- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (13 Oktober 2018). Ogedei Khan: Only His Death Could Save Europe
from the Mongols. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/ogedei-khan-0010837
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/ogedei-khan-0010837
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Ogedei Khan merupakan
Khagan ke-2 (Khagan bermaksud Khan Agung) bagi Empayar Monggol. Beliau adalah
putera ketiga Genghis Khan dan menggantikan kedudukan bapanya pada tahun 1229M.
Ogedei melanjutkan kempen perluasan kuasa Empayar Monggol, sebuah tugas yang
beliau warisi bersama takhta bapanya.
Semasa tempoh
pemerintahan beliau, Monggol pada akhirnya berjaya menewaskan Dinasi Jin dan
memulakan serangan ke atas Song Selatan. Pada masa-masa ini jugalah Monggol
melancarkan kempen pertamanya ke atas Korea. Di barat pula, Monggol mengukuhkan
kuasanya di Parsi. Steppe Russia dan Eropah Timur turut menjadi mangsa taklukan
mereka sementara Eropah Barat pula hanya terselamat dengan kemangkatan mengejut
Khan Agung ini pada tahun 1241M.
KEHIDUPAN AWAL OGEDEI
KHAN
Ogedei Khan dilahirkan
sekitar tahun 1186M sebagai putera ketiga Genghis Khan. Ibunya bernama Borte
Khatun, isteri pertama Genghis Khan. Ogedei dikatakan menjadi putera kesayangan
bapanya, walaupun pada hakikatnya pemilihan beliau sebagai pewaris takhta hanya
berlaku kerana pergaduhan yang tercetus antara dua abangnya, Jochi dan
Chagatai.
Genghis Khan bersama tiga dari empat orang puteranya |
Sebelum bermulanya
serangan ke atas Empayar Khwarazmi, Genghis Khan memanggil keluarganya
menghadiri sebuah kurultai bagi tujuan memilih pewaris. Sebagai abang sulung,
Jochi pada mulanya dijangka akan menggantikan kedudukan bapanya. Namun, putera
kedua Genghis Khan enggan memperakui keadaan tersebut dan sebaliknya
mencadangkan supaya Ogedei dinamakan sebagai calon waris. Hal ini dipersetujui
oleh Genghis Khan.
PENAKLUKAN-PENAKLUKAN
AWAL OGEDEI KHAN
Ogedei dicatatkan
sebagai seorang komander tentera yang berkebolehan. Beliau mengambil bahagian
dalam kempen bapanya memerangi Dinasti Jin serta serangan ke atas Empayar
Khwarazmi. Di Samarkand, Ogedei dicatatkan berperanan memimpin pengepungan
berikutan perbalahan yang berlaku di antara kedua-dua abangnya. Kota itu
kemudiannya berjaya ditawan dan dimusnahkan.
Ogedei Khan |
Genghis Khan mangkat
pada tahun 1227M dan Tolui, anak bongsunya dijadikan sebagai pemangku selama
dua tahun. Kemudian, Ogedei dilantik sebagai Khagan yang baru bagi Empayar
Monggol. Karisma Ogedei yang tersendiri berupaya mengekalkan kesatuan dalam
kalangan empayar tersebut walaupun setelah kemangkatan Genghis Khan. Berkat
kestabilan dalaman yang dikecapi, Ogedei mampu menumpukan perhatian dan
tenaganya kepada musuh luar, meluaskan lagi jajahannya dan menjayakan
penaklukan-penaklukan yang dimulakan oleh bapanya.
Penabalan Ogedei Khan pada tahun 1229M |
OGEDEI SEBAGAI KHAN
AGUNG
Pada tahun 1234M
misalnya, Dinasti Jin akhirnya tumbang jua ke tangan Monggol setelah kempen
berkenaan dimulakan sejak tahun 1211M. Dengan utara Cina kini berada di bawah
kekuasaan Monggol, Ogedei mampu mengalihkan perhatian kepada Dinasti Song
Selatan. Kempen memerangi kekuasaan itu bermula pada tahun 1235M dan ianya
berakhir dengan kekalahan muktamad di pihak Song pada tahun 1279M, beberapa
dekad selepas kemangkatan Ogedei.
Pada masa pemerintahan
Ogedei juga berlangsungnya kempen ketenteraan pertama ke atas Kerajaan
Korea-Goryeo. Sama seperti peperangan menentang Song, serangan ke atas Korea
ini juga hanya tamat setelah Ogedei mangkat di mana Goryeo pada akhirnya
menjadi negara bawahan Dinasti Yuan.
Sementara itu jauh di
barat, Ogedei meneruskan kempen penaklukan Parsi dan menghantar panglimanya
yang bernama Chomagan untuk melaksanakan tugas tersebut. Manakala pasukan
tentera Monggol di bawah kepemimpinan Batu si putera Jochi pula dihantar untuk
memerangi wilayah Russia.
Pada tahun 1240M, Kiev
habis dijarah oleh Monggol sekaligus menandakan tamatnya penentangan daripada
Russia. Monggol kemudiannya melanjutkan kemaraan ke Eropah dengan menembusi
Eropah Tengah dan memasang hasrat untuk menakluk saki-baki benua itu sehingga
ke Laut Besar, iaitu Laut Atlantik.
Tentera Monggol menakluk sebuah kota Rus |
BAGAIMANA OGEDEI KHAN
MANGKAT?
Pada bulan Disember
1241M, tepat ketika Monggol hampir sahaja menyerang Eropah Barat, Ogedei
menghembuskan nafas terakhir semasa meminum arak. Ketika komander-komander
perangnya yang sedang melakukan kemaraan ke Vienna mendengar khabar ini,
langsung sahaja mereka mengabaikan kempen tersebut dan kembali ke Mongolia
untuk menghadiri kurultai.
Para sejarahwan sering
membahaskan situasi andai Ogedei tidak mangkat secara tiba-tiba, di mana sudah
tentu mereka berjaya menakluk seluruh Eropah. Apapun, apa yang dicapai oleh
mereka itu adalah bahagian yang paling barat pernah mereka jejak. Ogedei
kemudiannya digantikan oleh puteranya, Gyuk yang dilantik sebagai Khan Agung
yang baru setelah pemerintahannya dipangku selama lima tahun oleh balu Ogedei
yang bernama Toregene Khatun.
Ogedei Khan |
SUMBER
- Choudhary, V., 2017. Mongol Empire under Ögedei Khan.
- Hays, J., 2013. Mongol Khans After Genghis.
- mongolhistorypodcast.wordpress.com, 2018. Ogodei Khan.
- New World Encyclopedia, 2014. Ögedei Khan.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica, 2012. Ögödei.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Ogedei Khan - Kemangkatannya Menghalang SeluruhEropah Ditakluk’
- Get link
- X
- Other Apps