LE CHENE CHAPELLE - BIARA POKOK OAK PURBA YANG SAMA TUA DENGAN PERANCIS

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (12 April 2015). Le Chene Chapelle: The Ancient Oak Tree Chapel as Old as France Itself. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/le-chene-chapelle-ancient-oak-tree-chapel-old-france-itself-002895

Penterjemah: Amir Zayyanid


“Saya akan beritahu kamu di mana mereka berada… mereka telah pun berada di rumah mereka, di bawah tanah; kediaman yang indah. Tetapi, bagaimana mereka sampai ke sana? Kerana tiada pula pintu masuk yang dapat dilihat. Tiada juga batuan besar yang jika digolekkan akan membuka mulut gua. Namun perhatikan dekat-dekat. Kamu akan mendapati ada tujuh batang pokok besar dengan setiap lubang di rongga batangnya sebesar anak kecil. Inilah dia tujuh buah pintu masuk ke rumah bawah tanah, yang telah dicari oleh Hook selama berbulan-bulaan. Bolehkah dia menemukannya malam ini?” – J.M. Barrie, Peter Pan.

Dalam karya J.M. Barrie yang paling masyhur, iaitu Peter Pan, tempat persembunyian watak utama itu digambarkan sebagai sebuah rumah bawah tanah yang hanya boleh dimasuki melalui rongga pada salah satu dari 7 batang pokok besar. Tanggapan bahawa manusia dapat memasuki ruangan bawah tanah dengan melalui rongga sebatang pokok sememangnya menjadi ciri lazim bagi cerita-cerita dongeng. Namun di Perancis, wujud sebatang pokok yang hampir serupa – sebatang pokok oak purba menempatkan bukan satu, tetapi dua buah biara purba di bahagian tengahnya yang berongga.

Chene Chapelle (bermaksud Biara Oak) terletak di Allouville-Bellefosse, petempatan masyarakat di jabatan Seine-Maritime di kawasan Normandy Utara. Menurut cerita penduduk tempatan, pokok oak ini sama tua dengan negara Perancis itu sendiri. Ia dikatakan telah wujud sejak pemerintahan Charlemagne pada abad ke-9M. Turut dikisahkan bahawa pada tahun 1035M, William Si Penakluk, iaitu raja pertama Norman dari England pernah berlutut di bawah pokok oak ini. Berkemungkinan, ia berlaku sebagai sebahagian daripada upacara kenaikan takhtanya ke dalam Dukedom of Normandy.

Walaupun sumber tempatan menyatakan bahawa pokok tersebut berusia sekitar 1200 tahun, para saintis mendakwa bahawa usia sebenar pokok berkenaan adalah dalam lingkungan 800 tahun. Apapun, ia adalah pokok tertua yang masih wujud di Perancis pada hari ini.

Gambaran abad ke-18 berkenaan Oak Chapel


Pokok oak ini tidak menjadi Chene Chapelle sehinggalah pada 1600an. Pada waktu itu, pokok tersebut disambar petir dan terbakar sehingga ke bahagian tengahnya sekaligus membentuk ruang rongga. Namun, pokok tersebut terselamat dan bahkan menjadi tumpuan biarawan tempatan, Du Detroit dan paderi kampung, Father Du Cerceau. Mereka berdua menafsirkan pembentukan rongga pada pokok oak tersebut adalah petanda daripada Tuhan lantas memutuskan untuk membangunkan binaan suci di sana.

Makanya, sebuah tempat keramat yang didedikasikan sebagai Maryam, dikenali sebagai Notre Dame de la Paix (bermaksud ‘Wanita Keamanan Kita’) pun dibina tepat pada ruang berongga pokok berkenaan. Kemudian, binaan sebuah biara kecil bernama Chambre de l’Ermite (bermaksud Rumah Pertapa) pula ditambah. Biara ini boleh diakses menerusi sebuah tangga yang dibina.

Tangga di sekitar Chene Chapelle


Semasa Revolusi Perancis di sekitar hujung abad ke-18M, Chene Chapelle dianggap sebagai simbol Ancien Regime. Kemudian, sekumpulan perusuh dari pihak Revolusi tiba dan mengancam untuk membakar Chene Chapelle. Namun, penduduk tempatan pantas mengubah nama biara tersebut sebagai ‘temple of reason’, bersesuaian dengan idealisme yang dibawa oleh Revolusi. Berkat kebijaksanaan tersebut, Chene Chapelle berjaya terselamat dalam peristiwa rusuhan itu.

Pada hari ini, pokok berusia ratusan tahun ini menunjukkan tanda-tanda keuzuran dan pereputan. Sebahagian daripada pokok tersebut telah pun mati. Kini, pokok oak purba ini didokong oleh tiang dan kabel di luar dan dalam. Tambahan lagi, bagi menggantikan kulit pokok yang telah tertanggal, lapisan pelindung kasau oak dibubuh.

Lapisan pelindung kasau oak kini melitupi pokok


Walaupun berada dalam keadaan sebegitu, pokok ini masih menjadi tempat berlangsungnya upacara gereja sebanyak dua kali dalam setahun. Pokok ini juga kekal menjadi destinasi kunjungan tahunan para jemaah dalam rangka keraian Feast of the Assumption of the Virgin Mary yang jatuh pada tanggal 15 Ogos. Walaupun pokok ini sendiri mungkin tidak dapat hidup lama, kelihatan seperti ianya akan terus ditanggap sebagai simbol penting yang hidup dalam ingatan manusia, lebih-lebih lagi penduduk Allouville-Bellefosse.


SUMBER
  • Barrie, J.M. 1911. Peter Pan.
  • Lisa, A. 2015. France’s oldest tree, alive since Louis IX, hides treehouse chapels within its trunk.
  • Otto, M.R. 2014. Le Chene Chapelle – The Chapel Oak.