- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (15 Jun 2017). From Slave to Sultan: Baibars I – The Slave Warrior
Who Fought His Way to the Top. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/slave-sultan-baibars-i-slave-warrior-who-fought-his-way-top-008242
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/slave-sultan-baibars-i-slave-warrior-who-fought-his-way-top-008242
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Baibars I merupakan
seorang Sultan yang sangat diingati terutama kerana kepemimpinannya,
lebih-lebih lagi semasa memerangi Tentera Salib dan Mongol di samping kemahiran
diplomatiknya yang tidak kurang hebat. Beliau sering dianggap sebagai Sultan
Mamluk paling terkenal yang memerintah Mesir dan Syria pada Zaman Pertengahan.
Baibars I (juga dieja
sebagai Baybars) merupakan Sultan Mamluk ke-4 yang memerintah Mesir dan Syria.
Beliau secara umum dianggap oleh sejarahwan sebagai pengasas Dinasti Bahri.
Tambahan lagi, Baibars juga bertanggungjawab memperluas sempadan Kesultanan
Mamluk menerusi kempen-kempen ketenteraan dan diplomatik yang dilancarkannya.
![]() |
| Ilustrasi moden yang menggambarkan Sultan Baibars |
BAIBARS BERKHIDMAT
KEPADA SULTAN
Nama penuh Baibars
adalah al-Malik al-Zahir Rukn al-Din Baibars al-Bunduqdar dan beliau dilahirkan
di Kipchak Turk yang terletak di pantai utara Laut Hitam. Sekitar tahun 1242M,
Kipchak Turk diserang oleh Mongol dan Baibars sendiri menjadi salah seorang
tawanan perang yang dijual sebagai hamba.
Beliau kemudiannya
dibeli oleh Sultan al-Salih Najm al-Din bin Ayyub, pemerintah Ayyubiah yang
menguasai Mesir dan Syria. Baibars dihantar menjalani latihan ketenteraan di
sebuah pulau di Nil, bersama hamba-hamba baru yang lain. Dalam sesi latihannya
itu, Baibars memperagakan kekuatan tempur yang luar biasa dan menjelang
kemerdekaannya, beliau dilantik sebagai komander bagi sebuah pasukan pengawal
peribadi sultan.
BAIBARS NAIK TAKHTA
Pada tahun 1249M, Perang
Salib ke-7 yang diketuai oleh Raja Perancis, Louis IV berlangsung di Damietta,
Mesir. Kota pelabuhan itu tumbang pada bulan Jun dan pihak Salib kemudiannya
melanjutkan kemaraan ke Kaherah pada bulan November, sekitar masa sampainya
khabar berkenaan kemangkatan as-Salih Ayyub.
Walau bagaimanapun,
Tentera Salib ditakdirkan tidak berjaya menakluk Mesir dan pada Februari 1250M,
mereka dikalahkan secara muktamad dalam Pertempuran al-Mansurah. Salah seorang
komander Ayyubiah dalam pertempuran tersebut tidak lain tidak bukan adalah
Baibars, di mana pertempuran tersebut merupakan kemenangan besar pertamanya
sebagai seorang komander tentera.
![]() |
| Pertempuran al-Mansurah serta Louis IV dan Ysembart le Queu |
Bagi Dinasti Ayyubiah,
as-Salih Ayyub dianggap sebagai sultan hebat yang terakhir bagi mereka, yang
dengan penuh berpengaruh memerintah Mesir dan Syria. Pewaris beliau yang
bernama al-Muazzam Turanshah hanya sempat memerintah dalam tempoh yang singkat
sebelum dibunuh oleh para Mamluk. Setelah Dinasti Ayyubiah digulingkan di
Mesir, kaum Mamluk pun menaiki kerusi kuasa.
Sultan Mamluk yang
pertama adalah Aybak, seorang individu yang sememangnya mempunyai pertegangan
hubungan dengan Baibars. Oleh kerana itu, Baibars mengambil keputusan untuk
membawa diri ke Syria dan menetap di sana selama bertahun-tahun.
Pada tahun 1260M,
Baibars dijemput untuk kembali ke Mesir oleh Sultan Mamluk ke-3, Qutuz. Pada
tahun yang sama, Mongol melakukan persiapan untuk menyerang Mesir. Konflik di
antara dua kuasa itu memuncak dalam Pertempuran Ain Jalut yang berlangsung di
Lembah Jezreel, Palestin. Dalam pertempuran ini, Baibars berperanan sebagai
komander pasukan hadapan Mamluk dan berjaya membuktikan dirinya sebagai
panglima yang gagah. Mamluk secara muktamad berhasil menewaskan Mongol walaupun
Qutuz sendiri tidak sempat meraikan kemenangannya itu dengan lebih lama. Dalam
perjalanan pulang ke Mesir, beliau dibunuh oleh sekumpulan pengkomplot yang
diketuai oleh Baibars.
![]() |
| Baibars di medan tempur |
KEMPEN KETENTERAAN DAN
DIPLOMATIK SEBAGAI SULTAN
Berikutan kemangkatan
Qutuz, Baibars diangkat sebagai Sultan Mamluk yang seterusnya. Salah satu
impian Baibars sebagai seorang sultan adalah melancarkan perang suci menentang
saki-baki tentera salib di Syria dan mengusir mereka dari tanah itu, bagi
meneladani idolanya, Salahudin. Baibars lantas menguatkan kedudukan tentera
Mamluk di Syria dan menyerang pihak Salib sejak tahun 1265 hingga tahun 1271M.
Satu demi satu kubu Salib yang berbaki, termasuklah Arsuf, Jaffa dan Antioch
tumbang ke tangan Mamluk.
![]() |
| Imej yang menggambarkan Sultan Baibars I |
Walaupun pihak Salib
tetap mengekalkan penguasaan kecil mereka di Levant (wilayah Tripoli misalnya
dikuasai oleh mereka sehingga tahun 1289), kempen-kempen yang dilancarkan oleh
Baibars ini secara umum menandakan berakhirnya pengaruh Salib sebagai pemain
besar dalam politik di rantau tersebut. Selain pihak Salib, Baibars turut
melancarkan kempen ketenteraannya itu bagi menentang Mongol, Armenia, Kristian,
Makuria di Nubia dan ramai lagi saki-baki pengamal aliran Hashshashin.
![]() |
| Tumbangnya Tripoli ke tangan Mamluk pada April 1289. Pertempuran ini menamatkan Perang Salib |
Walaupun Baibars
dikenali sebagai seorang komander tentera yang gagah, beliau juga berupaya
menggunakan diplomasi dalam berhadapan dengan kuasa-kuasa luar. Misalnya,
beliau berjaya mengekalkan hubungan baik dengan Empayar Byzantine. Selain itu,
perjanjian perdagangan di antara Mesir dengan beberapa negara asing seperti
Aragon, Leon dan Castile juga ditandatangani semasa tempoh pemerintahan Baibars.
![]() |
| Syiling di zaman pemerintahan Sultan Baibars |
URUSAN DALAM NEGARA DAN
KEMANGKATAN SULTAN BAIBARS
Baibars juga memiliki
keupayaan yang setara dalam menguruskan hal-ehwal dalaman negara. Di antara
pencapaian pentingnya dalam aspek ini adalah penubuhan khidmat pos laju di
antara Kaherah dan Damsyik di samping melantik empat orang ketua hakim bagi
mewakili perundangan dalam keempat-empat mazhab Islam. Selain itu, beliau turut
menjalankan pembinaan dan pembaikpulihan infrastruktur penting seperti terusan
dan pelabuhan.
![]() |
| Orang ramai di jalanan, dengan Masjid Sultan Baibars sebagai latar belakang, Kaherah, Mesir |
Pemerintah Mamluk yang
hebat ini mangkat di Damsyik pada tahun 1277M. Menurut beberapa sumber,
kemangkatan Baibars merupakan satu kesilapan atau kecuaian yang sangat besar –
beliau dipercayai meminum secawan racun yang ditujukan untuk orang lain. Tempat
persemadiannya ditemukan di bawah kubah Perpustakaan al-Zahiriyah di Damsyik,
perpustakaan yang diasaskan sendiri penubuhannya oleh beliau.
![]() |
| Tugu peringatan Sultan Baibars |
SUMBER
- Dunn, J., 2017. Baybars al-Bunduqdari, The First Great Slave Ruler of Egypt.
- LookLex Encyclopaedia, 2017. Baybars 1.
- Rabie, H. M., 2017. Baybars I.
- Sterling, D., 2015. The Battle of Al Mansourah and the Seventh Crusade, 1251.
- Szczepanski, K., 2016. The Battle of Ayn Jalut.
- The Crusades Reference Library, Encyclopedia.com, 2005. Baybars, Al-Zahir.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Baibars – Hamba Yang Menjadi Sultan’
- Get link
- X
- Other Apps









