PENEMUAN KUIL MUSASIR YANG TELAH LAMA HILANG

Pautan ke artikel asal:
M R Reese. (3 November 2014). The Discovery of the Long-lost Temple of Musasir. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/discovery-long-lost-temple-musasir-002287

Penterjemah: Amir Zayyanid


Kuil Musasir merupakan sebuah kuil penting bagi kaum Araratia. Kuil ini didedikasikan kepada Haldi, dewa ulung bagi Kerajaan Urartu yang merupakan sebuah kerajaan Zaman Besi yang berpusat di Tasik Van, Tanah Tinggi Armenia. Wilayah kerajaan ini terbentang luas meliputi wilayah Turki, Iran, Iraq dan Armenia moden. Kuil Musasir ini dibina di kota suci Ararat pada tahun 825SM. Namun, setelah kota Musasir jatuh ke tangan Assyria pada abad ke-8SM, kuil purba itu hilang dari lembaran sejarah sehinggalah ditemukan semula kebelakangan ini.

Usia kuil Musasir dipercayai menjangkau zaman di mana kaum Urartia, Assyria dan Scythia kesemuanya saling berebut demi meraih kuasa ke atas wilayah yang kini dikenali sebagai utara Iraq. Inskripsi-inskripsi purba merujuk Musasir sebagai “kota suci yang ditubuhkan di batuan dasar” dan “kota gagak”. Nama Musasir itu sendiri membawa maksud “gerbang keluar ular”.

Sebuah gambaran mengenai kuil ini muncul pada relif Assyria yang menghiasi istana Raja Sargon II di Khorsabat. Relif tersebut berfungsi sebagai tanda peringatan terhadap kemenangan yang diraih oleh Raja Sargon II ke atas “tujuh raja Ararat” pada tahun 714SM.

Relif Kuil Musasir di istana Raja Sargon II di Khorsapat


Bertahun-tahun lamanya, pelbagai penyelidikan dan kerja-kerja ekskavasi dilancarkan untuk cuba menjejak kuil purba Musasir. Pada tahun 1959, sebuah kerja penggalian dijalankan di kawasan Yerznka, kawasan barat Karin. Walaupun ekskavasi tersebut berjaya menemukan sebuah kuil milik kaum Araratia, namun ia bukanlah Kuil Musasir yang dicari. Pada tahun 2005 pula, ahli-ahli arkeologi berhasil menemukan sebuah kuil berusia 3000 tahun di sebuah tapak yang bernama Rabat Tepe, Iran. Namun, kuil ini juga tidak dapat dikaitkan dengan Musasir.

Sehinggalah pada Julai 2014, sebuah pengumuman yang mengujakan dibuat – Kuil Musasir yang hilang begitu lama telah pun dijumpai. Berlokasi di wilayah Kurdistan, utara Iraq, penemuan-penemuan tersebut melibatkan sejumlah patung bersaiz manusia dan tiang-tiang asas dari sebuah kuil yang binaannya didedikasikan kepada Dewa Haldi. Kesemua artifak tersebut dipercayai datang dari tarikh yang bertepatan dengan zaman pembinaan Kuil Musasir.

Penemuan awal ini pada asalnya dilakukan oleh penduduk tempat yang secara tidak sengaja menjumpai tapak berkenaan. Kemudian, Dishad Marf Zamua dari Universiti Leiden di Belanda berkunjung sendiri untuk menyaksikan penemuan tersebut. Kepingan-kepingan artifak di tapak itu dianalisa oleh beliau untuk mendapatkan kefahaman yang jelas tentang ukiran-ukiran yang tergambar di sana di samping cuba merungkai beberapa buah misteri yang mungkin menyimpan kunci bagi beberapa buah persoalan.

Tiang-tiang asas yang ditemukan di tapak ini dianggap sebagai satu penemuan yang penitng. Marf Zamua sendiri berkata, “Salah satu hasil terbaik sepanjang karier saya adalah penemuan tiang-tiang asas dari kota purba Musasir, yang binaan itu didedikasikan kepada Dewa Haldi.”

Tiang-tiang asas yang ditemui di tapak arkeologi di Kurdistan, Iraq


Haldi merupakan dewata ulung bagi Kerajaan Urartu. Dipercayai bahawa Kuil Haldi memiliki signifikan yang sangat penting hinggakan semasa Assyria menjarahnya pada tahun 714SM, raja Urartu yang bernama Rusa bertindak mencabut mahkota daripada kepalanya lalu membunuh diri.

“Beliau merebahkan diri ke tanah, mengoyakkan pakaiannyn dan menanggalkan pakaian perisainya. Beliau mencabut pengikat kepalanya, menarik rambutnya, memukul dada dengan kedua belah tangannya dan menyembamkan muka ke tanah…” tulis sebuah catatan purba (terjemahan oleh Marc Van De Mieroop).

Gambaran Dewa Haldi bagi kaum Araratia. Muzium Kubu Erebouni: Yerevan, Armenia


Selain itu, patung-patung manusia yang ditemui itu juga dianggap sebagai satu kejayaan yang luar biasa. Patung-patung ini yang berketinggian sekitar 2.3 meter ini diperbuat daripada batu kapur, basalt dan batu pasir. Sebahagian daripadanya telah pun mengalami kerosakan yang diperkirakan berlaku sejak 2800 tahun lalu. Setiap patung tersebut menggambarkan lelaki berjambang. Sebahagiannya digambarkan sedang memegang cawan di tangan kanan sambil sebelah tangan lagi memegang perut. Ada juga yang digambarkan memegang kapak di sebelah tangan dan pisau pendek di tangan yang lain.

Patung-patung tersebut kesemuanya diukir dengan postur ‘sedih’, menunjukkan kelangsungan satu ritual yang diamalkan apabila pembesar dikebumikan. Kebanyakan patung tersebut diperkirakan berusia sehingga abad ke-6 atau abad ke-7SM, zaman di mana Musasir telah pun tumbang ke tangan Assyria.

Beberapa patung bersaiz-manusia ditemui di Kurdistan


Malangnya, konflik-konflik yang tercetus di kawasan tapak berkenaan termasuklah konflik terkini yang melibatkan IS dan ISIS membuatkan keadaan menjadi bahaya dan sukar untuk meneruskan sebarang kerja ekskavasi dan penerokaan. Penemuan Kuil Musasir yang telah lama hilang ini dianggap sebuah penemuan yang boleh menjawab pelbagai persoalan berkenaan peristiwa-peristiwa sejarah di kawasan tersebut.

Namun, selagimana konflik-konflik di sana selesai dan keadaan menjadi selamat untuk meneruskan operasi, tidak dapat diketahui dengan jelas sejauh mana analisa dan penemuan ini boleh dilakukan. Buat masa sekarang, tapak berkenaan kekal sebagai sebuah penemuan mengagumkan, yang pastinya terdapat lebih banyak lagi khazanah yang tersimpan dan boleh diteroka di sebaliknya.


SUMBER