- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Babur (Zahir-ud-din Muhammad; 14 Februari 1483 – 26 Disember 1530) merupakan pengasas Empayar Mughal di India. Keturunannya, iaitu maharaja-maharaja Mughal berjaya meneruskan kekuasaan empayar yang luas tersebut dan bertahan sehingga tahun 1868M. Pengaruhnya masih terus membentuk kebudayaan India sehingga ke hari ini.
Kallie Szczepanski. (9 Mac 2019). Biography of Babur, Founder of the Mughal
Empire. ThoughtCo.
https://www.thoughtco.com/babur-founder-of-the-mughal-empire-195489
https://www.thoughtco.com/babur-founder-of-the-mughal-empire-195489
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Babur (Zahir-ud-din Muhammad; 14 Februari 1483 – 26 Disember 1530) merupakan pengasas Empayar Mughal di India. Keturunannya, iaitu maharaja-maharaja Mughal berjaya meneruskan kekuasaan empayar yang luas tersebut dan bertahan sehingga tahun 1868M. Pengaruhnya masih terus membentuk kebudayaan India sehingga ke hari ini.
Babur sendiri merupakan
seorang yang berketurunan kehormat. Daripada sebelah bapa, beliau merupakan
seorang Timurid dan berketurunan Turki-Parsi dari jalur Timurlane. Sementara
daripada sebelah ibu pula beliau berketurunan Genghis Khan.
FAKTA RINGKAS BABUR:
- Dikenali
kerana: Babur menakluk sub-benua India dan mengasaskan
Empayar Mughal
- Juga dikenali sebagai: Zahir-ud-din Muhammad
- Tarikh
lahir: 14 Februari 1483 di Andijan, Empayar Timurid
- Putera
kepada: Umar Sheikh Mirza dan Qutlaq Nigar Khanum
- Tarikh
kemangkatan: 26 Disember 1530 di Agra, Empayar
Mughal
- Pasangan:
Aisha Sultan Begum, Zaynab Sultan Begum, Masuma Sultan Begum, Maham Begum,
Dildar Begum, Gulnar Aghacha, Gulrukh Begum, Mubarika Yousefzai
- Zuriat:
17 orang
KEHIDUPAN AWAL BABUR
Zahir-ud-din Muhammad
atau nama timangannya, ‘Babur’ yang bermaksud ‘singa’ dilahirkan dalam sebuah
keluarga bangsawan Timurid di Andijan (kini Uzbekistan) pada tanggal 14
Februari 1483 Masihi. Bapanya, iaitu Umar Sheikh Mirza merupakan Emir Ferghana
sementara ibunya yang bernama Qutlaq Nigar Khanum merupakan puteri kepada
seorang raja Moghul, iaitu Yunus Khan.
Menjelang waktu
kelahiran Babur, saki-baki warga keturunan Monggol yang berada di bahagian
barat Asia Tengah telah berkahwin campur dengan masyarakat Turki dan Parsi lalu
berasimilasi dengan budaya setempat. Mereka sangat dipengaruhi oleh Parsi
(menggunakan bahasa Farsi sebagai bahasa rasmi) dan memeluk agama Islam.
Kebanyakan mereka cenderung pada aliran Sufi dalam Sunni Islam.
MEWARISI KEDUDUKAN
SEBAGAI EMIR FERGHANA
Pada tahun 1494 Masihi,
Emir Ferghana mangkat secara tiba-tiba. Maka, Babur yang ketika itu masih
berusia 11 tahun pun menaiki takhta bagi menggantikan bapanya. Walau
bagaimanapun, kedudukannya itu sama sekali jauh dari keadaan yang selamat memandangkan
beberapa orang ayah saudara dan sepupunya berkomplot untuk merampas kuasa.
Menyedari bahawa
penyerangan yang baik merupakan langkah pertahanan yang baik, maka emir muda
itu pun berangkat keluar bagi memperluaskan wilayah naungannya. Menjelang tahun
1497M, beliau menakluk Jalan Sutera di pekan oasis Samarkand.
Namun semasa beliau
sedang disibukkan dengan kempen tersebut, ayah saudara serta pegawai
kehormatnya yang lain melancarkan pemberontakan di Andijan. Sebaik sahaja Babur
pulang untuk mempertahankan kubunya itu, beliau sekali lagi kehilangan
Samarkand.
Pun begitu, emir muda
yang bersemangat waja itu berjaya menguasai semula kedua-dua buah kota itu
menjelang tahun 1501M. Tidak lama kemudian, pemerintah Uzbek yang bernama
Shaibani Khan mencabar Babur dalam pemilikan kuasa ke atas Samarkand sekaligus
menewaskan emir muda itu. Peristiwa tersebut menjadi titik penamat kepada
pemerintahan Babur ke atas wilayah tinggalan bapanya – sebuah wilayah yang kini
dikenali sebagai Uzbekistan.
MEMBAWA DIRI KE AFGHANISTAN
Sepanjang tiga tahun
lamanya, Babur yang kini tidak memiliki pusat pemerintahan keluar merantau di
Asia Tengah dan cuba untuk menarik seramai mungkin pengikut bagi membantunya
dalam usaha merampas kembali takhta yang ditinggalkan oleh bapanya.
Pada tahun 1504M,
beliau dan pasukan kecilnya bergerak ke arah tenggara dan mara ke pergunungan
Hindu Kush yang diselaputi salji bagi menuju Afghanistan. Ketika berusia 21
tahun, Babur melancarkan pengepungan ke atas Kabul dan berjaya menakluknya.
Kabul lantas dijadikan sebagai tapak bagi kerajaannya yang baru.
Didorong oleh sikapnya
yang optimis, Babur mengadakan persepakatan dengan pemerintah-pemerintah Herat
dan Parsi lalu cuba untuk merampas kembali Ferghana pada rentang waktu antara
tahun 1510 hingga 1511M. Namun sekali lagi, kekuatan Uzbek itu berjaya menewaskan
tentera Moghul dan mengusir Babur kembali ke Afghanistan.
JEMPUTAN UNTUK MENGGULINGKAN
SULTAN LODI
Bagaikan pucuk dicita,
ulam mendatang, pada tahun 1521M, Babur dihidangkan dengan sebuah peluang yang
membolehkannya melakukan penaklukan ke wilayah selatan. Rakyat Kesultanan Delhi
mula membenci pemerintah mereka yang bernama Ibrahim Lodi.
Mana tidaknya? Beliau
telah merombak barisan pegawai istana dan tentera lalu melantik para
penyokongnya sendiri bagi menggantikan pegawai lama. Beliau malah mengerah
golongan bawahan dengan penuh zalim. Selepas diperintah oleh Sultan Lodi hanya
selama empat tahun, pembesar-pembesar Afghan berputus-asa terhadapnya dan
sebaliknya menjemput Babur untuk datang ke Kesultanan Delhi agar menghapuskan
pemerintah tirani itu.
Sudah tentu jemputan
ini sangat menggembirakan Babur yang lekas sahaja memberikan persetujuan.
Beliau kemudian menghimpunkan pasukan tentera dan melancarkan pengepungan ke
atas Kandahar. Citadel Kandahar berjaya dipertahankan dalam tempoh masa yang
lebih lama berbanding jangkaan Babur.
Namun seiring peredaran
waktu, pengepungan yang dikenakan itu mendorong pegawai-pegawai penting dari
Kesultanan Delhi sepeti Alam Khan, iaitu pakcik Sultan Lodi sendiri beserta
gabenor Punjab untuk berpihak kepada Babur.
PERTEMPURAN PANIPAT
PERTAMA
Lima tahun kemudian,
Babur akhirnya melancarkan serangan habis-habisan ke atas Kesultanan Delhi
menjelang bulan April 1526M. Pasukannya yang berjumlah seramai 24 000 orang –
kebanyakannya kavalri – berhadapan dengan kekuatan Sultan Ibrahim Lodi yang
berjumlah sehingga 100 000 orang tentera berserta 1000 ekor gajah perang.
Walaupun pasukan Babur jauh lebih kecil berbanding lawannya, beliau memiliki
kelebihan yang tidak dipunyai oleh Lodi – iaitu senjata api.
Kelangsungan
pertempuran yang dikenali sebagai Pertempuran Panipat Pertama ini menandakan
detik kejatuhan Kesultanan Delhi. Menerusi kelebihan taktikal dan pemilikan senjata
api, Babur berjaya menghancurkan bala tentera Sultan Ibrahim Lodi. Sultan
sendiri terkorban bersama 20 000 orang tenteranya. Kejatuhan Lodi itu menjadi
titik mula kepada bangunnya Empayar Mughal (juga dikenali sebagai Empayar
Timurid) di India.
PERANG RAJPUT
Babur dengan pantas
meraih sokongan saudara-saudara Muslim dari Kesultanan Delhi yang memperakui
pemerintahannya. Namun, putera-putera Rajput yang kebanyakannya beragama Hindu
tidak mudah untuk ditundukkan. Sedikit berbeza dengan Timur si moyangnya, Babur
mendedikasikan dirinya kepada impian untuk membina sebuah empayar yang
berkekalan di India. Beliau tidak berhajat untuk menjadi seorang panglima yang
gagah membuat serangan semata-mata. Babur membina ibu kota pemerintahannya di
Agra. Pemerintahannya menerima tentangan hebat daripada putera-putera Rajput.
Dengan anggapan bahawa
tentera Mughal pimpinan Babur telah melemah sejak pulang dari Pertempuran
Panipat, putera-putera Rajputana pun menghimpunkan sebuah angkatan tentera yang
saiznya lebih besar berbanding pasukan Lodi sebelum ini. Mereka kemudian mara dari
Mewar dengan dipimpin oleh Rana Singam.
Namun pada bulan Mac
1527M, pasukan tentera Babur berjaya menewaskan bala gergasi itu dalam
Pertempuran Khanwa. Pun begitu, kekalahan tersebut tidak begitu menggoyahkan
kedudukan Rajput dan pertempuran demi pertempuran terus berlaku selama beberapa
tahun di wilayah utara dan timur empayar pimpinan Babur.
KEMANGKATAN BABUR
Pada musim luruh tahun
1530M, Babur jatuh gering. Iparnya berkomplot bersama beberapa orang pegawai
kehormat Mughal untuk merampas takhta selepas kemangkatan Babur. Mereka
berhasrat untuk mengenepikan Humayun yang merupakan putera sulung merangkap
pewaris takhta Babur. Disebabkan itu, Humayun bergegas pulang ke Agra untuk
mempertahankan haknya sebagai pewaris namun tidak lama kemudian, beliau sendiri
jatuh sakit. Menurut legenda, Babur merintih dan merayu kepada Tuhan agar
membelas-kasihani nyawa Humayun dan mengambil nyawanya sebagai galang ganti.
Maka pada tanggal 26
Disember 1530M, Babur mangkat pada usia 47 tahun. Humayun yang pada waktu itu
berusia 22 tahun mewarisi empayar bapanya yang kini sudah mula melemah akibat
dikelilingi oleh musuh dari dalam dan luar.
Sama seperti perjalanan
hidup yang dilalui oleh bapanya di awal usia, Humayun juga bakal kehilangan
kuasa dan terpaksa membawa diri ke wilayah asing. Hanya beberapa tempoh
kemudian barulah beliau meraih hak pemerintahannya. Menjelang akhir hayatnya,
Humayun memperkukuh dan memperluaskan empayarnya yang kemudian meniti masa-masa
perdana di bawah pemerintahan puteranya, iaitu Akbar yang Agung.
LEGASI BABUR
Babur menjalani kehidupan
yang sukar. Beliau seringkali menghadapi kecamuk pertempuran demi memperkukuhkan
kedudukannya. Walau bagaimanapun, beliau pada akhirnya berhasil menanam benih
salah satu empayar terhebat di dunia. Babur merupakan seorang penyair dan
petani yang rajin. Keturunannya mengembangkan segala seni hingga tahap
tertinggi semasa pemerintahan mereka yang berlangsung agak lama. Empayar Mughal
bertahan sehingga tahun 1868M dan hanya berakhir setelah jatuh kepada koloni British
Raj.
SUMBER
- Moon, Farzana. “Babur: the First Moghul in India.” Atlantic Publishers and Distributors, 1997.
- Richards, John F. “The Mughal Empire.” Cambridge University Press, 2012.
- Get link
- X
- Other Apps
