- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Epoch Times. (3 Mei 2018). The Legend of Zhuge Liang Seeking a Wife. Ancient
Origins.
Penterjemah: Amir Zayyanid
Zhuge Liang merupakan seorang ahli politik, strategis ketenteraan dan ahli
inovasi yang masyhur pada zaman Tiga Kerajaan di Cina. Terdapat beberapa
variasi kisah perihal pertemuannya dengan isteri beliau yang dikenali sebagai
Puan Huang. Kisah berikut merupakan hikayat legenda yang memerihalkan
penitikan-beratnya dalam menghargai kebijaksanaan akal berbanding kecantikan
fizikal.
LAMARAN PERKAHWINAN
Semasa Zhuge Liang berusia 17 atau 18 tahun, beliau keluar ke Wolong
Gang yang terletak di Kota Nanyang, Wilayah Henan. Di sana, beliau membina
sebuah teratak jerami dan bercucuk tanam serta menjalani pembelajaran dengan
bersungguh-sungguh.
Seorang lelaki (tuan tanah) yang bernama Huang Chengyan tinggal di
Perabung Wolong Gang. Beliau menjadi tertarik hati pada Zhuge Liang setelah
mendapati bahawa pemuda itu merupakan seorang yang bijak dan berperibadi luhur.
Maka, beliau pun sering menziarahi Zhuge Liang. Memandangkan Huang merupakan
seorang yang sangat berpengetahuan, maka Zhuge Liang pun memberikan
penghormatan yang tinggi kepadanya. Beliau sering meminta nasihat dan bantuan
Huang dalam menyemak tulisan-tulisannya.
Selepas berlalu suatu tempoh masa, Huang mengambil keputusan untuk
melamarkan anak perempuannya kepada Zhuge Liang. Lamaran tersebut tidak
diterima oleh Liang memandangkan beliau pernah mendengar khabar bahawa anak
perempuan Huang merupakan seorang perempuan yang hodoh. Namun, beliau tidak
menolaknya secara langsung.
Oleh kerana itu, lamaran perkahwinan itu didiam-sepikan. Sejak itu,
Huang dan Zhuge tidak lagi bercakap tentang perkahwinan tersebut sebaliknya
hanya berkongsi ilmu pengetahuan seperti biasa.
Pada suatu hari, Huang berkata Zhuge, “Aku sering menziarahi kamu tapi
kamu tidak pernah pun menziarahiku.” Zhuge Liang pun membalas, “Maafkan saya kerana bertingkah tidak sopan.
Kali ini, saya akan menziarahi kamu.”
![]() |
| Zhuge Liang, Kuil Zhao Lie, Chengdu, Sichuan, China |
LIANG MENERIMA SAMBUTAN HANGAT
Beberapa hari kemudian, Zhuge Liang pun menziarahi Huang. Selepas
memperkenalkan dirinya kepada pengawal yang menjaga pintu, pengawal itu pun
berkata, “Tuan Huang mengarahkan kepada kami agar jika Tuan Zhuge ada datang ke
mari, maka kami perlu segera menuntunnya masuk. Mari, silakan masuk!”
Zhuge Liang pun melangkah masuk dan melihat pintu kedua di hadapannya
tertutup rapat. Maka, beliau pun mengetuk pintu itu sebanyak dua kali sebelum
ia dibuka. Setelah Liang melangkah masuk, pintu tersebut tertutup dengan
sendiri sekaligus membuatkan pemuda itu tercengang kehairanan. Pandangan yang
tadinya ditoleh ke belakang kini diperbetul menghadap ke arah hadapan.
Namun, beliau tiba-tiba sahaja terdengar satu suara yang kemudiannya
disusuli oleh terpaan dua ekor anjing yang berlari ke arahnya – seekor berwarna
hitam pekat sambil seekor lagi putih bak salji. Habis Liang disalak dan dikejar
oleh kedua-dua anjing tersebut. Liang mahu berpatah balik, namun pintu masih
juga tertutup rapat. Beliau begitu panik.
Mujur, seorang pelayan rumah bergegas membantunya dan membelai kepala
anjing tersebut. Maka, kedua-dua anjing itu pun kembali tenang. Si pelayan itu
kemudian memintal telinga kedua anjing itu dan mereka pun berlari ke celahan
pokok bunga. Didorong oleh rasa ingin tahu, Zhuge Liang pun mengekori kedua-dua
anjing itu dan melihatnya dengan lebih dekat.
Setelah diamat-amati, beliau menyedari bahawa kedua anjing itu diperbuat
daripada kayu dan dilitupi oleh kulit anjing. Zhuge pun bertanya kepada si
pelayan tentang gerangan yang mencipta anjing tersebut. Namun, si pelayan hanya
tersenyum dan berlalu pergi.
![]() |
| Ilustrasi Zhuge Liang oleh Sng Chen Chen |
Liang meneruskan perjalanan. Tatkala sampai ke pintu yang ketiga, beliau
diterpa oleh dua ekor harimau pula. Liang berfikir, “Mungkin, ini juga harimau
buatan.” Maka, beliau pun membelai kepala harimau tersebut. Namun alangkah
terkejutnya beliau kerana kedua-dua harimau tersebut masih terus menerpa ke
arahnya dengan mulut yang ternganga.
Habis Zhuge Liang terjelapak jatuh dan pergerakannya terkunci, enggan
dilepaskan oleh harimau-harimau tersebut. Si pelayan datang sekali lagi untuk
membantunya dan berkata, “Kamu ini cuba-cuba berlagak tahu. Manalah boleh kamu
melayan harimau sama seperti kamu melayan anjing.”
Sebaik menuturkan kata-kata itu, si pelayan itu pun mengusap punggung
harimau itu yang mula duduk diam.
![]() |
| Zhuge Liang, Kuil Marquis Wu, Baoji, Shaanxi, China |
ZHUGE SEMAKIN BERWASPADA
Liang berasa malu dengan keadaan itu dan mengeluh, “Sukar sekali mahu
masuk ke laman rumah yang luas ini. Bolehkah bantu tunjukkan jalan pada saya?”
Si pelayan membalas, “Saya sedang sibuk mengisar tepung (untuk dibuat
mi).”
Liang pun menoleh ke arah sebuah mesin pengisar tepung yang terletak
berhampiran. Pada pengisar itu terdapat seekor keldai yang sedang berlari dalam
bulatan (menolak pengisar tersebut). Beliau terkesima lantas berkata, “Wah!
Saya hanya mengetahui yang Tuan Guru Huang ini seorang yang sangat
berpengetahuan. Tidak tahu pula saya yang beliau mampu menghasilkan benda
seperti ini!”
Si pelayan itu tergelak kecil dan berkata, “Tuan Huang tidak ambil tahu
tentang benda-benda seperti ini.”
Liang bertanya dengan kehairanan, “Kalau bukan beliau, siapa lagi?”
“Silakan masuk. Kamu akan mengetahuinya juga nanti,” balas si pelayan.
Liang kemudian bermonolog, “Setiap kali aku memasuki sebuah pintu, pasti
aku disambut dengan satu ciptaan yang memberikan masalah kepadaku. Apa yang
harus aku lakukan?” Ketika beliau sedang teragak-agak seperti itu, pintu di
hadapannya pun terbuka dan muncullah seorang gadis. Tubuh gadis itu agak tinggi
dan perilakunya sopan, namun wajahnya sedikit kehitaman dan berbintik-bintik.
Gadis itu kemudian bertanya kepada pelayan, “Siapakah tetamu ini?”
Sebelum sempat si pelayan itu menjawab, Liang memberi tunduk hormat dan
membalas, “Nama saya ialah Zhuge Kongming dari Wolong Gang. Saya datang ke sini
untuk menziarahi Tuan Guru Huang.”
“Silakan masuk!” ujar gadis itu sebelum kembali melangkah ke dalam
rumah. Si pelayan yang melihat Zhuge Liang masih tercegat lantas menggesanya,
“Ikutlah cik muda. Pintu sudah pun terbuka dan cik muda akan menghentikan semua
ciptaan yang bakal keluar. Tiada apa yang akan keluar dan menakutkan kamu.”
Liang pun meneruskan perjalanan dengan penuh berhati-hati. Setelah melalui
beberapa buah sudut dan memasuki beberapa buah pintu, akhirnya beliau pun
sampai ke bangunan kediaman.
PENCIPTA GENIUS
Huang menuntun Zhuge Liang naik ke tingkat atas dan apabila
masing-masing telah melabuhkan punggung, Liang yang tidak dapat menahan rasa
ingin tahu tentang gerangan pencipta alatan-alatan yang ditemuinya tadi pun
segera berkata, “Sukar sekali mahu menziarahi guru.” Beliau kemudiannya
menceritakan kepada Huang segala hal yang dilaluinya sebentar tadi.
Huang ketawa terbahak-bahak lalu berkata, “Anak perempuan saya yang
hodoh itu sering sekali menghasilkan ciptaan seperti itu. Tak baik betul tuan
rumah untuk menakut-nakutkan tetamu seperti kamu.”
Liang tersipu malu setelah mendengar penjelasan Huang itu dan mula
meleteri dirinya sendiri, “Oh Zhuge Liang! Kepala kau ini benar-benar
bermasalah! Tuan guru telah melamarkan
anak perempuannya untuk kau kahwini, tapi engkau pula membenci wajahnya yang
hodoh. Di mana lagi kau boleh temukan orang yang sebegini berbakat? Dan dengan
bakat yang sebegini, di mana pula letaknya kehodohan dia?”
Lantas, beliau pun berkata, “Kebijaksanaan Cik Muda Huang sememangnya
melangkaui jangkauan dan saya benar-benar mengaguminya.”
Huang membalas, “Anak perempuan itu sangat hodoh wajahnya. Saya telah
cuba melamarkannya kepada orang lain, tetapi…”
Belum sempat Huang menghabiskan kata-katanya, Liang mencelah, “Saya
datang ke mari semata-mata untuk menziarahi bapa mertua saya!” sambil melutut
dan memberi sujud hormat kepada Huang. Huang tergelak kecil melihat tindakannya
itu dan segera membangunkannya.
![]() |
| Zhuge Liang. Imej ini termuat dalam buku berjudul ‘Wan hsiao tang-Chu chuang-Hua chuan’ yang diterbitkan pada tahun 1921 |
ZHUGE LIANG DAN CIK MUDA HUANG BERKAHWIN
Zhuge Liang dan Cik Muda Huang pun kemudiannya berkahwin. Mereka berdua
saling membantu dan berkongsi pengetahuan sesama mereka. Diceritakan bahawa
banyak buah fikiran Zhuge Liang lahir hasil dari perbincangannya dengan Cik
Muda Huang.
Di dalam buku dan legenda-legenda lama, terdapat pelbagai kisah
berkenaan ciptaan Zhuge Liang. Antaranya adalah kerbau kayu yang boleh berjalan
sendiri dengan bantuan roda dan pemegang. Dalam Hikayat Tiga Kerajaan (Romance
of the Three Kingdoms), terdapat kisah di mana Zhuge Liang menggunakan
lampu 7 bintang untuk memanjangkan usianya. Terdapat juga cerita bahawa Zhuge
Liang menyeru Tiupan Angin Timur.
Cik Muda Huang telah membuat ciptaan anjing dan harimau dengan
menggunakan kayu. Buku-buku lama juga ada mencatatkan bahawa Lu Ban, seorang tukang
kayu yang hebat, pernah mencipta burung kayu yang mampu terbang selama 3 hari
dan 3 malam. Keilmuan di zaman Cina purba dikatakan jauh lebih maju berbanding
keilmuan pada zaman moden.
- Get link
- X
- Other Apps




