NAGA BROSNO – RAKSASA JAHAT DARI RUSSIA?

Pautan ke artikel asal:
Sarah P Young. (23 Mei 2019). The Brosno Dragon: The Loch Ness Monster’s Evil Russian Cousin? Ancient Origins
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/brosno-dragon-0011946

Penterjemah: Amir Zayyanid


Ramai dalam kalangan kita agak terbiasa dengan legenda Raksasa Loch Ness – seekor naga misteri yang dipercayai bersembunyi di Loch Ness, Scotland. Naga Brosno atau juga dikenali sebagai Brosnya, merupakan satu makhluk yang sama mengerikan, cuma yang ini berasal dari Tasik Brosno, barat Russia.

Mungkinkah terdapat kebenaran di sebalik dakwaan kononnya Tasik Brosno dihuni oleh makhluk misteri itu? Dan jika ada benarnya dakwaan itu, apakah sebenarnya rupa makhluk itu?


TASIK BROSNO

Tasik Brosno yang dipercayai sebagai tempat penghunian Naga Brosno terletak di wilayah Tver, Russia. Ia dikelilingi oleh kampung-kampung terpencil yang mengerikan dan rumah-rumah di situ juga kesemuanya using. Walaupun pada kebiasaannya terdapat beberapa orang yang sering mengunjungi tasik berkenaan, kebanyakannya mengatakan bahawa kawasan di situ sememangnya tersisih dari kesibukan pembangunan.



Tasik ini sendiri memiliki paras kedalaman yang agak tinggi (43 meter). Lebih menambahkan ciri keseraman pada tempat ini, dipercayai terdapat sebuah gereja yang tenggelam, terletak berhampiran sebuah pulau. Berikutan kesukaran untuk melakukan kerja-kerja penggalian arkeologi bagi menaikkan gereja berkenaan, ujian pentarikhan tidak dapat dijalankan bagi mengenal pasti usia bangunan tersebut. Malah, individu yang berkemungkinan memiliki sebarang pengetahuan tentang gereja itu pula sudah lama meninggal dunia.

Turut dipercayai bahawa terdapat sejumlah spesis ikan yang hidup di dalam Tasik Brosno. Orang-orang yang mempercayai legenda Naga Brosno menganggap tasik ini lebih daripada cukup untuk membekalkan makanan kepada makhluk raksasa itu.


LEGENDA BROSNYA

Naga Brosno berkemungkinan pada mulanya kelihatan seperti raksasa Loch Ness. Namun, insiden penampakan Naga Brosno ini menjangkau usia yang lebih awal, iaitu abad ke-13M. Dikisahkan bahawa naga ini menyerang dan menakutkan sekumpulan tentera berkuda Tatar-Monggol yang pada waktu itu sedang menyerang Russia. Sejak itu, legenda ini terus hidup di mana setiap generasi menyampaikan hikayat ini secara lisan dan menokok-tambah pengalaman mereka sendiri melihat makhluk tersebut.

Sebuah legenda menceritakan bagaimana mulut sebuah makhluk ternganga dengan luas di tasik dan menelan para nelayan berserta perahu mereka. Ada juga legenda di mana sekumpulan Varangian (Viking) yang mahu menyembunyikan harta rampasan mereka di tasik tersebut – naga itu muncul dari tasik dan menelan seluruh pulau sekaligus menggagalkan rancangan mereka.



Menjelang abad ke-19M, insiden penampakan makhluk ini mula berkurangan. Berbanding menelan seluruh pulau atau perahu, Naga Brosno dikatakan hanya muncul pada waktu malam dan akan menyembunyikan diri jika ada orang yang menghampirinya. Namun, Brosnya kekal kepada sifat-membunuhnya pada 1940an, di mana ia dikatakan telah menelan seluruh badan kapal terbang Jerman.

Pada hari ini, penduduk tempatan terus mempercayai bahawa Naga Brosno merupakan entiti yang bertanggungjawab menenggelamkan sejumlah perahu dan kehilangan manusia. Akhbar Karan + Ya, iaitu sebuah akhbar tempatan bagi wilayah di sekitar Tasik Brosno sering membuat liputan berkenaan legenda itu dan melawat sendiri tasik berkenaan dengan harapan dapat menangkap gambar makhluk misteri tersebut untuk dipertontonkan kepada seluruh dunia.


APAKAH ITU NAGA BROSNO?

Naga Brosno meraih panggilan yang sebegitu (naga) memandangkan ia dirincikan memiliki rupa seperti seekor naga di dalam legenda. Namun pada hari ini, naga ini cenderung dirincikan sebagai seekor dinosaur – dan seperti Raksasa Loch Ness, sesiapa yang mempercayai bahawa Brosnya benar-benar menghuni Tasik Brosno menspekulasikan bahawa ia pada hakikatnya adalah seekor dinosaur yang masih hidup.

Pandangan yang lebih skeptik pula mengandaikan penampakan tersebut sebagai suatu yang lain. Ada yang berpendapat ia bukanlah dinosaur atau naga, tetapi adalah memerang mutasi. Pandangan lain pula menyebutkannya sebagai ikan kuno yang sangat besar – bersaiz gergasi sesuai dengan usianya yang begitu tua.



NAGA ATAU FENOMENA SEMULA JADI?
Walaupun terdapat sebahagian yang berpendapat bahawa Brosnya adalah satu spesis makhluk yang tidak dikenali sambil yang lain pula berpandangan bahawa ia sebenarnya adalah satu makhluk yang biasa, wujud satu lagi pandangan yang agak pelik – iaitu Brosnya bukanlah seekor haiwan, sebaliknya adalah kesan dari fenomena semula jadi.

Kononnya, fenomena ini merupakan perkara yang sama yang membuatkan kerja-kerja ekskavasi arkeologi di tasik berkenaan mustahil untuk dijalankan – walaupun penyelidik sedia maklum bahawa terdapat rekahan pada dasar tasik berkenaan, masing-masing tidak tahu secara tepat kedalaman tasik itu. Terdapat sebilangan yang berpendapat bahawa rekahan itu sebenarnya adalah gunung berapi. Jika benar, ia boleh mencerahkan banyak perkara berkenaan misteri legenda Naga Brosno.

Terdapat satu letusan gunung berapi yang secara spesifik berlaku di dalam air, dipanggil sebagai letusan limnik di mana keadaan ini akan membebaskan kepulan gas maut dari tasik yang berupaya membunuh haiwan dan manusia. Air yang berbuih itu berkemungkinan disalah anggap sebagai makhluk aneh. Memandangkan fenomena seperti ini masih belum lagi difahami pada waktu itu, maka misteri kehilangan nelayan dan tentera Monggol secara mudah dianggap sebagai angkara raksasa.


Pendapat terakhir mencadangkan bahawa Naga Brosno tidak lain adalah ilusi. Kebanyakan penampakan terkini berlaku pada musim panas, masa di mana fatamorgana menghasilkan ilusi optik pada permukaan tasik. Hal ini sememangnya lebih masuk akal dan munasabah berbanding teori kewujudan naga atau memerang mutasi, namun pandangan ini meninggalkan sejumlah persoalan yang tiada jawapan.

Jika Naga Brosno benar-benar merupakan suatu ilusi, mengapa terdapat banyak laporan yang mengatakan nelayan ditelan dan tidak mungkin penduduk di situ ditakutkan hanya dengan kemunculan makhluk itu? Lebih menghairankan, bagaimana boleh generasi demi generasi penduduk tempatan boleh tersalah anggap antara satu fenomena semula jadi dengan satu kemunculan makhluk raksasa?


PENCARIAN NAGA BROSNO

Pada musim panas tahun 2002, para saintis dari Kosmopoisk melakukan penyelidikan yang cuba mencari perkaitan demi perkaitan untuk menemukan kebenaran di sebalik legenda Naga Brosno. Pasukan ini menjalankan ujian gema bunyi di dalam tasik itu dan mendapati sememangnya terdapat anomali di tasik berkenaan – iaitu sebuah jisim-seperti-jeli bersaiz gerabak yang memiliki ketinggian mencecah 5 meter dari dasar tasik. Namun, usaha lanjut untuk cuba mengenal pasti jisim berkenaan tidak berhasil mencapai kejayaan.

Persoalan yang berbangkit daripada legenda Naga Brosno ini sangat mirip dengan persoalan yang berlegar seputar legenda Raksasa Loch Ness. Jika memang benar wujud Naga Brosno, adakah ia berbentuk ikan bersaiz besar yang spesisnya belum lagi didokumentasikan? Ataukah ianya adalah dinosaur hidup yang spesisnya itu mampu hidup di lokasi spesifik ini selama jutaan tahun? Adakah terdapat lebih banyak Naga Brosno atau adakah ianya hidup bersendirian sejak kali pertama ia dilihat pada abad ke-13?

Walau apapun keadaannya, Tasik Brosno ini sendiri dilihat lebih misteri berbanding Loch Ness. Lokasinya yang terletak di ceruk hutan Russia dan berbatu-batu jauh dari pembangunan membuatkan tasik ini terasa terpencil dan terpinggir. Kewujudan gereja yang tenggelam yang mana usaha untuk menjejaknya adalah sangat berbahaya, menambahkan lagi faktor kemisterian tasik berkenaan.

Pun begitu, status gereja ini mengukuhkan lagi teori bahawa makhluk ini mustahil untuk ditemukan atau diseldiki – para penyelidik sedia maklum tentang kewujudan gereja tersebut dan mereka sendiri mempunyai hasrat untuk mempelajarinya, tetapi masing-masing berasa mustahil untuk melakukannya. Melainkan teknologi terus berkembang maju, ternyata gereja dan Naga Brosno ini akan terus menjadi suatu rahsia yang menyelubungi insan-insan yang pernah menyaksikannya sendiri di Tasik Brosno.


SUMBER