- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Dalam ketiga-tiga kebudayaan itu, semangat musang dilihat sebagai suatu makhluk yang jahat. Mereka gemar hidup di celah-celah manusia atas pelbagai sebab yang seringkali berakhir dengan nasib malang bagi individu yang terserempak atau hidup bersama dengannya. Faktor utama yang membuatkan semangat musang ini mencari manusia berkemungkinan adalah kerana mereka mahu menyedut nyawa mereka atau memakan daging mereka di samping merampas kesemua ciri yang dimiliki oleh individu terbabit – memori, pengetahuan dan bahkan bentuk tubuhnya.
Nisa Ryan. (2 Jun 2019). Beware the Kitsune, The Shapeshifting Fox of Japanese
Folklore. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-asia/kitsune-0012027
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-asia/kitsune-0012027
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Kitsune (狐狸精), si semangat musang
juga dikenali sebagai Kumiho (구미호) di Korea dan Huli Jing (狐狸精) di Cina. Mereka ini
secara asasya merupakan makhluk yang sama namun memiliki sedikit perbezaan
menurut tempat masing-masing.
夜の暗闇の中で
狐の罠
作るのは簡単です
Di tengah kegelapan malam,
perangkap sang musang,
mudah mengenai mangsanya
Dalam ketiga-tiga kebudayaan itu, semangat musang dilihat sebagai suatu makhluk yang jahat. Mereka gemar hidup di celah-celah manusia atas pelbagai sebab yang seringkali berakhir dengan nasib malang bagi individu yang terserempak atau hidup bersama dengannya. Faktor utama yang membuatkan semangat musang ini mencari manusia berkemungkinan adalah kerana mereka mahu menyedut nyawa mereka atau memakan daging mereka di samping merampas kesemua ciri yang dimiliki oleh individu terbabit – memori, pengetahuan dan bahkan bentuk tubuhnya.
Semakin berusia
seseekor semangat musang itu, semakin bertambah kuasanya. Begitu juga, semakin
banyak nyawa manusia yang disedutnya, semakin bertambah kuasanya. Semangat
musang dikatakan mampu berubah bentuk menjadi manusia setelah ia meraih kuasa
yang cukup dari nyawa-nyawa yang disedut di samping umurnya telah menginjak 500
tahun. Mereka juga dipercayai akan menumbuhkan satu ekor pada setiap 100 tahun.
Semangat musang paling tua dicatatkan memiliki 9 ekor yang memaksudkan bahawa
ia telah hidup selama 900 tahun.
Dalam kisah rakyat Jepun, Kitsune boleh memiliki sehingga sembilan ekor |
KITSUNE SEBAGAI KUMIHO
DAN HULI JING
Di Korea, Kumiho
menggunakan sebiji guli yang dibawa di dalam mulutnya untuk merampas
kebijaksanaan daripada manusia – kebiasaannya menerusi ciuman. Dalam kebudayaan
ini, semangat musang dipercayai boleh berubah bentuk menjadi manusia seawal
usia 100 tahun dan kebiasaannya bentuk manusia yang diambil adalah sebagai
seorang gadis. Namun, semangat musang perlu menggunakan tengkorak manusia yang
diletakkan di atas kepalanya untuk berubah bentuk. Ia juga dipercayai memakan
manusia untuk mengambil bentuk manusia berkenaan.
Hal ini tidaklah
memaksudkan bahawa semangat musang itu sendiri berjantina betina. Namun, bentuk
yang sering diambilnya adalah sebagai gadis jelita yang menawan.
Seekor Kitsune, Puan Kayo, sedang memegang kepala yang dipenggal |
Selain itu, Kumiho juga
sering mengambil bentuk sebagai seseorang yang dikenali oleh mangsa dengan
tujuan supaya si mangsa lebih mempercayainya sekaligus memudahkan semangat
musang untuk menghampirinya. Salah satu ciri untuk mengetahui kalau-kalau
seseorang itu sedang berhadapan dengan Kumiho adalah dengan melihat tingkah
lakunya yang berbeza dengan individu yang disamarnya – sama ada melalui
percakapan mahupun tindakannya memakan makanan yang di luar norma kebiasaan
individu sebenar.
Malahan, musang jelmaan
ini turut berkemungkinan memiliki warna mata yang berbeza atau berbicara dengan
lenggok bahasa yang kuno. Tambahan lagi, kita juga boleh melihat ekornya
memandangkan ekornya sentiasa wujud, tidak dapat disembunyikan walau Kumiho
seupaya mungkin cuba menyelindungkannya dari pandangan si mangsa.
Pahlawan bernama Miura-no-suke berhadapan dengan Puan Tamamo-no-mae setelah ia berubah menjadi Kitsune |
Di Cina, Huli Jing
turut gemar mengambil bentuk sebagai seorang gadis yang lazimnya menggoda
lelaki-lelaki yang memiliki kuasa. Mereka seringkali menyelinap masuk dalam
kehidupan para panglima dan maharaja dengan harapan dapat memanipulasi politik
negara dan menebarkan rancangan jahat di dalam istana demi keseronokan
peribadi.
Dalam legenda-legenda
Cina berkenaan semangat musang, Huli Jingkadangkala tampil sebagai suatu watak
yang sangat baik dan setia kepada lelaki yang hidup bersamanya. Namun pada
waktu yang lain, Huli Jing sering bersikap kejam terhadap mana-mana wanita yang
menghuni rumah berkenaan (saudara mahupun dayang). Beliau gemar mengenakan
muslihat terhadap mereka dan kemudian menampilkannya seolah-olah hanya satu
kejadian kemalangan sahaja. Nasib yang lebih malang andai mangsa kepada Huli
Jing ini adalah seorang puteri tiri.
Menurut legenda Cina,
lelaki yang hidup bersama Huli Jing kebiasaannya dapat mendaki tangga kuasa
dengan begitu cepat, meraih kemasyhuran, harta benda yang melimpah ruah dan
pemilikan tanah yang luas. Namun, sebaik sahaja Huli Jing selesai mengambil
seluruh tenaga yang terhasil dari sifat bermegah-megah si suami dan si suami
itu mula menjadi tua dan nyanyuk sekaligus tidak berupaya menghasilkan tenaga
yang dimahukan oleh Huli Jing, maka makhluk itu akan beredar begitu sahaja.
Beliau akan meninggalkan bekas suaminya itu yang merintih, merana dan berduka
cita terhadap pemergian kekasih yang tidak diketahuinya merupakan semangat
musang.
Kisah rakyat Jepun merincikan Kitsune sebagai makhluk yang gemar memperdaya orang lain dengan menampilkan diri sebeagai penjaga, rakan, kekasih dan isteri yang setia |
Kisah legenda berkenaan
semangat musang dari kebudayaan Cina ini juga dapat dilihat menerusi sebuah
teks klasik Cina yang petikannya disertakan di bawah – sebuah teks yang
menyebut perihal rupa sebenar Huli Jing:
有獸焉,其狀如狐而九尾,其音如嬰兒,能食人
Terdapat seekor makhluk buas berupa seperti musang berekor sembilan, ia berbunyi seperti bayi dan ia memakan manusia
Terdapat seekor makhluk buas berupa seperti musang berekor sembilan, ia berbunyi seperti bayi dan ia memakan manusia
KITSUNE JEPUN
Nama semangat musang
paling biasa didengar dan masyhur dalam kalangan masyarakat hari ini datangnya
dari kebudayaan Jepun – iaitu Kitsune. Di Jepun, Kitsune digambarkan muncul
sebagai lelaki mahupun wanita walaupun lebih sering mereka mengambil bentuk
wanita. Nama Kitsune berkemungkinan diambil daripada dua buah perkataan
berikut:
Kitsu – bunyi yang
dihasilkan oleh musang, dan ia juga boleh membawa maksud “marilah ke sini”.
Tsune – bermaksud “sering”
namun boleh juga memiliki maksud lain; ‘Ki’ diertikan sebagai “warna emas” atau
“tenaga” bergantung kepada Kanji mana yang diguna-pakai. Sementara ‘Ne’ pula
adalah luahan ekspresi positif yang bersifat feminin, seperti “Shiawase-ne!”
(saya sangat gembira” atau “Ii-ne!” (Bagus!).
Jadi, Kitsune boleh diertikan
sebagai “sentiasa berwarna emas” atau “sentiasa bertenaga” bergantung kepada
konteks penterjemahannya.
Secara peribadi, saya
menganggap musang sebagai haiwan yang sangat bertenaga. Maka, pengertian ‘sentiasa
bertenaga’ mempunyai signifikasi tersendiri bagi saya. Walau bagaimanapun,
terdapat sebuah hikayat masyhur yang memerihalkan bagaimana semangat musang ini
meraih namanya. Hikayat tersebut berjudul Nihon Ryouiki atau secara kasarnya
bermaksud ‘Kisah-Kisah Hantu Jepun’.
Hikayat tersebut
mengisahkan:
Suatu ketika dahulu,
terdapat seorang lelaki yang sangat-sangat kesepian. Beliau bekerja keras
sebagai petani di kebun – siang dan malam bekerja tanpa henti. Lantaran itu,
beliau kaya dengan bekalan makanan di samping memiliki rumah sendiri. Namun,
beliau tidak mempunyai isteri untuk melengkapkan hidupnya. Telah bertahun-tahun
lamanya beliau mencari wanita untuk diperisteri, namun tiada yang sesuai
dengannya.
Pada suatu hari semasa
beliau mahu berangkat ke kebunnya, beliau terserempak dengan seorang gadis
jelita. Langsung sahaja beliau jatuh cinta dengan gadis berkenaan. Tidak lama
kemudian, beliau pun melamarnya dan menjelaskan tentang harta-benda yang
dimilikinya bagi meyakinkan bahawa beliau mampu menjaga gadis itu dengan
sebaiknya. Alangkah gembiranya hati lelaki tersebut apabila lamarannya itu diterima
oleh si gadis.
Pasangan itu pun
berkahwin dan mereka hidup bahagia selama beberapa tahun. Kegembiraan mereka
dilengkapkan lagi apabila suatu hari, si isteri memaklumkan kepada suaminya
bahawa beliau sedang hamil. Lelaki itu berasa amat bahagia dan menjaga isteri
serta bakal anaknya dengan begitu baik. Semasa bayinya itu lahir, ternyata
anjing peliharaannya turut melahirkan seekor anak anjing.
Beliau berharap agar
anaknya itu dapat membesar bersama anak anjing itu dan menjadi teman sepermainan
yang akrab. Namun, anak anjing itu membesar menjadi seekor anjing yang bersikap
ganas terhadap si isteri tanpa sebarang sebab. Keadaan berterusan begitu selama
beberapa bulan hinggalah pada suatu hari, anak anjing yang telah besar itu
menggigit tangan si gadis. Kerana khuatir tentang keselamatan dirinya, diri si
gadis itu pun menghilang – digantikan oleh seekor musang berekor sembilan.
Alangkah terkejut dan bingungnya beliau melihat hal ini. Lantas, si isteri,
atau kini musang berekor sembilan itu pun melarikan diri dari rumah.
Hari demi hari, minggu
demi minggu, si isteri tak juga pulang. Keadaan ini membuatkan hati si suami
teramat duka cita. Beliau begitu mencintai dan merindui isterinya. Beliau juga
tidak peduli walaupun isterinya itu merupakan semangat musang. Sepanjang malam
beliau meratapi kehilangan isterinya, memanggil-manggil namanya sambil dengan
suara yang serak-serak basah, menyebut, “Kitsu-ne?” (ke marilah atau
pulanglah).
Kitsune menjelma sebagai gadis jelita |
Kisah-kisah sebegini
sering tercantum dalam sejumlah hikayat yang melibatkan lelaki masyhur yang
dilahirkan dengan keupayaan luar biasa seperti Sami Shugendo, En-No-Gyoja dan
Sami Onmyōdō, Abe-No-Seime. Masing-masing mendakwa beribukan Kitsune.
Walaupun di dalam kisah
yang diceritakan di atas semangat musang bersikap baik dan luhur, beliau tetap
jua membawa kesedihan kepada lelaki yang dicintainya, terutama apabila beliau
memilih untuk lari dan meninggalkan si suami. Dalam versi penceritaan yang
lain, lelaki itu kemudiannya meninggal dunia kerana kesepian sambil versi lain
lagi menyatakan bahawa beliau keluar mencari isterinya dan tidak pulang-pulang
setelah itu.
JENIS-JENIS KITSUNE
Terdapat tiga jenis
Kitsune yang berbeza di Jepun. Setiap satunya mempunyai ciri-ciri istimewa yang
membuatkan mereka kelihatan unik.
Youko – Ia dianggap
sebagai Kitsune walaupun secara peribadi, saya musykil untuk menyenaraikannya
sebagai Kitsune memandangkan ia sebenarnya bukanlah semangat musang, sebaliknya
syaitan yang mengambil bentuk sebagai musang. Puisi mengenai Huli Jing yang
disertakan di atas merincikan bahawa mereka berbunyi seperti baui dan tangisan
tersebut berperanan sebagai umpan yang menarik perhatian mangsa yang pastinya
mahu menyelamatkan ‘bayi’ tersebut. Nasib mangsa tersebut kemudiannya berakhir
dengan dimakan oleh syaitan berkenaan.
Myoubo – Ia merupakan
jenis semangat musang yang secara spesifik cenderung mengkhidmatkan diri
sebagai utusan Dewa Inari O-Kami. Oleh kerana itu, mereka tidak berlaku jahat
sebaliknya bersumpah untuk membantu para pemujanya. Musang inilah yang
digambarkan sebagai patung yang dapat kita lihat di kuil-kuil dan tempat-tempat
suci – patung yang dipakaikan dengan kain lapik berwarna merah.
Patung-patung pelindung Kitsune di Kuil Shinto |
Nogitsune – Mereka merupakan
jenis semangat musang yang boleh berinteraksi hampir secara langsung dengan
manusia. Tidak seperti semangat musang di Cina dan Korea, mereka tidak khusus
bersifat jahat sebaliknya turut bersifat baik. Berbeza dengan Myoubo, mereka
tidak berkhidmat kepada Inari O-Kami dan mereka dianggap ‘liar’. Pun begitu,
mereka sama sekali tidak seperti musang sebenar – mereka boleh memilih untuk
berbuat sesuka hati mereka dan tidak risau tentang konsep karma.
Dalam kesemua
cerita berkenaan Kitsune yang dapat kita temui, Nogitsune merupakan jenis yang
paling lazim muncul. Memandangkan mereka bersifat ‘liar’ atau ‘bebas’, maka
mereka kadangkala gemar mengganggu manusia walaupun dalam keadaan lain mereka
turut berkawan dengan manusia.
KAEDAH UNTUK MENDEDAHKAN
IDENTITI SEMANGAT MUSANG
Di Jepun, identiti
Kitsune dapat didedahkan dengan memanfaatkan beberapa cirinya yang tidak boleh
disembunyikan. Sama seperti Kumiho, ekor dan telinga Kitsune hampir pada setiap
masa dapat dilihat. Kitsune juga seupaya mungkin cuba kekal berada dalam bayang
(gelap) agar ciri-cirinya tidak dapat dilihat dengan jelas. Hal ini kerana
kulit mereka sangat mulus dan bercahaya memandangkan ia tidak banyak terdedah
kepada matahari (bulunya menutup kulit dari disinari matahari).
Selain itu, mereka juga
sering berbicara dengan gaya yang dianggap terlalu ketinggalan. Hal ini kerana
mereka tidak biasa berinteraksi dengan manusia dan kadangkala hanya memunculkan
diri sekali dalam ratusan tahun. Justeru, mereka tidak mengetahui penggunaan
bahasa terkini yang lebih sesuai. Mereka mungkin bercakap dengan begitu
perlahan atau terlalu laju.
Bentuk sebenar Kitsune dapat dilihar menerusi imej pantulan atau bayang-bayang mereka |
Terdapat beberapa
perkataan dalam bahasa Jepun yang dipercayai sukar untuk disebutkan oleh
Kitsune. Salah satunya adalah Moshi. Disebabkan itu, ramai masyarakat Jepun
menyahut ketukan pintu (dan pada zaman moden, menyahut panggilan telefon)
dengan ucapan, “Moshi-moshi?” bagi memastikan si pemanggil itu bukan Kitsune.
Tambahan lagi, Kitsune
dan anjing tidak dapat wujud secara harmoni. Makanya, Kitsune dapat dikenali
apabila mereka menampakkan reaksi permusuhan terhadap anjing – seperti mahu
membahayakan atau berhajat supaya malapetaka tertimpa pada anjing. Anjing pula
sering menyalang dan cuba mengusir Kitsune.
Kitsune dikatakan
memiliki keupayaan untuk menjadi halimunan. Namun, mereka tidak dapat
menyembunyikan bayang-bayang mereka yang akan muncul dalam bentuk musang. Kita
juga dapat melihat bentuk sebenar mereka dengan melewati sebuah bilik dengan
kepulan asap setanggi. Kepulan asap tersebut akan menampakkan bentuk sebenar
mereka dan menakutkan Kitsune. Mereka tidak menyukai bau setanggi.
Kitsune juga dapat
dilihat bentuk sebenarnya menerusi imej pantulan. Oleh kerana itu, mereka akan
menghindarkan diri dari sebarang permukaan yang memantulkan imej seperti
cermin, air, pinggan logam yang bersinar, sudu besi dan periuk besi. Jika ada
gadis yang enggan menyimpan cermin di dalam biliknya, beliau lazimnya akan
disyaki sebagai Kitsune, atau paling tidak, telah dirasuk oleh Kitsune
(Kitsunetsuki).
Selain itu, terdapat
seperkara lagi. Inarizushi merupakan sejenis tofu dan sushi nasi yang digoreng.
Hidangan ini mempunyai rasa yang sangat manis. Inarizushi sering dihidangkan
sebagai persembahan korban untuk Dewa Inari O-Kami. Dikatakan bahawa Kitsune
tidak akan dapat menahan diri dari menjamah sushi ini. Makanya, mereka akan
kembali mengubah bentuknya kepada asal demi menikmati makanan yang lazat itu
justeru dapat mendedahkan identiti sebenar Kitsune.
Hidangan Jepun bernama Inarizushi dipercayai mampu menarik perhatian Kitsune |
Selain itu,
Hoshi-no-tama, iaitu sejenis bola yang lebih kurang seperti guli Kumiho
dipercayai mengandungi sedikit-sebanyak kuasa Kitsune. Ia berupa sebiji bola
bercahaya yang terapung. Bola ini sangat berharga bagi Kitsune. Jika seseorang
dapat menemukan dan menyimpan bola tersebut, Kitsune akan serta-merta bersetuju
untuk berkhidmat kepada individu berkenaan demi meraihnya semula. Namun,
Kitsune juga akan cuba segala ikhtiar untuk mendapatkannya. Sifatnya ini saling
tidak tumpah seperti musang-api.
KITSUNETSUKI – RASUKAN SEMANGAT
MUSANG
Hal ini merupakan satu topik
yang agak rumit dan panjang, terutama bagi kalangan pengamal Shugendo yang
masih mempraktiskan jampi serapah menyeru syaitan. Memadai untuk kita
mengetahui bahawa Kitsune jenis ini (Kitsunetsuki) bukanlah Kitsune yang
sebenar. Begitu juga dengan hakikat bahawa semangat musang boleh merasuki
manusia dan haiwan musang yang sebenar.
Apabila merasuki tubuh
seseorang, Kitsune sering menghadirkan pelbagai masalah. Pada mulanya, ia
bersikap jinak dan tidak berbahaya. Namun lama-kelamaan, mereka akan menjadi
jahat. Seluruh ahli keluarga individu yang dirasuk itu akan terjejas,
terutamanya dalam soal kewangan angkara rasukan semangat musang ini.
Putera Hanzoku dikejutkan oleh seekor Kitsune |
KAEDAH MENGHINDARI
SEMANGAT MUSANG
Cara terbaik untuk
menjauhkan semangat musang dari diri seseorang manusia itu adalah dengan
menguatkan benteng diri. Semangat musang tidak akan mampu mengambil sesuatu
yang tidak diberikan oleh manusia. Mereka bukanlah dewa atau semangat yang
begitu berkuasa. Mengabaikan mereka merupakan pertahanan yang terbaik.
Jika terdapat orang
asing yang tidak jujur; berbicara tentang hujan dan mendung namun dirinya
sendiri berdiri di tengah-tengah hari yang cerah, sebaiknya jangan mudah untuk
terlalu menaruhkan kepercayaan kepadanya. Begitu juga sekiranya terdapat gadis
jelita atau pemuda tampan yang tiba-tiba sahaja berbual dengan anda – keadaan yang
begitu mencarik norma kebiasaan. Jika terlihat warna kuning pada mata mereka,
atau bayangan ekor, maka sebaiknya berwaspada kerana mereka berkemungkinan
adalah Kitsune. Berawas juga jika merasakan diri diekori dan hanya terlihat
bayang cahaya tatkala menoleh.
Kelebihan utama Kitsune
adalah mereka mampu memperdaya manusia dan memasang helah supaya kehidupan
individu berkenaan menjadi bermasalah. Mereka datang bagaikan angin kencang dan
pergi sebelum mangsanya dapat menyedari keadaan sebenar.
SUMBER
- Hearn, L. 2005. Glimpses of Unfamiliar Japan.
- Heine, S. 1999. Shifting Shape, Shaping Text: Philosophy and Folklore in Fox Koan, Univ of Hawaii Press.
- Johnson, T. Date Unknown. Far Eastern Fox Lore.
- Kincaid, C. 2016. Come and Sleep: The Folklore of Japanese Fox. CreateSpace Independent Publishing Platform.
- Lombaderdi, L. 2014. Kitsune: The Divine/Evil Fox Yokai.
- Nozaki, K. 1961. Kitsune: Japan's Fox of Mystery, Romance and Horror.
- Smyers, K. 1998. The Fox and the Jewel: Shared and Private Meanings in Contemporary Japanese Inari Worship. University of Hawaii Press.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Kitsune – Musang Ekor Sembilan Perubah BentukDalam Mitologi Jepun’
- Get link
- X
- Other Apps