- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Kennedy Hickman. (2 Januari 2019). Punic Wars. Battle of Zama. ThoughtCo.
Penterjemah: Amir Zayyanid
Pertempuran Zama merupakan pertembungan penentuan bagi Perang Punic
Kedua (218-201SM) di antara Carthage dan Rom. Pertempuran ini berlangsung pada
hujung bulan Oktober 202SM. Selepas kemenangan demi kemenangan awal yang diraih
oleh Carthage di Itali, Perang Punic Kedua memasuki fasa seri dengan
memperlihatkan ketumbukan pimpinan Hannibal di Itali tidak mampu memberikan
pukulan mutakhir kepada Rom.
Kembali pulih daripada siri kekalahan sebelum ini, kekuatan Rom pula
mula meraih beberapa buah kejayaan di Iberia sebelum kemudiannya melancarkan
serangan ke Afrika Utara.
Dalam kesempatan itu, ketumbukan yang dipimpin oleh Scipio Africanus
bertembung dengan pasukan tentera Carthage di bawah kepemimpinan Hannibal di
Zama pada tahun 202SM. Dalam pertempuran ini, Scipio berjaya menewaskan
musuhnya dan memaksa Carthage agar memeterai perjanjian damai.
FAKTA RINGKAS PERTEMPURAN ZAMA
- Konflik: Perang Punic Kedua (218-201 SM)
- Tarikh: 202 SM
- Ketumbukan dan komander:
- Carthage
§
Dipimpin oleh Hannibal
§
Sekitar 36 000 orang infantri
§
Sekitar 4000 orang kavalri
§
80 ekor gajah perang
o
Rom
§
Dipimpin oleh Scipio Africanus
§
Sekitar 29 000 orang infantri
§
Sekitar 6100 orang kavalri
- Kasualti:
o
Carthage: 20 000 – 25 000 orang terbunuh, 8500 – 20
000 tertawan
o
Rom dan sekutu: 4000 – 5000 orang
LATAR BELAKANG PERTEMPURAN
Dengan bermulanya Perang Punic Kedua pada tahun 218SM, panglima Carthage
yang bernama Hannibal dengan beraninya merentas Banjaran Alps dan menyerang
Itali. Menerusi kemenangannya di Trebia (218SM) dan Tasik Trasimene (217SM), beliau
menyapu bersih pasukan-pasukan tentera pimpinan Tiberius Sempronius Longus dan
Gaius Flaminius Nepos.
Selepas meraih siri kemenangan tersebut, Hannibal melanjutkan kemaraan
ke selatan dengan tujuan untuk menjarah wilayah tersebut dan cuba memberikan asakan
kepada sekutu-sekutu Rom agar berpaling tadah dan memihak Carthage. Tersentak
dengan krisis kekalahan yang dialami, Rom kemudiannya melantik Fabius Maximus
untuk menangani ancaman daripada Carthage ini.
Fabius bertindak mengelak daripada bertempur secara langsung dengan
Hannibal. Sebaliknya, beliau melancarkan serangan ke atas laluan perbekalan
Carthage dan mengamalkan corak peperangan atrisi – corak peperangan yang berhasil
memasyhurkan namanya.
Namun, Rom tidak menggemari kaedah Fabius itu dan beliau digantikan oleh
panglima yang lebih bersifat agresif, bernama Gaius Terentius Varro dan Lucius
Aemilius Paullus. Dengan memberangkatkan pasukan tentera demi menundukkan
kekuatan Carthage, mereka malah sebaliknya ditewaskan oleh Hannibal dalam
Pertempuran Cannae pada tahun 216SM.
Selepas meraih kemenangan tersebut, Hannibal meluangkan tahun-tahun
berikutnya dengan cuba membina pakatan dengan beberapa pihak di Itali bagi
menentang Rom. Semasa keadaan di semenanjung Itali mulai reda dari sebarang
konflik, Scipio Africanus dan pasukan tenteranya pula mula meraih kejayaan demi
kejayaan di semenanjung Iberia dengan berhasil menawan sejumlah wilayah jajahan
Carthage.
Pada tahun 204SM, pasukan tentera Rom itu kemudiannya berlabuh di Afrika
Utara dengan matlamat untuk melakukan serangan langsung ke atas ibu kota
Carthage – setelah berperang 14 tahun lamanya. Mereka berhasil menewaskan
pasukan tentera Carthage yang dipimpin oleh Hasdrubal Gisco dan sekutu mereka
dari Numidia yang dipimpin oleh Syphax dalam pertempuran di Utica dan Dataran
Besar (203SM).
Berhadapan dengan situasi gawat sebegitu, kepemimpinan di kota Carthage
meminta perdamaian dengan Scipio. Permintaan tersebut diterima oleh pihak Rom.
Ketika perjanjian tersebut sedang hangat diperdebatkan di Rom, pihak-pihak
Carthage yang bersemangat untuk terus berperang bertindak memanggil Hannibal
agar pulang dari Itali.
TENTANGAN DARIPADA CARTHAGE
Dalam tempoh masa tersebut, kekuatan Carthage sempat menewaskan dan
menawan sebuah armada perbekalan milik Rom di Teluk Tunes. Kejayaan yang diraih
ini berserta kepulangan Hannibal dan pasukan tentera veterannya mendorong para
senat di Carthage untuk berubah pendirian – semangat mereka disuntik dan mereka
pun bersepakat untuk meneruskan konflik dengan pihak Rom di Afrika Utara. Hannibal
pula terus memperkuatkan ketumbukannya.
Dengan membawa kekuatan berjumlah 40 000 orang dan 80 ekor gajah perang,
Hannibal berhadapan dengan Scipio di sebuah kawasan berhampiran Zama Regia.
Hannibal menyusun formasi tenteranya dengan meletakkan unit tentera upahan di
barisan pertama, disusuli oleh rekrut baru di barisan kedua sementara tentera
veteran dari Itali membentuk barisan ketiga. Unit infantri ini disokong oleh
gajah-gajah perang di barisan hadapan dan unit kavalri dari Numidia dan Carthage
mengapit di kiri dan kayap, membentuk sayap pasukan.
STRATEGI PERANG SCIPIO
Untuk menghadapi pasukan tentera Hannibal, Scipio menyusun 35 100 orang
tenteranya dalam bentuk formasi yang sama – terdiri dari 3 buah barisan. Sayap
kanannya dibentuk oleh unit kavalri dari Numidia yang dipimpin oleh Masinissa
sementara kavalri Rom pimpinan Laelius pula diletakkan di sayap kiri.
Menyedari bahawa gajah-gajah yang dibawa oleh Hannibal itu bakal
memberikan impak yang besar ke atas kekuatannya, maka Scipio merencanakan
sebuah taktik untuk mendepaninya.
Walaupun memiliki kekuatan yang begitu dahsyat, gajah-gajah perang ini
lazimnya sukar dikendalikan semasa mereka mara melakukan serangan. Oleh kerana
itu, Scipio pun menyusun infantrinya dalam kelompok-kelompok yang terpisah
dengan mewujudkan lompong di antara setiap kelompok.
Kemudian, barisan tenteranya itu disokong oleh unit velite (pelempar
tombak) yang boleh bergerak dengan pantas. Beliau sengaja mengarahkan agar
tenteranya membiarkan sahaja gajah-gajah perang itu mara melepasi lompong di
celahan setiap kelompok unitnya. Tujuannya adalah untuk meminimumkan kasualti
yang bakal diterima jika tentera-tenteranya menghalang laluan gajah-gajah
perang tersebut.
HANNIBAL DITEWASKAN
Seperti yang dijangka, Hannibal membuka tirai pertempuran dengan
mengarahkan gajah-gajah perangnya untuk mara ke barisan tentera Rom.
Gajah-gajah perang ini dihadapi oleh unit velites Rom yang bertindak
mengumpan haiwan bertubuh besar itu memasuki lompong-lompong yang diwujudkan
oleh pihak Rom dan dilangsaikan di kawasan yang agak jauh dari medan tempur.
Dengan serangan gajah-gajah Hannibal itu berhasil dineutralkan, Scipio
segera menyusun semula unit infantrinya dalam formasi perang dan kemudian
mengarahkan unit kavalrinya untuk mara.
Kedua-dua belah sayap Carthage diserang dan kavalri Rom-Numidia berjaya
menggiring mereka keluar dari medan tempur –pada hakikatnya keberunduran
pasukan kavalri Carthage itu merupakan satu taktik yang direncanakan oleh
Hannibal sendiri. Walaupun Scipio berasa tidak senang dengan kedudukan
kavalrinya yang begitu jauh dari medan tempur, beliau segera bertindak
menggerakkan unit infantrinya. Arahan yang sama turut dikeluarkan oleh
Hannibal.
Pertempuran antara kedua belah infantri pun bermula dengan
memperlihatkan tentera-tentera upahan Carthage berjaya mematahkan serangan
barisan pertama Rom. Pun begitu, mereka kemudiannya perlahan-lahan digiring ke
belakang oleh pasukan Scipio. Setelah barisan pertama Carthage runtuh, Hannibal
melarang mereka dari memasuki dan mencampuri barisan kedua. Oleh kerana itu,
tentera-tentera upahan di barisan pertama itu pun bergerak ke sayap barisan
kedua.
Kini, barisan kedua Carthage pula yang menghadapi asakan pasukan Rom.
Pertempuran berlangsung sengit namun keadaan tetap jua memihak Scipio. Maka,
barisan kedua Carthage ini pun berundur dan membentuk sayap di barisan ketiga
pula.
Untuk menghindarkan pasukannya dikepung oleh barisan tentera Carthage
yang kini telah membentuk satu barisan panjang, Scipio pun mengarahkan
infantrinya agar turut berbaris dalam satu barisan panjang sebelum melancarkan
serangan ke barisan ketiga Hannibal yang dianggotai oleh unit veteran mereka.
Dalam keadaan pertempuran yang berlangsung hangat ini, tiba-tiba sahaja
kavalri Rom yang tadinya berada jauh dari medan tempur memunculkan diri. Mereka
segera memukul barisan belakang Hannibal sekaligus mengakibatkan kekuatan
Carthage mula tumbang. Dihimpit oleh serangan dari dua hala, Hannibal dan
pasukan Carthage-nya pun tewas dan melarikan diri dari medan tempur.
KESAN SUSULAN PERTEMPURAN ZAMA
Sebagaimana catatan mengenai kebanyakan pertempuran pada zaman itu,
kasualti Pertempuran Zaman tidak dapat diketahui dengan jelas. Sebahagian
sumber mendakwa bahawa seramai 20 000 orang tentera Carthage terbunuh dan 20
000 orang yang lain tertawan manakala Rom pula kehilangan sekitar 2500 orang
sambil 4000 orang yang lain tercedera.
Walau berapa sekalipun kasualti yang ditanggung oleh kedua belah pihak,
kekalahan di Zama ini memaksa Carthage agar memperbaharui perjanjian damai.
Permohonan mereka ini diterima oleh Rom. Namun, syarat-syarat yang dikenakan ke
atas mereka lebih keras dan menekan berbanding syarat-syarat dalam perjanjian
sebelum ini.
Selain kehilangan sejumlah besar wilayah naungannya, Carthage juga
dituntut agar membayar pampasan perang sekaligus secara efektif membungkamkannya
dari kedudukan sebagai sebuah kuasa besar.
- Get link
- X
- Other Apps
