- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Natalia Klimczak. (4 Mei 2019). Topkapi – A Palace of Dreams and Tears from the
Ottoman Empire. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/topkapi-palace-dreams-and-tears-ottoman-empire-005878
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/topkapi-palace-dreams-and-tears-ottoman-empire-005878
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Istana Topkapi yang
terletak berhampiran dengan selat Bosphorus telah menyaksikan
peristiwa-peristiwa gemilang dan juga duka yang dilalui oleh Empayar
Uthmaniyah. Pada hari ini, istana tersebut merupakan sebuah muzium walaupun
sebelum kurang dari 100 tahun yang lepas, ia adalah rumah kepada para sultan,
harem-nya dan para pelayannya.
Istana ini dibina oleh
Sultan Muhammad II di Istanbul pada suatu tempoh masa di antara tahun 1466
hingga 1478M. Selepas kota tersebut ditakluk pada tahun 1453M, Sultan Muhammad
II memerlukan sebuah istana baru untuk menjadi tempat kediamannya di samping
berfungsi sebagai pusat pemerintahan empayar. Topkapi dibina di atas runtuhan
purba dari zaman Maharaja-Maharaja Byzantine.
Hal ini mungkin membawa simbolik
bahawa Uthmaniyah tidak hanya mahu dilihat sebagai pencipta kegemilangan yang
baru, tetapi juga sebagai penerus legasi kegemilangan dari zaman terdahulu.
Pada hujung kurun ke-15M, istana tersebut menjadi kediaman utama para sultan.
Istana Topkapi, Istanbul |
Dalam Bahasa Turki,
“Topkapi” bermaksud “Gerbang Meriam”. Nama istana ini diilhami daripada
laras-laras meriam besar yang berada di luar pintu gerbangnya. Meriam-meriam
berkenaan digunakan semasa Sultan Muhammad II menakluk kota Istanbul
(Konstantinopel).
Pada tanggal 3 April
1924, Istana Topkapi secara rasmi diubah menjadi muzium – muzium pertama
Republik Turki. Lokasinya terus menjadi tumpuan di kota, terletak berhampiran
dengan masjid-masjid masyhur seperti Masjid Sulaiman dan Masjid Biru.
Kebanyakan binaan-binaan kayu yang lama telah digantikan dengan binaan yang
baru, namun ciri seni bina utama istana ini masih lagi dikekalkan.
Masjid Sulaiman merupaka masjid diraja Uthmaniyah yang terletak di Bukit Ketiga Istanbul, Turki |
TIGA BUAH KEDIAMAN
SULTAN
Pada asalnya, hanya
terdapat sekitar 700-800 orang penghuni sahaja di istana tersebut. Namun
seiring peredaran masa, angkat tersebut meningkat menjadi 5000 orang. Istana
ini memiliki tiga bahagian utama; Istana Lama, Istana Baru dan Istana Yildiz.
Bahagian yang dikenali sebagai Topkapi adalah Istana Baru.
Istana Lama merupakan
bahagian binaan pertama yang dihasilkan semasa kota itu baru sahaja ditawan. Ia
pernah mengalami kerosakan akibat kebakaran yang berlaku pada tahun 1514M.
Selepas kejadian itu, kebanyakan penghuninya berpindah ke Istana Baru. Istana
Lama kemudiannya dibaik-pulih namun kebakaran yang terjadi sekali lagi
merosakkan binaan itu buat kali keduanya pada masa pemerintahan Sultan
Abdulaziz (memerintah 1861-1876M).
Sebahagian pemandangan Puncak Seraglio berserta Istana Topkapi dan Incirli Kiosk, 1559 |
Pembinaan Istana Baru
dimulakan oleh Sultan Muhammad II dan seni binanya tampil lebih mewah. Halaman
istana ini dipenuhi dengan landskap yang indah dan mengandungi
bangunan-bangunan kerajaan, pavilion-pavilion yang menenangkan, tempat-tempat
mandi, bengkel, dapur, kuarters penghuni dll.
Seluruh kehidupan peribadi dan
politik sultan berpusat di sini. Pertemuan di antara sultan dengan para
penasihatnya juga berlaku di sini. Begitu juga dengan upacara keraian menyambut
kemenangan perang dan perbincangan taktikal perang. Merentas masa, ia menjadi
pusat kebudayaan dan kehidupan berkeluarga sultan.
Sultan Muhammad II mengarahkan pembinaan awal sekitar tahun 1460an |
Pada abad ke-18M,
sebuah istana baru dibina di Besiktas, Istanbul. Ia merupakan istana musim
panas buat Sultan Selim III (1789-1807M). Sultan Mahmud II (1808-1839M) juga
banyak meluangkan masanya di istana ini. Istana Yildiz bagaikan oasis bagi
sultan; tempat beristirehat tanpa perlu meninggalkan ibu kota. Namun, idea
terhadap kefungsian Istana Yildiz ini berubah di zaman Sultan Abdulhamid II
yang memindahkan seluruh isi istananya ke sana.
KEDIAMAN HAREM
Harem merupakan rumah
bagi ratusan wanita dan anak-anak mereka. Ia juga merupakan tempat tinggal para
putera sehingga usia mereka mencecah 16 tahun. Wanita-wanita yang menetap di
dalam harem Uthmaniyah menerima pendidikan terbaik dan bekerja untuk menyumbang
pada kewangan istana.
Gambaran pemandangan di dalam harem sultan |
Nama “Harem” bermaksud
“ditegah” (haram) di dalam Bahasa Arab. Kebanyakan lelaki tidak dibenarkan
memasuki ruangan ini. Pada asalnya, binaan harem bahkan terpisah daripada
istana sultan. Situasi sebegitu berubah apabila seorang wanita jelita lagi
bijaksana mencuri hati Sultan Sulaiman Agung.
Wanita tersebut dilahirkan di
wilayah Kerajaan Poland. Namanya adalah Alexandra, namun sultan memanggilnya
sebagai Hurrem – wanita periang. Hurrem merupakan seorang wanita Kristian dan
berhasrat untuk benar-benar berada dekat dengan sultan. Untuk tujuan itu,
beliau memerlukan takdir menyebelahinya, sebagaimana yang disebutkan oleh
Andrew Colt di dalam bukunya:
“Apabila kebakaran yang
terjadi menghasilkan kerosakan besar pada Old Seraglio (Istana Lama), Roxelane
(Hurrem) menggunakan peluang tersebut untuk mengutarakan permintaan kepada
sultan agar membenarkannya menetap di Istana Baru – dikenali oleh kita sebagai
Topkapi – istana yang menjadi pusat politik dan kediaman sultan. Roxelane turut
membawa bersama hamba-hamba berkulit putih dan hitam, para pelayan dan
dayang-dayang dan kekal menetap di sana. Sejak itu, urusan harem dan urusan
negara tidak lagi terpisah. Kesan susulan bagi hal ini amatlah buruk.”
Pusat kuasa di harem
tertumpu di kediaman Valide Sultan. Valide adalah Ibu Suri dan wanita nombor
satu di dalam Harem Diraja Uthmaniyah. Wanita yang memerintah harem boleh
sahaja merupakan ibunda atau permaisuri kepada sultan. Valide terulung yang
pertama adalah Hurrem Sultan, namun penting juga untuk menyebutkan nama-nama
seperti Nurbanu Sultan, isteri kepada Sultan Selim II dan Kosem Sultan, isteri
kepada Sultan Ahmed I. Kesemua wanita ini amat berkuasa dan memiliki kemahiran
yang membenarkan mereka untuk melipatgandakan pendapatan yang dihasilkan oleh
harem.
Potret ibunda Sultan. Di sebelah kanan itu adalah kepala seorang sida berkulit hitam di harem |
Sebahagian perhiasan
yang masih berada di dalam harem Topkapi boleh dikaittkan dengan wanita-wanita
yang memerintah tempat tersebut pada abad ke-16M. Namun, kebanyakan barangan
yang ada di situ datangnya dari abad ke-19 dan permulaan abad ke-20M.
PERMULAAN BARU BUAT ISTANA TOPKAPI
Istana Topkapi memiliki
sebuah perpustakaan dan arkib yang mengagumkan, menyimpan kira-kira 300 000
buah dokumen. Kebun-kebun di istana itu juga dipenuhi dengan pelbagai tumbuhan
seperti pokok bunga kemeling, ros, tulip dll… dan masih mengekalkan ciri
tradisi Uthmaniyah.
Apabila Istana Topkapi
dijadikan sebagai sebuah muzium, itulah kali pertama dalam sejarah ia dibuka
kepada orang awam. Muzium tersebut mengandungi pelbagai khazanah yang
ditinggalkan oleh penghuni-penghuninya sejak 400 tahun dahulu.
Istana Topkapi, Istanbul, Turki |
Selain lukisan potret,
barang kemas dan barangan peribadi milik sultan dan keluarganya, muzium ini
turut mempamerkan Relik-Relik Suci – termasuklah artifak yang terkait dengan
Nabi Muhammad.
Istana Topkapi kini
mengalu-alukan kunjungan orang awam pada sepanjang tahun. Ia menjadi tempat
utama yang menyimpan pengetahuan tentang Empayar Uthmaniyah di samping lokasi
yang menenangkan buat orang-orang yang mahu mengenangkan suasana kehidupan para
penghuni istana agung ini.
Ruangan dalam harem di Istana Topkapi |
SUMBER
- Kemal Cig Sabahattin, Cengiz Koseoglu, The Topkapi Saray Museum – Architecture, 1998.
- Andre Colt, Suleiman the Magnificent, 200.
- http://topkapisarayi.gov.tr/en/history
- http://www.greatistanbul.com/topkapi_palace.html
- http://kilyos.ee.bilkent.edu.tr/~history/intro.html
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Topkapi – Istana Agung Empayar Islam Uthmaniyah’
- Get link
- X
- Other Apps