- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Universiti Johns Hopkins. (8 Ogos 2019). Dark matter may be older than the big
bang, study suggests. Phys.org.
https://phys.org/news/2019-08-dark-older-big.html
https://phys.org/news/2019-08-dark-older-big.html
Penterjemah:
Alam Bahasa
Jirim gelap, yang mana
para pengkaji mempercayai bahawa ia merangkumi sekitar 80% daripada jirim alam
semesta, merupakan salah satu misteri paling sukar dijelaskan dalam fizik moden.
Apa sebenarnya jirim ini dan bagaimana ia terbentuk masih menjadi suatu
misteri, namun satu kajian terbaharu daripada Universiti Johns Hopkins telah
mengemukakan pendapat bahawa jirim gelap berkemungkinan telah pun wujud
terlebih dahulu sebelum Big Bang.
Kajian yang disiarkan
pada 7 Ogos di Physics Review Letters telah membentang sebuah idea terbaharu
tentang bagaimana jirim gelap ini lahir dan bagaimana untuk mengenalinya
menerusi cerapan jasad samawi.
“Kajian menemui satu
kaitan baharu antara zarah fizik moden dan astronomi. Jika jirim gelap
mengandungi zarah-zarah baharu yang lahir sebelum Big Bang, maka mereka akan
memberikan kesan kepada edaran galaksi di ruang angkasa melalui cara yang unik.
Kaitan ini mungkin boleh digunakan untuk mendedahkan identiti jirim berkenaan
dan membuat kesimpulan mengenai masa sebelum kejadian Big Bang,” kata Tommi
Tenkanen, seorang profesor pasca-kedoktoran dalam jurusan Fizik dan Astronomi
di Universiti John Hopkins merangkap jurutulis penyelidikan tersebut.
Walaupun tidak banyak
yang dapat diketahui tentang asal-usulnya, pakar-pakar astronomi menunjukkan
bahawa jirim gelap ini memainkan peranan penting dalam pembentukan galaksi dan
gugusan-gugusan galaksi. Walaupun ianya tidak dapat dicerap secara langsung,
namun para saintis mengetahui bahawa jirim gelap sememangnya wujud menerusi
kesan grafitinya terhadap pergerakan jirim tampak dan pertaburannya di ruang
angkasa.
Untuk tempoh yang agak
lama, para penyelidik mempercayai bahawa jirim gelap merupakan sisa daripada
Big Bang. Mereka telah lama mengkaji jirim gelap ini, namun selama ini kesemua
uji-kaji yang dijalankan hanya menemui kegagalan.
“Jika jirim gelap
benar-benar merupakan sisa tinggalan daripada Big Bang, maka dalam kebanyakan
keadaan para penyelidik seharusnya dapat melihat isyarat langsung jirim gelap
dalam pelbagai eksperimen zarah fizik selama ini,” kata Tenkanen.
Dengan menggunakan
formula matematik baru lagi ringkas, kajian menunjukkan bahawa jirim gelap
mungkin telah pun terhasil sejak sebelum Big Bang, pada zaman yang dikenali
sebagai Pengembangan Kosmik iaitu semas ruang berkembang dengan begitu pantas.
Pengembangan ruang yang pantas ini dipercayai membawa kepada terhasilnya
pelbagai jenis zarah yang dikenali sebagai scalar. Setakat ini, hanya
satu zarah scalar yang berjaya ditemui, iaitu Higgs Boson.
“Kami tidak tahu apakah
itu jirim gelap, tetapi jika ia ada sebarang kaitan dengan mana-mana zarah scalar,
maka ia berkemungkinan lebih tua berbanding Big Bang. Dengan senario formula
matematik yang dikemukakan, kami tidak perlu mengandaikan jenis-jenis
tindak-balas baharu antara jirim tampak dan jirim gelap melangkaui graviti yang
mana kami telah pun mengetahui akan kemungkinan kewujudannya,” jelas Tenkanen.
Walaupun idea tentang
jirim gelap wujud sebelum Big Bang ini bukanlah suatu idea baru, ahli-ahli
teori lain tidak berupaya menghasilkan kira-kira yang sesuai untuk menyokong
idea-idea tersebut. Kajian terbaharu ini menunjukkan bahawa para penyelidik
selalu terlepas pantas kira-kira matematik teringkas bagi (mencari) asal-usul
jirim gelap ini, katanya.
Kajian terbaru ini juga
mengemukakan kaedah untuk menguji asal-usul jirim gelap dengan memerhatikan
tanda-tanda yang ditinggalkan oleh jirim tersebut pada taburan jirim di ruang
angkasa.
“Walaupun jenis jirim gelap
ini terlalu elusive untuk ditemui dalam eksperimen-eksperimen (berkenaan)
zarah, namun ia boleh menunjukkan kehadirannya menerusi pemerhatian-pemerhatian
jasad samawi. Kelak kita akan dapat mengetahui dengan lebih lanjut tentang
asal-usul jirim gelap apabila satelit Euclid dilancarkan pada tahun 2022. Kami
sangat teruja untuk melihat apa yang akan dirungkai berkenaan jirim gelap ini,
dan adakah penemuan tersebut dapat digunakan untuk mengintai (keadaan alam)
pada masa-masa sebelum berlakunya Big Bang.”
- Get link
- X
- Other Apps
