- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (19 Mei 2018). Ancient Weiyang Palace: Exemplifying Han Dynasty
Splendor. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/ancient-weiyang-palace-exemplifying-han-dynasty-splendor-0010069
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/ancient-weiyang-palace-exemplifying-han-dynasty-splendor-0010069
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Pada hari ini, ia hanya
wujud sebagai sisa tinggalan sejarah. Namun pada suatu ketika dahulu, Istana
Weiyang merupakan kompleks istana paling besar di dunia. Bekas-bekas runtuhan
yang dapat kita saksikan pada hari ini menyimpan ribuan saksi kepada kemegahan
dan kegemilangan binaan dari zaman Dinasti Han yang pernah memenuhi ruang
kawasan di situ.
Istana Weiyang
merupakan sebuah kompleks istana diraja yang dibina di zaman Cina purba.
Walaupun kompleks ini dibangunkan oleh Dinasti Han, ia turut digunakan oleh
beberapa buah dinasti Cina yang lain. Namun seiring peredaran masa, Istana
Weiyang semakin hilang pengaruhnya sebelum akhirnya, ia ditinggalkan oleh
maharaja Cina dan seluruh penghuni istana. Istana Weiyang kemudiannya dibakar
serta diruntuhkan dan apa yang masih kekal ada sehingga ke hari ini hanyalah
secebis tinggalan sejarah.
![]() |
| Tapak bersejarah Istana Weiyang |
KEBAHAGIAN BERPANJANGAN
YANG BELUM PUN MENCAPAI KADAR SEPARUH
Nama kompleks istana
purba ini, iaitu ‘Weiyang’ boleh diterjemahkan secara harfiah sebagai ‘hampir
mencapai kadar separuh’ atau ‘belum lagi mencapai separuh’ walaupun ia juga
boleh ditafsirkan sebagai ‘abadi’.
Kompleks ini merupakan
salah sebuah dari dua buah kompleks istana utama di zaman Dinasti Han, di
samping Istana Changle. ‘Changle’ pula boleh diterjemahkan sebagai ‘kebahagiaan
berpanjangan’. Oleh kerana itu, terdapat pendapat yang mencadangkan bahawa
kombinasi nama kedua-dua istana ini boleh membawa pengertian ‘kebahagian
berpanjangan yang belum pun mencapai kadar separuh’.
Istana Weiyang terletak
di kota Chang’an (kini Xi’an), Wilayah Shaanxi yang berlokasi di tengah-tengah
negara Cina. Dari timur hingga ke barat, kompleks ini meliputi keluasan yang
mencecah 2.15km (1.34 batu) sementara keluasan dari utara hingga ke selatannya
pula adalah sekitar 2.25 (1.4 batu). Hal ini bermaksud bahawa luas keseluruhan
kawasan ini dianggarkan 4.8km persegi. Sebagai perbandingan. Kota Larangan di
Beijing yang masyhur itu berkeluasan sekitar 0.72 km persegi. Dalam erti kata
lain, sebanyak 7 buah Kota Larangan diperlukan untuk menyamai saiz Istana
Weiyang!
PEMBINAAN KEDIAMAN
ISTANA MAHARAJA
Pada tahun 202SM,
Dinasti Han mula diasaskan dan dua tahun kemudian, tokoh pengasasnya iaitu
Maharaja Gaozu (Liu Bang) mengarahkan agar sebuah kompleks diraja dibina. Tugas
pembinaan ini diselia oleh pegawai canselornya, iaitu Xiao He. Kompleks diraja
ini dibangunkan untuk menjadi istana utama maharaja. Sebelum itu, istana
maharaja terletak di Istana Changle yang dibina di atas runtuhan istana Dinasti
Qin, iaitu Istana Xingle. Setelah maharaja memindahkan pusat pemerintahannya ke
Istana Weiyang, Istana Changle diubah menjadi kediaman buat maharani balu.
![]() |
| Maharaja Gaozu dari Dinasti Han |
Walaupun pemerintahan
Dinasti Han berakhir pada tahun 220M, Istana Weiyang terus digunakan oleh
sejumlah dinasti lain. Misalnya, Dinasti Jin Barat yang beribukotakan Chang’an
pada tempoh antara 312 hingga 316M memanfaatkan binaan kompleks istana ini.
Semasa zaman Dinasti Utara dan Selatan yang menyusulinya pula, Chang’an masih
teus berfungsi sebagai ibu kota bagi beberapa buah negara berbeza di mana hal
ini bermaksud bahawa Istana Weiyang turut digunakan di zaman itu. Chang’an
kekal menjadi ibu kota Empayar Cina ketika zaman kepenguasaan Dinasti Tang
walaupun pada zaman inilah signifikasi Istana Weiyang mula merudum. Hal ini
berlaku kerana maharaja-maharaja Tang mula membina istana-istana peribadi.
![]() |
| Ilustrasi dari Dinasti Qin yang menggambarkan Istana Weiyang dan Istana Changle |
KERUNTUHAN ISTANA
WEIYANG
Keruntuhan Istana
Weiyang turut dikatakan berlaku di zaman Dinasti Tang. Didakwa kononnya ia
dimusnahkan oleh pihak pemberontak semasa mereka dalam perjalanan menuju ke ibu
kota Tang. Sejarah sememangnya sedia maklum bahawa para pemberontak berjaya
menawan ibu kota Tang semasa berlakunya Pemberontakan An Lushan (abad ke-8M)
dan Pemberontakan Huang Chao (abad ke-9M). Rentetan kejadian ini, hanya tinggal
secebis kecil sahaja kesan sejarah dari Istana Weiyang, istana besar itu.
![]() |
| Runtuhan-runtuhan istana |
Kawasan yang suatu
ketika dahulu menempatkan binaan Istana Weiyang itu kini menjadi tapak
arkeologi. Kerja-kerja ekskavasi yang dijalankan di sana telah berjaya menemukan
beberapa buah maklumat. Misalnya, kajian arkeologi mendapati bahawa kompleks
ini dikelilingi oleh sebuah tembok bersegi tepat yang bersaiz besar dan ianya
diakses menerusi sejumlah gerbang. Tambahan lagi, dua buah gerbang di setiap
sudut tembok sesebuah perkarangan memiliki menara-menara pengawal.
![]() |
| Mural awal abad ke-8 di makam Putera Yide memberi gambaran tentang kemegahan tembok-tembok kota Chang’an berserta menara pengawalnya |
Maklumat arkeologi berkenaan
Istana Weiyang ini turut disokong oleh sumber-sumber bertulis. Misalnya, di
kala ahli arkeologi berjaya menghadirkan maklumat tentang rekabentuk balairung
utama istana, bahan-bahan yang digunakan bagi membina tapak balairung berkenaan
hanya boleh diperoleh menerusi teks-teks sejarah.
Pada tahun 2014, Istana
Weiyang pada akhirnya disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sebagai
sebahagian dari sekelompok tapak yang dinamakan sebagai ‘Laluan Sutera:
Rangkaian Laluan Koridor Chang’an-Tianshan’.
![]() |
| Istana tanah liat dari zaman Dinasti Han yang dihasilkan untuk pengebumian golongan elit, Muzium Wilayah, Zhengzhou, Cina |
SUMBER
- Steinhardt, N.S. 1990. Chinese Imperial City Planning. Honolulu: University of Hawai’i Press.
- Tang, X. 2015. The Evolution of Imperial Urban Form in Western Han Chang’an. In: M. Nylan & G. Vankeerberghen, eds. Chang’an 26 BCE: An Augustan Age in China. Seattle and London: University of Washington Press, pp.55-74.
- China Expedition Tours, 2018. The site of Weiyang palace of the Han Dynasty.
- The Institute of Archaeology. Chinese Academy of Social Sciences. 2014. Site of Weiyang Palace in Chang’an City.
- TravelChinaGuide. 2018. The Site of Weiyang Palace in Chang’an City of Western Han Dynasty.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Istana Weiyang – Istana Agung Dinasti Han’
- Get link
- X
- Other Apps







