- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (13 April 2019). Xerxes The Great: The Powerful Persian King Whose
Death Destroyed an Empire. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/xerxes-great-achaemenid-king-who-began-decline-empire-005567
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/xerxes-great-achaemenid-king-who-began-decline-empire-005567
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Xerxes I, juga dikenali
sebagai Xerxes Agung merupakan raja Achaemenid yang berkuasa pada abad ke-5SM.
Beliau masyhur kerana mengetuai serangan besar-besaran ke atas Yunani yang
dikenai menerusi beberapa buah pertempuran ulung seperti Thermopylae, Salamis
dan Plataea.
Dalam budaya popular,
Xerxes berkemungkinan meraih kemasyhuran sebagai antagonis utama dalam filem 300
arahan Frank Miller, sebuah filem yang diadaptasi daripada siri komik berjudul
sama. Dalam karya moden ini, Xerxes
digambarkan sebagai seorang yang despotic dan kolot. Jika dilihat dari suatu
sudut, sifat-sifat sebegini sememangnya berfungsi sebagai tanda yang membezakan
beliau dengan seterunya dari Yunani, iaitu raja Sparta yang menentangnya di
Thermopylae – bernama Leonidas.
Gambaran negatif yang
dibuat terhadap Xerxes (dan masyarakat Parsi secara umum) ini tidak hanya
terhad pada zaman moden. Sebaliknya, ia telah pun dilakukan sejak raja ini
masih hidup lagi. Sudah tentu, gambaran-gambaran sebegitu dibuat oleh
musuh-musuhnya dari Yunani.
SIAPAKAH XERXES AGUNG?
Xerxes Agung dilahirkan
pada tahun 519SM dan mangkat di Persepolis, Iran moden. Beliau adalah putera
kepada Atossa, si puteri raja Achaemenid (Cyrus Agung) bersama Raja Darius I.
Xerxes kemudiannya menjadi calon pewaris takhta yang mengenepikan kedudukan
abangnya berikutan jalur keturunannya memiliki perkaitan dengan Cyrus, suatu
hal yang tidak dimiliki oleh abangnya yang bukan putera kepada Atossa.
Xerxes mula memerintah
Empayar Achaemenid pada tahun 486SM dan berakhir pada 465SM. Pemerintahannya
paling dikenali menerusi kempen-kempen ketenteraan yang dilancarkan terhadap
Yunani, diwarnai oleh pertempuran-pertempuran besar seperti Thermopylae,
Salamis dan Plaetaea. Hal ini berkemungkinan menjadi sebab mengapa raja Parsi
ini sering dikritik hebat olah para penulis (terutama dari Yunani purba). Salah
satu kritikan terhebat yang diterima oleh Xerxes boleh ditemukan di dalam karya
Aeschylus yang berjudul ‘The Persians’.
XERXES DALAM ‘THE
PERSIANS’
Karya teater hasilan
Aeschylus yang berjudul ‘The Persians’ ini dipersembahkan buat kali
pertama pada tahun 472SM dan ia merupakan salah sebuah persembahan yang
memenangi anugerah dalam keraian Kota Dionysia di Athens pada tahun tersebut.
Dua karaker yang dikatakan meraih penampilan paling kerap adalah Atossa, ibu
kepada Xerxes dan hantu Darius, bapa kepada Xerxes. Walau bagaimanapun,
persembahan teater ini berkisar seputar ekspedisi ketenteraan Xerxes menentang
Yunani dan kekalahannya dalam Pertempuran Salamis. Tambahan lagi, Xerxes ada
membuat penampilan di bahagian akhir persembahan.
![]() |
| Patung kepala Atossa |
Dalam karya ini, Xerxes
digambarkan secara negatif. Salah satu ciri buruk yang ditunjukkan di dalam
persembahan teater ini adalah sikap megah diri. Misalnya, dalam perbualan di
antara Atossa dan hantu suaminya, Darius mengutarakan bahawa sifat bangga diri
yang berlebihan yang dimiliki oleh Xerxes mendorongnya untuk menganggap bahawa
dirinya berupaya memperhambakan sesiapa pun, termasuklah dewa.
“Sementara beliau
berharap / untuk membelenggu dan menguasai Hellespont yang suci / Bosforus yang
mengganas, umpama seorang hamba yang dirantai / … dan asyik dengan angan-angan
/ angkuh, yakin, manusia yang megah diri / (menganggap) bahawa kuasanya / boleh
lebih tinggi daripada para dewa, termasuklah kekuatan Dewa Neptune.”
Walau bagaimanapun,
megah diri merupakan satu ciri yang lazim dalam mitologi Yunani. Ramai karakter
Yunani seperti Oedipus dan Bellerophon turut dikatakan menghidap penyakit megah
diri. Salah satu ciri yang mungkin membezakan Xerxes dengan karakter-karakter
Yunani lain adalah sifatnya sebagai seorang yang berasal dari Timur.
Bagi masyarakat Yunani
purba, orang-orang dari Timur sering dilihat sebagai orang yang bertentangan
sifat dengan mereka. Misalnya dalam The Persians, Xerxes digambarkan
oleh Aeschylus sebagai seorang yang tidak mampu mengawal emosi. Dalam
kebanyakan masa, Xerxes dipamerkan sebagai seorang lelaki yang sering bersedih,
meratapi nasib malangnya dalam memerangi Yunani dan sering menuturkan ucapan
rintih seperti “oioi!”, “ieh, ieh!” dan “otototoi”.
![]() |
| Relif batu yang menggambarkan Xerxes pada makamnya di Naqsh-e Rustam |
BAGAIMANA HERODOTUS
MENGGAMBARKAN XERXES
Xerxes juga menerima
layanan yang buruk daripada Herodotus di dalam karyanya yang berjudul The
Histories, lebih-lebih lagi apabila beliau dibandingkan dengan raja-raja
Parsi lain yang ditampilkan dalam karya berkenaan, seperti Cyrus dan Darius I.
Walau bagaimanapun, Herodotus tidak meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada
Xerxes atas kekalahannya memerangi Yunani. Sebaliknya, pertanggungjawaban
tersebut digalaskan kepada Mardonius, iaitu salah seorang sepupu Xerxes
merangkap satu figura yang berpengaruh di dalam istana Parsi.
Menurut Herodotus,
Xerxes pada mulanya berasa berat hati untuk menyerang Yunani. Namun, beliau
dihasut oleh Mardonius yang mempunyai motif peribadi di sebalik kempen ini.
“Kini, Xerxes pada
mulanya berasa berat hati untuk berperang dengan Yunani… Beliau (Mardonius)
memperdebatkan hal ini kerana beliau mahu menghuru-harakan keadaan dan mahu
menjadi gabenor Yunani. Beliau kemudiannya berjaya mempengaruhi Xerxes supaya
menerima sudut pandangnya.”
PERMULAAN KEPADA
PENGKAHIRAN EMPAYAR
Walaupun kempen
ketenteraan yang dilancarkan ke atas Yunani menemui kegagalan besar, Xerxes
meraih kredit menerusi usahanya menundukkan sejumlah pemberontakan di Babylonia
dan Mesir sekaligus mengekalkan kekuasaan Empayar Achaemenid. Tambahan lagi,
Xerxes juga memelihara keadaan Jalan Diraja, iaitu sebuah jalan utama di zaman
purba yang direka dan dibina oleh bapanya – sebuah kemudahan yang dipuji oleh
Herodotus kerana ia membolehkan para pengembara melakukan perjalanan dengan
lebih pantas. Selain itu, Xerxes turut meneruskan sejumlah projek pertanian
yang tidak diselesaikan oleh Darius sepulangnya beliau dari Yunani.
Dua pembinaan masyhur
yang diusahakan oleh Xerxes adalah Gerbang Seluruh Negara (Gate of All
Nations) dan Dewan Seratus Tiang (Hall of a Hundred Columns). Namun,
akibat kegagalan ekspedisi ketenteraan terhadap Yunani, projek-projek ini
menjejaskan perbendaharaan empayar sekaligus menimpakan bebanan kepada rakyat
jelata Xerxes menerusi polisi percukaian yang tinggi.
Semasa berlaku kejadian
ribut yang membadai jambatan-jambatan di Hellespont, Xerxes memerintahkan
supaya air di situ dipukul sebanyak 300 kali dan rantai-rantai belenggu
dicampakkan ke dalamnya sebagai simbol perairan di situ dihambakan oleh Xerxes.
![]() |
| Ilustrasi tahun 1909 yang menggambarkan Xerxes menghadiri upacara memukul dan ‘membelenggu’ Hellespont |
Walau bagaimanapun,
Xerxes kelihatan seperti buta terhadap sebarang masalah yang dihadapinya, atau
kalaupun beliau menyedarinya, Xerxes tidak berbuat apa-apa berkenaan masalah
tersebut. Beliau terus berbuat sesuka hati dan makanya, zaman pemerintahannya
disebutkan sebagai permulaan kepada kejatuhan Empayar Achaemenid.
Xerxes pada akhirnya
dibunuh oleh salah seorang menterinya sendiri, bernama Artabanus yang berniat
untuk menduduki kerusi takhta Parsi. Namun, rancangannya itu gagal memandangkan
beliau kemudiannya dibunuh oleh salah seorang putera Xerxes, bernama Artaxerxes
yang ditabalkan sebagai raja Achaemenid yang seterusnya.
SUMBER
- Aeschylus, The Persians [Potter, R., (trans.), 1833. Aeschylus’ The Persians .]
- Gill, N. S., 2014. Xerxes the Great.
- Huot, J.-L., 2016. Xerxes (Reigned 486- 465 B.C.).
- Lendering, J., 2015. Xerxes I.
- Mastin, L., 2009. Ancient Greece - Aeschylus - The Persians.
- Herodotus, The Histories [Waterfield, R. (trans.), 1998. Herodotus’ The Histories . Oxford: Oxford University Press.]
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Xerxes I: Raja Kejam Dalam Filem 300’
- Get link
- X
- Other Apps



