- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
DHWTY. (23 Julai 2014). Masyaf Castle, the Seat of the Assassins. Ancient
Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/masyaf-castle-seat-assassins-001888
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/masyaf-castle-seat-assassins-001888
Penterjemah:Amir Zayyanid
Peminat-peminat siri
permainan video Assassin’s Creed pasti sudah terbiasa dengan Istana
Masyaf, Syria. Di dalam siri tersebut, Istana Masyaf merupakan pangkalan Assassin
yang masyhur. Hakikat ini tidak hanya sekadar berlaku di dunia fiksyen – Masyaf
sememangnya pernah menjadi markas kepada pergerakan assassin yang sangat
digeruni pada suatu masa dahulu.
Pada lewat abad ke-11M,
sebuah pergerakan Nizar Ismailiyah dibentuk oleh seorang lelaki yang bernama
Hassan Sabbah di Parsi dan Syria. Kumpulan yang dikenali sebagai Hashshashin
ini menawan banyak kubu di kawasan pergunungan di samping memberikan ancaman
kepada kekuasaan Sunni-Seljuk di Parsi. Besar kemungkinan Hashshashin ini
merupakan pilihan yang paling masyhur untuk seseorang itu menghapuskan musuh
peribadinya – iaitu menerusi kegiatan pembunuhan berkemahiran tinggi.
Berdasarkan bukti
arkeologi, para penyelidik berpendapat bahawa Istana Masyaf dibina semasa
pemerintahan Byzantine. Istana ini dibina di puncak bukit batu kapur, rupa bumi
yang menonjol berbanding lembah dan kampung sekitar. Keadaan tersebut
membuatkan istana tersebut berkedudukan di lokasi strategik sekaligus
membolehkan para penghuninya meninjau dan mengawal kawasan tersebut.
Assassin
kali pertama menguasai istana ini pada tahun 1141M apabila mereka menawannya
daripada Sanqur, pemerintah yang menguasai dan menyelia istana itu bagi pihak
Bani Munqidz, dari Shayzar. Sanqur merupakan salah seorang penguasa dari sebuah
dinasti Islam yang wujud di wilayah berkenaan sekitar abad ke-12M.
![]() |
| Istana Masyaf sebagaimana yang masih berdiri pada hari ini |
Assassin
meraih kemasyhuran di wilayah itu berkat keefisienan mereka dalam menyasar dan
melangsaikan musuh. Keadaan ini memberikan mereka kuasa atau pengaruh politik yang
tinggi sekaligus mengundang rasa tidak senang hati beberapa kuasa besar di
Timur Tengah. Oleh kerana itu, Masyaf menjadi sasaran kepada pihak-pihak yang
memiliki keberanian untuk cuba menggugat kedudukan assassin. Usaha ini
dijalankan tidak lain dan tiba bukan oleh pahlawan terbilang Islam, iaitu Salahudin
si sultan pertama Mesir dan Syria merangkap pengasas Dinasti Ayyubiah.
Kepungan yang dilakukan
oleh Salahudin ke atas istana tersebut berlangsung pada tahun 1176M dan
berakhir dengan kegagalan. Menurut legenda, ketika Salahudin sedang tidur di
bawah bukit yang menempatkan Istana Masyaf, seorang assassin berjaya
menyelinap masuk ke dalam khemahnya. Salahudin yang terjaga sempat menyaksikan
kelibat assassin itu keluar dari khemahnya.
Di sisi katilnya
terdapat sepotong kuih yang telah diracun dan sebilah pisau pendek yang juga
telah diracun. Selain kedua barangan itu, turut terdapat di situ sekeping nota
yang memberi amaran kepada Salahudin bahawa beliau akan dibunuh andai tidak
berundur dari tempat itu. Berasa khuatir akan keselamatan nyawanya, Salahudin pun
memilih untuk berdamai dengan assassin. Sejauh mana kebenaran legenda
ini, ia memberi gambaran kepada kita tentang betapa berbahayanya kumpulan assassin.
![]() |
| Ilustrasi moden Salahudin |
Walau bagaimanapun, assassin
bukanlah sebuah organisasi ataupun manusia yang kebal. Pada tahun 1260M, Masyaf
dan tiga buah kubu assassin yang lain tumbang ke tangan Mongol. Pun
begitu, kemenangan Mongol ini tidak bertahan lama apabila mereka ditewaskan oleh
Mamluk dalam Pertempuran Ayn Jalut pada tahun sama.
Sebaik sahaja Mongol diusir
dari Syria, assassin kembali menguasai Masyaf. Sepuluh tahun kemudian,
ketumbukan Mamluk di bawah kepemimpinan sultan mereka, Baibar, menguasai
Masyaf. Walaupun peristiwa ini membawa kepada pembubaran assassin,
istana tersebut terus kekal kukuh menghiasi bukit berkenaan.
Pada tahun 2000, usaha
pemeliharaan Istana Masyaf digerakkan. Projek yang siap pada tahun 2006 ini
berjaya mengukuh dan mengembalik struktur-strukturnya yang telah runtuh. Selain
itu, projek ini turut memberikan kefahaman yang lebih mendalam perihal assassin
semasa penguasaan mereka ke atas Istana Masyaf.
Misalnya, projek ini
berhasil menemukan sebuah terowong yang dipercayai sebagai laluan rahsia.
Malahan, terdapat sebuah sistem saliran yang direka bagi tujuan membawa air
hujan mengalir ke perigi yang terletak di bawah tanah istana. Hal ini
memberikan bukti lanjut bahawa istana tersebut direka khas untuk menghadapi
kepungan musuh dalam tempoh yang panjang. Pun begitu, istana ini juga tidak
meninggalkan ciri kemewahannya terutama apabila projek berkenaan turut
menemukan rumah mandian tradisional.
![]() |
| Terowong di dalam Istana Masyaf |
Tidak keterlaluan untuk
menyebutkan bahawa Istana Masyaf tidak hanya sekadar wujud sebagai sebuah
binaan terpencil di puncak bukit yang sukar dimasuki. Namun, ia turut wujud
bersama dengan kota purba Masyaf yang terletak berhampiran. Atas faktor ini,
para pemelihara istana berkenaan mempertimbangkan keputusan untuk turut
memelihara dan membaik-pulih kota lama, menaik taraf pasar-pasar dan kawasan
lalu-lalang di samping menghasilkan lebih banyak fasiliti menarik buat para
pelancong.
Dengan mengambil
pendekatan sebegini, penduduk tempatan dapat meraih kemanfaatan menerusi industri
pelancongan. Malahan, mereka mungkin dapat bekerja sebagai pemelihara istana
bersejarah itu. Menerusi penglibatan penduduk tempatan sendiri, monument purba
bernama Istana Masyaf ini sudah tentu dapat dilindungi dan diwariskan kepada
generasi mendatang.
SUMBER
- Atlas Obscura, 2014. Musyaf Castle.
- Perry, T., 2007. Secrets of Assassins' Fort Unearthed in Syria.
- Submissions, 2012. Historical Accuracy of Video Games: Assassin’s Creed’s Masyaf.
- Tharoor, I., 2012. State of War: Syria’s Crusader Castles and Medieval Fortresses.
- The Institute of Ismaili Studies, 2013. Castle of Masyaf.
- Wikipedia, 2014. Assassins.
- Wikipedia, 2014. Masyaf.
- Wikipedia, 2014. Masyaf Castle.
- akdn.org, 2014. The Citadel of Masyaf.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Istana Masyaf – Markas Pengerakan Assassin’
- Get link
- X
- Other Apps



