BIOGRAFI ZHU DI, MAHARAJA YONGLE

Pautan ke artikel asal:
Kallie Szczepanski. (14 Mac 2019). Biography of Zhu Di, China’s Yongle Emperor. ThoughtCo.
https://www.thoughtco.com/the-yongle-emperor-zhu-di-195231

Penterjemah: Amir Zayyanid


Zhu Di (2 Mei 1360 – 12 Ogos 1424) yang juga dikenali sebagai Maharaja Yongle, merupakan pemerintah ketiga dalam Dinasti Ming. Beliau memulakan beberapa siri projek besar, antaranya adalah projek memanjang dan melebarkan Terusan Besar (Grand Canal) yang berfungsi sebagai jalan laut. 

Hal ini bagi memudahkan kerja-kerja membawa bijirin dan barangan lain dari selatan Cina ke Beijing. Zhu Di juga membina Kota Larangan (Forbidden City) dan mengetuai sejumlah serangan ke atas Monggol yang sering mengancam perbatasan barat Ming.


FAKTA RINGKAS ZHU DI
  • Dikenali kerana: Zhu Di merupakan maharaja ke-tiga bagi dinasti Ming
  • Juga dikenali sebagai: Maharaja Yongle
  • Tarikh lahir: 2 Mei 1360 di Nanjing, China
  • Putera kepada: Zhu Yuanzhang dan Maharani Ma
  • Tarikh kemangkatan: 12 Ogos 1424 di Yumuchuan, Cina
  • Pasangan: Maharani Xu
  • Zuriat: 9 orang


KEHIDUPAN AWAL ZHU DI

Zhu Di dilahirkan pada tanggal 2 Mei 1360M dan merupakan putera kepada pengasas Dinasti Ming, Zhu Yuanzhang dan seorang wanita yang tidak dikenali namanya. Walaupun catatan rasmi merekodkan bahawa ibunda beliau ialah Maharani Ma, namun khabar angin menyebutkan bahawa ibunda kandungnya ialah gundik Zhu Yuanzhang yang berasal dari Korea atau Mongolia.

Menurut sumber Ming, sejak usia yang muda lagi Zhu Di sudah membuktikan dirinya sebagai seorang yang berkebolehan dan lebih gagah berbanding abangnya, Zhu Biao. Namun menurut ajaran Confucius, anak yang lebih tua itu lebih layak mewarisi takhta dan pelanggaran ke atas hal ini akan membawa kepada berlakunya perang saudara.

Setelah membesar sebagai seorang remaja, Zhu Di ditabalkan sebagai Putera Yan dengan pusat pemerintahannya terletak di Beijing. Berbekalkan kekuatan tentera yang ampuh serta sifatnya yang agresif, Zhu Di berhasil mempertahankan perbatasan utara Cina daripada serangan Monggol. Pada usia 16 tahun, beliau mengahwini seorang gadis berusia 14 tahun yang merupakan anak kepada Panglima Xu Da, iaitu panglima yang memimpin pertahanan di utara.

Pada tahun 1392M, Putera Mahkota Zhu Biao tiba-tiba gering. Disebabkan itu, ayahandanya perlu memilih seorang pewaris baru – sama ada anak si Putera Mahkota, iaitu Zhu Yunwen yang masih muda remaja, atau Zhu Di yang kini telah berusia 32 tahun. Bagi meneruskan tradisi dan mentaati prinsip, Zhu Biao memilih Zhu Yunwen sebagai pewarisnya.


ZHU DI MENAIKI TAKHTA MING

Pada tahun 1398M, Maharaja pertama Ming iaitu Zhu Yuanzhang mangkat. Cucunya, iaitu Putera Mahkota Zhu Yunwen naik takhta dan memakai gelaran Maharaja Jianwen. Maharaja baru ini melaksanakan titah datuknya yang menuntut agar tidak seorang pun putera atau raja feudal dibenarkan membawa angkatan tentera semasa menghadiri upacara pengebumiannya. Hal ini disebabkan beliau khuatir akan berlaku perang saudara. Sedikit demi sedikit, Maharaja Jianwen menggugurkan wilayah kekuasaan dan tentera milik ayah-ayah saudaranya.

Antara lain tindakannya berhasil mendorong Zhu Bo, si Putera Xiang untuk membunuh diri. Dalam tempoh itu pula, Zhu Di berpura-pura sakit mental memandangkan beliau sedang merancang sebuah pemberontakan menentang anak saudaranya itu. Pada bulan Julai 1399M, beliau membunuh dua orang pegawai Maharaja Jianwen, sekaligus menjadi pembunuhan pertama dalam usaha pemberontakannya.

Sebagai tindakan susulan, Maharaja Jianwen menghantar kekuatan tentera seramai 500 000 orang bagi memerangi pasukan tentera Beijing pimpinan Zhu Di. Pada waktu itu, Zhu Di dan pasukan tenteranya sedang berada di luar kawasan. Makanya, wanita-wanita yang berada di kota itu yang tampil menahan serangan tentera imperial dengan melontar tembikar ke arah mereka hinggalah tentera Beijing pulang dan menewaskan kekuatan Maharaja Jianwen.

Pada tahun 1402M, Zhu Di membawa haluan ke selatan menuju Nanjing dan menewaskan pasukan-pasukan tentera imperial sepanjang perjalanannya. Pada tanggal 13 Julai tahun yang sama, istana diraja habis dibakar hangus sebaik beliau dan pasukannya memasuki kota. Terdapat tiga jasad yang dikenal pasti sebagai Maharaja Jianwen, maharani dan putera sulung mereka ditemui dalam sisa kebakaran tersebut. Pun begitu, terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa Zhu Yunwen terselamat dalam kebakaran itu.

Kemudian, Zhu Di menaiki takhta pada usia 42 tahun dengan memakai gelaran ‘Yongle’ yang bermaksud ‘kebahagiaan abadi’. Beliau dengan segera memberi titah agar menghukum pancung ke atas sesiapa sahaja yang menentangnya dan sesiapa sahaja yang terkait dengan penentangnya – sama ada rakan, jiran mahupun saudara. Hal ini persis seperti apa yang pernah dilakukan oleh Qin Shi Huangdi.

Beliau turut mengarahkan pembinaan sebuah armada besar bagi ekspedisi merentas laut. Sebahagian pendapat meyakini bahawa pembinaan armada tersebut bermaksud untuk mencari Zhu Yunwen, yang menurut khabar angin telah melarikan diri ke Annam, wilayah utara Vietnam atau mana-mana wilayah asing yang lain.


EKSPEDISI ARMADA KHAZANAH

Dalam tempoh masa antara tahun 1403 hingga 1407M, buruh-buruh yang berkhidmat untuk Maharaja Yongle siap membina lebih daripada 1600 buah jong pelbagai saiz. Jong-jong yang paling besar dipanggil sebagai ‘kapal-kapal khazanah’ dan armada tersebut dikenali sebagai ‘Armada Khazanah’.

Pada tahun 1405M, Armada Khazanah berangkat menuju ke Calicut, India di bawah kepemimpinan rakan lama Maharaja Yongle, iaitu Laksamana Zheng He. Hal ini sekaligus memulakan misi perlayaran pertama dari keseluruhan tujuh buah perlayaran. Semasa hayatnya, Maharaja Yongle berkesempatan menyaksikan enam buah ekspedisi laut yang dijalankan sehingga tahun 1422M. Perlayaran ketujuh pula dilancarkan oleh cucunya pada tahun 1433M.

Armada Khazanah berjaya meredah lautan sejauh pesisiran timur Afrika dan mengukuhkan kekuasaan Cina di wilayah-wilayah yang merentas Lautan Hindi. Sambil itu, ekspedisi tersebut turut mengutip ufti-ufti daripada wilayah yang dikunjungi mereka. Maharaja Yongle berharap agar kejayaan ekspedisi laut ini dapat memulihkan dan menutup kisah hitam yang menyelubungi perjalanannya sepanjang usaha meraih takhta Ming.


POLISI LUAR DAN DALAM NEGERI

Bahkan semasa Zheng He berangkat untuk melakukan perlayaran pertamanya pada tahun 1405M, Ming-Cina perlu menghadapi asakan besar yang datang dari barat. Timur si penakluk terkemuka telah menahan dan menjatuhkan hukuman bunuh ke atas sejumlah utusan Ming beberapa tahun kebelakangan ini. Beliau malah memutuskan bahawa sudah tiba masanya untuk menakluk Cina pada musim sejuk tahun 1404-1405M. Mujur tuah memihak pada Maharaja Yongle dan Cina, kerana Timur jatuh sakit dan meninggal dunia di kawasan yang kini dikenali sebagai Kazakhstan. Maka, rakyat Cina terlepas dari ancaman bahaya tersebut.

Pada tahun 1406, penguasa di wilayah utara Vietnam membunuh seorang duta Cina merangkap putera Vietnam yang melawat negara itu. Sebagai tindakan susulan, Maharaja Yongle menghantar sebuah ketumbukan tentera yang dianggotai oleh seramai setengah juta orang perajurit demi menuntut bela atas penghinaan tersebut.

Wilayah utara Vietnam kemudian ditakluk pada tahun 1407M. Namun, mereka memberontak pada tahun 1418M di bawah kepemimpinan Le Loi yang mengasaskan dinasti Le. Menjelang tahun 1424M, Cina kehilangan kuasa ke atas hampir seluruh wilayah Vietnam yang pernah ditakluknya sebelum ini.

Menjadi satu keutamaan buat Maharaja Yongle untuk menghapuskan sebarang pengaruh budaya Mongolia ke atas Cina yang berbekas di negara itu berikutan ketewasan ayahandanya kepada Dinasti Yuan yang beretnik Monggol. Menurut sejarah, beliau sempat membawa kekuatan tentera ke Tibet namun sebaliknya mengurniakan gelaran dan kekayaan kepada mereka – tidak berperang.

Selain itu, masalah pengangkutan merupakan krisis yang sejak awal lagi telah membelenggu pemerintahan Maharaja Yongle. Bijirin dan barangan lain dari selatan Cina perlu diangkut menaiki kapal di pesisiran atau diangkut dari perahu ke perahu merentas Terusan Besar (Grand Canal) yang sempit.

Untuk menyelesaikan masalah ini, Maharaja Yongle mengeluarkan titah agar Terusan Besar diperdalam, diperluas dan diperpanjangkan hingga sampai ke Beijing – satu projek yang menelan belanja yang begitu besar.

Selepas berlakunya kebakaran istana di Nanjing yang khabarnya telah mengorbankan nyawa Maharaja Jianwen dan kemudian berlaku pula satu cubaan membunuh ke atas Maharaja Yongle, maka maharaja ketiga Ming itu mengambil keputusan untuk memindahkan ibu kotanya ke Beijing di utara. Beliau membina perkarangan istana yang besar di sana dan menamakannya sebagai Kota Larangan yang hanya siap pada tahun 1420M.


KEJATUHAN MAHARAJA YONGLE

Pada tahun 1421M, isteri kesayangan Maharaja Yongle meninggal dunia pada musim bunga. Kemudian, dua orang gundik dan seorang sida-sida pula ditangkap kerana berlaku zina. Kejadian ini mendorong kepada berlakunya pembersihan besar-besaran di istana yang berakhir dengan Maharaja Yongle menjatuhkan hukuman mati ke atas ratusan atau bahkan ribuan sida-sida, gundik dan pelayan istana yang lain.

Beberapa hari kemudian, kuda yang pernah menjadi milik Timur menjatuhkan maharaja yang sedang menunggang sekaligus mengakibatkan tangannya patah. Lebih parah daripada itu, pada tanggal 9 Mei 1421M, tiga sambaran petir tepat membidik bangunan utama istana lantas mengakibatkan Kota Larangan yang baru sahaja siap itu hangus terbakar.

Dengan berat hati, Maharaja Yongle terpaksa mengurangkan cukai bijirin pada tahun itu dan berjanji untuk menghentikan kesemua ekspedisi perlayaran yang menelan belanja besar – termasuklah ekspedisi perlayanan Armada Khazanah.

Walau bagaimanapun, polisi kesederhanaan beliau ini tidak berlangsung lama. Pada hujung tahun 1421M, pemerintah Tatar Arughtai enggan membayar ufti kepada Cina. Tindakan tersebut mengundang kemurkaan Maharaja Yongle yang segera menitahkan tuntutan kepada tiga buah wilayah selatan agar membekalkan lebih sejuta bushel bijirin, 340 000 ekor haiwan dan 235 000 buah pengangkut sebagai perbekalan buat angkatan tenteranya dalam kempen serangan ke atas Arughtai.

Serangan terburu-buru ini ditentang oleh para menteri dan seramai enam orang daripada mereka dihukum penjara atau diperintah bunuh diri. Sepanjang tiga musim panas berikutnya, Maharaja Yongle melancarkan serangan tahunan ke atas Arughtai dan sekutu-kutunya. Namun, angkatan tenteranya tidak pernah berhasil menemukan kedudukan pasukan tentera Tatar.


KEMANGKATAN MAHARAJA YONGLE

Pada tanggal 12 Ogos 1424M, Maharaja Yongle yang berusia 64 tahun mangkat semasa dalam perjalanan pulang ke Beijing setelah menghadapi satu lagi kegagalan menentang Tatar. Kerandanya dihias dengan indah dan dibawa ke ibu kota secara rahsia. Maharaja Yongle kemudian dimakamkan di kawasan permakaman yang terletak di Gunung Tianshou, berjarak sekitar 20 batu dari Beijing.


LEGASI MAHARAJA YONGLE

Walaupun dikenali sebagai seorang yang kurang berpengalaman dan bersikap culas, putera sulung beliau yang pendiam dan ulat buku, iaitu Zhu Gaozhi dinamakan sebagai pewaris takhta. Dengan memakai gelaran Maharaja Hongxi, Zhu Ghaozi mengenakan beban cukai kepada rakyatnya. Beliau malah menghentikan sebarang ekspedisi perlayaran dan melantik cendekiawan-cendekiawan beraliran Confucian untuk menyandang kuasa.

Maharaja Hongxi hanya mewarisi pemerintahan bapanya selama kurang dari setahun. Putera sulungnya yang memakai gelaran Maharaja Xuande naik takhta pada tahun 1425M. Beliau menggabungkan sifat cintakan ilmu yang dimiliki oleh bapanya dengan semangat kepahlawanan datuknya.


SUMBER
  • Mote, Frederick W. “Imperial China 900-1800.” Harvard University Press, 2003.
  • Roberts, J. A. G. “The Complete History of China.” Sutton, 2003.