- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Ellen Lloyd. (24 Januari 2019). Queen Nefertari – Favorite Wife of Ramses II
The Great and Her Lavishly Decorated Tomb In The Valley Of The Queens. Ancient
Pages.
http://www.ancientpages.com/2019/01/24/queen-nefertari-favorite-wife-of-ramses-ii-the-great-and-her-lavishly-decorated-tomb-in-the-valley-of-the-queens/
http://www.ancientpages.com/2019/01/24/queen-nefertari-favorite-wife-of-ramses-ii-the-great-and-her-lavishly-decorated-tomb-in-the-valley-of-the-queens/
Penterjemah: Amir Zayyanid
Nefertari Meritmut, yang namanya itu membawa maksud “teman yang jelita”
merupakan Isteri Diraja pertama Ramses Agung (Ramses II). Beliau juga merupakan
salah seorang ratu Mesir yang paling terkenal, di samping Hatshepsut, Cleopatra
dan Nefertiti.
Jika dibandingkan dengan Cleopatra si pemerintah Kerajaan Ptolemaic di
Mesir, atau Nefertiti yang tiba-tiba sahaja menghilangkan diri dari sejarah
setelah mendaki puncak kuasa bersama Firaun Akhenaten, sejarah kehidupan
Nefertari tidaklah begitu rumit dan misteri. Pun begitu, ia tetap memiliki
signifikasi tersendiri.
Permakaman gergasinya, QV66 menjadi bukti kukuh berkenaan kepentingan
dan kekuasaannya sebagai isteri pertama Ramses II, si firaun ketiga dalam
Dinasti ke-19 Mesir.
SIAPAKAH RATU NEFERTARI?
Sememangnya tidak banyak maklumat yang kita miliki perihal tahun-tahun
awal kehidupan Nefertari. Para sejarahwan masih kurang jelas tentang siapakah
orang tua beliau dan di mana lokasi beliau dilahirkan. Penemuan cartouche milik
Firaun Ay di dalam pusaranya membuatkan para arkeologis dan sejarahwan
mengandaikan bahawa Nefertari mempunyai kaitan dengan Firaun tersebut. Namun,
tiada bukti kukuh yang boleh menyokong dakwaan itu.
Menjejaki kehidupan seorang manusia yang sudah terlalu lama meninggalkan
kita sememangnya sukar. Namun, catatan-catatan sejarah menunjukkan bahawa
beliau telah mengahwini Ramses II sebelum firaun itu naik takhta. Pada masa
perkahwinan mereka, Nefertari berusia 13 tahun sementara Ramses pula 15 tahun.
Pasangan tersebut dikurniakan 4 orang putera dan puteri – jumlahnya
berkemungkinan lebih. Ramses II sempat menikmati hidup selama lebih 90 tahun
dan beliau memiliki belasan orang anak bersama isteri-isteri yang lain.
Sejarahwan telah mengenal pasti nama para putera Ratu Nefertari. Mereka
adalah Amun-her-khepeshef, Pareherwenemef, Meryatum dan Meryre. Dua orang
puterinya pula ialah Meritamen dan Henwttawy.
KESETIAAN RAMSES TERHADAP RATU NEFERTARI
Pada zaman purba, politik sering menjadi instrumen yang mengatur
sesebuah perkahwinan. Sememangnya terdapat beberapa sejumlah perkahwinan yang
dilangsungkan atas tujuan politik. Namun, terdapat juga situasi seperti yang
berlaku pada pasangan Ramses dan Ratu Nefertari yang dipercayai berkahwin atas
dasar cinta sejati.
Berbeza dengan anggapan umum, perkahwinan dan perceraian di Mesir Purba
bukanlah suatu hal yang rumit untuk terjadi. Pun begitu, Ramses Agung terus
kekal menjadi suami kepada Ratu Nefertari selama 24 tahun, iaitu sehingga ratu
tersebut meninggal dunia.
Di Abu Simbel, firaun mendirikan sebuah kuil yang didedikasikan untuk
Nefertari bersebelahan dengan binaan tugunya sendiri.
Beliau menggelarkan Nefertari sebagai Cinta Sejati, Pasangan Tuhan dan
Ratu bagi Dua Tanah. Ramses II turut menulis syair-syair cinta buat isterinya
itu. Inskripsi-inskripsi berkenaan firaun ini ada mendedahkan bahawa Ratu Nefertari
memainkan peranan penting dalam kehidupan Ramses secara khusus dan pentadbiran
Mesir secara umum.
Ratu Nefertari merupakan seorang gadis yang sangat bijaksana. Beliau
mampu membaca dan menulis hieroglif – satu kemahiran yang sangat jarang
dikuasai pada masa itu. Kebanyakan firaun tidak mahir dengan hieroglif.
Justeru, Nefertari memanfaatkan pengetahuan dan kemahirannya itu di dalam
urusan diplomatik sehingga beliau dihormati sebagai Ratu Mesir yang berwibawa.
LEGASI RATU NEFERTARI
Putera-putera Nefertari tidak pernah mengecap tahap kemasyhuran yang
pernah diraihnya. Puteranya yang paling dikenali sehingga ke hari ini ialah
Meryatum, putera yang menjadi pendeta bertaraf tinggi di Heliopolis. Dapat
menyandang jawatan ini merupakan satu kredit yang agak mengagumkan,
memandangkan Heliopolis bukan sahaja merupakan salah sebuah kota tertua di
Mesir, malah ia memiliki kefungsian yang sangat penting sebagai pusat
keagamaan.
Sebelum Firaun Akhenaten mula membelakangkan tradisi lama masyarakat
Mesir, pendeta-pendeta Mesir Purba memiliki pengaruh yang sangat besar.
Kedudukan mereka mula tergugat apabila Firaun Akhenaten memperkenalkan
pembaharuan di dalam agama. Firaun Akhenaten turut mengubah tradisi kepercayaan
Mesir dari menyembah banyak dewa kepada penyembahan satu dewa yang bernama
Aten. Dengan pembaharuan seperti itu, para pendeta Mesir yang rutin hariannya
tertumpu pada khidmat kepada para dewa kini tidak lagi diperlukan.
![]() |
| Pandangan Kuil Karnak dari atas |
Apa yang berlaku terhadap putera-putera Nefertari yang lain tidak dapat
dipastikan. Namun, legasi isteri Ramses Agung ini masih boleh dilihat pada hari
ini jika kita melawat Mesir. Walaupun makamnya pernah dirompak pada suatu masa
dahulu, dekorasi pada dinding-dindingnya masih dapat dilihat sekaligus membuktikan
kehebatannya sebagai Ratu Mesir yang berkuasa.
Memandangkan beliau memiliki kuil Nubia tersendiri di Abu Simbel, beliau
seolah menyusuli jejak langkah Ratu Tyre, Isteri Agung Amenhotep III. Kuil kecil
Dewi Hathor juga dibina khas untuk Ratu Nefertari. Di kuil itu, gambaran Ratu
Mesir tersebut dipersembahkan dalam saiz yang sama besar dengan suaminya.
![]() |
| Terdapat sejumlah gambaran purba berkenaan Ratu Nefertari |
Luxor dan Karnak juga memiliki sejumlah patung Ratu Nefertari, di mana
beliau tampil gah sebagai permaisuri kepada Ramses Agung. Namanya juga ada
disebutkan di dalam tablet-tablet cuneiform dari Hattusha, ibu kota
agung Kerajaan Hittites.
Sebagaimana yang pernah disebutkan di dalam laman Ancient Pages, barangan
di zaman Mesir Purba yang dikenali sebagai sistrum merupakan sebuah alat musik
yang dianggap suci. Walaupun sistrum ini kebiasaannya dikaitkan dengan Dewi
Hathor, ia turut digunakan oleh beberapa individu lain, termasuklah Ratu
Nefertari. Malahan, terdapat sejumlah lukisan yang menggambarkan isteri firaun
itu bermain sistrum
![]() |
| Nefertari, isteri Ramses II sedang memegang sistrum |
Makam Ratu Nefertari yang terhias mewah ini dijumpai oleh Ernesto
Schiaparelli, seorang ahli kaji purba Mesir dari Itali pada tahun 1904. Semasa
beliau dan rakan-rakan sepasukannya membuka tempat peristirehatan Ratu Mesir
purba ini, mereka ditakjubkan dengan dekorasi-dekorasi yang ada di makam
tersebut. Syiling makam itu berwarna biru dan dilukis dengan gambaran bintang-bintang
yang indah. Makamnya itu telah menjalani proses pembaik-pulihan beberapa kali
dan hari ini ia ditutup dari dikunjungi orang awam.
Disebabkan kedua-duanya mempunyai nama yang hampir sama, Ratu Nefertari
sering disalah-anggap sebagai Ratu Nefertiti. Namun pada hakikatnya, mereka
berdua merupakan individu yang berbeza sama sekali.
Nefertari muncul dalam buku-buku sejarah sebagai seorang Ratu Mesir
Purba yang berkuasa lagi bijaksana. Ingatan terhadapnya terus hidup berkat
binaan indah yang dibangunkan oleh Ramses Agung khas untuk isteri pertama yang
dicintainya itu.
SUMBER
- John McDonald - House of Eternity: The Tomb of Nefertari
- K. A. Kitchen - Ramesside Inscriptions, Ramesses IV to XI and Contemporaries: Translations
- Mario Nasr Mohamed; Tosi - The Tomb of Nefertari
- Get link
- X
- Other Apps




