- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Fiona Macdonald. (19 November 2015). Science Says That Technology Is Speeding
Up Our Brains’ Perception of Time. Science Alert.
https://www.sciencealert.com/research-suggests-that-technology-is-speeding-up-our-perception-of-time
https://www.sciencealert.com/research-suggests-that-technology-is-speeding-up-our-perception-of-time
Penterjemah: A.D. Alexander
Pada setiap tahun, masa
dirasakan seperti dipercepatkan. Suatu hari, anda menempuh Hari Easter dan
kemudian tanpa anda sedari, beberapa status yang dimuat naik oleh rakan-rakan
sekolah menengah anda di Facebook menyatakan bahawa tinggal lima kali Jumaat
sahaja sebelum menjelangnya Krismas (seriuslah, apa yang berlaku ni).
Tetapi ternyata,
keadaan tersebut bukan sebuah kelemahan akibat usia yang semakin tua – ahli psikologi
telah menemukan bukti bahawa penggunaan teknologi secara berterusan boleh
menjadikan otak kita lebih cekap dalam memproses maklumat dan akibatnya, ia
telah memperdaya kita sehingga menganggap bahawa masa sedang berjalan dengan
lebih pantas berbanding kelajuannya yang sebenar.
“Saya temui beberapa
buah petunjuk yang berinteraksi dengan teknologi dan masyarakat yang
berpusatkan teknologi telah meningkatkan sejenis perentak dalam diri kita,”
kata Aoife McLoughlin dari kampus Singapura bagi Universiti James Cook. “Walaupun
hal ini mungkin dapat membantu kita supaya bekerja dengan lebih cepat, ia juga
menyebabkan kita berasa tertekan akibat (lajunya) masa.”
Walaupun penggunaan
teknologi dalam kalangan kita merupakan sebuah fenomena yang agak baru,
hakikatnya anggapan di mana masa berlalu dengan begitu pantas telah pun
membimbangkan manusia sejak berabad lamanya. Semasa zaman Revolusi Perancis,
terdapat laporan tentang aduan beberapa individu berkenaan lajunya gaya
kehidupan moden.
Tetapi, McLoughlin
telah menemukan bukti bahawa persepsi kita terhadap (pergerakan) masa kini
semakin cepat dengan adanya telefon pintar. Kajian beliau menumpu pada
kelompok-kelompok manusia yang sentiasa berhubung dengan teknologi dan
kelompok-kelompok manusia yang jarang menggunakannya lalu membandingkan
bagaimana persepsi setiap individu dari kedua buah kelompok itu berkenaan
peredaran masa.
Beliau mendapati bahawa
orang-orang yang sentiasa berada di atas talian atau ralit dengan komputer atau
telefon pintar, mereka ini menganggap amaun masa yang telah berlalu jauh lebih
panjang berbanding individu yang jarang menggunakan teknologi.
Jadi semasa
duduk di dalam bilik, mereka (kelompok yang ralit dengan teknologi) menganggap
bahawa satu jam telah berlalu walaupun pada hakikatnya baru hanya 50 minit. Perbezaan persepsi itu boleh membuatkan mereka berasa tertekan kerana mereka
lebih cenderung merasakan bahawa masa berlalu dengan begitu pantas, lebih
pantas berbanding rakan-rakan mereka yang tidak menggunakan teknologi.
Dan hal ini juga tidak
hanya berlaku pada individu yang sering menggunakan teknologi – McLoughlin
mendapati bahawa orang yang membaca iklan tentang keluaran iPad terkini turut
merasakan bahawa masa berlalu lebih cepat jika dibandingkan dengan individu
yang membaca petikan (iklan) daripada (atau berbentuk) yang bukan teknologi.
“Keadannya hampir
seakan-akan kita cuba meniru teknologi dan cuba menjadi lebih cepat dan lebih
cekap,” kata McLoughlin kepada ScienceAlert. “Ia seolah-olah ada sesuatu
tentang teknologi itu sendiri yang menyebabkan kita meningkatkan deria perentak
(pacemaker) dalam diri kita, deria yang mengukur kadar peredaran masa.”
Penemuan ini menyokong
nasihat-nasihat lazim yang mencadangkan supaya kita semua mengambil sedikit
masa untuk merehatkan diri dari (penggunaan) media sosial dan internet dalam
setiap minggu untuk melambatkan deria perentak tersebut.
“Apa yang saya cuba
sampaikan adalah terdapat asas kognitif yang boleh diukur secara tulen di
sebalik nasihat itu dan ia bukan hanya sekadar (nasihat yang) tidak membenarkan
penggunaan teknologi,” kata McLoughlin. “Ini merupakan sebab saintifik mengapa
kita perlu (berhenti sejenak dari media sosial misalnya) dan menghargai masa
serta kehidupan nyata.”
Tetapi sebelum anda
mula kecut perut dan bertindak membuang iPhone anda ke laut kerana ia telah
mencuri banyak masa berharga anda, McLoughlin kini sedang mengkaji sama ada
fenomena ini mempunyai sebarang kesan positif atau negatif jangka panjang
terhadap kehidupan kita.
Kajian lain telah
membuktikan bahawa penggunaan teknologi dapat membantu kita memproses maklumat
dengan lebih cekap, dan sebenarnya menjadi lebih cepat dalam melaksanakan tugas
sekaligus hal ini dapat membantu kita menjimatkan waktu dalam jangka panjang.
“Pada sisi positif,
kadar kelajuan pemprosesan yang lebih cepat mungkin merupakan sebuah kelebihan
dalam banyak keadaan,” kata McLoughlin. Tetapi, beliau turut melakukan kajian
tentang kesan jangka panjang bagi kadar kelajuan tersebut.
“Saya rasa ia akan
membawa kepada peningkatan ketertekanan (stress) yang berfaktorkan masa, yang
mana (stress ini) dikaitkan dengan penyakit jantung,” katanya lagi. “Tekanan-berfaktor-masa
yang tinggi juga berhubung rapat dengan kemurungan bagi kaum lelaki dan
perempuan di samping turut berkait rapat dalam meningkatkan tahap kemurungan
kepada wanita yang bekerja di luar rumah.”
Jadi, berita gembiranya
adalah masa pada hakikatnya tidaklah bergerak dengan lebih pantas (berbanding
biasa) – ia hanya persepsi otak kita sahaja. Dan berita buruknya pula adalah
kita terlalu sibuk menggunakan teknologi sehingga tidak berpeluang menghargai
masa lapang yang telah dirugikan. Betapa ironinya.
McLoughlin baru-baru
ini telah menyerahkan hasil kajiannya untuk diterbitkan dalam jurnal yang boleh
diulas oleh rakan-rakan yang berkongsi lapangan yang sama dengannya.
- Get link
- X
- Other Apps
