- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
About History. (7 Mei 2018). Battle of Thebes 335 BC Between Alexander the Great
and the City State of Thebes.
https://about-history.com/battle-of-thebes-335-bc-between-alexander-the-great-and-the-city-state-of-thebes/
https://about-history.com/battle-of-thebes-335-bc-between-alexander-the-great-and-the-city-state-of-thebes/
Penterjemah:
A.D. Alexander
Pertempuran dan
kemusnahan Thebes pada tahun 335SM angkara serangan Alexander Agung telah
mengakibatkan kehancuran negara terkuat di Yunani pada zaman itu sekaligus
membenarkan beliau menguasai seluruh Yunani. Jika tidak diambil dari sudut
geografi, Thebes adalah merupakan kota strategik sebagai pusat kepada Yunani.
Dari utara, Laluan Thermopylae yang dipanggil sebagai pintu gerbang ke Yunani
memisahkan Jajahan Thebes dari dataran Thessaly.
Suku Aetolia menetap di
bahagian barat Thebes bersama suku-suku Yunani penghuni gunung yang lain. Sementara
bahagian tenggara Thebes pula bersempadan dengan tanah Attica, jajahan Athens.
Di barat daya bermula di dataran kecil yang menghubungkan kepulauan Peloponnese
terdapat banyak kota terkenal, antara yang paling masyhur adalah Sparta.
Barangsiapa yang dapat
menguasai Thebes, maka beliau akan dapat menguasai seluruh Greek. Oleh kerana
itu, ayahanda Alexander iaitu Raja Philip II cuba melemahkan negara kota yang
berpengaruh itu. Selepas meraih kemenangan dalam Pertempuran Chaeronea pada
tahun 338SM, ramai rakyat Thebes diusir. Philip pula menempatkan sebuah kem
tentera Macedonia di Cadmeia, sebuah kubu di pinggir selatan Thebes.
Semasa tersebar khabar angin
di Yunani bahawa Alexander telah dibunuh di suatu tempat di Illyria, ramai
orang buangan kembali ke Thebes. Mereka mendapatkan ramai penyokong dan
kemudian mencetuskan pemberontakan.
Rakyat Thebes kemudian
membunuh dua orang jeneral Macedonia yang bertugas di kem tentera di Cadmeia
sambil kubu itu sendiri dikepung. Rakyat Thebes meminta bantuan dari seluruh
masyarakat Yunani. Mereka berjaya meraih simpati daripada mereka, namun tidak
ada bantuan ketenteraan yang diraih.
Dalam kalangan
masyarakat Yunani tidak ada kesatuan dan perpaduan; mereka lebih suka menunggu
(melihat pergerakan yang lain). Hanya Athens sahaja yang menghantar senjata ke
Thebes. Setelah mengetahui kejadian yang berlaku di Yunani, Alexander segera
membuat kemaraan pantas dari Thrace dengan seluruh pasukan tenteranya sebelum
mana-mana negara kota lain sempat memberikan bantuan kepada pemberontak Thebes.
Setelah dua minggu melakukan kemaraan, beliau pun berkampung berhampiran
Thebes.
PENGEPUNGAN DAN
SERANGAN
Alexander memiliki 30
000 orang infantri dan 3000 orang berkuda. Beliau disertai oleh Boeotians,
penduduk perkampungan sekitar Thebes yang mana rakyat Thebes telah menjadi seteru mereka.
Thebes hanya mampu
menghimpunkan kira-kira 7000 hoplites (tentera infantri bersenjata
Yunani purba) dan sehingga 1000 orang tentera berkuda. Walau bagaimanapun,
kekuatan tentera Alexander hampir menyamai jumlah keseluruhan populasi kota
itu; termasuklah kaum wanita, orang tua dan kanak-kanak.
Berbeza dengan sifat tidak
sabarnya seperti sebelum ini, Alexander kali ini tidak terburu-buru dan
berharap supaya kota tersebut menyerah diri secara sukarela. Beliau mahu
meninggalkan Yunani dengan aman sebelum memulakan kempen di Parsi. Beliau
mencadangkan kepada rakyat Thebes supaya menyerahkan dua orang penghasut utama
yang mencetuskan pemberontakan dan sebagai imbalan, beliau tidak akan menyerang
kota itu.
Walau bagaimanapun,
penduduk Thebes dengan egonya memutuskan untuk menentang dan menjadi kaum
pertama yang menyerang bala tentera Macedonia itu, yang dengan mudah berhasil
menghalang mereka. Kem tentera Alexander terletak di sebelah selatan kota,
berhampiran dengan kubu Cadmei yang sedang dikepung. Berdasarkan perincian
berkenaan pertempuran itu, Thebes dikelilingi oleh tembok rendah yang
menempatkan para hamba dan penduduk bukan-warganegara. Pasukan-pasukan tentera
Thebes pula disusun secara terpisah di luar tembok dan dilindungi oleh benteng
kecil dan dua benteng kayu runcing.
Alexander melakukan
persiapan serangan selama tiga hari. Serangan ke atas kota bermula secara
spontan tanpa arahan daripada Alexander. Tentera dari phalanx Perdiccas memecah
masuk ke benteng kayu runcing di sebelah selatan kota. Tanpa diduga, pasukan
tentera Thebes berundur. Kemudian, Alexander menghantar seluruh tenteranya
untuk membantu pasukan Perdiccas yang cedera parah untuk dibawa keluar dari
medan perang.
Pertempuran berlangsung
panjang dengan tercetus beberapa buah pertempuran kecil di pelbagai lokasi.
Pasukan phalanx Macedonia memiliki kelebihan dari segi kekuatan dan pengalaman.
Alexander pula menghantar pasukan baharu bagi menggantikan pasukan tentera yang
telah keleithan. Sambil itu, pasukan Thebes bergegas untuk mempertahankan
tembok kota namun dalam keadaan yang kacau itu, mereka tidak sempat untuk menutup
gerbang kota lantas pasukan Macedonia yang mengejar dari tadi berjaya
menceroboh masuk ke dalam Thebes.
Pasukan tentera berkuda
Thebes sempat memukul ramai tentera infantri Macedonia. Disebabkan pasukan-pasukan
Thebes ini mengambil kedudukan di luar kota sambil di tembok kota pula
menempatkan rakyat awam yang tidak mampu mempertahankan diri, maka pasukan
Macedonia dengan mudah menembus masuk ke bahagian tembok.
Dari Cadmei, sebuah
angkatan tentera Macedonia menggempur masuk ke jalan-jalan Thebes dan
penentangan daripada rakyatnya berjaya dipatahkan. Ada dalam kalangan mereka
yang terus berperang dengan bersungguh-sungguh walaupun ramai rakyat Thebes
yang lain melarikan diri.
KESAN PENGEPUNGAN
Dalam pertempuran ini,
seramai 6000 orang warga Thebes terbunuh sambil 30 000 yang lain ditangkap.
Penentangan keras yang diberikan oleh pertahanan Thebes pada hari serangan
dapat dibuktikan menerusi angka korban yang dialami oleh Macedonia iaitu
seramai 500 orang. Bahkan semasa pengepungan kota Tyre yang berlangsung selama
tujuh bulan, hanya sedikit sahaja tentera Macedonia yang terbunuh.
Sekutu-sekutu dari
Boeotia yang telah ditugaskan oleh Alexander untuk memusnahkan Thebes mengambil
keputusan untuk menempatkan anggota tentera mereka di Cadmeia dalam rangka
meranapkan kota itu sehingga ke batu asasnya lalu membahagi-bahagikan kawasan
tersebut.
Selain para pendeta,
rahib wanita, rakan-rakan kepada Philip dan Alexander serta proksi Macedonia,
kesemua rakyat Thebes yang terselamat dijual sebagai hamba, Menerusi penjualan
hamba-hamba itu, Alexander dapat memperoleh 440 keping wang talent.
Harga seorang hamba adalah sekitar 88 drachmas (matawang perak Yunani
purba), separuh harga biasa bagi seorang hamba.
Kota-kota Yunani yang
sebelum ini menyokong dan memuji tindakan para penghasut yang menyebarkan sentiment
anti-Macedonia kini tunduk dan memberikan kesetiaan kepada Alexander. Beliau menuntut
Athens agar menyerahkan individu-individu utama yang menentang Macedonia dan
menerusi rundingan yang dilakukan, pihak Athens bersetuju untuk mengusir para
pemimpin tentera yang tidak disukai oleh Macedonia.
Alexander tidak menghukum
musuh-musuhnya di Yunani dan pulang ke Macedonia setelah berpuas hati dengan
kemusnahan Thebes. Beliau meneruskan persiapan untuk melancarkan sebuah kempen
hebat di Asia yang bakal membentuk sejarah dunia. Pertempuran ini
memperlihatkan potensi pemimpin muda yang hebat ini, yang kelak akan dikenang
sebagai Alexander Agung.
RUJUKAN:
- Diodorus (17.8-14); Arrian (1.7-10); Plutarch (“Alexander”, 11-13, “Demosthenes”,23); Justin (11.3-4).
- Arrian. The Journey of Alexander. – M.:MYTH. 1993.
- Diodorus Siculus, Book XVII.
- Get link
- X
- Other Apps

