SEPULUH BINAAN AGUNG DI ASIA

Pautan ke artikel asal:
Daniel Cameron. (5 Julai 2014). Ten Magnificent Ancient Structures of Asia. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/ten-magnificent-ancient-structures-asia-001823

Penterjemah: Amir Zayyanid


Senarai di bawah hanya menyebutkan sebahagian kecil daripada sejumlah binaan agung yang terdapat di Asia pada zaman dahulu.


1.     TIBET – ISTANA POTALA



Pembinaan Istana Potala dimulakan pada tahun 1645M. Binaan ini dibina setinggi 13 tingkat. Di dalamnya terdapat 1000 buah bilik, 10 000 buah tempat keramat dan kira-kira 200 000 buah patung. Menurut sejarah, Istana Potala merupakan kediaman utama Dalai Lama.

Pada hari ini, Istana Potala berfungsi sebagai sebuah muzium yang menempatkan puluhan ribu relik kebudayaan dan kesenian yang terhebat dari Tibet, di samping sejumlah lukisan dinding yang indah. Kesemua ini menjadi bukti nyata kepada sejarah Tibet. Dengan ketinggian 12 000 kaki (3700 meter) dari paras laut, Istana Potala merupakan istana-berlokasi-tertinggi di dunia.


2.     BHUTAN – BIARA TAKTSANG



Turut dikenali sebagai ‘Sarang Harimau’, Biara Taktsang mula dibina pada tahun 1692M. Biara bagi agama Buddha ini berlokasi di lereng bukit dengan ketinggian kira-kira 3000 kaki (900) dari permukaan lembah Paro. Biara ini memiliki sejarah tersendiri sebagai tempat pertapaan bagi para sami.


3.     BURMA – PAGODA SHWEZIGON



Binaan Pagoda Shwezigon siap pada tahun 1102M. Pagoda ini dipercayai merupakan tempat bersemadinya tulang dan gigi Gautama Buddha. Legenda menyebutkan bahawa Raja Anawrahta meminta relik gigi Buddha daripada Sri Lanka. Apabila gigi tersebut tiba di pesisiran pantainya, si raja mengharungi sungai separas-leher untuk menerimanya. Raja Anawrahta berhajat untuk memelihara relik itu di dalam sebuah pagoda bagi kemanfaatan orang ramai.

Maka, beliau pun meletakkan relik itu di atas gajah putih miliknya lalu berkata, “Semoga gajah putihku ini akan berhenti dan menunduk di tempat relik gigi ini mahu disemadikan.” Oleh kerana itu, Pagoda Shwezigon pun dibina tepat di lokasi gajah putih itu berhenti dan menundukkan kepalanya.


4.     THAILAND: AYUTTHAYA



Walaupun ia bukanlah sebuah binaan tunggal, Ayutthaya merupakan sebuah kerajaan Siam yang wujud dari tahun 1351 hingga 1767M. Kerajaan ini memiliki sejumlah binaan yang mengagumkan. Ayutthaya merupakan mantan ibu kota Thailand, yang pada masa itu dikenali sebagai Siam.

Menjelang abad ke-18 Masihi, Ayutthaya dianggap sebagai kerajaan paling berkuasa di Asia Tenggara. Terletak hanya sejauh satu jam perjalanan dari Bangkok, tinggalan-tinggalan sejarah dari kerajaan ini merupakan destinasi popular dalam kalangan pelancong pada hari ini.


5.     KEMBOJA – KUIL-KUIL ANGKOR



Kuil-Kuil Angkor berjaya menarik sekitar 2 juta orang pengunjung pada setiap tahun. Binaan ini dianggap sebagai monumen keagamaan tunggal yang paling besar di dunia, dengan keluasan lebih dari 248 batu persegi (400 km persegi). Kuil utamanya, iaitu Angkor Wat, mula dibina pada tahun 1113M dan siap sepenuhnya pada tahun 1150M. Pembinaan tersebut dijalankan oleh Raja Suryavarman II dan kini monumen tersebut dikibarkan dengan bendera Kemboja.


6.     INDONESIA – BOROBUDUR



Borobudur dibina pada abad ke-9M sebagai sebuah kuil bagi agama Buddha. Dianggarkan bahawa pembinaan Borobudur mengambil masa selama 75 tahun untuk siap. Tapak ini mengandungi 504 buah patung Buddha. Setelah berabad-abad lamanya terselindung di sebalik abu gunung berapi dan hutan lebat, Borobudur dibaik-pulih sebelum menjadi destinasi pelancongan paling masyhur di Indonesia pada hari ini. Borobudur turut disenaraikan sebagai tapak arkeologi agama Buddha yang paling besar di dunia dalam Guuinness Book of World Records.


7.     KOREA – ISTANA CHANGDEOK



Membawa maksud literal ‘Istana Yang Dilimpahi Kebaikan’, istana ini merupakan salah sebuah daripada Lima Istana Besar yang dibina pada tahun 1392M. Istana Changdeok ini memiliki 13 buah bangunan di halaman istana dan 28 buah pavilion di ruang tamannya. Reka bentuk istana ini disesuaikan supaya harmoni dengan suasana sekitar. Istana Changdeok merupakan sebahagian daripada Tapak Warisan Dunia UNESCO dan diperincikan sebagai sebuah “contoh nyata tentang seni bina istana dan reka bentuk taman istana di Timur Jauh yang amat mengagumkan.”


8.     JEPUN – ISTANA HIMEJI



Dibina pada tahun 1333M, Istana Himeji merupakan istana paling besar di Jepun. Ia dianggap sebagai contoh terbaik yang melambangkan seni bina istana Jepun. Oleh kerana itu, Istana Himeji merupakan istana yang paling kerap dikunjungi di seluruh Jepun. Istana ini memiliki 83 buah bangunan di halamannya.

Apa yang menarik tentang Istana Himeji ini adalah ia tidak pernah mengalami sebarang kerosakan – baik disebabkan oleh faktor semula jadi mahupun angkara ulah manusia.

Istana Himeji memiliki sejumlah faktor keselamatan yang melindunginya. Tidak hanya dibina di lokasi yang sangat tinggi, ia turut dilengkapkan dengan tiga buah parit (parit di bahagian luar telah tertimbus) dan sebuah sistem laluan ke istana yang mengelirukan. Banyak laluan membawa kepada jalan mati sekaligus berupaya mengelirukan mana-mana pihak yang cuba datang menyerang.

Rekaan sebegini membolehkan pergerakan pihak penceroboh dikesan dan diperhatikan lalu diserang dengan bidikan panah semasa mereka mengharungi laluan panjang itu. Himeji terletak sejauh 75 batu (120 km) arah barat daya dari Kyoto.


9.     INDIA – TAJ MAHAL



Taj Mahal, binaan yang berdiri setinggi 171 meter (561 kaki), merupakan salah sebuah destinasi pelancongan terkemuka di India. Monumen ini dibina oleh Maharaja Shah Jahan sebagai tanda kenang-kenangan buat isteri ketiganya. Menurut legenda, Shah Jahan merancang untuk membina sebuah lagi Taj Mahal dengan menggunakan marmar hitam di seberang sungai. Namun, rancangannya itu diganggu dan tergendala.

Dengan khidmat ribuan artisan dan petukang, pembinaan Taj Mahal berjaya disiapkan sekitar tahun 1653M setelah menjalani proses selama 21 tahun. Dikatakan bahawa binaan ini menggabungkan elemen seni bina daripada Turki, Uthmaniyah, Parsi dan India. Para pengunjung turut dapat menyedari bahawa binaan ini sangat bersimetri pada keempat-empat sisinya.


10.            CHINA – KOTA LARANGAN



Terletak di tengah-tengah Beijing, Kota Larangan merupakan istaja diraja dari zaman Dinasti Ming hingga ke penghujung Dinasti Qing. Kota Larangan diberi nama sedemikian kerana orang awam dilarang memasuki perkarangannya. Mula dibina pada tahun 1406 dan siap pada tahun 1420M, Kota Larangan mempunyai 980 buah bangunan dan berkeluasan sekitar 7 800 000 kaki persegi (720 000 meter persegi).

Terdapat dua buah patung singa diletakkan di bahagian gerbang utamanya. Salah sebuah patung itu mempunyai bola sutera di bawah tapak kakinya yang mana ia merupakan simbolik kekuasaan. Sebuah patung lagi pula dilengkapkan dengan anak singa yang mewakili kehidupan.

Para pengunjung juga boleh melihat bahawa atap bagi kesemua bangunan di Kota Larangan ini diperbuat daripada jubin-jubin yang disepuh dengan warna kuning. Warna ini dipilih memandangkan kuning adalah warna rasmi bagi maharaja Cina.