LEGENDA CU CHULAINN

Pautan ke artikel asal:
M R Reese. (3 Oktober 2014). The Irish Story and Legend of Cu Chulainn. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends/irish-story-and-legend-cu-chulainn-002150

Penterjemah: Amir Zayyanid


Cu Chulainn merupakan salah seorang wira yang paling masyhur dalam mitologi Ireland. Beliau muncul dalam kisah-kisah yang terkandung di dalam hikayat Kitaran Ulster, dan kisah-kisah rakyat masyarakat Scotland dan Manx. Disebutkan bahawa beliau adalah anak kepada Deichtine dan dewa Lugh serta anak saudara kepada Conchobar mac Nessa, Raja Ulster.

Nama sebenarnya ialah Setanta. Namun, beliau dipanggil sebagai Cu Chulainn (bermaksud ‘Penjaga Culann’) selepas beliau membunuh seekor anjing pengawal milik seorang tukang besi yang bernama Culann. Setelah kejadian itu, Cu Chulainn menawarkan diri untuk menggantikan tempat anjing tersebut sebagai pengawal sementara anjing yang baru diasuh.

Terdapat pelbagai kisah berkenaan Cu Chulainn di zaman kanak-kanaknya, yang diperkirakan bertarikh sekitar abad ke-9M. Diceritakan bahawa sebagai seorang kanak-kanak, beliau sering memohon supaya beliau dibenarkan untuk menyertai pasukan tentera-budak yang berpangkalan di Emain Macha (kini dikenali sebagai Kubu Navan, Ireland Utara).

Menurut legenda, beliau berangkat sendirian dan kemudian tiba di padang permainan di Emain tanpa mengetahui kewujudan satu budaya yang menuntutnya supaya meminta perlindungan tatkala memasuki kawasantersebut. Kanak-kanak lain melihat perbuatan itu sebagai satu cabaran lantas bertindak menyerang Setanta. Namun, Setanta membelasah mereka semua sendirian dan pergaduhan itu hanya dapat dihentikan oleh Raja Conchobar sendiri.

Pada bahagian cerita yang selanjutnya, Culann si tukang besi menjemput Raja Conchobar untuk bertamu di rumahnya dalam sebuah jamuan. Pada waktu itu, Raja Conchobar sudah pun menaruh kekaguman terhadap Setanta. Makanya, beliau turut mengajak Setanta agar turut menghadiri jamuan berkenaan. Namun, Setanta tidak dapat datang awal di majlis tersebut dan berjanji akan hadir apabila urusannya selesai.

Apapun, Raja Conchobar terlupa tentang satu perkara dan Culann pula pada waktu itu melepaskan anjing pengawalnya yang ganas. Ketika tiba di rumah Culann, Setanta terpaksa membunuh anjing tersebut demi mempertahankan diri. Kematian anjing itu menyedihkan Conchobar. Setanta yang berasa bersalah lantas menawarkan diri untuk menggantikan tempat anjing tersebut sebagai pengawal rumah sementara anjing yang baru diasuh.

Cu Chulainn membunuh anjing pengawal. Mural mozek bertarikh 1974 oleh Desmond Kinney di Nassau Street, Dublin


Semasa Cu Chulain berusia 7 tahun, beliau terdengar ramalan seorang tukang ramal yang bernama Cathbad ketika mengajar murid-muridnya di Emain Macha. Cathbad berkata bahawa mana-mana pelajar yang mengambil senjata pada hari itu akan meraih kemasyhuran abadi.

Berhasrat untuk meraih hal itu, Cu Chulainn pun pergi mendapatkan Raja Conchobar dan meminta senjata padanya. Berbagai-bagai jenis senjata diberikan oleh Raja Conchobar kepada Cu Chulainn, namun tidak ada satu pun yang sesuai dengan kekuatan anak kecil itu. Keadaaan berlanjutan sebegitu hinggalah beliau menyerahkan senjata miliknya sendiri.

Malangnya, Cu Chulainn tidak mendengar ramalan Cathbad itu sepenuhnya. Beliau tidak menyedari bahawa pelajar yang mengambil senjata pada hari itu sememangnya akan meraih kemasyhuran yang abadi, namun jangka hayatnya akan menjadi pendek.
Sebaik sahaja Cu Chulainn meningkat dewasa, beliau berimpian mahu melamar Emer, puteri Forgall Monach. Namun, impiannya itu dihalang oleh Forgall yang menyuruh Cu Chulainn  agar berlatih dengan pahlawan wanita dari Scotland, iaitu Scatach. Niat sebenar di sebalik arahan Forgall itu adalah supaya Cu Chulainn terbunuh semasa latihan.

Ketika Cu Chulainn keluar mengembara untuk berlatih, Forgall mengaturkan perkahwinan di antara Emer dengan Lugaid mac Nois, raja wilayah Munster. Namun apabila Lugaid mengetahui bahawa Emer mencintai Cu Chulainn, beliau enggan mengahwininya.

Scathach mengajarkan segala seni perang kepada Cu Chulainn. Antara rakan-rakan yang turut berlatih bersamanya adalah Ferdiad, yang menjadi rakan karib Cu Chulainn dan saudara-sumpahnya. Sewaktu berada dalam tempoh latihan dengan Scathach itu, beliau sempat berhadapan dengan Aife, seteru sejati Scathach. Walaupun pertarungan di antara mereka berdua berlangsung seimbang, Cu Chulainn pada akhirnya berjaya menewaskan Aife dan menuntut supaya mengandungkan anaknya.

Semasa Aife sedang mengandung, Cu Chulainn meninggalkan Scotland dan kembali ke pangkuan kekasihnya, Emer. Pun begitu, Forgall masih jua enggan merestui perkahwinan mereka berdua. Berang dengan pendirian Forgall, Cu Chulainn menggempur kubu Forgall, membunuh 24 orang pengawalnya, membawa lari Emer dan mencuri harta-benda Forgall. Forgall sendiri meninggal dunia dalam kejadian itu.

Cu Chulainn bertarung melawan Ferdiad. Mural mozek bertarikh 1974 oleh Desmond Kinney di Nassau Street, Dublin


Raja Conchobar sebenarnya berasa khuatir kalau-kalau Cu Chulainn berkahwin dengan Emer. Hal ini kerana beliau memiliki ‘hak malam pertama’ dalam semua perkahwinan rakyatnya. Oleh kerana itu, beliau khuatir terhadap reaksi Cu Chulainn andai beliau meniduri Emer. Pada masa yang sama, beliau turut risau akan kehilangan kuasa dan maruahnya jika tidak berbuat demikian. Si peramal Cathbad mencadangkan supaya Conchobar meniduri saja Emer, dan dia sendiri akan berbaring di tengah-tengah.

Selepas 8 tahun berlalu, anak Cu Chulainn yang dikandungkan oleh Aife, iaitu Connla, keluar berkelana mencari bapanya. Apabila Connla enggan memperkenalkan diri di hadapan Cu Chulainn, wira Ulster itu malah bertindak membunuhnya.

Ketika sedang nazak, Connla sempat menuturkan kata-kata terakhir yang mengisyaratkan bahawa Cu Chulainn pasti akan dapat “membawa bendera Ulster ke gerbang Rom dan wilayah-wilayah yang lebih jauh dari itu.” Mendengar kata-kata itu, Cu Chulainn berasa sebak dan berdukacita kerana telah membunuh anaknya sendiri.

Beberapa tahun pun berlalu dan Cu Chulainn bersama tunggangannya keluar berhadapan dengan sekumpulan lelaki yang berpakat mahu membunuhnya. Mereka semua adalah anak lelaki kepada orang-orang yang telah dibunuh oleh Cu Chulainn sebelum ini. Semasa dalam perjalanan, Cu Chulainn sempat bertembung dengan tiga orang tua bermata-satu yang sedang memakan anjing panggang. Mereka menjemput Cu Chulainn untuk turut sertai mereka menjamah makanan tersebut.

Cu Chulainn sebenarnya mempunyai beberapa pantang-larang (gessa) yang akan memberikannya musibah andai dilanggar. Dua daripada gessa itu adalah beliau tidak dibenarkan sama sekali memakan daging anjing dan menolak layanan baik. Dalam situasi sebegini, beliau tidak ada pilihan lain dan terpaksa melanggar salah satu pantang-larang tersebut.

Beliau pun menjamah daging itu dengan satu gigitan lalu meletakkannya di bawah pehanya. Tangan dan peha yang digunakan itu serta-merta menjadi lemah (lumpuh). Cu Chulainn kemudian menyambung perjalanannya dan terbunuh semasa memerangi musuh-musuhnya itu.

Ketika beliau tercedera parah, beliau sempat mengikat tubuhnya di sebuah tiang dalam postur berdiri agar beliau dapat mati berdiri dan menghadap ke arah musuh-musuhnya. Sesuai seperti ramalan di usia mudanya, Cu Chulainn sememangnya meraih kemasyhuran yang abadi, namun beliau meninggal dunia pada usia yang muda.

Kematian Cu Chulainn. Mural mozek bertarikh 1974 oleh Desmond Kinney di Nassau Street, Dublin


Legenda Cu Chulainn masih lagi diceritakan sehingga ke hari ini. Sebagai seorang wira mitologi, kisah tentang kekuatan dan kuasanya terus dihidupkan dan diceritakan lagi dan lagi. Pada hari ini, Cu Chulainn dijadikan sebagai simbol kebangsaan oleh nasionalis Ireland dan Ulster (Ireland Utara).

Nasionalis dari Ireland memandangnya sebagai wira Celtic-Irish yang paling penting sambil pejuang kesatuan pula melihatnya sebagai wira Ulster yang terkorban dalam melindungi wilayahnya dari serangan musuh-musuh dari selatan.


SUMBER
  • Cu Chulainn. Encyclopedia Britannica.
  • Setanta Wall. Richard Marsh, Bardic Storyteller.
  • Cu Chulainn. Wikipedia.
  • Cu Chulainn. Mythology.wikia.