- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Bryan Hilliard. (11 Jun 2019). Cerberus: Legendary Hell Hound of the
Underworld. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/cerberus-legendary-hell-hound-underworld-003142
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/cerberus-legendary-hell-hound-underworld-003142
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Dalam mitologi Yunani
purba, wujud seekor anjing berkepala tiga yang dipanggil sebagai Cerberus.
Makhluk ini bertugas mengawal pintu masuk ke alam Hades, iaitu alam Neraka yang
berkabus dan suram. Di sana, roh orang-orang yang telah mati dibenarkan masuk
namun dilarang sama sekali untuk keluar. Di zaman purba, anjing sering
digambarkan sebagai haiwan liar dan gemar berkeliaran secara bergerombolan di
jalanan untuk menggeledah makanan di pinggir bandar.
Makhluk mitos bernama
Cerberus ini tidak hanya mengambil pengaruh anjing yang digeruni di zaman purba,
malah ia turut menggabungkan beberapa ekor makhluk di dalam satu badan
sekaligus membuatkannya sebagai suatu makhluk yang amat menakutkan.
CERBERUS SI PENJAGA
NERAKA YUNANI
Nama Cerberus berasal
daripada perkataan Yunani yang berbunyi ‘Kerberos’, bermaksud ‘dinampak’. Bagi
masyarakat Yunani, Cerberus merupakan seekor anjing raksasa berkepala tiga
ataupun ‘penjaga neraka’ yang berekor naga, berkulit ular dan bercakar singa.
Tiga buah kepalanya itu dianggap sebagai simbol yang mewakili masa lalu, masa
kini dan masa hadapan. Terdapat juga pendapat yang mengatakan ia adalah simbol
kepada kelahiran, masa muda dan usia tua.
Ancaman terbesar yang
dimiliki oleh Cerberus sudah tentu terletak pada penampilannya yang kelihatan
sangat menggerunkan. Betapa menggerunkannya Cerberus ini hinggakan sesiapa
sahaja yang memandangkanya akan berubah menjadi batu. Turut dikatakan bahawa
Cerberus memiliki taring yang tajam dan gigitannya pula beracun. Racun yang
menitis ke tanah akan menumbuhkan tumbuhan yang dikenali sebagai ‘wabak
serigala’.
![]() |
| Ilustrasi Cerberus si Anjing Hades. Mitologi Yunani |
IBU BAPA CERBERUS YANG
JAUH LEBIH MENGGERUNKAN
Bapa kepada Cerberus
adalah Typhon, raksasa paling kuat dan paling menggerunkan dalam mitologi
Yunani. Ia turut dipercayai sebagai salah satu dewa mereka. Typhon adalah
seekor naga yang berupaya menghembuskan api. Matanya merah menyala dan
dikatakan bahawa Typhon memiliki seratus kepala dan seratus sayap hinggakan ia
turut dgeruni oleh dewa-dewa Olympia sendiri.
Ke mana sahaja Typhon pergi, ia
akan menyebarkan ketakutan dan malapetaka ke tempat tersebut – sesuai dengan
misinya yang mahu memusnahkan dunia dan menyukarkan tugas Zeus sebagai ketua
dewa.
Ibu Cerberus pula
adalah Echidna, suatu makhluk yang berupa separuh manusia dan separuh ular.
Echidna dikenali sebagai ‘ibu segala raksasa’. Ia memiliki mata yang hitam
pekat, berkepala dan berbatang tubuh wanita yang jelita. Namun, bahagian bawah
badannya berupa ular. Masyarakat Yunani purba mempercayai bahawa Echinda
menghuni sebuah gua dan gemar mengumpan manusia dengan menggunakan tubuhnya
sebelum memakan mereka secara mentah-mentah.
CERBERUS DAN ORPHEUS
Tugas utama Cerberus
adalah sebagai pengawal Alam Neraka Yunani dan berkhidmat dengan setia kepada
Dewa Hades. Kawasan utama yang dikawalnya terletak di sepanjang tebing Sungai
Styx, iaitu sebatang sungai yang membentuk sempadan antara Alam Kehidupan
(Dunia) dan Alam Neraka. Cerberus menjaga gerbang Hades dan menghalang
orang-orang yang telah mati agar tidak keluar darinya dan menghindarkan
orang-orang yang masih hidup agar tidak memasukinya tanpa izin Hades.
Di sebatang lagi sungai
di Alam Neraka yang bernama Acheron, Cerberus turut mengawal kemasukan roh-roh
si mati namun akan membaham sesiapa sahaja yang cuba berpatah-balik dan kembali
ke Alam Kehidupan tanpa izin.
![]() |
| Charon, dikenali sebagai pembawa feri bertugas membawa roh-roh mati ke Sungai Styx dan memasuki Hades. Pelukis: Alexander Litovchenko. 1860. |
Cerberus menghiasi
sejumlah kisah mitologi sebagai seekor makhluk penjaga neraka. Dalam
mitos-mitos tersebut, terdapat juga beberapa kisah yang melibatkan beberapa
orang wira yang berjaya menundukkan Cerberus. Kejadian pertama berlaku apabila
Orpheus, seorang pemusik masyhur dalam mitologi Yunani menyelinap masuk ke Alam
Neraka dengan menidurkan Cerberus menerusi mainan alat musiknya (dikenali
sebagai lyre).
Pemusik dari kota
Thracia itu dipandang tinggi di Yunani dan beliau mengecap kebahagian apabila
berkahwin dengan pari-pari (bidadari) bernama Eurydice. Pada suatu hari,
Eurydice digigit oleh seekor ular dan meninggal dunia akibat kejadian itu. Hal
ini begitu mendukakan hati Orpheus hinggakan beliau enggan lagi bernyanyi dan
bermain musik. Beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk mengembara ke Alam
Neraka untuk cuba menyelamatkan Eurydice.
Mainan musiknya berjaya
memikat dan melembutkan hati Charon, si pembawa feri yang bertugas mengangkut
roh-roh si mati menyeberangi Sungai Styx. Charon lantas bersetuju untuk membawa
Orpheus memasuki Alam Neraka walaupun pada waktu itu Orpheus masih lagi hidup.
Semasa bertembung dengan Cerberus, raksasa berkepala tiga itu tundur dan tidur
setelah dibuaikan dengan mainan musik Orpheus. Makanya, Orpheus pun berjaya
melalui kawasan itu dengan selamat.
Hades dan isterinya,
Persephone mengurniakan keizinan kepada Orpheus untuk membawa pulang Eurydice
dengan satu syarat: Eurydice mesti berjalan di belakang Oprheus ketika mereka
menuju ke Alam Kehidupan dan Orpheus turut dilarang dari memandang Eurydice.
Ketika mereka berdua hampir tiba di permukaan Alam Kehidupan, Orpheus yang
dipenuhi rasa teruja bertindak menoleh ke belakang untuk melihat Eurydice.
Lantas,
Eurydice pun tiba-tiba berubah menjadi makhluk yang mengerikan dan ditarik
semula memasuki Alam Neraka buat selama-lamanya. Nasib malang Orpheus
berlanjutan apabila tidak lama kemudian tubuhnya dikerat oleh maenad-maenad Thracia,
iaitu wanita-wanita penyembah Dewa Dionysus.
![]() |
| Orpheus membawa Eurydice keluar dari Alam Neraka setelah memainkan lyre kepada Cerberus. Lukisan oleh Edward Poytner, 1862 |
CERBERUS MELAWAN
HERCULES
Kisah paling masyhur
berkenaan Cerberus melibatkan kehadiran separa dewa yang bernama Hercules
(Heracles). Sebagai tugas terakhir daripada 12 buah tugasan, Eurystheus, si
raja Tiryns mengarahkan supaya Hercules menangkap dan membawa pulang Cerberus
hidup-hidup. Eurystheus berasa yakin bahawa Hercules akan gagal dalam tugasan
kali ini.
Hercules lantas pergi
ke Alam Neraka dan menemui Hades. Menurut Hades, jika Hercules mampu
menundukkan Cerberus tanpa menggunakan sebarang senjata, beliau dibenarkan
untuk membawa anjing itu keluar meninggalkan Alam Neraka. Setelah itu, Hercelus
pun menemukan Cerberus di tebing Sungai Acheron. Di sana, beliau bergelut
dengan makhluk ganas itu dengan tangan kosong.
Walaupun sebagai
seorang manusia yang dianggap paling kuat di dunia, pertarungan tersebut memerlukan
Hercules mengerahkan segenap tenaganya. Lama-kelamaan, Cerberus mula kepenatan
dan kehabisan nafas apabila dicekik oleh wira Yunani itu. Cerberus lantas
tunduk kepada Hercules. Cerberus merupakan salah satu daripada beberapa ekor
makhluk yang dapat kekal hidup setelah bertembung dengan Hecules. Tetap, tidak
seperti makhluk-makhluk luar biasa lain, Cerberus masih dapat pulang dengan
selamat ke Hades di mana ia terus menyambung tugasnya sebagai pengawal gerbang
masuk ke Alam Neraka.
![]() |
| Hercules menangkap Cerberus dari Neraka |
CERBERUS DAN
PENJAGA-PENJAGA NERAKA DALAM KEBUDAYAAN LAIN
Nama Cerberus tercantum
dalam banyak karya sastera so;a, walaupun gambaran mengenai makhluk ini sering
berbeza dalam pelbagai budaya dan penulis. Dalam karya Dante yang berjudul Inferno,
Cerberus dicatatkan sebagai anjing yang mengawal lingkungan (tingkat) neraka
yang ketiga dan bukannya keseluruhan Alam Neraka. Tingkat yang dimaksudkan
tersebut adalah tingkat pelahap dan Cerberus juga dijadikan sebagai
personafikasi selera yang tak terkawal, di dalam karya itu.
Dalam sejumlah karya
sastera Rom pula, Cerberus muncul dalam beberapa karya masyhur seperti karya
Virgil yang berjudul Aenid. Kisah yang melibatkan Orpheus dan Cerberus
ini turut tercantum dalam karya Plato yang berjudul Symposium dan karya
Homer yang berjudul Illiad.
Mitologi Norse turut
mempunyai suatu makhluk yang mirip dengan Cerberus. Dalam mitologi tersebut,
Alam Neraka dipercayai dikawal oleh seekor anjing bermata empat yang bernama
Garm. Di Mesir, Cerberus mungkin ditampilkan sebagai Anubis, iaitu anjing yang
melindungi makam dan bertugas membawa roh si mati ke Alam Neraka.
Sebahagian penulis
seperti penyair Yunani yang bernama Hesiod dan Horace mendakwa bahawa Cerberus
memiliki sebanyak 50 atau 100 kepala. Dalam catatan lain, turut dikatakan
bahawa Cerberus ini adalah gabungan antara singa, anjing dan serigala.
Budaya pop juga tidak
tinggal dari menghasilkan sebuah karakter yang berinspirasikan daripada
Cerberus di mana makhluk ini muncul dalam filem Harry Potter, The
Philosopher’s Stone sebagai Fluffy. Dalam filem tersebut, Fluffy ditidurkan
oleh alunan seruling yang dimainkan oleh Harry Potter, mirip dengan kisah
Orpheus.
![]() |
| Anjing berkepala tiga, Cerberus |
SUMBER
- Lindemans, Micha F. "Cerberus." March 30, 2001.
- "CerberusPronounced As: Sûrbrs." Cerberus: Mythical Creatures of Legend and Folklore, Myth Beast, Mythology Legends.
- "Cerberus, the Guardian of Hades." Greek Myths Greek Mythology.
- "Cerberus." Cerberus.
- "Cerberus." - Conservapedia.
- "Cerberus." Greek Mythology Wiki.
- "Cerberus of Greek Mythology - The 3-headed Hound of Hell." Cerberus of Greek Mythology - The 3-headed Hound of Hell.
- "Monsters & Creatures » Typhon, the Monstrous Opponent of Zeus." Greek Monsters-Typhon, the Monstrous Child of Mother Earth Gaea.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Ceberus – Anjing Kepala Tiga Penjaga GerbangNeraka’
- Get link
- X
- Other Apps





