- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (9 Mei 2019). The Rags to Riches Story of Liu Bang: Peasant,
Rebel, Chinese Emperor. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/rags-riches-story-liu-bang-peasant-rebel-chinese-emperor-0010018
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/rags-riches-story-liu-bang-peasant-rebel-chinese-emperor-0010018
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Kehidupan Liu Bang
merupakan kisah yang penuh pancaroba dan liku-liku perjalanan. Beliau
dilahirkan dalam keluarga petani namun meniti masa-masa perdana sebagai
maharaja Cina. Liu Bang (juga dikenali sebagai Maharaja Gaozu bagi Han)
merupakan pengasas dinasti diraja kedua Cina, iaitu Dinasti Han.
Sebagai seorang
maharaja, Liu Bang sangat dipengaruhi oleh falsafah Confucius dan banyak
tindak-tanduk beliau didasarkan pada ajaran-ajaran tersebut. Beliau secara umum
dikenang sebagai seorang pemerintah yang adil dan baik hati, sering berlawanan
sifat dengan pemerintahan tirani Qin Shi Huang, maharaja pertama Dinasti Qin.
![]() |
| Qin Shi Huang, Maharaja Qin |
SIAPAKAH LIU BANG?
Liu Bang dilahirkan
dalam sebuah keluarga petani yang hidup di Wilayah Pei (berlokasi di Jiangsu,
Cina moden) yang pada masa itu merupakan wilayah jajahan Chu. Semasa Liu Bang
menjadi maharaja, hikayat legenda tentang asal-usulnya mula dihasilkan bagi
menghadirkan faktor keabsahan pada pemerintahannya. Tradisi membuat mitos
sebegini berterusan dan bahkan berkembang dalam kalangan sejarahwan Cina
walaupun setelah kemangkatan Liu Bang.
Salah satu mitos ini
misalnya menceritakan bagaimana Liu Bang dikandungkan oleh ibunya. Di dalam
hikayat ini, ibunya terperangkap dalam sebuah kejadian ribut lantas mencari
teduhan di bawah jambatan. Terdapat juga versi yang sedikit berbeza dengan
mitos ini di mana ibu Liu Bang dikatakan mengalami satu mimpi.
Apapun, dalam kedua-dua
mitos ini memerihalkan bagaimana keadaan langit menjadi gelap dan petir dan
kilat sabung-menyabung di dada langit. Semasa suaminya pulang (sama ada ke
bawah jambatan mahupun di dalam kamar tidur), beliau terlihat seekor naga
berada di sebelah si isteri. Liu Bang dipercayai telah dikandungkan tidak lama
selepas berlakunya insiden luar biasa ini.
![]() |
| Naga Cina |
Sebagai kanak-kanak,
Liu Bang dicatatkan memiliki sifat yang lantang dan berkarisma – sifat yang
beliau terus zahirkan sehingga ketika beliau menjadi pemimpin. Namun, beliau
juga merupakan seorang kanak-kanak yang malas, tidak menunjukkan sebarang minat
terhadap aktiviti bertani ataupun belajar. Setelah usianya menginjak dewasa,
beliau dilantik sebagai pegawai rondaan dan berkhidmat kepada Dinasti Qin di
peringkat wilayah.
Personaliti dirinya
membuatkan beliau menjadi satu figura yang masyhur di kampung halamannya.
Beliau turut berjaya menjalinkan hubungan yang mesra dengan pegawai-pegawai
kerajaan yang lain di wilayah itu. Liu Bang juga menarik minat Lu Wen, seorang
lelaki kaya di wilayah itu yang kemudiannya meminangkan anak perempuannya, Lu
Zhi untuk dikahwinkan dengan Liu Bang. Dalam erti kata lain, Liu Bang berkahwin
dengan wanita yang berkedudukan lebih tinggi daripadanya dari segi kedudukan
sosial.
![]() |
| Gambaran moden Liu Bang |
PERSETERUAN DENGAN
XIANG YU
Qin Shi Huang mangkat
pada tahun 210SM dan maharaja yang menggantikannya tidak mewarisi kehebatan
yang beliau miliki. Hal ini membuka peluang kepada negara-negara yang ditakluk
oleh Qin untuk memberontak dan cuba meraih semula kemerdekaan. Liu Bang, walaupun
tidak tergolong dalam kelas pemerintah, mengambil keputusan untuk meneguhkan
kedudukannya. Beliau memanjat tangga sosial sehingga pada akhirnya berkonflik
dengan seorang pemimpin ulung, Xiang Yu.
![]() |
| “Kemasukan Maharaja Pertama Dinasti Han ke Guangzhong” (awal abad ke-12) oleh Zhao Boju |
Konflik yang tercetus
di antara mereka berdua bermula apabila Raja Huai III dari Chu berjanji untuk
mengurniakan gelaran “Raja Guangzhong” kepada sesiapa sahaja yang berjaya
memasuki Guangzhong, wilayah paling utama bagi Dinasti Qin. Liu Bang berhasil
mengalahkan Xiang Yu dalam perlumbaan ini dan tiba terlebih dahulu di Xianyang,
ibu kota Qin. Di sana, maharaja terakhir Qin, iaitu Ziying sendiri menyerah
diri.
Konflik di antara Xiang
Yu dengan Liu Bang ini terkenal dengan panggilan Perang Chu-Han. Salah satu
insiden paling masyhur yang berlaku sepanjang konflik ini adalah peristiwa
Jamuan di Gerbang Hong pada tahun 206SM, di mana Xiang Yu cuba membunuh Liu
Bang.
![]() |
| Seorang penari wanita Han Barat dalam jubah sutera, abad ke-2SM. Xiang Zhuang berniat membunuh Liu Bang dengan berpura-pura mempersembahkan tarian pedang |
Kejadian tersebut
nyaris-nyaris meragut nyawa Liu Bang. Mujur, beliau dapat meloloskan diri.
Dalam Pertempuran Gaixia pada empat tahun kemudian, beliau meraih kemenangan
muktamad ke atas seterunya itu. Berikutan pembunuhan diri Xiang Yu setelah
usainya pertempuran dan penyerahan kalah Chu kepada Han, maka Liu Bang pun
ditabalkan sebagai Maharaja Cina.
![]() |
| Pertempuran Gaixia |
MAHARAJA GAOZU BAGI HAN
Liu Bang sering
dianggap sebagai seorang pemerintah yang baik dan sering menerapkan
ajaran-ajaran Confucius dalam pentadbirannya. Namun, beliau sendiri
berasal-usul sebagai seorang yang kasar dan selalu memandang rendah kepada
mana-mana cendekiawan. Keadaan ini berlanjutan lama bahkan setelah beliau
menjadi maharaja. Sudut pandangnya yang sebegitu hanya berubah apabila beliau
bertemu dengan seorang cendekiawan bernama Lu Jia, yang berjaya meyakinkan
beliau tentang garis-garis panduan untuk memerintah sesebuah empayar menurut
ajaran Confucius.
Walaupun terkenal
sebagai seorang yang berperibadi luhur dan baik, Liu Bang boleh berubah menjadi
seorang lelaki yang keras dan tegas apabila berhadapan dengan sebarang ancaman
yang cuba menggugat kekuasaannya. Hal ini jelas terpamer menerusi cara beliau
menangani tujuh orang raja feudal bukan-kerabat, yang mana wilayah-wilayah
pentadbiran mereka dilihat oleh Liu Bang sebagai ancaman kepada wilayah
kekuasaannya. Oleh kerana itu, sebahagian daripada mereka dilucutkan jawatan
sambil yang lain pula dijatuhi hukuman mati, konon kerana memberontak.
Liu Bang menghembuskan
nafasnya yang terakhir pada tahun 195SM, akibat luka yang diakibatkan oleh
panah sasar semasa kempen ketenteraannya pada tahun lalu dalam menentang
pemberontak Ying Bu, salah seorang dari tujuh raja feudal bukan-kerabat.
Jasadnya disemadikan di permakaman diraja di Changling. Kedudukan sebagai
maharaja digantikan oleh puteranya, Liu Ying.
![]() |
| Changling, permakaman Maharaja Gaozu di Xianyang, Shaanxi, Cina |
SUMBER
- Breen, B., 2013. Liu Bang, from Peasant Rebel to Emperor.
- Britton, P., 2018. Have you heard of Liu Bang?.
- Dhwty, 2017. The Impressive Battle of Gaixia: Chinese Reunification Emerges from Chaos.
- Hays, J., 2013. Liu Bang and the Civil War that Brought the Han to Power.
- Rickard, J., 2012. Liu Bang (256-195 BC).
- The Editors of Encyclopaedia Britannica, 2018. Gaozu.
- Theobald, U., 2011. Emperor Han Gaozu 漢高祖 Liu Bang 劉邦.
- Totallyhistory.com, 2012. Liu Bang.
- TravelChinaGuide, 2018. Liu Bang - Emperor Gaozu of Western Han.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Liu Bang: Kisah Petani Yang Menjadi Maharaja China’
- Get link
- X
- Other Apps







