- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
David Nield. (1 Ogos 2019). Divers Uncover Ancient Temples Submerged Within the
‘Egyptian Atlantis’. Science Alert.
https://www.sciencealert.com/diving-archaeologists-uncover-an-ancient-temple-in-the-egyptian-atlantis
https://www.sciencealert.com/diving-archaeologists-uncover-an-ancient-temple-in-the-egyptian-atlantis
Penterjemah:
Alam Bahasa
Kota Heracleion di Mesir Purba pernah menjadi kawasan
perdagangan yang sibuk pada suatu masa dahulu. Kini, ia berada 45 meter ataupun
148 kaki di bawah Laut Mediterranean. Baru-baru ini, beberapa orang penyelam
telah mendedahkan penemuan terbaik sejak
kota yang tenggelam itu ditemui buat kali pertama pada dua dekad yang lalu.
Dalam ekspedisi ke bawah laut terkini yang dilakukan,
pakar-pakar dari Eropah dan Mesir telah menemui sisa-sisa tinggalan daripada
sebuah kuil bersaiz besar di bawah laut, berserta beberapa buah kapal yang
dipenuhi dengan harta-karun berupa syiling dan barang kemas.
Ahli-ahli arkeologi yang diketuai oleh Franck Goddio, yang
juga ditugaskan dalam pengembaraan bawah air di Heracleion yang pertama,
memperkirakan bahawa mereka telah menemukan tiang-tiang batu dari kuil utama
kota berkenaan (dikenali sebagai Amun Garp), di samping sejumlah tinggalan kuil
yang bersaiz lebih kecil.
Harta-harta yang tidak ternilai harganya itu menunjukkan
betapa hebatnya tapak yang masih memiliki rahsia-rahsia yang belum diteroka
sejak kali pertama ia ditemui bertahun-tahun yang lalu – memandangkan ia telah
terbenam di bawah lumpur dan mendakan yang padat selama ribuan tahun.
Penemuan sebegini berjaya dilakukan berikutan
peralatan-peralatan pengimbas yang canggih berupaya mengesan objek-objek yang
tersembunyi di dasar laut tanpa terjejas dengan mendapan.
Dengan menggabungkan semula data fizikal geografi daripada
satelit, gema bunyi dan meter resonans magnet nuklear serta sonar imbas-sisi,
para pengkaji berupaya meraih imbasan-imbasan menyeluruh sebegitu, hinggakan
pasukan berkenaan turut berjaya menemukan sekumpulan pelabuhan yang terletak
berdekatan Heracleion – suatu penemuan yang belum pernah diraih sebelum ini.
Berbekalkan maklumat ini, para penyelam arkeologi kemudian
menghampiri tinggalan tersebut untuk melihat dengan lebih dekat. Selain kuil,
mereka juga melaporkan penemuan syiling gangsa dari zaman pemerintahan Raja
Ptolemy II (283 hingga 246S), tembikar, barang kemas dan peti simpanan yang
terdapat dalam tinggalan beberapa buah kapal.
Para arkeologis juga menaikkan syiling-syiling dari zaman
Byzantine, di mana kelihatan seakan-akan kota tenggalam ini pernah dihuni
sekurang-kurangnya pada abad ke-4SM. Penemuan lain juga melibatkan bahagian
hilang pada sebuah kapal yang telah ditemukan dalam projek ekskavasi yang lalu.
Penemuan lanjut dilakukan di Canopus, iaitu sebuah lagi
kawasan kota tenggelam berhampiran. Usaha ini melibatkan penemuan seperti
syiling zaman Ptolemaic dan Byzantine, cincin dan anting-anting dari zaman
Ptolemaic.
![]() |
| Syiling dan barang kemas yang ditemukan |
Heracleion (juga dikenali sebagai Thonis) diperkirakan telah
dibina sejak abad ke-8SM di tebing Sungai Nil dan dinamakan bersempena wira
Hercules yang pernah melawatnya – atau begitulah menurut legenda. Kota itu kini
dikenali secara tidak rasmi sebagai ‘Antlantis Mesir’.
“Objek-objek yang ditemukan daripada kerja-kerja ekskavasi
ini menggambarkan keindahan dan kegemilangan kota berkenaan, kehebatan
kuil-kuil mereka yang besar dan kelimpahan bukti bersejarah,” terang sebuah
perincian projek di laman sesawang Goddio.
“Patung-patung besar (colossal), prasasti dan unsur-unsur
seni bina, serta barang kemas dan syiling, juga barang keagamaan dan seramik –
sebuah tamadun yang tiba-tiba hilang dari lipatan sejarah.”
Bagaimana kota ini tenggelam di laut masih kekal misteri
dalam kalangan ahli sejarah. Namun, andaian terbaik untuk merungkai teka-teki
ini adalah kenaikan paras laut, aktiviti gempa bumi dan runtuhan pada tapak
yang mengakibatkan seluruh kota menggelongsor jatuh ke dalam Laut
Mediterranean, sekurang-kurangnya pada 1000 tahun yang lalu.
Kini, pasukan arkeologis lautan dalam telah menyiapkan
penemuan-penemuan mereka itu untuk diterbitkan ke dalam jurnal saintifik. Agak
menarik untuk melihat perkembangan lanjut di Heracleion; Goddio menganggarkan
hanya sekitar 5% sahaja dari keseluruhan kota itu yang ditemui setakat ini.
- Get link
- X
- Other Apps

