ZIGGURAT – GUNUNG BUATAN MESOPOTAMIA UNTUK MENDAKI LANGIT

Pautan ke artikel asal:
DHWTY. (19 Ogos 2018). Ziggurat: A Mesopotamian Manmade Mountain to Reach the Gods. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/ziggurat-mesopotamia-0010625

Penterjemah: Amir Zayyanid


Dengan permukaan teres-teres besar yang saiznya terus mengecil seiring ketinggian bangunannya menaik, ziggurat secara asas boleh dipanggil sebuah gunung buatan manusia. Ziggurat merupakan sebuah binaan yang sering dikaitkan dengan kepercayaan masyarakat Mesopotamia purba. 

Pada zaman dahulu, setiap negara kota utama di Mesopotamia mempunyai ziggurat yang tersendiri. Namun, kebanyakannya telah musnah seiring peredaran zaman. Dua buah contoh ziggurat yang masyhur yang masih boleh dilihat pada hari ini adalah Ziggurat Besar Ur di Iraq dan Chogha Zanbil di Iran.


MENARA BABEL

Perkataan ‘ziggurat’ diambil daripada perkataan berbahasa Akkadia yang berbunyi ‘ziqqurratu’. Perkataan ini boleh menghasilkan pelbagai penterjemahan yang bermaksud ‘puncak gunung’, ‘binaan yang meninggi’ dan ‘perbuatan membina di sebuah kawasan yang ditinggikan’. Nama ini sememangnya sesuai memandangkan beberapa buah ziggurat itu sendiri dianggap sebagai sebuah menara.

Lebih menarik lagi, ramai ilmuwan meyakini bahawa Menara Babel yang disebutkan di dalam Bible, yang ianya dibina dengan tujuan untuk (kononnya) membolehkan manusia memanjat langit, dipercayai merupakan sebuah ziggurat. Dalam hikayat tersebut, disebutkan bahawa inspirasi pembinaan itu adalah daripada sebuah ziggurat Babylon yang dikenali sebagai Etemenanki (bermaksud ‘Rumah bagi tapak kepada langit atau kayangan di atas bumi’). Binaan ini dikatakan memiliki ketinggian yang mencecah sehingga 92m. Malangnya, Etemenanki musnah sejak zaman purba lagi.

Model Ziggurat Etemenanki. Pergamonmuseum


SENI BINA ZIGGURAT – MEMBINA SEBUAH GUNUNG BAGI MENUNJUKKAN KUASA RAJA

Bercakap secara umum, teras bagi sesebuah ziggurat dibina dengan menggunakan bata lumut berserta lapisan luar yang diperbuat daripada batu-batuan bakar sebagai faktor keselamatan. Dalam erti kata lain, ziggurat merupakan sebuah binaan yang mampat dan padu, bukannya kosong di dalam. Dalam kepercayaan masyarakat Mesopotamia purba, lumpur dianggap sebagai bahan yang paling suci. Maka, ianya digunakan dalam pembinaan ziggurat.

Tapak ziggurat memiliki bentuk sama ada segi empat sama sisi atau segi empat tepat. Kemudian, sejumlah teres ditambah dan didirikan di atas tapak tersebut. Bagi setiap tingkat yang ditambah, keluasan platformnya semakin mengecil dan sisinya pula semakin mencerun. Pada puncak ziggurat, dibina sebuah kuil yang didedikasikan kepada salah satu dari sekalian dewata kepercayaan Mesopotamia.

Sisa runtuhan sebuah ziggurat dan Kuil Putih di Uruk


Pembinaan monumen yang sebegini memerlukan tenaga manusia yang banyak di samping sistem organisasi yang tersusun. Oleh kerana itu, pembinaan ziggurat kebiasaannya ditaja dan diarahkan oleh pemerintah bagi sesebuah negara kota utama di Mesopotamia. Pada milenia ke-3 SM, berlaku ketegangan politik di antara pihak kuil yang diwakili oleh kaum rahib dan pihak istana yang diwakili oleh raja. Menerusi pembinaan ziggurat, si raja dapat memanifestasikan kuasa mereka sehingga menembusi lingkungan keagamaan.

Pembinaan ziggurat yang ditaja oleh para pemerintah terus menjadi tradisi selama beberapa tempoh. Semasa kepenguasaan Empayar Neo-Babylonia misalnya, Nebuchadnezzar II yang memerintah pada rentang waktu antara abad ke-7SM hingga abad ke-6SM membina semula ziggurat Etemenanki.

Merentas ribuan tahun, banyak ziggurat Mesopotamia mengalami keruntuhan. Etemenanki misalnya, sudah pun menjadi puing-puing sejarah semasa Alexander Agung memasuki Babylon. Sebelum meninggalkan kota itu untuk melanjutkan kempennya di Timur, beliau sempat mengeluarkan arahan supaya ziggurat itu dibina semula. Namun semasa kepulangannya, beliau mendapati bahawa tiada sebarang progress yang dibuat. Lantas, beliau pun meruntuhkan binaan itu agar ziggurat yang baru dapat dibina di atas tapak yang sama. Malangnya, kemangkatan mengejut beliau pada tahun 323SM sama-sama merencatkan perancangan itu.


ZIGGURAT-ZIGGURAT YANG MASYHUR

Apapun, masih terdapat sejumlah ziggurat yang masih wujud sehingga ke hari ini. Di wilayah Iran di Khuzestan misalnya, berdiri gah Choga Zanbil yang secara umum dianggap sebagai salah sebuah ziggurat yang paling terpelihara kewujudannya. Ziggurat ini merupakan sebuah binaan besar yang tidak hanya menempatkan sejumlah kuil, tetapi juga beberapa buah istana.

Choga Zanbil, Iran



Sebuah lagi ziggurat yang masih wujud adalah Ziggurat Besar Ur di Iraq. Pentingnya kewujudan ziggurat purba ini boleh dilihat dengan jelas bahkan di zaman moden. Pada tahun 1985 misalnya, Saddam Hussein membina semula ziggurat  tersebut dan bongkah-bongkah batu yang digunakan dalam projek ini diukirkan dengan namanya sebagai satu cara meneladani Nebuchadnezzar.

Ziggurat di Ur


SUMBER



Penterjemahan artikel ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di portal berkenaan dengan judul ‘Ziggurat – Piramid Tamadun Mesopotamia Purba