- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
DHWTY. (17 Februari 2016). The Legendary Founder of Korea, Dangun Wanggeom.
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/legendary-founder-korea-dangun-wanggeom-005363
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/legendary-founder-korea-dangun-wanggeom-005363
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Menurut tradisi Korea,
Dangun Wanggeom (juga dikenali sebagai Dangun atau Tangun) merupakan pengasas
Gojoseon (atau ‘Joseon Lama’), kerajaan pertama yang direkodkan wujud dalam
sejarah Korea. Kerajaan ini berlokasi di bahagian utara Semenanjung Korea dan
meliputi sebahagian kawasan timur laut Cina (khususnya wilayah Liaoning dan
Jilin). Kewujudan kerajaan ini dibuktikan menerusi penemuan sejumlah artifak
yang mempunyai perkaitan dengan Gojoseon, seperti pisau pendek berbentuk mandolin
yang diperbuat daripada gangsa dan batu-batu dolmen yang ditemui di
kawasan-kawasan tersebut.
Seperti mana-mana
figura di zaman purba yang lain, tidak banyak sebutan pada artifak-artifak
arkeologi berkenaan Dangun. Oleh kerana itu, kita perlu beralih kepada
sumber-sumber bertulis dan tradisi budaya untuk mengetahui dengan lebih lanjut
tentang figura yang masyhur ini.
LEGENDA DANGUN
Catatan terawal yang
memerihalkan legenda Dangun ditemui di dalam Samguk Yusa (Memoribilia
Tiga Kerajaan) dan Jewang Ungi (Hikayat Berima Para Pemerintah).
Naskhah-naskhah penulisan ini dihasilkan pada lewat abad ke-13M. Legenda Dangun
dimulakan dengan pengenalan sosok watak datuknya yang bernama Hwan-in dan
bapanya, Hwan-ung. Hwan-in dipanggil sebagai ‘Raja Langit’ sementara Hwan-ung
pula adalah salah seorang putera bongsu Hwan-in.
![]() |
Memorabilia Tiga Kerajaan dipamerkan di Seoul National University Kyujanggak Institute |
Pada suatu hari,
Hwan-Ung meminta izin bapanya agar menurunkan beliau ke bumi supaya beliau
dapat memerintah kerajaan sendiri. Menurut satu tafsiran berkenaan babak ini,
sebagai seorang putera bongsu kepada Raja Langit, Hwan-ung tidak punyai harapan
untuk mewarisi kedudukan bapanya. Oleh kerana itu, untuk menjadi seorang
pemerintah dan untuk menghindari konflik dengan abang-abangnya, Hwan-ung
mengambil keputusan untuk pergi ke suatu tempat di mana beliau boleh menubuhkan
kerajaan sendiri.
Permintaan ini
dipersetujui oleh Hwan-in. Raja Langit itu lantas meninjau keadaan di bumi dan
memilih Gunung Taebaek-san (Gunung Putih yang Besar), berlokasi di Korea
Selatan moden sebagai tapak paling sesuai untuk puteranya itu. Dalam beberapa versi
yang lain, lokasi tersebut adlaah Gunung Paektu (juga dieja sebagai Baektu)
yang terletak di sempadan antara Korea Utara dan Cina moden.
![]() |
Peta ‘Kerajaan Gojoseon’ yang disiarkan di dalam Korea Times pada tahun 2011 |
PENUBUHAN KERAJAAN
Hwan-un kemudiannya
turun ke sebatang pokok cendana suci yang terletak di puncak Gunung
Taebaek-san. Beliau membawa bersama 3000 orang pengikut setia dan tiga buah ‘mohor
kerajaan langit’. Selain itu, tiga semangat alam iaitu Angin, Hujan dan Awam
turut berkhidmat sebagai menteri Hwan-ung. Lantas, sebuah kerajaan pun
ditubuhkan, perundangan dan kod moral digubal. Ilmu bercucuk tanam, perubatan,
sains dan kesenian, semuanya diajarkan. Ringkasnya, Hwan-ung menubuhkan sebuah
komuniti masyarakat yang bertamadun di Gunung Taebaek-san.
![]() |
Pandangan puncak utama Gunung Taebaeksan dari Munsubong, sebuah lagi puncak gunung berkenaan |
SANG HARIMAU DAN SANG BERUANG
Bahagian seterusnya di
dalam hikayat ini berpindah kepada kisah ibu Dangun, melibatkan seekor harimau
dan seekor beruang. Dua ekor haiwan ini datang ke kerajaan Hwan-ung dan berdoa
supaya dijadikan sebagai manusia. Sebaik sahaja Hwan-ung mendengar doa mereka,
beliau memutuskan untuk memberi mereka peluang dan setiap seekor haiwan
diberikan seguni mugwort dan 20 longgok halia. Hwan-ung mengarahkan
mereka agar memakan makanan suci itu sahaja. Beliau turut memerintahkan mereka
agar tinggal di sebuah gua selama 100 hari. Jika arahan itu ditaati, mereka
akan menjadi manusia, ujar Hwan-ung.
Walau bagaimanapun,
sang harimau menyerah dan meninggalkan gua kerana tidak dapat bertahan dengan
rasa lapar. Beruang pula terus menuruti arahan Hwan-ung dan pada hari yang
ke-21, ia berubah menjadi seorang wanita.
KELAHIRAN DAN
PEMERINTAHAN DANGUN
Ungnyeo (wanita beuang)
meluahkan rasa syukur terhadap Hwan-ung dan memberi hadiah korban kepadanya.
Walau bagaimanapun, beliau kemudiannya berasa sedih kerana tidak mempunyai
teman. Lantas, beliau pun pergi ke pokok cendana suci di puncak Gunung
Taebaek-san dan berdoa meminta agar diberikan seorang anak untuk menemaninya.
Oleh kerana berasa
terkesan dengan doa itu, Hwan-ung pun menjelmakan diri sebagai seorang lelaki
dan mengadakan hubungan intim dengan Ungnyeo. Sembilan bulan kemudian,
wanita-beruang itu pun melahirkan seorang putera dan menamakannya sebagai
Dangun, yang bermaksud ‘putera mezbah’ atau ‘cendana’.
Dipercayai bahawa
Dangun inilah yang menubuhkan Gojoseon, kerajaan pertama dalam sejarah Korea
pada tahun 2333SM. Dalam beberapa buah catatan, ibu kota kerajaan yang ditubuhkan
oleh Dangun ini terletak di Pyongyang, yang juga merupakan ibu kota kepada
Korea Utara moden. Dangun kemudian memindahkan ibu kotanya ke Asadal, sebuah
lokasi yang diandaikan terletak di Gunung Guwol-san, wilayah Hwangshae. Namun
dalam catatan lain, Asadal dianggap sebagai ibu kota pertama Gojoseon.
Menurut legenda, Dangun
memerintah kerajaannya itu selama 1500 tahun sebelum turun takhta. Setelah itu,
beliau bersembunyi di kawasan pergunungan dan menjadi Sanshin (semangat
gunung yang hidup kekal) pada usia 1908 tahun.
![]() |
Patung Dangun |
DANGUN SEBAGAI DEWA DAN
INSPIRASI DALAM SENI BELA DIRI
Pengaruh Dangun masih
boleh dirasai sehingga ke hari ini. Bagi yang mengikuti perkembangan dunia
perdukunan masyarakat Korea dapat mengetahui bahawa Dangun dihormati sebagai
seorang dewa. Terdapat sejumlah pergerakan dan pertubuhan yang menumpu pada
pemujaan Dangun telah ditubuhkan dari semasa ke semasa. Walau bagaimanapun,
sistem kepercayaan tradisi sebegini dipercayai hanya diamalkan oleh golongan minoriti
di Korea.
Sebuah lagi pengaruh
daripada Dangun dapat dilihat menerusi seni bela diri Korea yang masyhur,
dikenali sebagai Taekwondo. Terdapat gaya yang dinamakan bersempena figura
legenda ini dan pergerakan gaya tersebut dikatakan mewakili perkaitan antara
Dangun, Langit dan gunung tempat beliau menjadi Sanshin.
Pengaruh terakhir yang
dapat dikemukakan di dalam artikel ini adalah pengambilan tanggal 3 Oktober
sebagai Hari Penubuhan Kebangsaan dan merupakan cuti umum di Korea Selatan.
Tarikh tersebut dipercayai sebagai tarikh di mana Gojoseon ditubuhkan oleh
Dangun pada tahun 2333SM.
SUMBER
- Kim, T.-g. & Cawley, K. N., 2011. Korea: in the beginning…
- Kim, V., 2014. Dangun, Father of Korea: Korea’s foundation tale lends itself to many interpretations.
- Korea Tourism Organization, 2016. The Legend of Dangun.
- koreanhistory.info, 2016. Dangun (Tangun 단군왕검 檀君王儉 ) and the Legendary founding of Korea.
- Life in Asia, Inc., 2015. The Legend of Tan-Gun.
- Northeast Asian History Foundation, 2008. Ancient History of Korea.
- San-Shin, 2016. The Myth of Gojoseon's Founding-King Dan-gun.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Dangun Wanggeom – Legenda Pengasas Tamadun Korea’
- Get link
- X
- Other Apps