- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Manu S. Pillai. (5 April 2019). Chand Bibi: The Warrior Queen of the Deccan.
Live Mint.
https://www.livemint.com/mint-lounge/features/chand-bibi-the-warrior-queen-of-the-deccan-1554435961542.html
https://www.livemint.com/mint-lounge/features/chand-bibi-the-warrior-queen-of-the-deccan-1554435961542.html
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Sultan Ali Adil Shah I
dari Bijapur merupakan seorang lelaki yang menjalani hidup yang sangat mewah
dan meriah. Beliau merupakan seorang Muslim yang taat dan juga merupakan anak
angkat kepada pemerintah Vijayanagara yang menganut agama Hindhu. Pun begitu,
hubungan tersebut tidak menghalang berlakunya peperangan di antara kedua belah
pihak pada tahun 1565M.
Sultan Ali adalah
seorang penggemar seni dan makanya pada zaman pemerintahan beliau, Bijapur menghasilkan Nujum al-Ulum –
sebuah manuskrip ilustrasi Parsi yang memuatkan banyak hasil seni, daripada
malaikat berkepala lembu hinggalah lukisan halwa dan serbat.
Sultan Ali memiliki 80
000 orang tentera berkuda di bawah kepemimpinannya dan beliau tidak pernah lupa
untuk turut membawa bersama buku semasa mengetuai mereka ke medan perang.
Benderanya gah dikibarkan oleh ratusan kapal yang berlayar di lautan sambil di
pelabuhan-pelabuhan yang jauh, para penyair mendendangkan syair pujian
untuknya. Tambah menarik lagi bagi sosok yang bernama Sultan Ali ini, beliau
memiliki citarasa tersendiri apabila berkait dengan pemakanan – dicatatkan
bahawa beliau mengambil sekurang-kurangnya 12 biji telur pada setiap pagi
sebagai hidangan sarapan.
Sekitar tahun 1580M,
Sultan Ali menemui Penciptanya. Beliau dibunuh oleh dua orang sida-sidanya pada
suatu malam dengan ditikam menggunakan pisau pendek. Kejadian ini membuatkan
kerusi takhta Bijapur kosong tanpa pemerintah. Sultan Ali tidak mempunyai
putera. Oleh kerana itu, anak saudaranya yang masih muda ditabalkan sebagai
pewaris takhta.
Pun begitu, kuasa
sebenar terus berpindah tangan dari seorang ke seorang selama bertahun-tahun –
dua orang daripadanya menemui pengakhiran yang tragis – sebelum kestabilan pada
akhirnya kembali apabila pewaris takhta tersebut mencapai usia matang.
Dalam tempoh yang
kacau-bilau ini, terdapat seorang wanita yang turut mendaki tingkat kuasa –
seorang wanita yang bukan sahaja memeranjatkan Deccan akan tetapi kerajaan
Mughal.
Sebelum itu pada tahun
1565M, semasa berlakunya peperangan melawan Vijayanagara, Chand Bbi dikahwinkan
dengan Sultan Ali oleh ayahandanya, Hussain Nizam Shah I si pemerintah
Ahmednagar. Memandangkan usianya ketika itu masih muda remaja, perkahwinan
tersebut tidak lain adalah satu bentuk ikatan politik. Walau bagaimanapun, cara
hidup keluarganya berperanan membentuk personaliti Chand Bibi dan makanya
walaupun menjadi boneka politik, Chand Bibi tidak pernah dikesampingkan ke
sebalik tabir.
Meskipun suaminya
dipalit khabar angin dengan ramai sida-sida, hubungannya dengan Sultan Ali
menghadirkan banyak kemanfaatan. Chand Bibi berpeluang menyertai kempen-kempen
ketenteraan Sultan Ali. Malah kadangkala, beliau turut dibenarkan menguruskan
hal-ehwal negara semasa pasangan tersebut berada di durbar. Pemain sitar
yang turut gemar berkecimpung dalam aktiviti sukan luar, Chand Bibi turut
setara dengan suaminya dari segi keilmuan – misalnya, beliau mampu menuturkan
sebanyak lima bahasa.
Dengan kemangkatan
Sultan Ali, Chand Bibi semakin menerima perhatian. Beliau terus kekal berada di
Bijapur dan memantau sebarang tipu muslihat yang direncanakan mana-mana pihak.
Hal ini bertujuan untuk melindungi waris suaminya. Beliau berjaya menggulingkan
seorang bangsawan yang cuba merampas kuasa.
Namun, seorang lagi
bangsawan yang lain berjaya menghidu pergerakan Chand Bibi dan menghumbannya ke
dalam penjara. Walaupun berada di dalam penjara, Chand Bibi memanfaatkan
kebijaksanaannya untuk menjalinkan kerjasama dengan beberapa pihak, yang mana
beliau kemudiannya diselamatkan oleh pemimpin pihak berkenaan.
Melihat kepada apa yang
menimpa dirinya, Chand Bibi menganggap beliau sudah tidak sesuai lagi untuk
terus menetap di Bijapur – pewaris takhta itu bukanlah anaknya.
Dengan
kemangkatan Sultan Ali, beliau kini merupakan orang luar di istana Bijapur.
Malahan, perseteruan antara Bijapur dengan kerajaan ayahnya, Ahmednagar yang
berlanjutan membuatkan kesetiaan Chand Bibi terus dipersoalkan.
Maka, apabila seorang
puteri Bijapur dilamar oleh pihak Ahmednagar sebagai satu bentuk persekutuan
politik, begum Chand Bibi mengambil peluang untuk mengiringi pengantin
perempuan itu ke Ahmednagar, tanah airnya. Di sana, beliau meluangkan baki
hayatnya sehinggalah beliau diingati sebagai salah seorang heroin Deccan yang
paling tragis.
Pada tahun 1580an,
Ahmednagar mengalami tempoh kegoyahan politik yang agak membimbangkan. Saudara
Chand Bibi bertindak memenjarakan ibunya dan kemudian, cuba membunuh anaknya
dengan membakar bilik anak kecil itu. Pegawai-pegawai istana menggelarnya
sebagai deewana (lelaki gila).
Saudaranya yang seorang
lagi pula memberontak dan melarikan diri ke istana Mughal – menjelang tahun
1591M, rancangannya berhasil dan beliau berjaya menabalkan dirinya sebagai
sultan di Ahmednagar. Namun, beliau dianggap sebagai seorang yang tidak
mengenang budi atas kepemurahan Maharaja Akbar apabila beliau enggan memperakui
Mughal sebagai kerajaan atasannya. Maka, pihak Mughal pun mengeluarkan kenyataan
berkenaan tindakan saudara Chand Bibi itu bahawa beliau “seharusnya
meningkatkan ketaatan dan kesyukuran. Namun, arak kejayaan telah merampas
kewarasannya dan atas kerana itu, dia akan dihukum.”
Sepertimana yang
dicatatkan oleh sejarah, Mughal tiba di Ahmednagar pada tahun 1595M iaitu
menjelang waktu di mana saudara Chand Bibi itu telah pun mangkat dan istananya
pula dilanda huru-hara. Begitu juga dengan nasib Chand Bibi yang dipalit
kekacauan.
Sambil menyeimbangkan
berbagai perpecahan yang sedang berlaku, Chand Bibi turut perlu memberikan
tumpuan dalam aspek pertahanan kota. Apabila pihak Mughal berjaya melepasi kubu
benteng pertahanan Ahmednagar, Chand Bibi yang “lengkap berbaju besi… dengan
sebilah pedang yang terhunus di tangannya bertindak menerpa kea rah musuh”
bersama para tenteranya. Mughal berjaya diundurkan.
Dalam rundingan
perjanjian damai yang diadakan, pihak Mughal secara rasmi mengangkat darjat
Chand Bibi dengan gelaran “Chand Sultan”. Namun, penghormatan yang diberikan
itu tidak sepenuhnya dipersetujui oleh para panglima Mughal. Mereka
memperlekehkan status kebangsawanannya dan membandingkannya dengan pemimpin
mereka sendiri yang merupakan “Putera kepada Maharaja Yang Mulia”. Bahkan,
mereka turut mempersoalkan kalau-kalau si pemerintah Deccan itu mampu
menandingi Mughal, si keturunan Timur yang agung.
Pada akhirnya, anggapan
tersebut sememangnya benar dan Deccan benar-benar tidak berupaya untuk
menandingi Mughal. Chand Bibi telah berusaha berulang kali untuk memukul mundur
Mughal keluar dari Deccan namun menemui kegagalan. Pada tahun 1599M, semasa
Mughal kembali menyerang Ahmednagar, kebanyakan pegawai Ahmednagar saling
bertelagah dan bermusuhan sesama sendiri.
Ternyata, peperangan
berlaku baik di luar kota mahupun di dalam istana. Begum Chand Bibi
lantas mengambil keputusan untuk mengadakan perjanjian damai dengan Mughal.
Namun kerana keputusannya itu, beliau dibunuh; bukan oleh pihak penyerang,
tetapi oleh orang dalam yang menganggap beliau menyerah-diri kepada Mughal.
“Tentera-tentera
Ahmednagar yang kacau-bilau itu melupakan segala kehormatan dan kemuliaan yang
sering dipamerkan oleh Ratu Chand lalu menyerbu istananya dan memecah masuk ke
dalam kamar peribadinya lantas membunuh dan mencampaknya ke dalam kolam yang
dipenuhi darah. Maka mangkatlah Chand Bibi, wanita yang disebutkan oleh seorang
sejarahwan sebagai salah seorang figura paling terhormat dalam Sejarah India.”
Walaupun kemangkatannya
berlaku dalam keadaan yang sangat tragis, beliau pada akhirnya menerima keadilan.
Sebaik sahaja Mughal menawan Ahmednagar tidak lama selepas kemangkatan Chand
Bibi, salah satu tindakan pertama yang mereka ambil adalah menghukum gantung
para pembunuh Chand Bibi si puteri kepada Nizam Shah dan balu kepada Adil Shah.
Lantas, Chand Bibi dikenang dan diraikan sebagai “Yang Dimuliakan, Balqis di
Zamannya.”
- Get link
- X
- Other Apps
