PERTEMPURAN-PERTEMPURAN DI ASIA YANG MENGUBAH SEJARAH

Pautan ke artikel asal:
Kallie Szczepanski. (8 Mac 2017). Little-Known Asian Battles that Changed History – ThoughtCo.
https://www.thoughtco.com/twelve-little-known-asian-battles-that-changed-history-195818


Penterjemah: Amir Zayyanid


Berkemungkinan ada nama-nama pertempuran yang disebutkan di bawah ini tidak pernah anda dengar. Namun, pertempuran-pertempuran di Asia yang kurang diketahui ini pada hakikatnya meninggalkan impak yang begitu besar pada sejarah dunia.
Banyak empayar yang hebat lahir dan tumbang, pelbagai agama tersebar luas dan ramai raja yang agung mengepalai bala tenteranya menuju kegemilangan… ataupun kehancuran.

Pertempuran-pertempuran yang disebutkan di bawah ini melibatkan rentang waktu yang panjang – berabad-abad lamanya. Bermula daripada Gaugamela yang berlaku pada tahun 331SM hinggalah Pertempuran Kohima yang meletus semasa berlangsungnya Perang Dunia II.

Walaupun setiap satunya melibatkan pasukan tentera dan motif peperangan yang berbeza-beza, namun kesemuanya berkongsi satu persamaan – iaitu impak besar yang ditinggalkan pada sejarah Asia. Berikut adalah penerangan ringkas perihal pertempuran-pertempuran yang mengubah Asia dan dunia buat selama-lamanya.


PERTEMPURAN GAUGAMELA, 331SM

Mozek bertarikh 79M dari Rom yang menggambarkan Darius III


Pada tahun 331SM, bala tentera daripada dua buah empayar yang hebat saling bertembung di Gaugamela, atau juga dikenali sebagai Arbela. Lebih kurang 40 000 orang tentera di bawah kepemimpinan Alexander the Great sedang melakukan kemaraan ke arah timur dalam misi penaklukan ke India. Mereka kemudian dihalang oleh 50 000 – 100 000 orang tentera Parsi yang dipimpin oleh Darius III.

Pertempuran Gaugamela menyaksikan Parsi ditimpa kekalahan yang besar – kehilangan hampir separuh dari jumlah keseluruhan tenteranya. Sementara kasualti yang ditanggung oleh Alexander hanya sekecil 1/10 sahaja.

Bala tentera Macedonia itu meneruskan kemaraan untuk merampas perbendaharaan Parsi yang bakal mendanai penaklukan-penaklukan Alexander yang seterusnya. Alexander juga sempat mengambil beberapa kebudayaan dan fesyen pemakaian Parsi semasa kempennya itu.

Akibat kekalahan Parsi dalam Pertempuran Gaugamela ini, Asia terdedah kepada serangan Alexander the Great.


PERTEMPURAN BADAR, 624M

Ilustrasi bertarikh 1314M yang menggambarkan Pertempuran Badar


Pertempuran Badar merupakan titik penentu yang mempengaruhi sejarah awal Islam. Dalam pertempuran tersebut, Nabi Muhammad berhadapan dengan tentangan daripada kabilahnya sendiri, iaitu Quraisy Mekah. Beberapa orang pembesar Quraisy, termasuklah Amru ibn Hisham menentang kenabian Muhammad dan berusaha menghalangnya dari menyebarkan Islam ke seluruh masyarakat Arab.

Pertempuran Badar menyaksikan Nabi Muhammad dan para pengikutnya berjaya menewaskan bala tentera Mekah yang berjumlah tiga kali lebih ramai berbanding pasukan Islam. Ia juga memperlihatkan Amru ibn Hisham dan beberapa orang pembesar yang lain terbunuh sekaligus menjadi bibit mula proses pengislaman Tanah Arab.

Dalam rentang waktu yang begitu singkat – hanya satu abad – kebanyakan wilayah di dunia berjaya di-Islamkan.


PERTEMPURAN QADISIYAH, 636M

Gambaran Pertempuran Qaddisiyah


Kemenangan yang diraih di Badar masih segar dalam ingatan umat Islam. Pada bulan November tahun 636M, mereka mencabar kekuatan Empayar Parsi-Sassanid yang telah berkuasa selama 300 tahun. Pertembungan tersebut berlaku di al-Qadisiyah yang terletak di Iraq moden.

Khalifah ar-Rashidin menghantar sepasukan tentera yang terdiri dari seramai 30 000 orang tentera untuk berhadapan dengan kira-kira 60 000 orang tentera Parsi. Pertempuran al-Qadisiyah memihak pada pasukan tentera Arab walaupun mereka memiliki kekurangan dari segi jumlah bilangan. Sekitar 30 000 orang tentera Parsi terkorban dalam pertempuran tersebut sementara Rashidin hanya kehilangan 6000 orang sahaja.

Sejumlah besar perbendaharaan Parsi berjaya dirampas sekaligus mendanai kempen-kempen penaklukan mereka yang seterusnya. Selama beberapa tempoh, Sassanid terus memberikan penentangan dan berjaya mengekalkan kekuasaan ke atas wilayah-wilayah naungannya sehingga tahun 653M. Kemudian, Empayar Sassanid tumbang dan wilayah Parsi, yang kini dikenali sebagai Iran, menjadi sebuah wilayah Islam.


PERTEMPURAN SUNGAI TALAS, 751M

Gambaran Pertempuran Talas


Alangkah menakjubkan sekali… dalam masa hanya 120 tahun selepas kejayaan Nabi Muhammad dalam Pertempuran Badar, pasukan tentera Arab sudah berada jauh di timur untuk bertembung dengan pasukan tentera Tang-Cina.

Kedua belah pihak itu saling berhadapan di Sungai Talas yang terletak di Kyrgyzstan moden dan Tang yang memiliki kelebihan dari segi jumlah bilangan mengalami kekalahan.

Oleh kerana laluan perbekalan antara medan tempur dan ibu kota terbentang begitu jauh, pasukan tentera Abassiyah mengambil keputusan untuk tidak mengejar dan melanjutkan serangan dengan lebih jauh (betapa sejarah pasti akan berubah andai mereka berjaya menakluk Cina pada tahun 751M).

Kekalahan besar yang dialami oleh Cina ini menjejaskan pengaruh mereka di Asia Tengah. Akibatnya, banyak wilayah di sana memeluk agama Islam. Selain itu, rentetan daripada pertempuran ini juga membawa kepada kemasukan sebuah teknologi baru ke dunia barat – iaitu teknologi penghasilan kertas.


PERTEMPURAN HATTIN, 1187M

Ilustrasi pada zaman pertengahan yang tidak diketahui tarikh dan pelukisnya,
yang menggambarkan Pertempuran Hattin


Semasa pemimpin-pemimpin salib dan Kerajaan Jerusalem sedang berpecah-belah pada pertengahan tahun 1180an, wilayah Arab di kawasan sekitarnya pula mula disatukan di bawah kepemimpinan seorang raja Kurdish yang berkarisma, iaitu Salah ad-Din (dikenali di Eropah sebagai Saladin).

Ketumbukan Saladin berjaya mengepung pasukan tentera Salib, menguasai sumber air dan mencantas laluan perbekalan. Pada akhirnya, kekuatan Salib seramai 20 000 orang tentera itu habis ditewaskan – sama ada terbunuh ataupun tertangkap.

Tidak lama kemudian, Perang Salib Kedua pun berakhir dengan Jerusalem jatuh ke tangan pemimpin Islam itu.

Tatkala berita kekalahan pihak Kristian ini sampai ke pengetahuan Pope Urban III, beliau lantas meninggal dunia akibat terkejut – sebagaimana yang diceritakan oleh legenda. Dua tahun kemudian, Perang Salib Ketiga dilancarkan (1189-1192M), namun kekuatan Eropah di bawah kepemimpinan Richard the Lionhearted tetap jua tidak berhasil mengusir Saladin dari Jerusalem.         


PERTEMPURAN TARAIN, 1191 - 1192M

Gambaran Pertempuran Tarain 


Gabenor Tajik di Wilayah Ghazni, iaitu Muhammad Shahab ud-Din Ghori mengambil keputusan untuk memperluaskan wilayahnya.

Pada tempoh waktu antara tahun 1175 hingga 1190M, beliau melancarkan serangan ke atas Gujarat, menawan Peshawar, menakluk Empayar Ghaznavid dan menguasai Punjab.

Ghori kemudian melanjutkan serangannya ke atas India pada tahun 1191M, namun mengalami kekalahan di tangan seorang raja Hindu Rajput yang bernama Prithviraj III dalam Pertempuran Tarain Pertama. Pasukan tentera Muslim habis tumbang dan Ghori sendiri ditangkap sebagai tawanan perang.

Namun, Prithviraj membebaskannya – sememangnya satu keputusan yang kurang bijak. Mana tidaknya? Pada tahun berikutnya, Ghori kembali semula dengan membawa pasukan tentera seramai 120 000 orang. Walaupun pertahanannya diperkuatkan oleh pasukan gajah perang, Rajput pada akhirnya mengalami kekalahan di tangan tentera Islam itu.

Kesan susulannya, wilayah utara India pun dimasukkan ke dalam pemerintahan Islam sehinggalah tahun 1858M pada era British Raj. Pada hari ini, Ghori dikenang sebagai seorang perwira kebangsaan bagi negara Pakistan.


PERTEMPURAN AYN JALUT, 1260M

Gambaran Pertempuran Ayn Jalut, dari Perpustakaan Negara Jerman


Amukan panjang Monggol yang diketuai oleh Genghis Khan pada akhirnya ditamatkan pada tahun 1260M dalam Pertempuran Ayn Jalut, Palestin.

Cucu Genghis yang bernama Hulagu Khan memasang niat untuk menghapuskan kekuatan Muslim yang masih tersisa, iaitu Dinasti Mamluk di Mesir. Sebelum itu, mereka telah pun meranapkan Assassin Parsi, menakluk Baghdad, memalukan Khalifah Abbasiyah dan menamatkan Dinasti Ayyubiyah di Syria.

Namun di medan Ayn Jalut, nasib Monggol tidak disebelahi tuah takdir. Jauh di Cina, Khan Mongke yang Agung mangkat dan berita tersebut memaksa Hulagu untuk berundur ke Azerbaijan dengan membawa hampir seluruh ketumbukannya. Hal ini kerana beliau mahu menyertai perebutan hak pewarisan kepemimpinan.

Kempen di Palestin yang sepatutnya merupakan suatu ‘persiaran santai’ kini bertukar menjadi satu pertembungan seimbang dengan kedua belah pihak masing-masing memiliki kekuatan seramai 20 000 orang tentera.


PERTEMPURAN PANIPAT PERTAMA, 1526M

Gambaran Pertempuran Panipat, dari Mughal bertarikh 1598M


Sepanjang tahun 1206 hingga 1526M, kebanyakan wilayah di India diperintah oleh Kesultanan Delhi yang ditubuhkan oleh pewaris Muhammad Shahab ad-Din Ghori, sang juara dalam Pertempuran Tarain Kedua.

Pada tahun 1526M, pemerintah Kabul yang berketurunan Genghis Khan dan Timur (Tamerlane) iaitu Zahir ad-Din Muhammad ‘Babur’ menyerang Delhi yang memiliki kekuatan yang lebih besar. Pasukan tentera Babur yang terdiri dari seramai 15 000 orang berjaya menewaskan 40 000 orang tentera dan 100 ekor gajah perang pimpinan Sultan Ibrahim Lodi. Hal ini kerana Babur memiliki kelebihan artileri dalam pertempuran tersebut. Tembakan demi tembakan yang dilepaskan oleh unit artileri tersebut berhasil menakutkan gajah-gajah perang Delhi yang kemudiannya bertindak memijak pasukan tenteranya sendiri.

Sultan Lodi sendiri terkorban dalam medan perang. Babur kemudiannya menubuhkan Empayar Mughal (Monggol) yang berkuasa di India sehingga tahun 1858M, tahun di mana Mughal diambil-alih oleh koloni British.


PERTEMPURAN HANSAN-DO, 1592M

Replika kapal kura-kura, di sebuah muzium di Seoul, Korea Selatan


Selepas berakhirnya era Sengoku, negara Jepun disatukan di bawah pemerintahan seorang raja samurai bernama Hideyoshi. Beliau kemudian mengambil keputusan untuk memperkukuhkan nama dan kedudukannya dalam rekod sejarah dengan menakluk Ming-China. Atas maksud itu, beliau pun melancarkan serangan ke atas Korea pada tahun 1592M.

Pasukan tentera Jepun berjaya mengasak Korea sehingga ke Pyongyang. Namun, pasukan tersebut terlalu bergantung kepada kapal-kapal yang berfungsi sebagai pengangkut bekalan.

Armada perang Korea yang dipimpin oleh laksamana Yi Sun-Shin kemudian mencipta kapal kura-kura, iaitu kapal perang besi pertama yang pernah dikenali dunia. Mereka menggunakan kapal-kapal tersebut bersama sebuah taktik yang dikenali sebagai ‘formasi sayap burung keria’ bagi mengumpan armada perang Jepun yang lebih besar untuk memasuki perairan Hansan. Di sana, armada perang Jepun itu dimusnahkan.
Mereka kehilangan sebanyak 59 dari 73 buah kapal sementera kesemua 56 buah kapal perang Korea terselamat. Kekalahan tersebut memaksa Hideyoshi untuk berundur dan melepaskan impian menakluk Cina.


PERTEMPURAN GEOKTEPE, 1881M

Gambar askar-askar Turcomen, bertarikh 1880M


Pada abad ke-19, Russia berhasrat untuk meraih akses ke pelabuhan di Laut Hitam sekaligus mencabar kekuatan Empayar British yang sedang berkembang. Kekuatan Russia terus berkembang di wilayah selatan – Asia Tengah – namun kemudian mereka bertembung dengan sebuah kekuatan yang begitu mencabar, iaitu puak nomad Teke dari Turcomen.

Pada tahun 1879M, puak Teke berjaya menewaskan kekuatan Russia di Geoktepe sekaligus memalukan empayar tersebut. Pihak Russia kemudian melancarkan serangan susulan pada tahun 1881M. Serangan tersebut berjaya melumpuhkan benteng Teke di Geoktepe sekaligus tentera-tentera yang bertahan di dalam habis disembelih sambil sebahagiannya sempat melarikan diri ke kawasan gurun.

Kemenangan tersebut merupakan bibit permulaan kepada dominasi Russia ke atas Asia Tengah yang berpanjangan selama era Soviet. Bahkan sehingga ke hari ini, kebanyakan republik di Asia Tengah masih terikat dengan negara tersebut dalam soal ekonomi dan budaya.


PERTEMPURAN TSUSHIMA, 1905M

Gambar pelayar-pelayar Jepun keluar ke pantai selepas kemenangan Jepun ke atas Russia dalam Perang Russia-Jepun, Library of Congress Prints and Photos


Pada jam 6:34 pagi tanggal 27 Mei 1905M, armada diraja Jepun dan Russia saling bertembung dalam sebuah pertempuran laut terakhir dalam Perang Russia-Jepun. Hasil peperangan tersebut sangat mengejutkan dunia Eropah. Mana tidaknya? Russia mengalami kekalahan besar di tangan Jepun.

Armada perang Russia di bawah kepemimpinan Laksamana Rozhestvensky cuba menyelinap masuk ke pelabuhan Vladivostok yang terletak di pesisiran Siberia. Namun, pihak Jepun berjaya mengesan cubaan tersebut.

Kasualti pertempuran tersebut; Jepun kehilangan tiga buah kapal dan 117 orang tentera. Russia pula menanggung kasualti sebanyak 28 buah kapal dan 4380 orang tentera terkorban sambil 5917 orang yang lain tertangkap.

Russia kemudian menyerah-kalah sekaligus mendorong kepada berlakunya pemberontakan terhadap Tsar pada tahun 1905M. Sementara itu, dunia mula memberikan tumpuan kepada kuasa Jepun yang semakin meningkat. Kuasa dan cita-cita Jepun terus mendaki ke puncak sehinggalah mereka mengalami kekalahan dalam Perang Dunia II, pada tahun 1495M.


PERTEMPURAN KOHIMA, 1944M

Pasukan medik merawat orang-orang yang tercedera semasa Kempen Burma, 1944. National Archives


Walaupun kurang dikenali, Pertempuran Kohima merupakan peristiwa penting dalam Perang Dunia II yang menamatkan kemaraan Jepun dalam memerangi kekuatan British di India.

Dengan membawa hasrat untuk menguasai jantung empayar British di timur, iaitu India, angkatan tentera Jepun mara pada tahun 1942 hingga 1943 dan merentasi Burma yang ketika itu dikuasai oleh British. Dalam rentang waktu antara 4 April hingga 22 Jun 1994M, Rejimen British-India bertempur melawan Jepun yang berada di bawah pimpinan Kotoku Sato. Pertempuran tersebut berlangsung berhampiran kampung Kohima yang terletak di timur laut India.

Oleh kerana berperang dalam tempoh yang panjang, kedua belah pihak kehabisan bekalan makanan dan minuman. Namun, British tidak lama kemudian menerima bantuan bekalan menerusi laluan udara. Pihak Jepun yang kebuluran terpaksa mengambil keputusan untuk berundur. Kekuatan Indo-British itu mengusir mereka kembali ke Burma.

Dalam pertempuran tersebut, Jepun kehilangan seramai 6000 orang tentera dan 60 000 orang secara keseluruhan dalam Kempen Burma. Sementara itu, British pula menanggung kasualti seramai 4000 orang tentera dalam Pertempuran Kohima dan 17 000 orang secara keseluruhan dalam Kempen Burma.