KAUM KHITAN – PUAK NOMAD YANG MEMILIKI EMPAYAR TERSENDIRI

Pautan ke artikel asal:
DHWTY. (5 Oktober 2018). The Khitan People: Nomadic Tribe, Chinese Dynasty, Lost to the Mongols. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/khitan-people-0010796

Penterjemah: Amir Zayyanid


Masyarakat Khitan adalah sebuah kaum nomad yang hidup di Manchuria, timur laut Cina. Menjelang lewat abad ke-9M, kaum Khitan muncul sebagai sebuah kuasa yang mengancam di bahagian utara Cina. Mereka bahkan berjaya menubuhkan dinasti mereka yang tersendiri, iaitu Dinasti Liao. Pendominasian Khitan di bahagian utara Cina berpanjangan selama kira-kira dua kurun.

Pada abad ke-12M, Dinasti Liao ditumbangkan oleh Jurchen. Kaum Khitan yang mengalami kekalahan ini berlari ke barat di mana mereka kemudiannya menubuhkan pula Kara Khitai, atau Dinasti Liao Barat. Namun, negara ini tidak bertahan lama dan tumbang di tangan Mongol pada abad ke-13 Masihi. Khitan kemudiannya berasimilasi dengan masyarakat Turki dan Iran tempatan lalu kebudyaan mereka pun hilang.

Dinasti Liao (907-1125) lukisan dinding pada permakaman di Mongolia. Menggambarkan kehidupan harian kaum Khitan. Lelaki baik kanak-kanak mahupun orang dewasa memiliki gaya rambut Khitan yang unik


SEJARAH KAUM KHITAN – ASAL-USUL YANG KABUR

Asal-usul kaum Khitan tidak dapat dipastikan secara jelas. Rujukan-rujukan berkenaan kaum ini hanya dapat ditemukan di dalam sumber-sumber lama Cina bertarikh sekitar abad ke-4M. Walau bagaimanapun, para sejarahwan Cina yang menulis tentang Khitan tidak memberikan begitu banyak perhatian terhadap kaum ini dan hanya mencatatkan bahawa mereka merupakan keturunan daripada Xianbei, sebuah puak nomad yang besar di wilayah utara Cina.

Pada tempoh masa antara abad ke-4 hingga abad ke-6M, Cina mengalami fasa perpecahan dan pelbagai kuasa kecil pun muncul. Pada mulanya, kaum Khitan membayar ufti kepada Yan Utara, sebuah kuasa kecil (negeri) yang wujud pada era 16 Kerajaan. Kemudian, Cina disatukan semula di bawah Dinasti Sui dan Khitan tunduk kepada maharaja-maharaja dinasti tersebut.

Kaum Khitan menggunakan helang untuk memburu


KELANGSUNGAN KHITAN DI BAWAH DINASTI SUI DAN TANG

Namun, Dinasti Sui juga tidak berkuasa lama dan pemerintahannya dengan segera diambil-alih oleh Dinasti Tang. Kaum Khitan tunduk pada maharaja-maharaja Tang pada tahun-tahun awal pemerintahan dinasti berkenaan. Pada separuh pertama abad ke-7M, Khitan disatukan di bawah keluarga Dahe dan diberikan sedikit ruang dalam jabatan pentadbiran. Misalnya, wilayah Liaozhou ditubuhkan pada tahun 619M dan secara tidak langsung kota tersebut diperintah oleh kerajaan Tang menerusi pembesar-pembesar Khitan yang dilantik.

Walau bagaimanapun, hubungan antara kaum Khitan dan penguasa Tang mula merenggang tidak lama kemudian. Pemberontakan pertama yang dicetuskan oleh Khitan buat kali pertamanya berlaku pada tahun 656M hingga 661M. Sebuah lagi pemberontakan turut berlaku dengan diketuai oleh Li Jinzhong dan Sun Wanrong, kali ini pada tahun 696M. Ketumbukan imperial Tang berjaya ditewaskan oleh kaum Khitan di Yingzhou. Kaum Khitan lantas mengambil gelaran ‘Qagan Agung’ sesudah meraih kemenangan ini. Namun, Li Jinzhong meninggal dunia tidak lama kemudian dan pemberontakan pun berhasil ditundukkan oleh Dinasti Tang.

Penunggang-penunggang kuda kaum Khitan


Khitan meneruskan kedudukan mereka di bawah kepenguasaan Dinasti Tang sehingga lewat abad ke-8M. Pada tempoh masa ini, kuasa kaum Uighur mula meningkat naik dan mereka mendominasi bahagian barat steppe. Akibatnya, Khitan pun tumbang ke tangan mereka. Namun, Uighur berjaya ditewaskan sekitar pertengahan abad ke-9M dan mereka membawa diri jauh ke barat. Dinasti Tang juga mengalami keruduman dan tumbang secara sendiri pada tahun-tahun awal abad ke-10M. Pada masa-masa sebeginilah Khitan mula mendaki tangga kuasa dan menubuhkan dinasti diraja mereka yang tersendiri.


EMPAYAR KHITAN DAN HUBUNGAN MEREKA DENGAN DINASTI SONG

Pada tahun 907M, seorang pemerintah Khitan yang bernama Abaoji menjadi qagan baru yang memerintah seluruh kaum Khitan. Tarikh pengasasan Dinasti Liao dicatatkan berlaku pada tahun ini. Sekitar sedekad kemudian, Abaoji menyatukan puak-puak Khitan dan menabalkan dirinya sebagai maharaja. Abaoji mengamalkan beberapa budaya Cina yang dianggap bermanfaat untuk Khitan. Misalnya, sebuah sistem penulisan yang didasarkan daripada sistem penulisan Cina-Han dibangunkan bagi kegunaan bahasa Khitan.

Inskripsi Khitan bertarikh 1058M, ditemui di Dornogovi. Ditulis dalam bahasa Khitan


Ketika kaum Khitan menguasai wilayah utara, sebuah dinasti dari etnik Han, iaitu Song ditubuhkan pada tahun 960M. Hubungan di antara Liao dan Song pada mulanya terjalin mesra namun lama-kelamaan memburuk dan peperangan di antara kedua belah pihak pun meletus.

Titik perubahan berlaku pada tahun 1004M, apabila sebuah ekspedisi diraja menuju ke selatan dilancarkan oleh maharaja Liao yang berakhir dengan penandatanganan Perjanjian Chanyuan pada bulan Januari tahun berikutnya. Perjanjian ini merupakan satu perkara yang memalukan buat Dinasti Song memandangkan mereka perlu membayar ufti kepada Khitan setiap tahun. Walau bagaimanapun, berkat Perjanjian Chanyuan ini jugalah keamanan dapat menyelimuti kawasan berkenaan selama 120 tahun.

Gambaran seorang lelaki dari kaum Khitan


KEKUASAAN DAN KEBUDAYAAN KHITAN DIHANCURKAN

Pada tahun 1125M, Dinasti Song mula berhenti membayar ufti kepada Khitan. Lebih daripada itu, mereka turut bergabung kekuatan dengan sebuah lagi puak nomad bernama Jurchen untuk menyerang Khitan. Dinasti Liao habis dihancurkan dan digantikan oleh Dinasti Jurchen Jin. Salah seorang pembesar Khitan, Yelu Dashi berjaya melarikan diri ke barat bersama ribuan orang tentera Khitan. Di sana, beliau kemudiannya menubuhkan Kara Khitai atau Dinasti Liao Barat. Walau bagaimanapun, dinasti ini tidak bertahan lama dan tumbang ke tangan Mongol pada kurun berikutnya.

Seiring peredaran masa, kaum Khitan hilang dari sejarah terutama apabila ahli-ahli mereka yang berlari ke barat bersama Yelu Dashi diserap masuk ke dalam masyarakat Turki dan Iran. Namun, nama kaum ini masih dipelihara secara linguistik. Misalnya di dalam Bahasa Inggeris untuk suatu tempoh yang agak lama mengenali Cina sebagai ‘Cathay’ sementara masyarakat Russia pula masih merujuk Kerajaan Tengah sebagai ‘Kitai’.

Patung kematian, kaum Khitan, utara Cina dan Mongolia, Dinasti Liao (1000M). Kiri tembaga, kanan perak


SUMBER