- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
April Holloway. (31 Mei 2014). Are mummified remains of unidentified creature
proof of the mythological Kappa? Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-mysterious-phenomena/are-mummified-remains-unidentified-creature-proof-mythological-kappa
https://www.ancient-origins.net/news-mysterious-phenomena/are-mummified-remains-unidentified-creature-proof-mythological-kappa
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Di dalam kisah rakyat
masyarakat Jepun lama, Kappa merupakan syaitan air yang mendiami sungai dan
tasik. Mereka dipercayai memakan kanak-kanak yang nakal. Di kala terdapat
sekelompok masyarakat yang berpendapat bahawa legenda ini berasal-usul dari
penampakan Salamander Gergasi Jepun, iaitu satu spesis haiwan yang masih hidup
sehingga ke hari ini, terdapat juga sebahagian lain yang mempercayai bahawa
mitos tersebut benar-benar wujud. Malahan, sejumlah jasad mumia makhluk aneh
berkemungkinan membuktikan lagi kebenaran dakwaan tersebut. Kini, orang ramai
berpeluang untuk melihat sendiri bahagian-bahagian tubuh yang dipercayai milik
Kappa yang dipamerkan buat kali pertamanya di Pulau Kyushu, Jepun.
Kappa yang namanya itu
membawa maksud ‘anak sungai’, kebiasaannya digambarkan bertubuh kura-kura,
memiliki paruh dan mempunyai rongga tubuh katak selain mempunyai lekuk di
bahagian atas kepalanya yang dipenuhi air. Walaupun mereka secara umumnya
merupakan makhluk air, Kappa kadangkala turut dikatakan berjalan di daratan.
Menurut legenda, rongga tubuhnya mestilah kekal basah atau lembab ketika
berjalan di luar air atau kelak, Kappa bakal kehilangan kuasa dan tenaga.
![]() |
Kappa yang bersifat nakal |
Kappa lazimnya dilihat
sebagai figura pembawa masalah dan pembuat kacau. Gurauannya kadangkala
bersahaja dan melucukan, seperti membuat bunyi bising atau menyelak serta
mengintai di sebalik kimono wanita. Namun begitu, kadangkala gurauannya
bersifat kasar dan jahat di mana Kappa bertindak melemaskan manusia dan haiwan
serta menculik kanak-kanak lalu memakannya. Para ibu bapa turut dikatakan
menggunakan legenda Kappa ini untuk menakut-nakutkan anak mereka agar menjauhi
air.
Kappa merupakan salah
satu makhluk legenda yang masyhur dalam kalangan masyarakat Jepun. Ramai
daripada mereka mempercayai bahawa makhluk mitos ini benar-benar wujud. Pada
hakikatnya, terdapat beberapa petanda awas tentang kewujudan mereka di beberapa
buah tasik di Jepun. Namun, ada juga sebahagian yang berpendapat bahawa legenda
ini hanya berasal-usul daripada penampakan Salamander Gergasi Jepun, atau ‘hanzaki’
yang dikenali sebagai haiwan yang bersifat agresif dan gemar menangkap
mangsanya dengan menggunakan rahangnya yang kuat.
![]() |
Salamander Gergasi Jepun
|
Kini, orang ramai
berpeluang untuk melihat jasad-jasad mumia yang dipercayai milik Kappa
sekaligus memutuskan sendiri sama ada makhluk mitos itu benar-benar wujud
ataupun tidak. Jasad mumia yang berupa tangan serta kaki makhluk aneh tersebut
dikatakan telah diberikan kepada keluarga Miyakonojo Shimazu sejurus selepas
seekor Kappa ditembak di tebing sungai pada tahun 1818. Jasad mumia itu kini
dipamerkan buat kali pertama di Kediaman Miyakonojo Shimazu yang terletak di
Wilayah Miyazaki, Pulau Kyushu, Jepun.
![]() |
Mumia yang dikatakan milik Kappa |
Jasad-jasad mumia ini
bukanlah mumia Kappa pertama yang ditemui. Terdapat sejumlah mumia yang didakwa
milik Kappa telah ditemukan jauh masa dahulu. Pun begitu, sebahagian
daripadanya diketahui telah dihasilkan oleh artisan di zaman Edo (1603-1867)
dengan menggunakan anggota badan pelbagai haiwan seperti monyet, burung hantu
dan ikan pari.
![]() |
Kiri: Mumia Kappa di Kuil Zuiryuji, Osaka. Kanan: Mumia Kappa di Muzium Etnologi Kebangsaan, Leiden |
![]() |
Mumia Kappa di Matsuura Brewery |
Zaman Edo
memperlihatkan kewujudkan sejumlah literasi saintifik yang khusus tentang
kajian Kappa. Suikokouryaku (1820) misalnya adalah sebuah konpendium
maklumat berkaitan Kappa yang dikumpulkan daripada pelbagai sumber dari Jepun
dan Cina. Buku yang disimpan di Perpustakaan Iwase Bunko ini turut mengandungi
sejumlah lukisan Kappa, yang di antaranya seperti yang ditunjukkan di bawah.
![]() |
Lukisan-lukisan Kappa dari Suikokouyaka (1820) |
Menurut kisah rakyat
Jepun, suatu cara untuk seseorang itu berupaya menewaskan Kappa adalah dengan
mengambil kesempatan ke atas obsesi makhluk itu terhadap perilaku sopan.
Misalnya, jika seseorang itu memberikan tunduk hormat kepada Kappa, ia akan
membalas tunduk hormat tersebut sekaligus menumpahkan air yang bertakung di
lekuk kepalanya. Lantas, tenaga dan kuasanya pun akan hilang. Malahan,
dikatakan bahawa sekiranya seseorang bertindak mengisi semula air di lekuk itu,
maka Kappa tersebut akan berkhidmat untuknya buat selama-lamanya. Legenda juga
menyebutkan bahawa Kappa boleh ditundukkan dengan menggunakan alahan mereka
kepada besi, bijan atau halia.
Kurun demi kurun
lamanya kisah dan penyelidikan tentang legenda ini hidup dalam kalangan
masyarakat Jepun. Namun, para saintis masih juga tidak berjaya memberi kata
putus tentang kewujudan makhluk misteri ini, walaupun sudah terdapat sejumlah
telulang yang dikatakan milik Kappa ditemukan.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Penemuan Mumia Di Jepun Yang Dikaitkan Dengan Kappa’
- Get link
- X
- Other Apps