- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
DHWT. (29 April 2019). Hwarang, The ‘Flowering Knights’ of Korea: Deadly
Warriors That Looked and Smelled Good!. Ancient Origins.
Hwarang merupakan
sebuah kumpulan kesatria dari kerajaan Silla – salah sebuah dari tiga buah
kerajaan yang wujud di Semenanjung Korea pada suatu masa dahulu. Hwarang
merupakan sekumpulan belia yang datang dari kelas sosial yang tinggi dan
diserap masuk sejak kecil lagi untuk dilatih sebagai pahlawan elit. Mereka
diberikan pendidikan bertahap tinggi dan diterapkan dengan sejumlah kod prinsip
yang perlu dipatuhi.
Pemuda-pemuda ini
tumbuh membesar dengan begitu baik, dipelihara rupa-parasnya dengan sempurna
dan sekiranya anda membandingkan penampilan mereka di dalam siri drama-romantik
Korea Selatan yang ditayangkan beberapa tahun yang lepas, keadaannya tidak
begitu jauh berbeza.
Namun, apakah
pengetahuan lanjut yang kita miliki berkenaan Pahlawan Jambu ini?
ENIGMA SEPUTAR HWARANG
Hwarang (yang
diterjemahkan Lelaki atau Pahlawan Jambu) merupakan sebuah organisasi khusus
buat pemuda-pemuda elit yang ditubuhkan oleh Kerajaan Silla, sebuah kerajaan
silam yang memerintah wilayah selatan dan tengah Semenanjung Korea pada abad
pertama SM sehingga abad ke-10M.
Walaupun Hwarang sering
dianggap sebagai hanya sekadar sebuah organisasi ketenteraan, terdapat juga
beberapa dakwaan yang mengatakan bahawa ahli-ahli kumpulan ini turut berperanan
dalam hal-hal keagamaan dan pendidikan di Silla.
![]() |
| Lelaki Korea di zaman moden yang menggayakan Hwarang-Silla |
Perkataan Hwarang
merupakan kombinasi antara dua buah perkataan, ‘hwa’ yang bermaksud ‘bunga’ dan
‘rang’ yang merupakan istilah umum bagi merujuk kepada lelaki (tanpa mengira
usia). Sumber-sumber primer yang merincikan perihal hwarang agak kurang.
Namun, terdapat
sejumlah karya sastera yang berfungsi sebagai sumber sekunder bagi menggantikan
kewujudan sumber-sumber primer yang telah hilang sejak dahulu kala. Karya-karya
sastera ini secara utamanya berkisar tentang struktur organisasi hwarang serta
perkaitan mereka dengan khidmat-khidmat keagamaan.
Rentetan itu, antara
topik yang hangat diperdebatkan dalam kalangan ilmuwan yang mengkaji perihal
hwarang adalah fungsi sebenar organisasi ini. Sebahagian daripada mereka
berpendapat bahawa hwarang berperanan dalam bidang ketenteraan semata-mata
sambil yang lain pula mendakwa bahawa hwarang menyandang tugas keagamaan yang
dianggap lebih utama.
![]() |
Topi
emas atau mahkota dari Kerajaan Silla, Cheonmachong di Gyeongju, Korea
|
PENDAHULU WANITA BAGI
HWARANG
Menurut sumber-sumber
yang ada, hwarang diasaskan pada abad ke-6 SM. Sebelum organisasi ini
ditubuhkan, terdapat sebuah lagi pertubuhan lain yang dikenali sebagai Wonhwa
(bermaksud “bunga asli”) – sebuah organisasi yang saling tak tumpah seperti
hwarang.
Wonhwa terdiri dari
kaum wanita dan ia terbahagi kepada dua pecahan yang masing-masing dipimpin
oleh dua orang wanita bernama Nammo dan Junjeong. Dua orang ketua ini
kemudiannya saling mencemburui antara satu sama lain sekaligus membawa kepada
pembunuhan Nammo yang dilakukan oleh Junjeong. Junjeong kemudiannya dijatuhi
hukuman di atas jenayah yang beliau lakukan. Lantas, Wonhwa pun dibubarkan.
![]() |
Lokasi
Silla di Semenanjung Korea
|
HWARANG – AKADEMI BELIA
Beberapa tempoh
kemudian, raja Silla memasang hasrat untuk memperkuatkan negara pimpinannya.
Oleh itu, beliau pun mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah lagi
organisasi yang sama seperti Wonhwa. Namun kali ini, ahli bagi pertubuhan
tersebut dipilih dari kalangan kaum pemuda bangsawan yang bersahsiah tinggi.
Makanya, organisasi
hwarang pun tertubuh. Diandaikan bahawa pertubuhan ini diasaskan dengan tujuan
agar pemuda-pemuda yang berbakat dalam kalangan bangsawan dapat dipilih dan
dilatih supaya nantinya dapat berkhidmat untuk kemaslahatan negara.
Ramai panglima masyhur
dan tokoh-tokoh politik terkenal pernah menjadi hwarang pada usia muda mereka.
Perihal rupa-paras tampan mereka yang begitu masyhur, dicatatkan bahawa hwarang
sangat menjaga penampilan. Mereka juga dikatakan sering membakar setanggi
ketika melakukan pengembaraan sekaligus menghasilkan bauan yang semerbak harum.
![]() |
Damyeom-ripbon-wang-heedo.
Abad ke-6, China. Perutusan melawat Maharaja Tang. Dari kiri ke kanan:
Perwakilan Wa (Jepun), Silla (tengah)
|
Sumber-sumber yang ada
mencatatkan bahawa hwarang sering mengadakan pertemuan di rupa-rupa bumi yang
indah, terutama gunung-ganang dan sungai-sungai suci untuk menyanyi dan menari.
Aktiviti penting yang lain antaranya adalah pengajian keagamaan yang terbentuk
dari kombinasi antara Buddhism, Confucianism, dan Taoism serta (mungkin)
beberapa elemen shamanism yang telah diamalkan di Semenanjung Korea sejak
dahulu kala.
Selain itu, hwarang
juga dituntut agar berlatih dalam seni peperangan sekaligus menjadikan mereka
sentiasa bersiaga untuk berkhidmat sebagai pahlawan apabila keadaan memerlukan.
Pahlawan Silla yang terkenal, iaitu Kim Yushin misalnya pernah menjadi seorang
hwarang. Kempen-kempen ketenteraan yang beliau lancarkan berhasil membantu Silla
dalam usaha menyatukan Korea. Beliau turut dikenali kerana berjaya memenangi
kempen ketenteraan ke atas Baekje (juga dieja sebagai Paekche), sebuah kerajaan
seteru.
![]() |
Patung
Panglima Kim Yusin di Hwangseong Park di Gyeongju
|
KOD PRINSIP HWARANG
Hwarang juga
mempelajari teks-teks yang mengajarkan perihal kod etika. Kandungan teks-teks
tersebut adalah Lima Perhubungan, Enam Kesenian, Tiga Profesion Keilmuan, dan
Enam Jalan Khidmat Kerajaan. Dari kesemua penerapan kod etika ini, Kod Lima
Perhubungan mungkin dianggap sebagai komponen yang paling utama dalam kod
prinsip Hwarang.
Kod ini dihasilkan oleh
seorang sami yang bernama Wongwang dan ia mengandungi pengaruh daripada
Buddhism dan Confucianism. Kod Lima Perhubungan adalah seperti berikut:
- Berkhidmat kepada Raja dengan penuh kesetiaan.
- Berkhidmat kepada ibu bapa dengan penuh adab.
- Mengamalkan adab dalam persahabatan.
- Tidak menyerah kalah dalam peperangan.
- Mengawal diri daripada membunuh sesuka hati.
Seiring peredaran
waktu, keperluan terhadap kefungsian hwarang semakin berkurangan dan
kewujudannya hampir hilang sepenuhnya dari lembaran sejarah. Kebangkitan
semangat nasionalisme Korea, serta penemuan manuskrip berjudul Hikayat Hwarang
pada tahun 1980an meniupkan kembali perhatian terhadap hwarang.
Kemasyhuran hwarang
dalam kalangan masyarakat Korea dapat dilihat dengan begitu menyerlah pada hari
ini. Jurus di dalam seni Taekwondo yang dipanggil sebagai Hwa-rang misalnya,
dinamakan bersempena dengan Hwarang. Sementara itu pada tahun 2016 hingga 2017
pula memperlihatkan penayangan sebuah siri televisyen Korea bertajuk Hwarang:
The Poet Warrior Youth.
SUMBER
- bibimgirl, 2016. The Original Flower Boys: Hwarang-do 화랑도.
- Lazore, C., 2014. The Hwarang Warriors - Silla's Flower Boys.
- New World Encyclopedia, 2014. Hwarang.
- natkd.com, 2017. History of the Hwarang.
- Get link
- X
- Other Apps





