- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (27 Mei 2014). The ancient origins of the legendary griffin.
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends/ancient-origins-legendary-griffin-001693
https://www.ancient-origins.net/myths-legends/ancient-origins-legendary-griffin-001693
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Griffin merupakan suatu
makhluk legenda berkepala dan bersayap helang, dan bertubuh, berekor serta
berkaki-belakang singa. Memandangkan helang lazim dianggap sebagai ‘raja segala
burung’ sementara singa pula didendangkan sebagai ‘raja segala haiwan’, maka
griffin dianggap sebagai suatu makhluk yang amat berkuasa dan memiliki
kemegahan tersendiri. Pada zaman kepenguasaan Empayar Parsi, griffin dilihat
sebagai makhluk pelindung dari kejahatan, kerja-kerja sihir dan hasad fitnah.
Walaupun griffin sering
dilihat pada jata-jata di zaman pertengahan, pada hakikatnya asal-usul makhluk
ini boleh dijejak pada rentang masa yang jauh lebih lama. Sebagai contoh,
sejarahwan masyhur dari Yunani yang bernama Herodotus pernah menulis:
“Namun di utara Eropah,
terdapat wilayah yang penuh dengan emas. Dalam hal ini, sekali lagi saya tidak
mampu berkata dengan pasti bagaimana emas tersebut dihasilkan. Namun, dikatakan
bahawa lelaki bermata-satu iaitu Arimaspians mencuri (emas itu) daripada
sejumlah griffin. Apapun, saya tidak mempercayai hal ini; iaitu terdapat
seorang lelaki bermata-satu yang memiliki sifat dan ciri yang bersalahan dengan
manusia lain. Akan tetapi, wilayah-wilayah jauh itu apabila ia meliputi
kawasan-kawasan lain secara menyeluruh, cenderung bahawa ia memiliki barangan
yang kita anggap sebagai barangan terbaik dan langka.” (Herodotus, The
Histories. 3.116)
Walaupun makhluk
griffin ini paling lazim ditemui di dalam kesenian dan mitologi Yunani purba,
terdapat juga bukti gambaran griffin dalam kebudayaan purba Parsi dan Mesir
yang ianya dipercayai berusia seawal milenia ke-4 Sebelum Masehi. Di Pulau
Crete, Greece, para arkeologis pernah menemukan gambaran griffin pada
lukisan-lukisan dinding di ‘Ruangan Singgahsana’ Istana Knossos di Zaman Gangsa,
sekitar abad ke-15SM.
![]() |
| Lukisan dinding di ‘Ruang Singgahsana’, Istana Knossos, Crete |
Lebih menarik, terdapat
juga pelbagai makhluk hibrid (kacukan) lain yang mirip griffin. Misalnya,
Lamassu adalah makhluk mitos bagi masyarakat Assyria yang berkepala manusia,
berbadan singa ataupun kerbau, dan bersayap helang.
![]() |
| Lamassu, kerbau bersayap dan berkepala manusia. University of Chicago Oriental Institute. Zaman Neo-Assyria, sekitar 721-705SM |
Lebih jauh ke timur,
makhluk separuh-manusia dan separuh-burung yang dikenali sebagai Garuda hadir
sebagai tunggangan kepada Dewa Vishnu dalam kepercayaan Hindu. Berkemungkinan,
daya tarikan yang wujud dalam makhluk-makhluk hibrid sebegini adalah kerana ia
membenarkan manusia menggabungkan sifat-sifat terbaik dari pelbagai makhluk ke dalam
satu makhluk ulung sekaligus membenarkan simbolisme yang memikul maksud yang
agak mendalam dilekatkan pada sosok makhluk tersebut.
![]() |
| Dewa Vishnu bersama Garuda, dalam kepercayaan Hindu |
Hal sebegini mungkin
turut berlaku pada griffin di Zaman Pertengahan. Dalam legenda masyarakat
Eropah pada zaman ini, dipercayai bahawa griffin bersenyawa untuk melangsungkan
zuriat. Apabila salah satu daripada mereka mati, maka yang lain akan meneruskan
hidup tanpa mencari pasangan yang baru. Hal ini membawa kepada dakwaan bahawa
griffin digunakan oleh pihak Gereja sebagai simbol penentangan terhadap budaya
perkahwinan-semula. Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan secara jelas
adakah hal ini merupakan kepercayaan yang sebenar, ataupun hanya sekadar
pemahaman di zaman moden.
Walaupun makhluk
griffin ini mungkin hanya dilihat sebagai makhluk yang lahir daripada imaginasi
manusia, terdapat juga kemungkinan wujudnya kebenaran di sebalik makhluk ini.
Terdapat satu teori yang berpendapat bahawa griffin dibawa masuk ke Eropah oleh
para pedagang yang melalui Laluan Sutera, dari Gurun Gobi di Mongolia. Di gurun
ini, fosil-fosil dinosaur Protoceratops ditemui. Memandangkan tulang-temulang
makhluk ini, terutama tengkoraknya memiliki paruh seperti burung, maka
orang-orang yang menyaksikannya di zaman purba berkemungkinan menafsirkan
temulang tersebut sebagai bukti bahawa makhluk hibrid kononnya memang pernah
hidup di gurun.
Walau bagaimanapun,
sejarahwan mendapati bahawa kisah berkenaan griffin telah pun wujud sejak
sebelum Laluan Sutera ditemui lagi. Mungkin, hal yang sebaliknya yang berlaku –
di mana kisah griffin inilah yang membuatkan para pedagang menafsirkan fosil
Protoceratops sebagai suatu makhluk legenda.
Walau apapun
asal-usulnya, griffin tetap merupakan sebahagian daripada kebudayaan manusia
buat tempoh masa yang sangat lama dan ianya kekal sehingga ke hari ini
sebagaimana yang dapat dilihat menerusi logo sekolah, mascot dan bahkan
literasi masyhur. Griffin khususnya dan makhluk-makhluk hibrid daripada mitos
lain umumnya kelihatan akan terus hidup buat jangka waktu yang cukup lama,
diwarisi dari generasi ke generasi.
SUMBER
- Atsma, A.J. 2011. Grypes.
- Buffalo Architecture and History, 2009. Illustrated Dictionary of Egyptian Mythology.
- Encyclopedia Britannica, 2013. Griffin.
- Mythology Wiki. 2014. Griffin.
- Herodotus, The Histories. [Godley, A.D. (trans.) 1920. Herodotus’ The Histories. Cambridge: Harvard University Press.
- Get link
- X
- Other Apps



