PERANG NAPOLEON – PERTEMPURAN TRAFALGAR

Pautan ke artikel asal:
Kennedy Hickman. (17 Mac 2017). Napoleonic Wars: Battle of Trafalgar. ThoughtCo.
https://www.thoughtco.com/napoleonic-wars-battle-of-trafalgar-2361192

Penterjemah: Amir Zayyanid


Pertempuran Trafalgar berlangsung pada tanggal 21 Oktober 1805, semaas berlakunya Perang Sekutu Ketiga (War of the Third Coalition 1803-1806) yang merupakan sebahagian daripada Perang Napoleon yang lebih meluas (1803-1815).


ARMADA & KOMANDER
  • British:
    • Vice Admiral Lord Horatio Nelson
    • 27 buah kapal
  • Perancis:
    • Vice Admiral Pierre-Charles Villeneuve
    • Admiral Fredrico Gravina
    • 33 buah kapal (18 milik Perancis, 15 milik Sepanyol)


PERTEMPURAN TRAFALGAR – RANCANGAN NAPOLEON

Sebaik sahaja Perang Sekutu Ketiga meletus, Napoleon mula memasang rancangan untuk menggempur Britain. Rancangan ini perlu dijayakan demi meraih penguasaan ke atas Perairan Inggeris. Atas tujuan itu, arahan pun dikeluarkan kepada armada pimpinan Viece Admiral Pierre Villeneuve yang berlokasi di Toulone agar menghindari kepungan armada Vice Admiral Lord Horatio Nelson. Armada Perancis itu turut diarahkan untuk bergabung dengan armada Sepanyol di Caribbean.

Kesatuan armada ini kemudiannya dirancang akan merentas semula Laut Atlantik dan bergabung dengan kapal-kapal Perancis yang lain yang berlokasi di Brest. Kekuatan laut ini kemudiannya diaturkan supaya merebut penguasaan ke atas perairan itu dari tangan Britain. Walaupun Villeneuve berhasil membawa armadanya keluar dari Toulone dan tiba di Caribbean dengan selamat, namun perancangan asal pihak Perancis ini mula goyah sebaik armada itu kembali ke perairan Eropah.

Akibat diekori rapat oleh armada pimpinan Nelson, Villeneuve mengalami kekalahan kecil dalam Pertempuran Tanjung Finisterre pada tanggal 22 Julai. Oleh kerana pasukannya telah kehilangan dua buah kapal di tangan Vice Admiral Robert Calder, maka Villeneuve terpaksa mengambil keputusan untuk berlabuh di Ferrol, Sepanyol. Napoleon mengarahkannya supaya terus berlayar menuju ke Brest, namun Villeneuve sebaliknya beralih-arah ke selatan menuju Cadiz untuk mengelak dari kekuatan armada British.

Dengan ketiadaan tanda-tanda ketibaan armada Villeneuve menjelang hujung bulan Ogos, Napoleon menukar perancangan dengan mengalihkan kekuatan serangannya di Boulogne untuk beroperasi di Jerman. Sambil itu, ketika armada gabungan Perancis-Sepanyol ini sedang melabuhkan sauh di pelabuhan Cadiz, Nelson kembali ke England untuk berehat sebentar.


PERTEMPURAN TRAFALGAR – PERSIAPAN UNTUK MENGHADAPI PERTEMPURAN

Ketika Horatio Nelson sedang berada di England, Admiral William Cornwallis yang mengetuai Armada Selat memanggil 20 buah kapal di stesen selatan untuk beroperasi di Sepanyol. Oleh kerana beliau mengetahui bahawa Villeneuve masih berada di Cadiz pada tanggal 2 September, maka Nelson segera melakukan persiapan untuk menyertai armada yang berangkat ke Sepanyol dengan menaiki kapal utamanya, HMS Victory (104 laras meriam). Armada ini tiba di Cadiz pada 29 September dan kepemimpinan yang ketika itu dipegang oleh Calder diserahkan kepada Nelson.

Di Cadiz, Villeneuve memiliki sebanyak 33 buah kapal. Namun, krunya kekurangan tentera dan pengalaman. Walaupun beliau menerima arahan supaya berlayar ke Mediterranean pada 16 September, Villeneuve menangguhkan keberangkatan kerana menuruti kehendak kebanyakan pegawainya yang mahu kekal berada di pelabuhan.

Sekitar sebulan kemudian, tepatnya pada 18 Oktober, Villeneuve nekad untuk berangkat sebaik sahaja mengetahui bahawa Vice Admiral Francois Rosily telah sampai di Madrid untuk membantunya. Armada ini berlepas daripada pelabuhan pada keesokan hari untuk menuju ke Gibraltar dan mereka berlayar dalam formasi tiga barisan. Pada petang itu, armada British didapati melakukan pengejaran ke atas armada Villeneuve itu dalam formasi satu barisan.


PERTEMPURAN TRAFALGAR – “ENGLAND MENGINGINKAN”

Horatio Nelson memimpin armada yang terdiri dari 27 buah kapal dan empat buah frigate ketika melakukan pengejaran ke atas armada pimpinan Villeneuve. Setelah merenung pelbagai pendekatan tempur yang mungkin akan diambil, Nelson memutuskan untuk menumpukan matlamat meraih kemenangan muktamad berbanding melakukan pertembungan panjang yang sering dilakukan di Zaman Perlayaran.

Untuk mencapai matlamat tersebut, Nelson merancang untuk mengabaikan formasi tempur lazim dan sebaliknya berlayar terus ke arah musuh dalam dua barisan. Satu barisan diarahkan supaya menuju ke bahagian tengah musuh sambil barisan yang lain menyasarkan bahagian belakang. Gerakan ini bakal membuatkan barisan armada musuh terpecah dua dan membenarkan kapal-kapal yang berada paling belakang dikepung dan dihancurkan.

Kelemahan taktik ini adalah kapal-kapal Inggeris akan menghadapi serangan dahsyat semasa menghampiri barisan musuh. Setelah berbincang lama dengan para pegawainya selama berminggu-minggu sebelum pertempuran bermula, Nelson mengambil keputusan untuk mengetuai barisan yang menyerang bahagian tengah musuh sambil Vice Admiral Cuthbert Collingwood yang menaiki kapal HMS Royal Sovereign (100 laras meriam) pula memimpin barisan kedua.

Sekitar jam 6 pagi tanggal 21 Oktober ketika berada di barat laut Tanjung Trafalgar, Nelson mengeluarkan arahan agar bersiap-siaga menghadapi pertempuran. Dua jam kemudian, Villeneuve pula mengarahkan armadanya agar berpusing dan berpatah-balik ke Cadiz.

Dengan tiupan angin yang menyukarkan keadaan, gerakan armada Perancis-Sepanyol ini mengakibatkan kehuru-haraan dalam formasi mereka dan barisannya menjadi lengkung. Barisan armada Nelson mla bertembung dengan armada Perancis-Sepanyol pada jam 11 pagi. Sekitar 45 minit kemudian, beliau mengarahkan pegawai isyaratnya, Leftenan John Pasco untuk melaungkan isyarat pesanan; “England mahu setiap lelaki melaksanakan tugasnya.” Berlayar maju dengan perlahan berikutan tiupan angin yang mula lemah, British menghadapi serangan musuh selama hampir satu jam sebelum akhirnya tiba hampir di titik sasarannya.


PERTEMPURAN TRAFALGAR – GUGURNYA SEORANG LEGENDA

Kapal pertama yang tiba di titik sasarannya adalah kapal HMS Royal Sovereign pimpinan Collingwood. Dengan memecah masuk ruang di antara kapal Santa Ana (112 laras meriam) dan Fougueux (74 laras meriam), barisan armada pimpinan Collingwood memulakan pertempuran seperti yang dimahu dan rancangkan oleh Nelson.

Barisan armada Nelson pula memasuki ruang di antara kapal utama Perancis yang bernama Bucentaure (80 laras meriam) dan Redoubtable (74 laras meriam) dalam keadaan kapalnya, Victory terus-menerus membedil Redoubtable. Sambil memberikan asakan yang lebih kuat, Victory terus bergerak menghampiri Redoubtable sambil kapal-kapal British yang lain membedil Bucentaure sebelum memulakan aksi pertempuran kapal-melawan-kapal.

Ketika kapal utamanya sedang sibuk berhadapan dengan Redoubtable, Nelson ditembak di bahu kiri oleh seorang tentera Perancis. Tembakan tersebut menembusi dada dan tulang belakangnya sekaligus membuatkan Nelson terjatuh ke lantai dek dan berteriak, “Mereka akhirnya berjaya, matilah aku!”

Tidak lama selepas beliau dibawa ke bahagian bawah kapal untuk dirawat, kelebihan latihan dan kemahiran tembak yang dimiliki para tenteranya mula memenangi pertempuran. Ketika Nelson sedang dirawat, armadanya merampas atau menghancurkan sejumlah 18 buah kapal Perancis-Sepanyol termasuklah Bucentaure, kapal utama Villeneuve.

Sekitar jam 4:30pm, Nelson menghembuskan nafasnya yang terakhir... dan berakhir jugalah pertempuran. Kepemimpinan armada tersebut diambil-alih oleh Collingwood yang langsung sahaja mempersiapkan kapal-kapal British dan kapal-kapal rampasan bagi menghadapi ribut yang dijangka akan melanda. 

Akibat dibadai ribut berkenaan, pihak British hanya mampu mengekalkan empat buah kapal Perancis-Sepanyol yang dirampasnya sambil sebuah yanglain meletup dan baki 12 buah pula dihanyutkan ke pesisiran. Selain itu, terdapat juga sebuah kapal yang berjaya dirampas semula oleh tentera-tentera Perancis-Sepanyol. 

Empat buah kapal Perancis yang sebelum itu berjaya meloloskan diri dari perairan Trafalgar kemudiannya berjaya dirampas dalam Pertempuran Tanjung Ortegal yang berlangsung pada tanggal 4 November. Dari keseluruhan 33 buah kapal yang dibawa oleh Villeneuve dari Cadiz, hanya 11 buah sahaja yang selamat pulang.


PERTEMPURAN TRAFALGAR: SUSULAN

Dianggap sebagai salah satu kemenangan pertempuran laut yang terhebat dalam sejarah British, Pertempuran Trafalgar menyaksikan Nelson berjaya menawan/menghancurkan sebanyak 18 buah kapal. Selain itu, Villeneuve pula kehilangan seramai 3243 orang tentera yang terkorban, 2538 orang yang tercedera dan sekitar 7000 orang yang tertawan. Kasualti British pula hanya seramai 458 orang yang terkorban dan 1208 orang yang tercedera.

Dikenang sebagai salah seorang komander naval terhebat sepanjang zamat, jasad Nelson dibawa pulag ke London dan diberikan penghormatan yang tinggi.
Untuk suatu tempoh yang agak lama selepas berlakunya Pertempuran Trafalgar, Royal Navy British tidak menerima sebarang ancaman besar daripada Perancis. Walaupun dengan kejayaan Nelson di lautan ini, Perang Sekutu Ketiga berakhir dengan kemenangan di pihak Napoleon berikutan kejayaannya dalam pertempuran darat di Ulm dan Austerlitz.


SUMBER