- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
DHWTY. (24 Jun 2017). Subutai: The Forgotten Force Behind the Fearsome Mongol
Military. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/subutai-forgotten-force-behind-fearsome-mongol-military-008298
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/subutai-forgotten-force-behind-fearsome-mongol-military-008298
Penterjemah:
Amir Zayyanid
“Terdapat Empat Ekor
Anjing Temujin. Mereka ini memiliki dahi yang diperbuat daripada tembaga;
rahang mereka ibarat bilah gunting; lidah mereka umpama jarum yang mencucuk;
kepala mereka bak besi; dan cambuk mereka tajam bagaikan pedang… Pada hari-hari
pertempuran, mereka meminum darah musuh. Saksikanlah, anjing-anjing ini kini
telah dilepaskan dan mulut mereka tergiur kegirangan. Empat ekor anjing ini
adalah Jebe dan Kublai, Jelme dan Subotai.” – The Secret History of the
Mongols
Sebagai orang kanan
kepada Genghis Khan, Subutai (Subotai) merupakan seorang strategis dan panglima
yang gagah berani. Beliau merupakan individu sandaran dalam kalangan pemimpin
masyhur Mongol dalam menggalas tugas membantu Khan memperluaskan empayar
mereka. Subutai menyertai barisan kepemimpinan Mongol pada usia yang muda.
Namun, kemahiran luar biasa yang dimilikinya membuatkan beliau dengan pantas
menjadi salah seorang ‘anjing perang’ Genghis Khan.
![]() |
| Gambaran pelukis tentang seorang pemimpin Mongol |
Subutai juga dikenali
dengan gelaran ‘Bagatur’ (yang bermaksud ‘Si Gagah’). Beliau sempat berkhidmat
untuk dua orang pemimpin Mongol yang masyhur, iaitu Genghis Khan dan anak
merangkap pewarisnya, Ogedei Khan. Subutai merupakan salah seorang panglima
Empayar Mongol yang paling gagah. Beliau pernah dihantar bagi mengepalai
sejumlah kempen ketenteraan di Asia dan Eropah.
![]() |
| Lukisan Cina dari zaman pertengahan yang menggambarkan Subutai |
SUBUTAI MENDAKI TINGKAT
KEDUDUKAN DI USIA YANG MUDA
Dipercayai bahawa
Subutai dilahirkan pada suatu waktu di antara tahun 1160an – 1170an. Kebanyakan
sumber menyebutkan tahun 1176M sebagai tahun kelahirannya. Panglima ini berasal
dari sebuah puak yang dikenali sebagai Uriangkhai; puak yang tidak dianggap
sebagai sebahagian dari Mongol. Ahli-ahli puak ini adalah penghuni hutan. Tidak
seperti orang Mongol, mereka kurang mahir menunggang kuda. Sebaliknya, puak
Uriangkhai ini memiliki kepakaran dalam pertukangan besi dan perdagangan
bulu-buluan.
Dicatatkan bahawa
Subutai merupakan anak kepada seorang tukang besi, dengan satu sumber menamakan
bapanya sebagai Qaban. Sebagai seorang tukang besi, bapa Subutai menawarkan
khidmatnya kepada Mongol – beliau melentur objek-objek besi yang rosak seperti
senjata dan bekas memasak. Berkemungkinan menerusi hubungan yang sebeginilah
Subutai mula terdedah dengan Mongol.
![]() |
| Tentera-tentera kavalri Mongol |
Ketika usianya
meningkat remaja. Subutai keluar menyertai pasukan tentera Genghis Khan.
Menurut suatu sumber, usianya pada masa itu baru sahaja 14 tahun. Memandangkan
umurnya yang masih terlalu muda untuk terlibat secara langsung di medan tempur,
beliau dikatakan telah diberikan tugas sebagai pengawal pintu bagi Khan.
Menerusi jawatan inilah Subutai mula mempelajari tentang seni perang Mongol.
Sebagai seorang
penghuni hutan, Subutai tidak memiliki sebarang kemahiran menunggang kuda.
Beliau mula mempelajari kemahiran tersebut melalui tunjuk ajar pegawai Mongol
yang akrab dengannya. Beliau turut diajar menggunakan busur panah dan kemudian,
menggabungkan kedua-dua kemahiran tersebut. Kombinasi antara penunggangan kuda
dan kemahiran memanah inilah yang menjadi tanda pengenalan ataupun identity
pasukan tentera Mongol.
![]() |
| Gambaran artistik tentang Subutai |
Subutai terus mendaki
tangga kedudukan dalam barisan ketenteraan Mongol sebelum kemudiannya menjadi
sebahagian daripada kelompok terdekat Genghis Khan. Keadaan ini sering diambil
sebagai bukti bahawa pemimpin Mongol mengamalkan konsep meritokrasi. Makanya,
warga bukan-Mongol seperti Subutai pun boleh meraih tempat yang unggul dalam
pasukan tentera.
Sebagai seorang
komander, nama Subutai mungkin paling dikenang menerusi kejayaannya dalam
kempen-kempen ketenteraan di Barat. Dalam ekspedisi-ekspedisi tersebut, Subutai
mengepalai pasukan tentera Mongol bagi memerangi sejumlah musuh, antaranya
termasuklah Rus, Poles dan Hungary.
![]() |
| Panglima Subutai dan Panglima Jebe menewaskan Kievan Rus |
PANGLIMA DAN STRATEGIS
SERBA BOLEH
Dalam
pertempuran-pertempuran tersebut, Subutai memperagakan kemahirannya sebagai
seorang panglima dan strategis yang serba boleh. Pertempuran Mohi yang dianggap
sebagai kemenangan paling cemerlang bagi Subutai mungkin boleh diambil sebagai
contoh bagi membuktikan hal tersebut. Pertempuran ini berlangsung pada bulan
April 1241M. Ia melibatkan kekuatan Mongol yang dipimpin oleh Batu Khan dan
Subutai menentang pasukan tentera Hungary di bawah kepemimpinan Raja Bela IV.
Dalam pertempuran
tersebut, pihak Mongol mengalami kasualti yang lebih ramai berbanding biasa
berikutan bedilan panah yang dahsyat daripada unit pemanah-silang Hungary yang
diletakkan di seberang Sungai Sajo. Demi menghindarkan angka kasualti dari
terus meningkat, Subutai mengambil keputusan untuk menyerang unit
pemanah-silang itu dengan menggunakan pelontar-pelontar batu, iaitu sejenis
senjata artileri yang kebiasaannya digunakan dalam pengepungan.
Pada masa yang
sama, sebuah jambatan sementara dibina jauh dari medan perang. Hal ini
bertujuan agar tentera-tentera Mongol dapat melancarkan serangan mengejut ke
atas pasukan Hungary.
![]() |
| Pertempuran Mohi, 1241M, di antara tentera Hungary dan tentera Mongol |
Di bawah kepemimpinan
Subutai, pasukan tentera Mongol berjaya menundukkan banyak kawasan di Eropah
timur dan tengah. Menjelang akhir tahun 1241M, Subutai memasang rancangan untuk
menyerang Empayar Rom Suci. Namun pada sekitar masa-masa itu juga, Ogedei
mangkat. Makanya, kekuatan Mongol terpaksa berangkat pulang untuk melangsungkan
acara pelantikan Khan Agung yang baru.
Atas sebab inilah
saki-baki wilayah Eropah yang lain dapat terselamat daripada amukan Mongol.
Para sejarahwan mengandaikan kalau Ogedei tidak mangkat, sudah tentu tidak ada
tentera Eropah yang mampu menangani gempuran Mongol.
![]() |
| Ogedei Khan |
KEMATIAN SI ANJING
PERANG
Guyuk, putera kepada
Ogedei dinamakan sebagai Khan Agung yang baru. Pada tahun 1246M, Subutai digalaskan
dengan tanggungjawab memerangi Song-China. Beliau pada ketika itu telah pun
berusia 70 tahun, umur yang agak lanjut bagi seorang komander di zaman itu.
![]() |
| Sebuah pertempuran di antara tentera Mongol dan Cina |
Kempen ketenteraan ini
berlanjutan sehingga tahun 1247M, di mana Subutai kemudiannya kembali ke
Mongolia dan meninggal dunia pada tahun berikutnya, 1248M. Selain masyhur
dengan gelaran ‘Bagatur’, Subutai juga dikenali sebagai salah seorang dari
empat ekor ‘anjing perang’ Genghis Khan, di mana baki yang tiga lagi itu adalah
Jelme (abang sulungnya), Jebe dan Kublai.
SUMBER
- Hickman, K., 2015. Mongol Invasions: Battle of Mohi.
- Hill, B., 2017. Subutai.
- New World Encyclopedia, 2015. Subutai
- Oestmoen, P. I., 1998. Subedei the Warrior.
- Rea, C., 2016. Subutai: Dog of War — Silent, Insatiable and Remorseless, Part II.
- Rea, C., 2016. Subutai: Dog of War – Sophisticated Military Strategist Behind Genghis Khan’s Conquering Empire – Part I.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Subotai: Kekuatan Disebalik Keampuhan Monggol’
- Get link
- X
- Other Apps








