- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Caroline Redmond. (12 Januari 2019). Megalodon: The Prehistoric Shark 10 Times
the Size of T-Rex. All That Interesting.
https://allthatsinteresting.com/megalodon
https://allthatsinteresting.com/megalodon
Penterjemah:
Alam Bahasa
Nama
‘Megalodon’ secara harfiahnya bermaksud ‘gigi besar’ dan ianya sememangnya
munasabah – giginya cukup kuat untuk meremukkan sebuah kereta.
Jerung megalodon adalah
antara pemangsa yang paling garang dan paling besar yang pernah berenang di
lautan. Ia mampu mencapai dua kali ganda saiz Tyranosaurus Rex dan daya
gigitannya mampu meremukkan sebuah kereta, si meg atau juga dikenali sebagai
Carcharocles megalodon ini merupakan (haiwan) paling berkuasa dalam
lautan di zaman prasejarah.
Dan juga, walaupun
berada di kedudukan tertinggi dalam rantaian makanan tanpa adanya pemangsa lain
yang mampu menyainginya seakat ini, jerung megalodon pupus sekitar 2.6 juta
tahun lalu.
Hal ini merupakan suatu
misteri yang perlu dirungkai. Terdapat pelbagai teori yang dikemukakan, namun
tiada siapa mampu menerangkan mengapa salah satu pemangsa lautan yang begitu
ganas boleh pupus sebelum wujudnya manusia.
JERUNG TERBESAR YANG
PERNAH HIDUP
![]() |
| Saiz megalodon jika dibandingkan dengan manusia |
Megalodon adalah jerung
paling besar yang pernah direkodkan, walaupun saiz tepat bagi haiwan itu bersifat
pelbagai, bergantung kepada sumber yang dirujuk. Anggaran selamat mendakwa
bahawa jerung berkenaan mampu membesar sehingga 60 kaki, iaitu kira-kira saiz
lazim bagi lorong boling.
Tetapi, terdapat sumber
lain yang menyebutkan bahawa ia bersaiz lebih besar dan megalodon mampu
mencapai lebih 80 kaki besarnya, iaitu kira-kira tiga kali ganda dari panjang
bas dua tingkat di London.
![]() |
| Perbandingan saiz antara jerung putih besar dan manusia, serta saiz anggaran megalodon |
Apapun, jerung yang ada
di lautan kini jauh lebih kecil saiznya. Menurut pakar jerung yang bernama
Peter Klimley, jika jerung yang paling besar di dunia pada masa kini berenang
di sebelah megalodon, saiznya hanya sama seperti zakar megalodon sahaja. Berat
megalodon sememangnya sepadan dengan saiznya yang besar. Ketika mencapai usia
dewasa, ia mampu mencapai berat dari 66 000 paun sehingga lebih 143 000 paun.
GIGITAN MAUT MEGALODON
![]() |
| Gigi megalodon (kanan) jauh lebih besar berbanding gigi jerung putih yang besar pada masa kini (kiri) |
Gigi megalodon adalah
bahan terbaik untuk para penyelidik mengkaji segala maklumat tentang haiwan
prasejarah ini – dan gigi berkenaan berupaya memberikan gambaran tentang kesakitan
yang ditimpakan kepada mangsanya.
Nama ‘megalodon’ secara
harfiahnya bermaksud ‘gigi besar’. Rangka gigi terbesar ditemui bersaiz 6.9
inci, iaitu kira-kira tiga kali ganda berbanding saiz purata gigi jerung paling
besar pada masa kini. Sebahagian pendapat melaporkan bahawa ianya bersaiz lebih
dari 7 inci.
Seperti jerung putih,
gigi megalodon berbentuk segi tiga, bersimetri dan sekata sekaligus
menjadikannya sempurna untuk mengoyakkan daging mangsanya. Menurut penyelidik,
set gigi jerung prasejarah tumbuh setiap 1-2 minggu dan menghasilkan 20 000
hingga 40 000 gigi seumur hidupnya.
![]() |
| Dr. Jeremiah Clifford, pakar dalam pembinaan semula fosil, memegang rahang jerung putih sambil berdiri di dalam rahang megalodon yang dibina semula |
Gigi megalodon yang besar
ini tersimpan di dalam rahangnya yang jauh lebih besar. Diamter gigitan rahangnya
adalah setinggi 9 kaki dan selebar 11 kaki, cukup untuk menelan dua orang
manusia dewasa sebelah-menyebelah dalam sekali telan.
Jerung berkenaan adalah
antara makhluk paling dahsyat yang pernah menggerunkan dunia ini. Purata daya
gigitan manusia adalah sekitar 1317 newton. Sementara daya gigitan megalodon
pula mencecah antara 108 514 hingga 182 201 newton, membuatkannya cukup kuat
untuk meremukkan sebuah kereta.
JERUNG PRASEJARAH YANG
MEMANGSAKAN PAUS
![]() |
| Pola taburan megalodon pada zaman Miocene dan Pliocene dianggarkan dengan memantau lokasi fosil giginya ditemukan |
Pada masa-masa
kemuncaknya, megalodon dipercayai mencari mangsa di hampir kesemua lautan. Hal
ini disokong oleh penemuan giginya di setiap benua kecuali Antartika.
Jerung ini memilih air
yang hangat dan cenderung untuk berada di kawasan laut yang cetek dan bersuhu
sederhana untuk memburu mangsanya. Namun kerana saiznya yang besar, jerung
tersebut perlu memakan bertan makanan setiap hari. Antara mangsa yang diburunya
adalah ikan paus atau humpbacks. Namun apabila tiada makanan yang
bersaiz besar, megalodon mencari mangsa yang lebih kecil seperti ikan
lumba-lumba, anjing laut dan juga jerung yang bersaiz kecil.
Maut yang datang akibat
dibaham oleh megalodon tidak berlalu dengan pantas kerana megalodon sendiri tidak
bertindak terburu-buru. Sebahagian penyelidik mengatakan bahawa megalodon
memburu ikan paus dengan menggigit sirip atau ekornya untuk menyukarkannya melarikan
diri.
Pada zaman puncaknya,
megalodon berada di kedudukan tertinggi dalam rantaian makanan. Saintis percaya
bahawa megalodon yang telah dewasa dan matang tidak mempunyai sebarang pemangsa
yang memakannya.
Satu-satunya waktu di
mana mereka berada dalam keadaan lemah adalah semasa ia kecil, bersaiz
kira-kira 7 kaki panjang. Dari semasa ke semasa, beberapa jerung yang bersaiz
besar seperti jerung berkepala-penukul (hammerhead) cukup berani untuk
menyerang anak-anak megalodon, umpama cubaan untuk mengatasi raja lautan.
KEPUPUSAN YANG MISTERI
![]() |
| Gigi megalodon di samping sebatang pembaris untuk mengukur saiznya |
Sangat sukar untuk
membayangkan bagaimana binatang yang ganas dan besar lagi kuat seperti
megalodon boleh pupus. Sekitar 2.6 juta tahun yang lalu, iaitu di penghujung
zaman Pliocene, megalodon yang terakhir telah mati.
Tiada siapa tahu
bagaiamana hal tersebut boleh terjadi walaupun wujud pelbagai teori. Satu teori
mengatakan bahawa penurunan suhu lautan menjadi punca kepupusan megalodon.
Sekitar tiga juta tahun yang lalu, laut yang bersambung dengan Amerika Tengah
dan Atlantik serta Pasifik telah tertutup lalu menyebabkan lautan di bumi
menjadi terlalu sejuk.
Terdapat pengkaji yang
mempercayai bahawa megalodon tidak dapat menyesuaikan diri dengan air sejuk
itu. Namun, haiwan-haiwan mangsa megalodon boleh pula berpindah dan hidup di
perairan tersebut.
Menurut Muzium Sejarah
Semulajadi di London, air sejuk telah memusnahkan sebahagian sumber makanan
megalodon lalu memberikan kesan yang buruk kepada jerung itu. Sehingga 1/3
mamalia gergasi telah pupus setelah air lautan menjadi sejuk dan kehilangan ini
dirasai baik dari peringkat bawah mahupun peringkat atas rantaian makanan.
![]() |
| Seorang wanita berdiri di dalam rahang megalodon |
Walau bagaimanapun,
kajian terkini menunjukkan bahawa taburan geografi megalodon tidak bertambah
secara ketara ketika zaman laut menjadi hangat ataupun kurang pada masa sejuk.
Hal ini mengisyaratkan bahawa ada punca lain yang menyebabkan kepupusan mereka.
Sebahagian saintis
percaya bahawa perubahan rantaian makanan adalah faktor yang menyebabkan
kepupusan megalodon.
Dana Ehret, seorang
ahli paleobiologi di Muzium Negeri New Jersey memberitahu National Geographic
bahawa disebabkan megalodon banyak bergantung kepada ikan paus sebagai sumber
makanan, maka apabila bilangan paus berkurangan, megalodon turut mengalami
kesan yang sama.
“Anda boleh lihat graf
yang memuncak pada kuantiti megalodon yang banyak di pertengahan zaman Miocene
di mana megalodon hadir dalam rekod-rekod fosil, dan ianya berkurangan pada
awal-pertengahan zaman Pliocene apabila ia mula pupus,” ujarnya.
Tanpa lapisan lemah
yang diperoleh daripada paus, saiz megalodon yang besar boleh mendatangkan
kesan buruk pada mereka sendiri. “Megalodon mungkin terlalu besar dan sumber
makanan pula tidak lagi banyak,” kata Ehret.
Tambahan,
pemangsa-pemangsa lain seperti jerung putih dan paus pembunuh masing-masing ada
pada waktu itu dan bersaing dalam mengurangkan kuantiti paus. Bilangan pemangsa
yang semakin kecil serta banyaknya persaingan (dalam mencari makanan) bermaksud
megalodon menghadapi banyak masalah.
MUNGKINKAH MEGALODON
INI MASIH HIDUP?
Walaupun para saintis
berdebat tentang punca utama kepupusan megalodon, mereka semua berepakat dalam
suatu perkata; megalodon telah pun lenyap buat selama-lamanya.
Di sebalik filem-filem
(haiwan) yang seram dan mockumentary yang mengolok-olokkan Discovery
Channel yang mungkin kita percayai sebelum ini, hampir kesemua komuniti saintis
percaya bahawa megalodon telah pupus.
Satu teori terkenal
yang mengatakan bahawa megalodon masih wujud digambarkan dalam karya layar
perak pada tahun 2018 iaitu The Meg. Kononnya, pemangsa gergasi ini
mendiami lautan dalam yang belum kita terokai. Secara seimbas pandang, teori
ini kelihatan munasabah kerana sebahagian besar lautan dunia ini masih belum
diteroka.
Walaupu bagaimanapun,
sebahagian besar saintis percaya bahawa jika megalodon masih wujud, kita pasti
akan tahu tentang hal itu sekarang ini. Megalodon ini pasi akan meninggalkan
kesan gigitan baharu yang jauh lebih besar pada makhluk laut lain seperti ikan
paus, berserta gigi-bukan-fosil yang gugur dari mulutnya yang bertaburan di
dasar laut.
Sebagaimana seorang
saintis sebutkan, “Kaimi mengambil masa yang cukup lama untuk mengkaji lautan
dunia, untuk menyelidik apa yang ada dan tiada di dalamnya.”
Tambahan lagi, jika
terdapat versi tentang kewujudan megalodon ini mampu menafikan seluruh
faktor-mustahil dan benar kononnya ia masih hidup di dasar laut, hal ini
seakan-akan bertentangan dengan sifatnya yang terdahulu. Ini kerana megalodon
perlu menghadapi perubahan besar untuk menyesuaikan diri di dalam air yang
sejuk dan gelap.
Bahkan jika mereka
berenang di lautan moden, seorang saintis memberi jaminan bahawa manusia tidak
perlu risau menjadi mangsa serangan mereka.
“Mereka tidak akan
berfikir dua kali untuk membiarkan kita,” kata ahli paleobiologi yang bernama
Hans Sues yang bekerja di Muzium Sejarah Semulajadi Negara. Tambahnya lagi,
“Atau paling tidak, mereka akan menganggap bahawa kita ini terlalu kecil atau
tidak penting untuk dimakan.”
- Get link
- X
- Other Apps







