- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Natalia Klimczak. (26 Februari 2016). Tomyris, The Female Warrior and Ruler Who
May Have Killed Cyrus the Great. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/tomyris-female-warrior-and-ruler-who-may-have-killed-cyrus-great-005423
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/tomyris-female-warrior-and-ruler-who-may-have-killed-cyrus-great-005423
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Tomyris merupakan
seorang pemerintah Massagetae, sebuah pertubuhan konfederasi dari sekumpulan
puak nomad Scythia yang berpusat di Asia Tengah. Beliau masyhur sebagai seorang
wanita yang berani terutama dalam pertempuran terulung yang disertainya – tepat
pada hari di mana Cyrus Agung terbunuh.
Kerajaan yang
diperintah oleh Tomyris berlokasi di kawasan timur Laut Caspian, meliputi
beberapa wilayah moden seperti Turkmenistan, Afghanistan, bahagian barat
Uzbekistan, dan bahagian selatan Kazakhstan.
Kebanyakan memori yang
hidup berkenaan Tomyris ini berkisar pada peranannya dalam mempertahankan diri
daripada serangan yang dilancarkan oleh Cyrus Agung, pemerintah Empayar
Achaemenid (600/576-530SM). Pada tahun 530SM, Tomyris, menurut sebahagian
pendapat, berkemungkinan bertanggungjawab mengakibatkan kematian figura masyhur
dari Parsi itu.
Herodotus di dalam
tulisannya menyebutkan bahawa terdapat sejumlah kisah yang berbeza naratif
berkenaan kematian Cyrus. Salah satu naratif tersebut melibatkan Tomyris
sebagai punca kematiannya. Kisah berkenaan Tomyris ini turut tercantum di dalam
buku karangan beberapa penulis lain seperti Strabo, Polyaenus, Cassiodorus dan
Jordanes. Namun, penulisan terawal yang memerihalkan pemerintah wanita ini
datangnya daripada Herodotus yang hidup pada tahun 484 hingga 425SM.
Nama Tomyris dan
puteranya, Spargapises mempunyai pengaruh yang sangat kuat dalam kebudayaan
Parsi. Namun, nama Hellenistik mereka lebih lazim digunapakai. Spargapises
merupakan ketua komander bagi ketumbukan tentera ibundanya. Semasa
berlangsungnya pertempuran, anak-beranak ini berjuang bersama-sama di medan
tempur.
KERAJAAN MASSAGETAE
Tidak banyak maklumat
yang didapatkan berkenaan kerajaan yang diperintah oleh Tomyris. Walau bagaimanapun,
Ammianus Marcelinus berpendapat bahawa Massagetae berkemungkinan berasal-usul
daripada Kerajaan Alans (Indo-Iran). Mereka kemudiannya berpindah ke barat lalu
menjadi kuasa yang mendominasi di kebanyakan wilayah Asia di samping melebarkan
pengaruh mereka hingga ke Eropah.
Procopius dari Caesarea
(500-560M) menulis dalam bukunya yang berjudul History of the Wars Book III
bahawa Massagetae terkenal di zamannya dengan nama Hun. Evagrius Scholasticus
(abad ke-6M) pula menyebutkan bahawa terdapat sebuah kelompok masyarakat yang
dikenali sebagai Hun yang sebelum itu dikenali dengan nama Massagetae, muncul
di kota Thrace.
![]() |
| Asia pada tahun 323SM, menunjukkan lokasi Massagetae di Asia Tengah moden |
Herodotus adalah
satu-satunya sejarahwan yang meninggalkan penerangan jelas berkenaan
Massagetae.
“Dalam soal pemakaian
dan cara hidup, Massagetae mirip dengan puak Scythia. Mereka berperang dengan
menunggang kuda dan juga berjalan kaki – kedua-duanya bukanlah suatu yang asing
bagi mereka. Mereka menggunakan busur panah dan lembing, namun senjata
kegemaran mereka adalah kapak-tempur. Baju besi mereka pula diperbuat sama ada
daripada tembaga mahupun emas.
Untuk tempaan mata
lembing, mata anak panah, dan bilah kapak tempur, mereka menggunakan tembaga.
Sementara untuk topi kepala, tali pinggang dan bengkung, bahan emas yang
digunakan. Keadaan yang sama turut diperlakukan kepada kuda-kuda mereka di mana
mereka memberikan baju perisai yang diperbuat daripada tembaga dan mengenakan
tali kekang dan penutup pipi daripada emas. Mereka tidak menggunakan besi atau
perak kerana kedua-duanya tidak dipunyai oleh mereka. Sebaliknya, komuniti
mereka kaya dengan tembaga dan emas.”
PERTEMPURAN PALING
PENTING DALAM SEJARAH MASSAGETAE
Dalam serangan-serangan
awal yang dilancarkan ke atas Massagetae, pasukan tentera Cyrus meraih
kemenangan. Pihak Parsi tidak menganggap kerajaan kecil yang berkedudukan di
tengah-tengah Asia Tengah itu sebagai musuh yang berbahaya. Sebelum ini, mereka
telah pun menghadapi ramai musuh yang jauh lebih besar angkanya dan jauh lebih
masyhur prestijnya. Hal ini membuatkan ketumbukan yang dipimpin oleh seorang
wanita bersama puteranya itu tidak kelihatan sebagai lawan yang mengancam.
Menurut perincian yang
terdapat di dalam sumber-sumber purba, pihak Parsi meraih kemenangan dalam
pertempuran awal berkat percaturan perangkap yang bijak. Mereka bertindak
meninggalkan khemah-khemah mereka yang mengandungi bekalan arak yang mahal lalu
membenarkan tentera-tentera Massagetae untuk merampasnya.
Puak Scythia ini tidak
biasa meminum wain yang mahal. Oleh kerana itu, mereka pun dengan pantas mabuk.
Pada masa itulah tentera-tentera Parsi berpatah balik dan menyerang musuh
mereka. Dalam kalangan tentera Massagetae yang ditangkap sebagai tawanan perang
itu terdapat putera Tomyris. Beliau meminta izin daripada Cyrus untuk membunuh
diri (mati dengan bermaruah berbanding menjadi hamba kepada musuhnya).
![]() |
| Sebuah lukisan yang menggambarkan Cyrus Agung dalam sebuah pertempuran, dari Istana Versailles |
Tomyris merupakan seorang
pemimpin yang tidak kenal erti gentar. Namun, keperitan yang dialami sebagai
seorang ibu yang kehilangan anaknya membuatkan beliau menjadi semakin kuat.
Semasa beliau mengutus pesanan kepada Cyrus, penakluk agung itu tidak
mengendahkannya. Lantas, Tomyris pun mencabar Cyrus agar bertempur sekali lagi.
Parsi percaya bahawa mereka dengan mudah dapat memenangi pertempuran kedua ini.
Namun kali ini, Tomyris
melakukan persiapan yang lebih rapi. Pasukan tenteranya juga berjaya menyekat
laluan pintas untuk Cyrus dan bala tenteranya berundur. Kemudian, Tomyris
memimpin ketumbukan tenteranya dan meraih kemenangan ke atas Parsi sekaligus
menyelamatkan kerajaannya daripada ditakluk. Dalam masa yang sama, beliau juga
berhasil membalas dendam atas kematian puteranya, Spargapises.
![]() |
| Tomyris sebagaimana yang digambarkan oleh Castagno, pelukis abad ke-15 |
LEGASI SEORANG PAHLAWAN
“Sejumlah besar tentera
Parsi dihancurkan dan Cyrus sendiri terkorban setelah memerintah selama 29
tahun. Pencarian dilakukan di celah-celah mayat perajurit yang terkorban atas
perintah Tomyris demi menemukan jasad Cyrus. Setelah jasadnya ditemui, beliau
mengambil kendi daripada kulit dan memenuhkannya dengan darah jasad itu lalu
mencecah kepala Cyrus ke dalam lumuran darah sambil berkata dan menghina
penakluk Parsi itu, “Aku kekal hidup dan berjaya menundukkan engkau dalam
peperangan, namun aku masih lagi berdukacita disebabkan engkau telah meragut
nyawa puteraku.
Makanya aku tunaikan sumpah aku dan membiarkan kepala kau ini
dibasahi dengan darah.” Dalam banyak-banyak catatan berlainan yang dikemukakan
perihal kematian Cyrus, versi inilah yang saya cenderung melihatnya sebagai
paling sahih.” (Herodotus, 1.214)
Cyrus Agung sebelum ini
telah meraih banyak kemenangan. Beliau berupaya menewaskan ramai musuh yang
handal-handal di zamannya. Namun, ramai ilmuwan berpendapat bahawa nyawanya
berakhir di tangan Tomyris.
![]() |
| Lukisan oleh Mattia Preti berjudul Tomyris Menerima Kepala Cyrus, 1670-1672 |
Makam Tomyris tidak
pernah ditemukan. Tidak ada juga sebarang penemuan arkeologi yang berkaitan
dengannya. Oleh kerana itu, beliau hanya dikenali menerusi kisah-kisah bertulis
yang dikarang oleh para penulis dari zaman purba. Menerusi karya mereka itu,
maka kemasyhuran pemerintah wanita ini terus hidup sehingga kini.
Pada hari ini, Tomyris
masih lagi menjadi inspirasi kepada ramai penulis, pelukis dan komposer untuk
menghasilkan karya seni. Beliau merupakan watak heroin dalam puisi garapan
Eustache Dechampes, penulis Uzbek yang bernama Xurshid Dayron, Halim Xudoverdiveva
dll. Beliau juga menginspirasikan sejumlah karya seni.
Memandangkan potret
yang menggambarkan dirinya agak kurang, maka ramai pelukis dari seluruh dunia
menghasilkan lukisan yang mengekspresikan gambaran peribadi masing-masing
terhadap sosok yang bernama Tomyris ini. Namanya bahkan diabadikan pada sebuah
planet kecil yang dikenali sebagai 590 Tomyris.
SUMBER
- Gera, Geborah Levine. Warrior Women. 1997.
- Grousset, Rene. The Empire of Steppes. 1989.
- Bachrach, Bernard S. A History of the Alans in the West, from their first appearance in the sources of classical antiquity through the early middle ages. 1973.
- Get link
- X
- Other Apps




