- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Caleb Strom. (30 Disember 2018). The Maori: A Rich and Cherished Culture at the
World’s Edge. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/maori-0011250
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/maori-0011250
Penterjemah:
Amir Zayyanid
New Zealand merupakan
salah sebuah tanah besar terakhir yang dikolonikan oleh manusia. Ketika
haiwan-haiwan besar zaman Pleistocene telah pun pupus di tempat-tempat lain,
New Zealand masih lagi dihuni oleh burung-burung moa, iaitu sejenis burung
gergasi tidak-terbang yang menjadi buruan penghuni Maori awal. Nenek-moyang
Maori menghuni salah satu hutan belantara tidak-tercemar terakhir yang bebas
dari aktiviti manusia dan mereka terus mengadaptasi ke dalam persekitaran
baharu ketika dunia mengalami perubahan.
ASAL-USUL KEBUDAYAAN
MAORI
Maori berkemungkinan
berasal dari Polynesia Timur, berhampiran Kepulauan Masyarakat (Society
Islands) dan bahagian selatan Kepulauan Cook. Dalam legenda-legenda Maori,
tanah air kaum Maori disebutkan sebagai Hawaiki yang bersifat separa-mitos. Ia
juga dikisahkan sebagai kediaman para dewa dan tempat kembalinya manusia
sesudah meninggal dunia.
Kaum Maori tiba buat
pertama kalinya di New Zealand sekitar 1300M atau mungkin lebih awal sedikit.
Memandangkan New Zealand, atau Aotearoa mengikut sebutan kaum Maori ini
mewakili kawasan hujung barat daya dunia yang diketahui oleh masyarakat
Polynesia pada abad ke-13 dan 14M, maka kaum Maori dianggap sebagai orang yang
menetap di hujung dunia.
![]() |
Model sebuah Pa (kubu bukit) tipikal yang dibina oleh Maori di wilayah utama (untuk pertahanan) |
SEJARAH AWAL MAORI
Pada waktu ketibaan
kaum Maori, New Zealand diliputi oleh hutan-hutan yang dihuni oleh
haiwan-haiwan purbakala. Cuacanya lebih sejuk berbanding di tanah air Maori di
Polynesia. Hal ini memaksudkan bahawa beberapa hasil tuaian ruji kaum Polynesia
sukar untuk ditanam di New Zealand, atau bahkan mungkin langsung tidak boleh
ditanam. Antaranya seperti buah sukun, kelapa dan pisang.
Agar sukar buat Maori
yang berasal-usul dari Polynesia untuk beradaptasi dengan cuaca sederhana di
semenanjung New Zealand memandangkan mereka sudah terbiasa dengan cuaca
tropika. Penghuni-penghuni awal Maori ini menetap di sepanjang pantai dan
menjalankan aktiviti memburu moa dan anjing laut sebelum beberapa tempoh
kemudian, mereka berpindah ke ceruk hutan. Kehadiran manusia memberikan impak
kepada persekitaran New Zealand sekaligus mendorong kepada kepupusan beberapa
spesis haiwan seperti burung moa dan helang Haas.
![]() |
Helang Haast menyerang burung Moa New Zealand |
Menjelang abad ke-18,
kaum Maori sudah berhasil menubuhkan komuniti petani yang stabil di seluruh New
Zealand dan mereka terbahagi kepada sejumlah puak atau ‘iwi’. Individu yang
berstatus paling tinggi dalam kalangan masyarakat Maori adalah pengetua,
diikuti oleh kelas awam dan hamba. Tohunga, iaitu kelas sami atau
golongan pakar kadangkala dianggap memiliki kelas sosial yang tersendiri. Pada
masa-masa itu, banyak konsep penting dalam kebudayaan Maori dihasilkan di mana
konsep-konsep ini masih diamalkan oleh mereka sehingga ke hari ini.
SEJARAH MAORI SETELAH
KETIBAAN ORANG-ORANG EROPAH
Kaum Maori mula
menjalankan aktiviti perdagangan dengan orang-orang Eropah pada awal kurun
ke-19. Beberapa barang dagangan terpenting Eropah bagi kaum Maori adalah
khinzir dan kentang. Barangan ini dengan pantas menyertai makanan tradisi dan
ruji kaum Maori seperti kumara, pikopiko, dan karenga.
Pada tahun 1840, New Zealand secara rasmi menjadi koloni British setelah
Perjanjian Waitangi dimeterai. Asalnya, kaum Maori memberikan penentangan
terhadap perkara tersebut. Namun mereka terpaksa akur dan kehilangan banyak
wilayah mereka ke tangan pendatang Eropah.
Memasuki permulaan abad
ke-20, kaum Maori mula menghidupkan semula kebudyaan mereka dan berintegrasi ke
dalam masyarakat Pakeha (orang berkulit putih; Eropah) tanpa mengabaikan
warisan budaya. Terdapat lebih 500 000 orang Maori pada hari ini. Kebanyakan
mereka tinggal di kawasan-kawasan yang bandar. Gerakan-gerakan awal pada awal
kurun ke-20 dalam rangka menghidupkan semula dan memelihara budaya Maori
sememangnya mencapai hasil yang bukan kecil. Kesenian, bahasa dan tradisi lisan
mereka terus mekar pada hari ini, mekar di samping gaya hidup Pakeha.
KONSEP-KONSEP TERAS
DALAM MASYARAKAT MAORI
Memandangkan kaum Maori
ini berasal-usul dari kaum pelayar Polynesia yang menghuni kepulauan tersebut
pada abad ke-13 atau 14M, maka Maori mempunyai banyak konsep sosial,
metafizikal dan kepercayaan yang mirip dengan kumpulan masyarakat Polynesia yang
lain. Antara konsep ini termasuklah mana dan tapu.
Mana ini
tidaklah dapat dikenal pasti secara jelas pada satu budaya demi satu budaya.
Akan tetapi, ia merupakan suatu konsep lazim yang dikongsi di seluruh Oceania
dan New Zealand tidak terkecuali. Dalam tradisi kaum Maori, mana berkait
dengan prestij dan autoriti. Di zaman dahulu, amaun mana yang besar
dimiliki oleh orang-orang yang berstatus tinggi seperti para pembesar dan tohunga
Maori.
Tapu pula
adalah perkataan yang secara asasnya bermaksud ‘keramat’. Objek atau manusia
yang tapu dianggap sebagai suatu yang terpilih dan ianya tidak terbuka
kepada semua, melainkan hanya kepada beberapa individu tertentu seperti tohunga.
Antara objek atau manusia yang tapu di New Zealand adalah tohunga yang
diberikan pengkhususan dalam mencacah tatu dan akses ke tempat-tempat keagamaan
yang keramat.
![]() |
Tohunga di bawah tapu |
KEPERCAYAAN KAUM MAORI
Tradisi kepercayaan
kaum Maori secara asasnya bersifat politeisme. Maori percaya bahawa dunia ini
dicipta oleh para dewa atau atua.
Selain dewata-dewata umum, pantheon mereka juga melibatkan dewa bapa
langit, dewi ibu bumi, dewa hutan dan dewa peperangan. Tane si dewa hutan memainkan
peranan yang penting dalam penciptaan manusia di mana ia dipercayai sebagai
pencipta manusia pertama. Tohunga pula digalaskan tanggungjawab untuk
menjadi medium perantara di mana atua dan roh-roh si mati dapat
berkomunikasi dengan dunia nyata manusia.
![]() |
Ukiran Tane nui a Rangi, satu dewa Maori yang berlokasi di gerbang ke hutan di Zoo Auckland |
Pada era kolonial,
kebanyakan kaum Maori menganut agama Kristian. Memasuki pertengahan abad ke-19,
sejumlah Maori-Kristian memanfaatkan kepercayaan mereka itu sebagai justifikasi
untuk menentang pentadbiran British – mereka telah menganut agama mereka,
tetapi mereka masih juga menceroboh tanah pusaka mereka. Kebanyakan
Maori-Kristian adalah sebahagian daripada tradisi Anglican pada hari
ini. Terdapat juga ramai Maori-Methodist dan Maori-Katholik.
KESENIAN MAORI DAN
BUDAYA PENCACAHAN TATU
Antara tradisi kesenian
masyarakat Maori adalah menganyam, memahat, mencacah tatu, menari dan menyanyi.
Sejenis hasil seni
Maori yang agak penting adalah ta moko – seni pencacahan tatu. Tatu-tatu
kaum Maori terdiri dari corak berlingkar yang dicacah pada alur atau parut pada
kulit. Ta moko berasal-usul dari tradisi ritual ratapan. Seiring
peredaran masa, ianya menjadi kayu ukur kepada status sesebuah individu. Kaum
lelaki mencacahkan tatu di seluruh muka manakala kaum wanita pula di dagu. Pada
asalnya, pahat yang diperbuat daripada tulang burung menjadi alatan untuk
mencacah tatu. Kemudian, pahat ini digantikan dengan pahat logam setelah
ketibaan pendatang-pendatang Eropah. Menjelang zaman Perang Dunia Pertama,
ianya digantikan lagi menjadi jarum. Pada hari ini, artisan ta moko menggunakan
pelbagai alatan (canggih) yang sama seperti pencacah-pencacah tatu yang
bukan-Maori.
![]() |
Potret Tukukino (1878) oleh Gottfried Lindauer |
TARIAN-TARIAN
KEBUDAYAAN MAORI
Dua lagi tradisi
kesenian yang sangat penting dan sinonim dengan masyarakat Maori adalah tarian
dan nyanyian. Contoh mudah bagi hal ini adalah haka. Haka adalah
tarian yang melibatkan pergerakan tubuh yang rancak dan diiringi oleh
teriakan-teriakan yang penuh bertenaga. Terdapat pelbagai jenis gaya dan bentuk
tarian haka, bergantung kepada tujuan ianya ditarikan. Haka boleh
dipersembahkan tanpa senjata untuk tujuan keraian atau memotivasikan sesebuah
kumpulan untuk menyiapkan suatu tugasan. Haka juga boleh dipersembahkan
sebagai tarian perang di mana bagi keadaan ini, ia ditarikan bersama senjata.
Tarian perang tradisi kaum Maori melibatkan pahlawan-pahlawan mereka yang
sengaja menghodohkan muka dan membuat teriakan-teriakan lantas sambil menari untuk
menggerun dan menjatuhkan moral musuh.
![]() |
Tarian haka masyarakat Maori |
MASA HADAPAN KEBUDAYAAN
MAORI
Maori merupakan salah
satu kebudayaan asli yang mampu mencapai kegemilangan walaupun setelah
mengalami kolonisasi Eropah. Bahkan setelah didatangi oleh kaum Pakeha dua
kurun lamanya, kaum Maori masih dapat mengekalkan banyak aspek kebudayaan
mereka dan bilangan dan pengaruh mereka dalam masyarakat New Zealand terus
bertambah dan berkembang. Maori, kaum yang menetap di ceruk dunia ini dengan
berhikmah mengadaptasi dengan perkembangan dunia secara keseluruhannya.
SUMBER
- Higgins, Rawinia. 2013. Ta moko – Maori tattooing.
- Higgins, Rawinia and Arini Loader. 2014. Waiata tawhito – traditional Maori songs – Haka.
- Holdaway Richard. 2007. Extinctions – Extinctions in the human era.
- Irwin, Geoff, and Carl Walrond. 2005. When was New Zealand first settled?
- Irwin, Geoff. 2005. Pacific migrations.
- Keane, Basil. 2011. Turanga I te hapori – status in Maori society.
- Keane, Basil. 2011. Traditional Maori religion – nga karakia a te Maori.
- Rawiri Taonui. 2005. Tribal organization.
- Royal, Charles and Jenny Kaka-Scott. 2013. Maori foods – kai Maori.
- Stenhouse, John. Religion and society – Maori and religion.
- Te Ahukaramu Charles Royal. 2005. Hawaiki.
- Te Ahukaramu Charles Royal. 2005. Maori.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Maori – Kebudayaan Yang Kaya Dan Mekar Di Hujung Dunia’
- Get link
- X
- Other Apps