- Get link
- Other Apps
- Get link
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Urvija Banerji. (24 Februari 2016). Lakshmibai, The Warrior Queen Who Fought
British Rule in India. Atlas Obscura.
https://www.atlasobscura.com/articles/lakshmibai-the-warrior-queen-who-fought-british-rule-in-india
https://www.atlasobscura.com/articles/lakshmibai-the-warrior-queen-who-fought-british-rule-in-india
Sewaktu berlakunya
pemberontakan awal menentang British Raj di India, muncul seorang pejuang
kebebasan – iaitu seorang pahlawan ratu yang memimpin sendiri pasukan
tenteranya ke medan tempur demi meraih kemerdekaan buat tanah airnya.
Rani dari
Jhansi merupakan salah satu figura kepemimpinan yang unggul dalam Pemberontakan
India 1857. Beliau malah dianggap sebagai simbol penentangan terhadap
kependudukan British di situ. Melebihi segalanya, rani ini merupakan seorang
wanita yang cukup ‘badass’.
Rani, atau ratu Hindu
yang dimaksudkan ini dilahirkan di sebuah kota suci bernama Varanasi pada suatu
tempoh masa sekitar tahun 1828M. Beliau dinamakan sebagai Manikarnika yang
bermaksud “srikandi jauhari”. Sejak awal usia lagi, beliau dikatakan telah
mempunyai ciri-ciri sebagai seorang perempuan yang lasak.
Ibunya meninggal dunia
semasa beliau masih kecil. Rentetan itu, Manikarnika dibawa ke mahligai seorang
ketua menteri, Peshwa. Di tempat itu juga, bapanya berkhidmat sebagai seorang
penasihat. Manikarnika diberikan pendidikan bersama kanak-kanak lelaki lain di
mahligai Peshwa itu. Dalam kesempatan tersebut, beliau dididik dengan pelbagai
kemahiran yang lazimnya tidak diceburi oleh kanak-kanak perempuan pada masa itu
– iaitu kemahiran seni bela diri, kemahiran bermain pedang dan kemahiran
menunggang kuda.
Apabila usianya
menginjak remaja, Manikarnika dikahwinkan dengan Gangadhar Rao, maharaja
Jhansi. Jhansi ialah sebuah wilayah kecil yang terletak di timur laut India.
Sebagaimana budaya lazim bagi ratu-ratu India pada masa itu, Manikarnika
mengambil nama baru selepas berkahwin; Lakshmibai.
Usia maharaja tersebut
dikatakan 20 tahun lebih tua berbanding Lakshmibai yang merupakan isteri
keduanya. Makanya, Lakshmibai tampil lebih lincah dan aktif berbanding
Gangadhar Rao di samping minatnya terhadap kuda kelihatan agak mendalam.
Laksmibai sering berlatih menggunakan senjata-senjata yang terdapat di dalam
istana. Malahan, beliau turut menghimpun dan melatih sekumpulan tentera wanita.
“Perkara sebegini
(kewujudan tentera wanita) mungkin tidaklah begitu aneh,” tulis Allen Copsey
yang mengkaji kehidupan rani Lakshmibai. Hal ini kerana kediaman wanita di
istana sering dikawal-rapi oleh wanita-wanita bersenjata. Pahlawan-pahlawan
wanita itu juga kadangkala terlibat dalam pertempuran. “Apa yang aneh
sebenarnya adalah orang yang bertanggungjawab dalam latihan mereka ini adalah
rani Lakshmibai.”
Patung Lakshimbai yang menunggang kuda bersama sebilah pedang di tangannya, di Solapur, India |
Pada tahun 1853M, iaitu
11 tahun selepas berkahwin dengan Lakshimbai, maharaja Gangadhar Rao mangkat.
Sehari sebelum kemangkatannya, baginda yang tidak dikurniakan zuriat itu
bertindak mengambil seorang putera angkat untuk dijadikan sebagai pewaris
takhta. Sepanjang tempoh waktu sebelum ini, kota Jhansi yang diperintahnya itu
merdeka dari British-Raj walaupun kekal mengambil pendirian pro-British.
Namun, selepas sahaja
kemangkatan maharaja Gangadhar Rao, pihak British langsung merampas wilayah
tersebut dan enggan memperakui kedudukan rani Lakshmibai atau putera angkatnya
sebagai pemerintah wilayah itu, walaupun berulang kali Lakshmibai mengutarakan
rayuan.
Pada tahun berikutnya,
rani diarahkan agar meninggalkan istana dan benteng Jhansi. Lakshmibai
kemudiannya menetap di sebuah istana bernama Rani Mahal. Beliau enggan berpeluk
tubuh dalam menghadapi takdirnya itu. Beliau juga enggan tunduk kepada
kebanyakan tradisi yang lazim diamalkan oleh golongan balu, seperti mencukur
kepala dan mematahkan gelang.
Seorang pegawai
perbandaran British yang bernama John Lang pernah menziarahi beliau di Rani
Mahal untuk mendengar rayuannya. Menurut catatan memoir Lang, Lakshmibai yang
ketika itu berusia sekitar 26 tahun dengan tegas berucap, “Mera Jhansi nahin
dengee!” – ucapan berbahasa Hindi yang bermaksud, “Aku tidak akan sekali-kali
menyerahkan Jhansi milikku itu!”
Pada hakikatnya,
Syarikat Hindia Timur tidaklah menganggapnya sebagai seorang pemerintah yang
tidak berkebolehan. Seorang ejen politik pada masa itu ada menuliskan bahawa
“maharaja Gangadhar Rao pernah meluahkan hajat agar kerajaan (kemerdekaan
India) dapat direalisasikan di tangan isterinya itu (Lakshmibai) semasa hayat
rani tersebut. (Turut dituliskan bahawa rani adalah) seorang wanita yang
dihormati, dimuliakan, dan saya yakin bahawa beliau penuh berkemampuan untuk menyebarkan
keadilan,” tulis Antonia Fraser di dalam bukunya, Warrior Queens.
Gambar Kubu Jhansi yang diambil pada tahun 1882M |
Terdapat begitu banyak
kisah yang memerihalkan kegagahan dan keazaman rani Lakshmibai; Fraser menulis
sebuah catatan yang merincikan keadaan Rani ketika menunggang kuda – tali
kekang kemas digigit di celah giginya dan dua belah pedang tergenggam erat di
tangannya.” Walaupun dengan keupayaan sedemikian, Lakshmibai tidak melakukan
pemberontakan terhadap British kecuali pada tahun 1857M.
Pemberontakan meletus
di wilayah utara India pada tahun 1857M, bermula di Meerut dan kemudiannya
merebak ke Jhansi. Kubu benteng Jhansi dikepung oleh tentera-tentera
pemberontak. Mereka lantas menggempur masuk dan membunuh setiap lelaki, wanita
dan kanak-kanak British yang terdapat di dalam kubu tersebut. Walaupun
penglibatan Lakshmibai di dalam pemberontakan ini masih diperdebatkan, beliau
sejak awal lagi dikaitkan dengan kejadian pembunuhan tersebut.
Seorang doktor tentera
yang bernama Thomas Lowe menyebutkannya sebagai “Jezebel bagi India” (Wanita
Lancang dari India)… Ranee yang muda, bertenaga, berwibawa, teguh pendirian,
tegas dan kepalanya dibasahi darah musuh dan hukuman berat menanti dirinya
(atas ‘jenayah’ yang dilakukan).”
Selepas berlakunya
pemberontakan itu, Lakshmibai kembali ke Jhansi dengan tujuan untuk mengambil-alih
kepemimpinan ke atas kubu tersebut, dan mempertahankannya dari sebarang
serangan. Namun, pihak British tidak mengendahkan permintaan bantuan yang
dilakukan oleh beliau dalam rangka mempertahankan wilayah itu. Bagi pihak
British, Jhansi telah menjadi markas puak pemberontak dan Lakshmibai pula
dianggap sebagai pahlawan ratu mereka.
Pada tahun berikutnya,
Sir Hugh Rose yang merupakan seorang komander dalam pasukan tentera British
diberikan tugas untuk menghapuskan markas-markas pemberontak yang masih berbaki
di India. Atas tujuan itu, beliau pun berangkat ke Jhansi dan susulannya,
Lakshmibai melakukan persiapan untuk menghadapi peperangan.
Menurut Fraser, beliau
menghimpunkan sekitar 14 000 orang sukarelawan dari 220 000 penduduk secara
keseluruhan di samping 15 000 orang tentera India yang pernah berkhidmat untuk
British (dikenali sebagai sepoys). Beliau juga melakukan persiapan yang
sesuai bagi menyiapkan laras-laras meriam di atas tembok benteng.
Sir Hugh Rose (duduk tiga dari kiri), bersama Wizurai India dan pegawai-pegawai perbandaran lain |
Pada bulan Mac 1858M,
pasukan tentera pimpinan Rose menggempur Jhansi dan pahlawan ratu India itu
turut mengepalai sendiri ketumbukannya ke medan tempur. Namun setelah beberapa waktu
berlalu, penentangan dari Jhansi tewas dan rani terpaksa melarikan diri pada
waktu malam bersama putera angkatnya dan berlindung di kota berhampiran.
Pihak British
menggempur kota tersebut pada bulan Mei dan pasukan tentera India yang dipimpin
oleh Lakshmibai sekali lagi ditewaskan. Oleh kerana itu, beliau berundur buat
kali kedua – kali ini ke Gwalior dengan hasrat mahu mengambil kedudukan
strategik di Kubu Gwalior bersama para pemimpin pemberontak yang lain.
Bala tentera British
tiba di Gwalior pada bulan Jun tahun yang sama. Di tempat dan waktu itulah rani
Jhansi pada akhirnya mengalami kekalahan muktamad. Para pemimpin pemberontak
yang lain enggan mendengar cadangannya supaya bersiap-siaga bagi menghadapi
kemungkinan serangan British ke atas Gwalior. Akibatnya, kubu tersebut tumbang
pada tanggal 16 Jun 1858.
Lakshmibai sekali lagi
memimpin sepasukan tentera India bagi memerangi British pada keesokan hari.
Namun, hari tersebut ditakdirkan sebagai hari keguguran beliau di medan tempur.
Tentera-tentera pemberontak pimpinannya lantas kehilangan semangat dan berundur
meninggalkan Gwalior. Tidak dinafikan lagi, kemangkatan rani Jhansi itu
menandakan berakhirnya pemberontakan kaum India terhadap British-Raj.
Dalam suratnya kepada
Duke of Cambridge sejurus selepas kemangkatan Lakshmibai, Sir Hugh Rose
merincikan wanita itu sebagai “seorang yang ulung dalam keberanian, kepintaran
dan keteguhan azam… pemimpin pemberontak yang paling berbahaya bagi mereka.”
Beliau malah menggelarnya sebagai “Joan of Arc bagi India.”
Kolonel Mason pula
menulis di dalam bukunya yang berjudul Historyu of the Indian Mutiny
bahawa “walau apa sekalipun kesalahan Lakshmibai di mata British, rakyat
senegaranya (India) akan sentiasa mengenangnya sebagai seorang yang ditindas
dan dizalimi sehingga beliau mengangkat senjata untuk memberontak dan
mengabadikan kehidupan dan kematiannya demi tanah air.”
BACAAN LANJUT
- Alcibiades. (26 Mei 2017). Rani of Jhansi – The Indian Nationalist Symbol For Resistance To The British Raj. About History.
- Grace Bains. (5 Oktober 2018). Here’s The Story of Rani Lakshmibai, The Queen Who Went To Battle With Her Infant & Two Swords. India Times.
- Pamela D. Toler. (September 2006). Who is Manikarnika? The Real Story of the Legendary Hindu Queen Lakshmibai. History Net.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Lakshmibai: Srikandi Penentang British Di India’
- Get link
- Other Apps