- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
DHWTY. (17 Mar 2015). 47 Ronin: The Samurai Warriors that Sought to Avenge the
Death of their Master. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-asia/47-ronin-samurai-warriors-sought-avenge-death-their-master-002781
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-asia/47-ronin-samurai-warriors-sought-avenge-death-their-master-002781
Penterjemah:
A.D. Alexander
Samurai Jepun tidak dapat dinafikan lagi merupakan
salah satu pahlawan terhebat dalam sejarah. Kod etika mereka diromantiskan dan
dipopularkan pada penghujung abad ke-19 di dalam sebuah buku karangan Inazo
Nitobe yang berjudul Bushido: The Soul of Japan. Di dalam buku tersebut,
Nitobe telah menggariskan lapan kuncil nilai Bushido (bermaksud ‘jalan
pahlawan’) – keadilan, keberanian, belas kasihan, kesopanan, kejujuran dan
keikhlasan, kehormatan, kesetiaan dan kawalan diri. Intipati Bushido dimanifestasikan
dalam salah satu kisah paling masyhur tentang samurai – iaitu 47 Ronin.
![]() |
| Gambar Samurai Jepun dalam baju perisai, 1860 |
47 Ronin adalah sebuah kisal berkenaan insiden
Genroku Ako, sebuah peristiwa bersejarah yang berlaku di Jepun pada awal abad
ke-18. Kisah ini bermula pada tahun 1701M, ketika Maharaja Higashiyama
menghantar perutusan diraja di singgahsananya, Kyoto ke istana shogun Tokugawa
Tsunayoshi di Edo.
Semasa kunjungan perutusan tersebut, dua orang daimyo muda
(raja feudal Jepun), bernama Asano Naganori dari Ako dan Kamei Sama dari
Tsumano sedang melaksanakan Sankin-kotai (sembah kehadiran) di kediaman shogun.
Oleh kerana itu, dua orang daimyo tersebut diberikan tugasan untuk
melindungi perutusan tersebut sepanjang mereka berada di Edo. Pegawai yang ditugaskan
untuk melatih Asano dan Kaimei dalam etika istana adalah ketua pegawai
protocol, Kira Yoshinaka.
Kira digambarkan sebagai seorang pegawai yang tamak
dan korup, sering meminta rasuah daripada dua orang daimyo tersebut.
Namun, Asano dan Kamei enggan memberikannya sekaligus menyebabkan mereka
dilayan dengan buruk oleh Kira. Sehingga suatu saat, Kamei tidak dapat lagi
bertahan dengan penghinaan yang dilakukan oleh Kira dan cuba untuk membunuhnya.
Walau bagaimanapun, kejadian tersebut dapat dielakkan apabila para pengawal
Kamei secara rahsia merasuah Kira dengan sejumlah wang yang besar. Sebagai
balasam, Kamei diperlakukan dengan baik oleh Kira sambil Asano terus dilayan
dengan buruk.
Kesabaran Asano tidak dapat bertahan lagi apabila
Kira menghinanya dengan memanggil beliau sebagai seorang ‘budak bajingan yang
kurang ajar’ di Istana Edo. Asano pun lantas menghunus wakizashi (pedang
pendek) miliknya dan menyerang kepala Kira sebelum perbuatannya itu dihentikan
oleh para pengawal Shogun. Walaupun Kira hanya mengalami luka ringan, menghunus
pedang dalam kawasan Istana Edo dan mencederakan seorang pegawai Keshogunan
merupakan satu kesalahan yang berat.
Sebagai hukuman, Asano diarahkan untuk melakukan seppuku
(ritual pembunuhan diri) sementara seluruh ahli keluarganya dimalukan,
istananya dirampas dan pengawal-pengawal samurai bawahannya dibubarkan
sekaligus menjadikan mereka sebagai ronin (samurai tidak bertuan).
![]() |
| Tangkap layar samurai Ronin dari filem Universal Picture ’47 Ronin’ |
Ketua bagi seluruh orang bawahan Asano merupakan
seorang samurai yang bernama Oishi Kuranosuke. Beliau berazam untuk menuntut
bela atas kematian tuan mereka walaupun jelas sekali tindakan tersebut
melanggar undang-undang. Untuk mencapai matlamatnya itu, beliau secara rahsia
membentuk sebuah kumpulan yang terdiri daripada 47 orang ronin setia
yang telah bersumpah untuk membunuh Kira walau apa pun yang terjadi.
Memandangkan Kira memperkuatkan pertahanan kediamannya dan meningkatkan jumlah
pengawalnya kerana takut bekas-bekas samurai bawahan Asano akan membalas
dendam, maka 47 orang ronin tersebut terpaksa menangguhkan pergerakan
mereka buat seketika. Seiring peredaran masa, Kira pun melonggarkan
pertahanannya rentetan tiada sebarang cubaan utnuk membunuhnya sekaligus beliau
beranggapan bahawa ronin-ronin tersebut tidak lagi berhasrat untuk
membunuhnya.
![]() |
| Oishi Kuranosuke, ketua 47 Ronin |
Akhirnya, pada tanggal 14 Disember 1702M, kesemua ronin
tersebut berkumpul di Honjo yang berlokasi berhampiran Edo dan bersiap-sedia
untuk melancarkan serangan. Salah seorang daripada mereka diutus ke Ako sebelum
serangan dilakukan bagi tujuan menyampaikan rancangan mereka itu kepada mereka.
Kemudian, ronin-ronin tersebut membentuk dua buah pasukan di mana
pasukan yang pertama dirancang akan menyelinap ke dalam kediaman Kira dari arah
belakang manakala pasukan kedua akan menyerang dari hadapan.
Walaupun ramai pengawal Kira terbunuh ataupun
tercedera, mereka masih mampu memberikan tentangan yang kuat dan bahkan berjaya
membunuh salah seorang ronin tersebut. Tetapi, semangat tersebut tidak
dimiliki oleh Kira dan beliau hanya menyembunyikan diri. Setelah satu jam
melakukan pencarian, ronin-ronin itu berhasil menemukan Kira dan
menawarkan kepadanya supaya melakukan seppuku dan mati secara terhormat.
Namun, Kira dikatakan terlalu bersikap pengecut untuk melakukan ritual sebegitu
lantas beliau dipancung oleh Oishi.
![]() |
| Ronin sedang menyerang kediaman Akira, lukisan oleh Hokusai |
Selepas membawa kepala Kira ke makam Asano yang
terletak di Kuil Sengaku-ji dan mempersembahkannya kepada tuan mereka, kesemua ronin
yang masih terselamat itu menyerah diri kepada pihak berkuasa. Mereka
kemudiannya diarahkan supaya melakukan seppuku dan jasad mereka
dikebumikan berhampiran makam Asano di Kuil Sengaku-ji.
Nama baik para ronin ini diabadikan dalam
lipatan sejarah Jepun dan merentas masa, makam mereka menjadi tempat kunjungan
yang popular. 47 orang ronin ini juga terus dikenang menerusi budaya pop
dan berkurun-kurun lamanya kisah mereka diadaptasikan ke dalam pelbagai media
seperti kabuki (drama tarian Jepun), bunraku (wayang boneka
Jepun), buku, televisyen serta filem dan yang terkini, filem aksi Hollywood
berjudul ’47 Ronin’.
SUMBER
- Nitobe, I., 1905. Bushido, The Soul of Japan, An Exposition of Japanese Thought. New York: G. P. Putnam's Sons.
- Smith, H. D. I., 1990. Rethinking the Story of the 47 Ronin: Chūshingura in the 1980s.
- Szczepanski, K., 2015. The 47 Ronin.
- 47 Ronin. 2015. Tragedy in Edo Castle.
- Samurai Archives. 2015. The 47 Ronin.
- Shitoryu. 2015. The Story of the 47 Loyal Ronin.
- Get link
- X
- Other Apps




