kebolehan asas bagi
sesebuah profesion yang mereka perlu ceburi bagi mendapat akses kepada sasaran
tanpa menarik syak-wasangka.
8. MEREKA MEMILIKI BANYAK
KOD RAHSIA
Memandangkan aktiviti
mereka berjalan secara sulit, para pembunuh tidak boleh bercakap secara terbuka
dan sembarangan. Namun, mereka masih juga perlu menyampaikan pesanan rahsia
kepada rakan-rkaan yang lain. Salah satu kod rahsia yang digunakan oleh ninja
adalah menerusi penggunaan sesuatu benda yang tidak mendatangkan syak-wasangka
seperti beras.
![]() |
| Pembunuh silam menggunakan pelbagai bentuk kod rahsia |
Sistem ini dikenali
sebagai Goshiki-Mai, yang bermaksud ‘Lima Warna Beras’. Persis namanya,
sistem pesanan ini ditinggalkan menerusi kombinasi lima warna beras yang
berbeza. Dipercayai bahawa terdapat ratusan kombinasi yang perlu diketahui dan
dihafal oleh ninja. Beras merupakan suatu barang yang tidak mendatangkan
syak-wasangka, walaupun ditinggalkan di tempat-tempat terbuka seperti tepi
jalan. Malah, pewarna turut digunakan supaya beras tersebut tidak dimakan oleh
burung atau haiwan lain.
9. MEREKA MENGGUNAKAN
SENJATA ISTIMEWA
Pembunuh perlu sentiasa
terkehadapan dan hal ini bermaksud mereka tidak boleh sentiasa membawa senjata
tradisional yang lazim dikenali. Walaupun senjata seperti shuriken
sangat masyhur, terdapat sejumlah senjata lain yang digunakan oleh pembunuh.
Racun mungkin merupakan
suatu senjata yang paling mudah untuk disembunyikan bagi tujuan pembunuhan.
Namun, racun tidak selalunya mendatangkan hasil yang diinginkan, terutama
apabila mangsa masih boleh sedar dan mengeluarkan amaran sebelum terkulai mati.
Untuk itu, senjata yang bersifat lebih langsung perlu digunakan (dalam keadaan
tersembunyi).
Kunoichi
misalnya, akan menajamkan pin rambut (kanzashi) dan memakai sarung kuku besi
yang dikenali sebagai cakar kucing untuk menyerang sasaran. Hashashin Fida’i
pula mempunyai pisau pendek yang istimewa. Pembunuh-pembunuh lain paling kurang
berupaya mengubahsuai alatan seringkas peralatan kebun supaya dapat digunakan
secara lebih efektif tanpa mendatangkan sebarang syak-wasangka.
![]() |
| Ninja wanita, kunoichi, akan menajamkan kanzashi (pin rambut) untuk digunakan sebagai senjata |
10. MEREKA MEMANFAATKAN KHABAR
ANGIN
Terdapat banyak kisah luar
biasa berkenaan para pembunuh dan kebanyakannya tidak munasabah dan tidak masuk
akal. Namun, para pembunuh tidak terjejas dengan perkara itu. Malah, mereka
sendiri menyebarkan atau bahkan memulakan sesebuah khabar angin tentang diri
mereka sendiri.
Menjadi satu kelompok
yang digeruni oleh masyarakat merupakan suatu perkara yang boleh dimanfaatkan
oleh mereka. Apatahlagi jika masyarakat menganggap para pembunuh ini berupaya
membaca minda atau menjadi halimunan. Hal seperti ini sudah tentu lebih
memudahkan pekerjaan mereka.
Sebahagian pembunuh
boleh menyelesaikan tugasnya tanpa perlu membunuh – hanya dengan meninggalkan
surat amaran sahaja sudah cukup untuk menggerunkan sasaran (musuh) sehingga
mereka menyerah diri.
Berupaya untuk mengubah
propaganda supaya berpihak kepada kepentingan mereka merupakan suatu kemampuan
lazim bagi mana-mana manusia yang mahir memanipulasi dan hal ini ternyata
merupakan satu pendekatan yang bijak.
-----------------------------------
Selama ribuan tahun, pembunuh
memainkan peranan yang penting dalam lapangan perang mahupun politik di seluruh
dunia. Setiap budaya dan amalan yang dipraktiskan oleh setiap kumpulan pembunuh
cukup memberikan gambaran yang mengagumkan terhadap kelompok masyarakat sezaman
dan setempat dengan mereka.
Kemahiran dan taktik
mereka sering dilihat dan dianggap sebagai luar biasa bagi kita pada hari ini,
dan malah dipercayai sebagai suatu fiksyen. Namun pada hakikatnya, ia
benar-benar wujud sampaikan permainan seperti Assassin’s Creed dan filem-filem
yang memaparkan watak ninja atau pembuuh yang lain mampu meraih tahap kemasyhuran
yang tinggi pada hari ini.
SUMBER
- Crowdy, T. 2006. The Enemy Within: A History of Espionage. Osprey Publishing.
- Cummins, Antony. 2015. Samurai and Ninja: the Real Story Behind the Japanese Warrior Myth that Shatters the Bushido Mystique. Vermont: Tuttle Publishing.
- Hatsumi, Masaaki. 1981. Ninjutsu: History and Tradition. Unique Publications.
- Komroff, M. 2013. The Travels of Marco Polo. Read Books Ltd.
- Turnbull, S. 2007. Warriors of Medieval Japan. Osprey Publishing.
- Lewis, B. 2003. The Assassins: A Radical Sect in Islam. Phoenix.
- McCullough, H.C. 2004. The Taiheiki: A Chronicle of Medieval Japan. Tuttle Publishing.
- Nowell, C.E. 1947. The Old Man of the Mountain. Speculum.
- Daftary, F. 1990. The Ismailis: Their History and Doctrines. Cambridge University Press.
- Burke, M. 2019. 36 sneaky facts about Ninja's, Japan hidden warriors.
- Gray, J. M. 2010. Holy Terror: The Rise of the Order of Assassins.
- Hodgson, M.G.S. 2005. The Secret Order of Assassins: The Struggle of the Early Nizari Isma'ilis Against the Islamic World.
- J.T.O. 2012. King of the Assassins: How History's Infamous Killer Cult Survives under a Playboy Prince of Peace.
- Lendering, J. 2017. Harmodius and Aristogeiton.
- Ninja Encyclopedia. 2015. Goshiki-Mai.
- Perry, T. 2007. Secrets of Assassin' Fort Unearthed in Syria.
- Scribol. Date Unknown. India's Infamous Thuggee Clut.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ’10 Perkara Mengenai Assassins Yang Anda HarusTahu’
- Get link
- X
- Other Apps






