SKAĐI - GERGASI WANITA NORSE DAN KESUMATNYA PADA DEWA

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (18 Mei 2019). Skaði, The Norse ‘Giantess’ with a Godly Vendetta. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/ska-i-norse-giantess-godly-vendetta-008258

Penterjemah: Amir Zayyanid


Dalam mitologi Norse, Skaði (juga di-Inggeriskan sebagai Skaði , Skade, atau Skathi) merupakan seorang dewi dan gergasi wanita. Beliau sering dikaitkan dengan musim salji. Selain itu, Skaði juga mempunyai hubungan dengan aktiviti memburu, meluncur dan gunung-ganang. Menurut kepercayaan Norse, Skaði adalah puteri kepada Thjazi yang mati dibunuh oleh dewa Aesir. Selain itu, Skaði turut diyakini sebagai isteri kepada Njord, seorang dewa Vanir. Kematian bapa Skaði dan perkahwinannya dengan Njord tercantum dalam mitos Norse yang masyhur.


BANGSA JÖTNAR SI GERGASI

Skaði merupakan seorang jötunn, yang sering diterjemahkan sebagai ‘gergasi’. Pun begitu, terjemahan yang lebih literal bagi perkataan ini sebenarnya adalah ‘pelahap’. Jötnar (jamak bagi jötunn) dipercayai merupakan sebuah bangsa bagi makhluk yang mendiami Jotunheim (bermaksud “dunia bagi bangsa Jötnar”). Jotunheim pula adalah salah satu dari sembilan buah dunia yang terdapat dalam kosmologi Norse. Bagi masyarakat Norse, jötunn mewakili kematian, pereputan, kehancuran dan huru-hara.

Walaupun jötunn secara umum dilihat sebagai makhluk yang berbahaya, ia sama sekali tidak memaksudkannya sebagai makhluk yang jahat. Mereka ini diperlukan untuk kitaran kehidupan, kematian dan kelahiran semula. Hal ini dapat dilihat, misalnya di dalam mitos penciptaan Norse, di mana alam semesta diciptakan daripada bangkai jötunn yang bernama Ymir.

Skadi memburu di Gunung-Ganang (1901) oleh H. L. M. (Foster) Asgard Stories: Tales from Norse Mythology


KESUMAT SKAÐI  TERHADAP PARA DEWA

Nama Skaði dipercayai bermaksud ‘kerosakan’ atau ‘bayang’. Pengertian ini menimbulkan kebarangkalian bahawa beliau berketurunan dari gergasi-gergasi ais. Malah, terdapat pendapat yang mendakwa bahawa beliau merupakan jötunn si pembawa musim sejuk, kesejukan, dan kematian.

Namun, statusnya sebagai seorang dewi dan kewujudan bukti bahawa beliau dipuja oleh manusia membuatkan Skaði cenderung tidak dianggap sebagai makhluk jahat oleh masyarakat Norse purba. Bahkan, beliau mungkin dipandang tinggi kerana perkaitannya dengan kelangsungan musim sejuk.

Bapa Skaði adalah seorang jötunn yang bernama Thjazi. Dalam sebuah mitos, dikisahkan bahawa Thjazi mati dibunuh oleh Aesir (dewa-dewa utama dalam agama Norse. Antara dewa-dewa Aesir termasuklah Odin dan Thor). Rentetan kejadian tersebut, Skaði bersumpah untuk membalas dendam atas kematian bapanya. Bagi menunaikan sumpahnya itu, beliau mengenakan kelengkapan tempurnya dan bersedia untuk menyerang Aesir di Asgard.

Potret Skadi oleh pelukis moden


Namun, para dewa Aesir tidak berhasrat untuk bertempur dengan Skaði. Selepas suatu tempoh masa, mereka mengambil keputusan untuk menenangkan Skaði dengan memberikan dua tawaran sebagai tanda berbaik-baik dan pampasan atas kematian bapanya.

Tawaran pertama adalah Skaði dibenarkan untuk memilih suami dari kalangan dewa. Tawaran kedua pula adalah para dewa berjanji untuk membuatkannya tertawa. Hal ini kerana Skaði berasa teramat duka dengan pemergian Thjazi dan para dewa menghitung bahawa Skaði tidak akan tertawa lagi sepanjang hayatnya.

Skadi merindukan Gunung-Ganang (1908) oleh W. G. Collingwood


SKAÐI DAN PILIHANNYA

Terdapat satu syarat ringkas yang dikenakan terhadap tawaran pertama yang diberikan kepada Skaði. Walaupun beliau dibenarkan untuk memilih suami dari kalangan dewa secara bebas, Skaði hanya boleh melihat kaki mereka sahaja ketika membuat pilihan. Skaði berimpian mahu mengahwini Baldur, dewa Aesir yang paling tampan. Menurut jangkaannya, sudah tentu sepasang kaki yang paling indah itu adalah milik dewa Aesir tersebut. Oleh kerana itu, Skaði pun membuat pilihan bersandarkan pada faktor tersebut.

Namun malang buat Skaði, sepasang kaki yang paling indah sebenarnya bukanlah milik Baldur, akan tetapi milik Njord, seorang dewa Vanir (sebuah lagi kumpulan dewa Norse) yang dikaitkan dengan laut. Perkahwinan ini benar-benar tidak serasi. Skaði hidup bersama suaminya di lautan selama beberapa tempoh dan beberapa waktu kemudian, mereka hidup di Jotunheim pula.

Tanpa perlu dirincikan dengan lebih lanjut, masing-masing tidak menyukai tempat tinggal pasangannya dan mereka berdua kemudiannya berpisah. Menurut sebuah mitos, Skaði kemudiannya dikurniakan seorang anak bersama Odin, bernama Saeming yang menjadi raja pertama Norway. Dalam mitos yang lain pula, Skaði dikatakan berkahwin dengan Ullr, dewa musim sejuk.

Skade (1893) oleh Carl Fredrik von Saltza


LOKI MEMENUHI JANJI UNTUK MEMBUATKAN SKAÐI  TERTAWA

Walaupun tawaran pertama yang diberikan kepada Skaði hanya membawanya ke lembah kehampaan, para dewa berjaya untuk menggembirakannya dan membuatkannya tertawa, sebagaimana yang dijanjikan oleh mereka pada tawaran yang kedua. Tugas untuk menggembirakan Skaði ini diserahkan kepada Loki, si dewa penghelah.

Loki mengikatkan seutas tali pada janggut seekor kambing dan hujung tali tersebut diikatkan pada testisnya. Kemudian, Loki mengacah kambing tersebut agar berlari sekaligus mengakibatkan tali tersebut merenggang. Makanya, janggut kambing dan testis Loki habis direntap kuat.

Walaupun perbuatan tersebut memberikan kesakitan yang tidak terperi kepada Loki dan kambing tersebut, ternyata ia berjaya membuatkan Skaði terhibur memandangkan catatan mitos menyatakan bahawa beliau tertawa tatkala menyaksikan keletah tersebut. Sebagai layanan tambahan, Odin malah mengambil mata Thjazi dan melontarkannya ke langit sekaligus mengubahnya menjadi bintang yang bergemerlapan di angkasa.


SUMBER
  • Coulter, C. R. & Turner, P., 2000. Encyclopedia of Ancient Deities. New York: Routledge.