- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Kerajaan Nabatea merupakan sebuah entiti politik yang berkuasa di wilayah Jordan moden pada rentang waktu antara abad ke-4SM hingga tahun 106M. Pada zaman ini, Kerajaan Nabatea sangat masyhur dengan sisa runtuhan ibu kotanya, Petra.
Joshua J. Mark. (5 Mac 2018). Kingdom of Nabatea. Ancient History Encyclopedia.
https://www.ancient.eu/Kingdom_of_Nabatea/
https://www.ancient.eu/Kingdom_of_Nabatea/
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Kerajaan Nabatea merupakan sebuah entiti politik yang berkuasa di wilayah Jordan moden pada rentang waktu antara abad ke-4SM hingga tahun 106M. Pada zaman ini, Kerajaan Nabatea sangat masyhur dengan sisa runtuhan ibu kotanya, Petra.
Walaupun jelas sekali terdapat
sebuah komuniti kaya yang menikmati kemewahan di kawasan sekeliling Petra sejak
tahun 312SM (disahihkan menerusi ekspedisi-ekspedisi yang dilancarkan oleh
Greek ke atas komuniti terbabit), namun para sejarahwan sering meletakkan
tarikh permulaan bagi Kerajaan Nabatea pada tahun 168SM.
Tahun tersebut
merupakan tahun pemerintahan raja pertama mereka yang dikenali sejarah.
Kerajaan ini juga dianggarkan berakhir pada tahun 106M, iaitu tahun di mana
Nabatea ditakluk oleh Empayar Rom di bawah pemerintahan Trajan (98-117M).
Kaum Nabatea berasal
daripada sebuah komuniti Arab-nomad dari Gurun Negev. Kekayaan mereka dimulakan
menerusi aktiviti perdagangan di Jalan Setanggi (Incense Routes) yang
melebar dari Qataban (Yaman moden) hingga ke Saba (sebuah hub perdagangan yang
dominan), dan merentang hingga ke Gaza yang terletak di Laut Mediterranean.
Oleh kerana mereka
sering bermusafir dengan melalui jalan ini, maka mereka agak sebati dengan
kawasan berkenaan. Hal itu juga menyumbang kepada peningkatan kemahiran mencari
dan menyimpan sumber air kaum Nabatea. Kelebihan tersebut membenarkan mereka
mengangkut barangan (dagang) dengan lebih cepat dan efisien berbanding
kaum-kaum lain.
Tapak kota mereka yang
bernama Petra, diukir daripada batu-batuan gunung dan ia sukar diakses. Relik
ini mungkin dibina setelah mereka meraih kekayaan yang cukup hasil daripada
aktiviti perdagangan yang dijalankan. Faktor yang membuatkan mereka mengambil
keputusan untuk membina kota di kawasan tersebut masih lagi misteri dalam
kalangan sejarahwan. Mana tidaknya? Tempat itu langsung tidak ada sumber air
semula jadi dan lokasinya pula jauh dengan kemudahan-kemudahan lain.
Namun jika dipandang
dari suatu sudut, pemilihan lokasi tersebut kelihatan agak munasabah juga. Hal
ini kerana kedudukan kota Petra membenarkan mereka mengawal Laluan Setanggi
sekaligus mengenakan cukai ke atas kafilah-kafilah dagang yang lalu-lalang.
Sudah tentu perkara sebegitu mampu menambahkan lagi kekayaan mereka. Di samping
itu, kedudukan kota itu juga sukar diakses justeru menyumbang kepada faktor
keselamatan pula.
Berikutan penaklukan
yang dilakukan oleh Rom pada tahun 106M, Petra dan kota-kota Nabatea yang lain
seperti Hegra kehilangan kuasa ke atas Laluan Setanggi dan malah, ke atas
wilayah tersebut secara umum. Kebangkitan kota Syria dari Palmyra sebagai pusat
perdagangan pula secara efektif mengalihkan perhatian para pedagang dari
kota-kota Nabatea. Makanya, Nabatea pun mengalami kejatuhan dalam soal kekayaan
dan prestij.
Kemusnahan yang
ditimpakan oleh Maharaja Aurelian ke atas Palmyra sekitar tahun 272M sudah
terlalu lambat untuk memulih dan merancakkan semula ekonomi Nabatea, dan
menjelang Serangan Arab pada abad ke-7M, Kerajaan Nabatea telah pun dilupakan
kewujudannya.
PERDAGANGAN AWAL DI
LALUAN SETANGGI
Istilah ‘Laluan
Setanggi’ merujuk kepada sejumlah laluan yang diambil oleh para pedagang pada
abad ke-6 atau ke-7SM hingga abad ke-2M, meliputi kawasan antara selatan Arab
hingga ke pelabuhan Gaza. Kadar kerancakan perdagangan di sepanjang laluan ini
dilihat berada di puncak pada sekitar abad ke-3SM, iaitu tempoh masa di mana
kaum Nabatea meraih kuasa ke atas kebanyakan kota-kota penting di sepanjang
laluan tersebut. Laluan Setanggi tidaklah merujuk kepada satu jalan tunggal di
antara Arab dan Gaza. Sebaliknya, ia merupakan sebuah haluan umum yang dilalui
oleh para pedagang di antara dua titik temu tersebut.
Menurut Pliny the Elder
(23-79M), laluan-laluan tersebut meliputi jarak sejauh 1200 batu (1931km) dan
mengambil masa selama 65 hari untuk menghabiskan satu perjalanan, jika diambil
kira masa berhenti di kota pada setiap malam.
Lokasi-lokasi
perhentian yang ada bukan hanya berfungsi sebagai tempat berehat, tetapi ia
juga memainkan peranan yang penting dalam perdagangan – sesuai dengan komoditi
utama sesebuah lokasi (kota) perhentian itu. Kota Mamshit misalnya, masyhur
dengan komoditi berupa kuda-kuda Arab yang diniagakan pada harga yang tinggi.
Para pedagang
kemudiannya akan bergerak dari sebuah kota ke sebuah kota lain sambil
meniagakan barang dagangan mereka di setiap lokasi (kota) perhentian sebelum
tiba di destinasi terakhir – pelabuhan Gaza. Apabila sesebuah kota tertentu
mula mengenakan cukai yang tinggi kepada pedagang, maka perdagangan secara
alaminya akan condong dan beralih-arah kepada kota lain yang dianggap lebih
mesra-pedagang.
Namun, kota-kota yang
dikuasai oleh kaum Nabatea menjelang abad ke-3SM menjadi sebahagian daripada
kota perdagangan penting yang berada di sepanjang Laluan Setanggi – kota
perdagangan yang wajib dikunjungi oleh para pedagang.
Antara kota-kota
perdagangan tersebut termasuklah apa yang kemudiannya dikenali sebagai Haluza,
Mamshit, Avdat dan Shicta. Kesemua kota perdagangan ini menawarkan pelbagai
barang dagangan dan tempat penginapan yang selesa buat para pedagang. Kubu-kubu
Nabatea turut didirikan di sepanjang Laluan Setanggi bagi menjamin keselamatan
para pedagang.
Namun, sudah tentu
perlindungan tersebut mempunyai harga – iaitu dengan membayar cukai. Walaupun
kaum Nabatea sudah pun mengecap kekayaan menjelang abad ke-3SM sebagai kaum
pedagang yang berjaya, penguasaan mereka ke atas Laluan Setanggi sebagai sebuah
kerajaan meneguhkan lagi status tersebut.
KEKAYAAN, KEBUDAYAAN,
HAK-HAK WANITA
Diperkirakan bahawa
mereka mampu meraih kejayaan sebegitu kerana mereka terlebih dahulu menguasai
sumber air di sepanjang Laluan Setanggi. Ketikamana puak-puak Arab yang lain
perlu bertukar-tukar barang untuk mendapatkan bekalan air, kaum Nabatean
bertindak lebih bijak dengan menggali dan membuat tempat penyimpanan air. Kemudian,
tempat penyimpanan tersebut ditutup dan ditinggalkan dengan tanda yang hanya
diketahui oleh mereka.
Menerusi polisi ini,
mereka mampu bermusafir dengan jauh lebih mudah dan efisien berbanding pedagang-pedagang
lain. Mereka juga mampu menyelesaikan masalah air yang dihadapi oleh kota Petra
menerusi penguasaan kemahiran teknologi. Kaum Nabatea melaksanakan sebuah
sistem pengangkutan dan penyimpanan air yang amat terperinci, sistem yang tak
dapat ditandingi di zamannya dan tiada saingan di daerah berkenaan.
Kawasan tersebut pada
hakikatnya merupakan kawasan banjir kilat. Menerusi pembinaan empangan, tangki
dan saluran air yang penuh teliti, kaum Nabatea mampu mencipta oasis-buatan di
wilayah gersang. Hal ini bukan sekadar berhasil memelihara kelangsungan hidup
mereka, malah ia turut mengangkat status mereka sebagai kerajaan paling
berkuasa di kawasan tersebut.
![]() |
| Permakaman Nabatea di Petra |
Tarikh atau masa
sebenar pembinaan kota-kota Nabatea seperti Petra dan Herga tidak dapat
diketahui, namun binaan tersebut diandaikan sudah pun berdiri kukuh menjelang
hujung abad ke-4SM – iaitu masa di mana kaum Nabatea yang kaya-raya ini menarik
perhatian panglima (dan bakal raja) Greek, Antigonus I (memerintah 306-301SM)
untuk menyerang kerajaan itu.
Pada tahun 312SM,
Antigonus berpura-pura mengadakan hubungan yang baik dengan Nabatea. Beliau
kemudiannya menghantar puteranya, Demetrius untuk mengepalai sebuah serangan
mengejut ke atas Petra. Namun, helah tersebut tidak berhasil memperdayakan
Nabatea yang bersiap-sedia bagi menghadapi Demetrius. Serangan daripada Greek
itu menemui kegagalan dan Demetrius terpaksa mengadakan perjanjian damai dengan
Nabatea sebelum pulang menghadap bapanya. Anak-beranak itu kemudiannya digiring
keluar dari wilayah tersebut dalam sebuah lagi pertembungan.
Kekayaan melimpah-ruah
yang dimiliki Kerajaan Nabatea terus meningkat dan menjadi bahan legenda di
zamannya sendiri. Beberapa abad kemudian, keulungan kerajaan ini masih
disebut-sebut oleh para sejarahwan seperti Strabo (meninggal dunia pada 23M)
dan Diodorus Siculus (abad 1SM).
Secara menyeluruh, dua
orang penulis ini serta penulis-penulis lain menggambarkan Kerajaan Nabatea
dengan naratif yang positif. Diodorus menulis perihal kekayaan Nabatea dan
kebudayaan mereka dalam Jilid XIX bagi karyanya yang berjudul Histories:
“Demi kepentingan
mereka-mereka yang tidak mengetahui, saya anggap perlu untuk menyatakan sedikit
perincian tentan kebudayaan masyarakat Arab satu ini. Mereka percaya bahawa
dengan mematuhi adat-adat tersebut, mereka akan dapat memelihara kebebasan
mereka. Mereka hidup secara terbuka, menghidup udara yang segar – teguh
mempercayai bahawa padang pasir yang tiada sungai mahupun sumber air itu
merupakan kampung halaman mereka, kampung yang tidak memungkinkan mana-mana
pasukan tentera mendapatkan sumber air.
Sudah menjadi kebiasaan
mereka untuk tidak bergiat dalam aktiviti bercucuk tanam, memetik tuaian dari
pokok-pokok buah, menggunakaan arak ataupun membina sebarang binaan rumah – dan
jika ada sesiapa yang dijumpai melanggar adat ini, kematian baginya.
Mereka mematuhi
adat-adat tersebut kerana mereka percaya bahawa orang yang memiliki
perkara-perkara itu (yang disebutkan di atas) dengan mudah akan tunduk pada
tuntutan ‘kuasa’ barangan tersebut – tuntutan yang perlu jika mahu mengekalkan
penggunaannya. Sebahagian daripada mereka menternak unta sambil yang lain pula
menggembala biri-biri di gurun.
Ketikamana kebanyakan
kabilah Arab menjadikan gurun sebagai tempat penternakan (yang juga diamalkan
oleh Nabatea), kaum Nabatea jauh melangkaui kabilah-kabilah yang lain dalam
soal kekayaan walaupun jumlah populasi mereka tidak melebihi sepuluh ribu
orang.
Hal ini kerana ramai
dalam kalangan mereka sudah terbiasa mendagangkan barangan seperti kemenyan,
morhabshi, dan rempah-rempah berharga yang lain, yang didapati dari Arabia
Eudaemon (Yaman).
Kaum Nabatea ini begitu
akrab dengan kebebasan – bila sahaja ada sebuah ketumbukan tentera musuh datang
mendekat, mereka akan berlindung di gurun dan menggunakannya sebagai kubu,
memandangkan kawasan sebegitu tidak mempunyai sumber air dan tidak pula dapat
direntasi oleh orang lain kecuali mereka. Hal ini kerana mereka telah pun
menyiapkan tempat penyimpanan bawah tanah.
Memandangkan rupa bumi
di sebahagian tempat terdiri daripada tanah liat sambil tempat yang lain pula
berbatuan lembut, maka mereka memanfaatkan keadaan tersebut dengan melakukan
penggalian. Mulut lubang yang digali bersaiz sangat kecil, namun saiznya terus
melebar seiring kedalamannya. Setelah meraih hasil akhir, lubang ini memiliki
saiz yang amat besar; di mana setiap sisi mempunyai kepanjangan satu plethrum
(101 kaki atau 30 meter).
Setelah mengisi lubang
ini dengan bekalan air yang diperoleh dari hujan, mereka pun menutup dan
menimbusnya sehingga rata dengan permukaan tanah. Sebelum meninggalkan tempat
penyimpanan tersebut, mereka terlebih dahulu meletakkan tanda yang hanya dapat
diketahui oleh kaum mereka sahaja.
Mereka memberi minum
kepada ternakan mereka selang setiap hari agar jika mereka melalui tempat yang
tidak memiliki sumber air, mereka sudah terbiasa dengan keadaan itu. Haiwan ini
turut dimanfaatkan sebagai makanan dan minuman (susu). Begitu juga dengan
tumbuh-tumbuhan yang dapat dijumpai – ia turut menjadi bekalan makanan kepada
kaum Nabatea ini. Antara tumbuhan tersebut termasuklah lada dan madu asli dari
pokok yang mereka campurkan dengan air untuk diminum.”
AGAMA MASYARAKAT
NABATEA
Tidak banyak maklumat
yang diketahui perihal aktiviti keagamaan masyarakat Nabatea melainkan bahawa
mereka mengamalkan politeisme dan menyembah matahari dalam upacara-upacara yang
diadakan di puncak kuil. Mereka turut memuliakan tuhan-tuhan mereka dalam
upacara-upcara peribadi di rumah.
Terdapat kelas paderi
yang terbuka kepada golongan lelaki dan perempuan. Namun, bagaimana pemilihan
atau persiapan seseorang untuk bergelar paderi tidak pula diketahui. Persis
keadaan di Mesir, kelihatannya para paderi lelaki dan wanita di Nabatea ini
lebih cenderung kepada para dewa berbanding manusia. Malahan, tidak kelihatan
juga sebarang institusi keagamaan melainkan menerusi upacara keraian.
![]() |
| Monumen di Petra |
Dewa-dewa bagi kaum
Nabatea tidak pernah digambarkan dalam bentuk patung berskala-penuh. Namun,
ianya ada diukir pada pintu-pintu gerbang, dinding kuil, bahagian syiling kuil,
permakaman, dan barangan seramik. Tiga dewata yang paling penting bagi kaum
Nabatea pada tahun-tahun awal mereka adalah:
- Al-Qaumm:
Dewa perang, pelindung manusia, dewa waktu malam dan pelindung roh.
- Al-Kutby:
Dewa pengetahuan, penulisan dan ramalan.
- Al-Uzza:
Dewi ibu tertinggi, dikaitkan dengan kuasa dewata dan alam.
Dewata-dewata di zaman
terkemudian pula adalah Manawat (dewi takdir dan kesuburan), Allat (dewi
pembaharuan, kelangsungan zuriat dan kesuburan), dan Dushara (juga dikenali
sebagai Dushares, dewi gunung-ganag dan waktu siang serta dikaitkan dengan
matahari).
Di antara kesemua
dewata ini, Dushara merupakan dewata yang paling lama kekal diingati dan dipuja
di puncak-puncak kuil Nabatea. Dushara masih hadir dalam matawang syiling
mereka walaupun selepas tempoh penaklukan Nabatea yang dilakukan oleh Rom.
RAJA-RAJA NABATEA DAN
KONFLIK YANG DIHADAPI
Masyarakat Nabatea
bersifat celik huruf dan agak maju dalam penulisan Bahasa Arab, walaupun mereka
tidak banyak menulis rekod tentang sejarah mereka sendiri. Pengetahuan
berkenaan kebudayaan, adat-istiadat, serta hayat raja-raja mereka hanya
tercantum dalam tulisan Greek dan Rom selain diisyaratkan menerusi reka bentuk
binaan, kesenian, dan inskripsi ringkas yang ditinggalkan oleh Nabatea.
Seiring dengan
berkembangnya kerajaan mereka, masyarakat Nabatea menjalinkan hubungan dan
berkonflik dengan wilayah-wilayah jiran. Makanya, nama raja-raja mereka turut
disebutkan oleh para penulis dari kuasa-kuasa tersebut.
Terdapat seorang raja
awal yang mungkin bernama Rekem atau Raqmu. Bersempena namanyalah kota yang
kini dikenali sebagai Petra meraih nama. Petra (berasal dari Bahasa Greek yang
bermaksud ‘batu’) adalah nama Greek bagi ibu kota Raqmu. Tarikh hayat dan
pemerintahan raja ini masih lagi misteri, seperti misterinya tarikh ukiran
ajaib di Petra Raja pertama yang tercantum secara jelas dalam catatan sejarah
adalah Aretas I (168SM) dan pemerintahannya dijadikan sebagai tanda permulaan
Kerajaan Nabatea.
Nama Aretas I tercatat
di dalam sebuah inskripsi Nabatea yang bertarikh 168SM dan beliau juga ada
disebutkan di dalam Kitab II Maccabees (5-8) yang turut mengesahkan kewujudan
pemerintahannya pada waktu-waktu itu.
Beliau bertanggungjawab
memperluaskan wilayah Kerajaan Nabatea dan dikenali sebagai “Pemerintah Tirani
Arab” oleh musuh-musuhnya. Beliau membantu Maccabees dari Judea semasa Judea
memerangi Seleucid Greek (168/167-160SM) dan memberi kebenaran kepada Judas
Maccabees untuk melalui wilayahnya ketika melakukan serangan.
Pemerintah Nabatea yang
seterusnya – disebutkan bahawa beliau mewarisi Aretas I namun keadaan
sepertinya lebih cenderung bahawa beliau merupakan pemerintah yang lebih
terkemudian – dikenali sebagai Aretas II (juga Erotimus, 120/119-96SM). Aretas
II terlibat dalam konflik dengan Dinasti Hasmonean. Raja Hasmonean yang bernama
Alexander Janneus (103-76SM) menghancurkan Gaza dan menguasai kota-kota
perhentian di Laluan Setanggi sekaligus menjejaskan ekonomi Nabatea.
Pewaris Aretas II yang
bernama Obodas I (96-85SM) pula berperanan menewaskan Janneus dalam sebuah
pertempuran dan berjaya merebut semula Gaza. Beliau kemudiannya menewaskan
Seleucid-Greek yang ketika itu berada di bawah kepemimpinan Antiochus XII
Dionysius (87-84SM) – si raja itu terbunuh dan bala tenteranya habis musnah.
Selepas meraih
kemenangan ini, rakyatnya sendiri malah berpaling ketaatan daripadanya
sebagaimana yang tercatat dalam sebuah memorial di kuburnya yang berlokasi di
kota Avdat. Kedudukannya diwarisi oleh saudaranya, Rabbel I (85SM) yang
terkorban dalam sebuah pertempuran. Takhta kemudiannya diserahkan kepada
seorang lagi saudaranya yang mengambil gelaran Aretas III (85-60SM).
![]() |
| Avdat |
Aretas III berperanan
memperluaskan wilayah Nabatea dan mendaki masa puncaknya. Beliau menguasai
laluan-laluan perdagangan dari Syria merentas Tanah Arab hingga ke pesisiran
selatan. Pada tahun 64SM, seorang panglima Rom yang bernama Pompey datang
menyerang dan menakluk Syria bagi pihak Rom.
Beliau turut menghantar
panglimanya yang bernama Scaurus untuk merebut Petra. Scaurus tidaklah meraih
kejayaan sebesar Demetrius pada kurun-kurun sebelumnya. Namun, bala tentera Rom
ini jauh lebih kuat berbanding kekuatan Greek yang menggempur Nabatea pada masa
dahulu. Akibatnya, Nabatea terpaksa membayar ufti kepada Rom demi mengekalkan
kemerdekaannya.
Takhta Aretas III
diwarisi oleh Obodas II (60-59SM) yang mangkat tidak lama selepas memegang
kuasa dan kedudukannya diserahkan kepada Malichus I (59-30SM) yang terpaksa
tunduk kepada Herod Agung sebagai raja bawahan.
Beliau digantikan oleh
Obodas III (30-9SM) yang berjaya mempertahankan Kerajaan Nabatea dari kekuatan
Rom dengan menghantar ketua menterinya, Syllaeus untuk “memandu arah” pasukan
tentera Rom yang dipimpin oleh Gallus menuju ke kota-kota Nabatea. Syllaeus
berpura-pura bersifat tulus dalam berkawan dengan Rom sebelum memperdayakan
mereka. Belaiu kemudiannya dihukum bunuh di Rom atas dakwaan berlaku khianat.
Obodas III digantikan
oleh Aretas IV (9SM-40M) yang dianggap sebagai raja Nabatea yang paling hebat. Inskripsi-inskripsi
Nabatea menyebut namanya sebagai “Aretas, Raja Nabatea, kekasih rakyat
jelatanya” dan beliau dipandang sangat tinggi. Isterinya, Chuldu (juga dikenali
sebagai Huldu, Huldo) turut memerintah bersamanya dan mungkin secara sendirian
selepas kemangkatan Aretas IV.
Beliau berjaya
menyatukan kekuatan Nabatea walaupun perlu berhadapan dengan kekuatan Rom.
Malahan, beliau turut meraih perakuan daripada Augustus Caesar sebagai seorang
raja yang berautonomi (memerintah secara sendiri). Hak wanita, kesenian,
kebudayaan, perundangan dan ekonomi Nabatea mencapai tahap tertinggi semasa
zaman pemerintahannya.
Kedudukan Aretas IV ini
diwarisi oleh puteranya, Malichus II (40-70M). Semasa pemerintahannya,
kebanyakan wilayah Nabatea hilang ke tangan Rom. Beliau mencuba, walaupun
gagal, untuk meraih pandangan hormat daripada Rom dengan menghantar pasukan
tentera Nabatea bagi membantu Rom menundukkan Pemberontakan Yahudi 66-70M.
Aretas
IV kemudiannya mangkat, ataupun terbunuh dan takhtanya diwarisi oleh Rabbel II
Soter (70-106M) yang dikenali sebagai raja penyelamat rakyat walaupun beliau
kehilangan lebih banyak wilayah kekuasaan kepada Rom. Prestij Nabatea juga
jatuh merudum semasa pemerintahannya.
Kedudukan beliau
diwarisi oleh saudara perempuannya, Gamilath. Namun, Kerajaan Nabatea pada
waktu itu sudah pun tiba di penghujungnya memandangkan pengaruh kekuasaan Rom
semakin membesar. Kerajaan Nabatea pun ditundukkan dan diserap sebagai wilayah
taklukan Rom pada tahun 106M.
KESIMPULAN
Kota-kota Nabatea
mengalami kejatuhan semasa berada di bawah pemerintahan Rom dan sebuah kejadian
gempa bumi yang berlaku pada tahun 363M pula meranapkan kebanyakan kota
tersebut. Wilayah ini kemudiannya diperintah oleh Empayar Rom Timur (Byzantine)
yang menubuhkan sejumlah gereja di kota-kota tersebut sekaligus menghidupkan
semula sektor komersial sebelum berlaku lagi sebuah gempa bumi pada tahun 551M
– mengakibatkan kemusnahan lanjut. Menjelang Serangan Arab pada abad ke-7M,
kota-kota Nabatea ini telah pun lama ranap dan Nabatea pula dilupakan.
Hanya pada abad ke-19M,
semasa para pengembara Eropah mula melawat kawasan tersebut, barulah kota-kota
seperti Petra ditemui semula. Kebudayaan Nabatea yang unik makin menarik minat
dunia terhadap kota Petra.
Tumpuan kepada Nabatea
semakin berkembang pada abad ke-20M dengan sejumlah sejarahwan dan ahli
arkeologi melawat wilayah berkenaan dan melakukan kerja-kerja ekskavasi di
tapak-tapak purba itu. Petra kemudiannya diisytiharkan sebagai Tapak Warisan
Dunia pada tahun 1985M dan dinamakan sebagai salah satu dari Tujuh Keajaiban
Dunia pada tahun 2007.
Kemahiran masyarakat
Nabatea dalam pertukangan batu jelas terbukti menerusi struktur-struktur Petra
– kemahiran yang dianggap tiada tandingannya di zaman purba. Kebijaksanaan
mereka dalam memanfaatkan setiap inci peluang yang ada turut membenarkan mereka
menjadi kerajaan yang paling kaya di wilayah itu.
Walaupun ketamadunan
ini telah dilupakan selama berabad-abad, pada hari ini ia diperakui sebagai
sebuah kebudayaan yang maju yang tidak hanya berkemampuan untuk menghadapi
cuaca yang panas dan gersang, namun untuk turut mengecap kegemilangan di tanah
tandus seperti itu.
SUMBER
- Ancient Hegra by Laila Nehme
- Nabatean Pantheon
- The Water Supply and Distribution System of the Nabatean City of Petra by Charles R. Ortloff
- Unearthing the History of Mada’in Saleh
- Women in the Nabatean Society by Mahdi Alzoubi, et. al.
- Diodorus Siculus. Diodorus Siculus Histories. (Harvard University Press, 1935).
- Hornblower, S. and Spawforth, A. The Oxford Companion to Classical Civilization. (Oxford University Press, 2014).
- Lankester Harding, G. The Antiquities Of Jordan. (Andesite Press, 2017).
- Mumford, L. The City in History: Its Origins, Its Transformations, and its Prospects. (Mariner Books, 1968).
- Procopius. Procopius' Histories. (Harvard University Press, 1928).
- Strabo. Strabo's Geography. (Harvard University Press, 1929).
- Strassler, R. B. The Landmark Herodotus. (Anchor Books, 2009).
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Kerajaan Nabatea: Tamadun Arab Yang Hilang’
- Get link
- X
- Other Apps



