- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (25 Mei 2018). The Gladiators of Rome: Blood Sport in the Ancient
Empire. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history/gladiators-rome-blood-sport-ancient-empire-002574
https://www.ancient-origins.net/history/gladiators-rome-blood-sport-ancient-empire-002574
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Masyarakat Rom purba
sememangnya masyhur dengan pelbagai perkara – keindahan seni bina, rangkaian
jalan perhubungan dan penubuhan undang-undang Rom yang digunakan di seluruh
empayarnya. Namun, mereka juga meraih kepopulariti menerusi sifat gemar
berperang. Apapun, sifat itu jugalah yang menjadi tunjang kepada tertubuhnya
Empayar Rom. Sifat yang cenderung ganas seperti ini tidak hanya
dimanifestasikan di dalam polisi imperialis Rom, tetapi juga di dalam sebuah
sukan yang sangat terkenal – pertarungan gladiator.
![]() |
| Dua orang Venatore (orang yang menjalani karier melawan hairan liar di arena) sedang bertarung dengan harimau. Gambar hiasan pada mozek lantai di Istana Besar Konstantinopel (Istanbul) abad ke-5 |
Diandaikan bahawa
konsep sukan gladiator ini berakar dari kaum Etruscan, iaitu kaum yang
mendahului kependudukan Rom. Dalam budaya masyarakat Etruscan, sukan gladiator
ini dijadikan sebagai sebahagian daripada upacara pengebumian bagi menghormati
si mati. Hal ini bermaksud bahawa sukan gladiator pada asalnya mengandungi
signifikasi yang suci (berkait hal kepercayaan). Walau bagaimanapun, seiring
peredaran zaman, sukan ini berubah bentuk menjadi sebuah hiburan. Pertarungan
gladiator Rom yang paling awal dikatakan berlangsung pada tahun 264SM.
![]() |
| Lukisan tahun 1878 berjudul ‘Kebun Arbor’ menggambarkan pertarungan gladiator yang ganas |
Para petarung gladiator
kebiasaannya terdiri dari kalangan tawanan perang, hamba sahaya atau pelaku
jenayah yang dijatuhi hukuman mati. Penggunaan tawanan musuh-musuh Rom yang
tewas di dalam sukan ini digambarkan menerusi beberapa jenis gladiator
termasuklah Thraex (atau Thracian), Hoplomachus dan Samnite. Oleh kerana itu,
pertarungan-pertarungan gladiator ini boleh juga dilihat sebagai satu cara
masyarakat Rom melakonkan semula peperangan yang telah mereka lalui semasa
menundukkan musuh-musuh mereka. Walau bagaimanapun, tidak semua petarung
gladiator ini memasuki arena berkenaan secara paksa.
Walaupun menjalani
kehidupan yang sukar dan berbahaya, para petarung gladiator dianggap sebagai
bintang (superstar) di zaman mereka. Kelebihan-kelebihan yang boleh
diraih di dalam gelanggang gladiator seperti kemasyhuran, kekayaan dan
kemegahan sudah cukup untuk mendorong dan meyakinkan sebahagian orang agar terlibat
dalam sukan ganas berkenaan. (Namun, bukti yang menunjukkan wujudnya petarung
gladiator sukarela seperti ini sangat kecil).
Terdapat juga rekod
yang mencatatkan bahawa beberapa orang maharaja Rom turut menyertai sukan ini.
Antara yang paling masyhur adalah Maharaja Commodus. Walau bagaimanapun,
penyertaan maharaja di dalam sukan ini tidak disenangi oleh sebahagian
masyarakat kerana sukan gladiator dianggap secara umum sebagai satu arena yang
hanya layak bagi kelas masyarakat bawahan.
Kajian-kajian yang
menjalankan penganalisaan terhadap gigi milik petarung-petarung gladiator yang
ditemui di Driffield Terrace, York, UK juga cenderung mengsiyaratkan bahawa
kebanyakan petarung gladiator datang daripada latarbelakang suram. Kajian
menunjukkan bahawa ramai di antara mereka yang kekurangan khasiat semasa
kanak-kanak dan datang daripada rumah-rumah yang uzur lagi using.
Kemudian,
tulang-belulang mereka yang dianalisa pula menunjukkan bahawa mereka ini
kemudiannya diberi makan secukupnya dan didorong menyertai sukan gladiator pada
tempoh terkemudian dalam hidupnya – mungkin agar mereka menjadi lebih kuat dan
berpenampilan sebagai seorang petarung yang gah di arena gladiator.
Walaupun sukan ini
dianggap hanya sesuai bagi masyarakat kelas bawahan sahaja, pada hakikatnya
para petarung gladiator berpotensi meraih naungan atau ganjaran daripada
golongan elit, termasuklah maharaja itu sendiri. Menurut Suetonius, Maharaja
Nero pernah menganugerahkan kepada seorang petarung gladiator yang bernama
Spiculus beberapa buah rumah dan estet yang nilainya sama seperti panglima yang
pulang membawa rampasan perang. Walaupun status kesahihan dakwaan tersebut agak
kabur, apa yang cuba Suetonius sampaikan dalam catatannya itu adalah untuk
menekankan sifat berbelanja besar maharaja Rom – di mana Nero sanggup melimpahi
seorang individu berkelas bawahan dengan hadiah-hadiah sebegitu mahal.
![]() |
| Ukiran menunjukkan seorang Maharaja Rom bersemayam menyaksikan pertarungan gladiator |
Pada ketika kisah yang
melibatkan Spiculus ini boleh dianggap agak ekstrem (andai kata kisahnya itu
memang sahih), para petarung gladiator sememangnya merupakan suatu aset
berharga bagi para ‘pemilik’ mereka. Lebih banyak seseorang petarung gladiator
itu meraih kemenangan, semakin tinggi nilai harganya. Kepopulariti beberapa
orang petarung gladiator juara dapat dibuktikan menerusi beberapa buah graffiti
pada dinding-dinding Rom dan kota-kota lain yang turut melangsungkan sukan
berkenaan.
Sebahagian graffiti itu
turut mencatatkan jumlah kemenangan yang diraih oleh seseorang petarung
gladiator: Petronius Octavius sebanyak 35 kali, Severus sebanyak 55 kali dan
Nascia sebanyak 60 kali. Ada juga graffiti yang mengisyaratkan bahawa para
petarung gladiator ini meraih kedudukan tersendiri dalam kalangan wanita:
Crescen misalnya meraih kedudukan istimewa dalam hati ramai gadis sementara nama
Caladus dari Thracia pula membuatkan para gadis mengeluh.
Menjelang abad ke-4M,
kepopulariti sukan gladiator mula mengalami keruduman memandangkan Empayar Rom
mula menganut dan menjadikan Kristian sebagai agama rasmi. Walau bagaimanapun,
sukan tersebut hanya diharamkan secara menyeluruh oleh Maharaja Honorius pada
tahun 404M berikutan kematian St. Telemachus.
Menurut sejarahwan yang bernama
Theoderet, Telemachus merupakan seorang rahib yang datang ke Ro dari Asia
Kecil. Ketika berlangsungnya pertarungan gladiator di kota berkenaan,
Telemachus melompat memasuki gelanggang arena untuk menghentikan dua orang
petarung dari terus berlawan. Tindakan Telemachus ini tidak disenangi oleh para
penonton yang lantas melemparkan batu kepada rahib itu sehingga mati.
Walau bagaimanapun, salah
satu bentuk sukan gladiator, iaitu venationes (bertarung melawan haiwan
buas) sempat berterusan selama beberapa kurun lagi.
![]() |
| Telemachus menghentikan dua orang petarung gladiator dari terus berlawan |
SUMBER
- Alchin, L. 2014. Famous Gladiators.
- Cartwright, M. 2012. Gladiator.
- Some Interesting Facts. 2014. Ancient Roman Gladiators Facts.
- The Art of Manliness. 2011. Man Knowledge: The Men in the Arena – A Primer on Roman Gladiators.
- Wikipedia. 2014. Gladiator.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Gladiator – Sukan Berdarah Empayar Rom’
- Get link
- X
- Other Apps





