- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Tara Maclsaac. (7 Februari 2015). 6 Advanced Ancient Inventions Beyond Modern
Understanding. Ancient Origins
https://www.ancient-origins.net/artifacts-ancient-technology/6-advanced-ancient-inventions-beyond-modern-understanding-002652
https://www.ancient-origins.net/artifacts-ancient-technology/6-advanced-ancient-inventions-beyond-modern-understanding-002652
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Rahsia untuk
menghasilkan beberapa ciptaan yang paling berguna dalam lipatan sejarah telah
pun hilang dari genggaman kita. Dalam pada kebijaksaan dan kepintaran yang kita
miliki pada hari ini, nenek-moyang kita pada ribuan tahun yang lampau masih
mampu membingungkan kita dengan kebijaksanaan dan penciptaan mereka. Walaupun
kita berhasil membangunkan versi moden bagi sebahagian ciptaan tersebut, ianya
hanya berlaku pada tahun-tahun kebelakangan ini.
API YUNANI – SENJATA KIMIA
MISTERI
![]() |
| Ilustrasi meunjukkan Api Yunani digunakan bagi menentang armada Thomas si Slav.Kapsyen di atas kapal sebelah kiri berbunyi, “armada Rom membakar armada musuh” |
Byzantine pada abad
ke-7 hingga abad ke-12 Masehi melemparkan suatu bahan misteri kepada
musuh-musuh mereka semasa menghadapi pertempuran laut. Cecair ini ditembak
menerusi tyiub atau sifon, lalu membakar kapal-kapal yang berada di atas laut
dan hanya dapat dipadam dengan menggunakan cuka, pasir dan air kencing.
Kita masih tidak tahu
bahan apakah yang digunakan untuk membuat senjata kimia yang dikenali sebagai
Api Yunani ini. Byzantine menjaga rahsia tersebut dengan begitu ketat,
memastikan hanya sebilangan yang terpilih sahaja mengetahui rahsia itu.
Kemudian, pengetahuan tersebut hilang secara keseluruhan.
KACA FLEKSIBEL – BAHAN YANG
SANGAT BERHARGA
Tiga catatan purba
berkenaan ciptaan yang dikenali sebagai vitrum flexile, atau kaca
fleksibel tidak cukup jelas untuk meraih kepastian sama ada ciptaan tersebut
benar-benar wujud ataupun tidak. Kisah berkenaan ciptaan ini kali pertama
diceritakan oleh Petronius (mati 63 Masehi).
Di dalam tulisannya,
dicatatkan bahawa terdapat seorang tukang kaca yang menghadiahkan sebuah bekas
kaca kepada Maharaja Tiberius (memerintah 14-37M). Beliau kemudiannya meminta
maharaja itu agar memberikan semula bekas tersebut kepadanya. Lantas, si tukang
kaca itu melempar bekas kaca itu ke lantai, namun ianya tidak pecah berkecai
sebaliknya hanya sekadar kemek. Kemudian, tukang kaca itu pun menukul bekas
kaca itu sehingga menjadi bentuk asal semula. Oleh kerana khuatir akan berlaku
penurunan nilai bagi bekas kaca yang amat berharga itu, Tiberius menitahkan
agar si tukang kaca itu dipancung supaya rahsia penciptaan vitrum flexile dikuburkan
bersamanya.
Kisah ini turut
diceritakan oleh Pliny the Elder (mati 79M). Menurutnya, walaupun kisah ini
sering diceritakan, ianya berkemungkinan tidak memiliki kebenaran secara
keseluruhan.
Satu versi penceritaan
yang disampaikan beberapa ratus tahun kemudian oleh Dio Cassius pula mengubah
imej tukang kaca itu seolah-olah menjadi ahli magis. Menurutnya, selepas bekas
kaca itu pecah berderai setelah dilempar ke lantai, si tukang kaca itu
membaikinya dengan tangan kosong.
Pada tahun 2012, kilang
pembuat kaca bernama Corning memperkenalkan “Kaca Kapuk” yang fileksibel.
SIfatnya yang kalis haba dan cukup fleksibel untuk digulung terbukti sangat
berguna untuk tujuan pembuatan panel solar.
Jika tukang kaca Rom
tersebut benar-benar telah mencipta vitrum flexile, maka beliau
sesungguhnya telah melangkaui ribuan tahun ke hadapan di zamannya.
ANTIDOT BAGI SEMUA
RACUN
Suatu bahan yang
dianggap sebagai ‘antidot sejagat’ yang berfungsi bagi kesemua jenis racun
dikatakan telah dicipta oleh Raja Mithridates VI dari Pontus (memerintah
120-63SM) dan disempurnakan oleh tabib peribadi Maharaja Nero. Formula asal
penghasilan antidot ini telah pun hilang, ujar Adrienne Mayor, seorang ahli
hikayat dan sejarahwan sains di Universiti Standord dalam sebuah jurnal tahun
2008 yang berjudul “Greek Fire, Poison Arrows & Scorpion Bombs: Biological
and Chemical Warfare in the Ancient World”. Namun begitu, para sejarahwan di
zaman purba memaklumkan kepada kita bahawa antara bahan bagi mencipta antidot
berkenaan adalah candu, bahagian badan ular kapak yang telah dikerat, serta
kombinasi dos kecil antara racun dan antidot haiwan berkenaan.
![]() |
| Gambaran Mithridates VI dari Pontus |
Antidot yang amat
berharga ini dikenali sebagai Mithridatium, bersempena nama Raja Mithridates
VI.
Mayor turut mencatatkan
bahawa Serguei Popov, iaitu seorang bekas penyelidik senjata biologi tinggi
dalam program Bipreparat kelolaan Soviet Union yang kemudiannya berpaling tadah
kepada Amerika Syarikat pada tahun 1992, pernah melakukan percubaan untuk
menghasilkan Mithridatium moden.
SENJATA SINARAN HABA
Ahli matematik Yunani
bernama Archimedes (mati 212SM) pernah mencipta sejenis senjata sinaran-haba.
Mayor merincikan senjata tersebut sebagai “perisai-perisai gangsa yang telah
digilap, yang disusun dalam barisan, yang berupaya memantulkan sinaran matahari
kepada kapal-kapal musuh.”
![]() |
| Gambaran bagaimana Archimedes membakar kapal-kapal Rom di hadapan Syracuse dengan bantuan cermin parabola |
Walaupun “Mythbusters”
dari Discovery Channel gagal menghasilkan semula senjata purba ini lalu
mengisytiharkannya sebagai mitos, cubaan para pelajar MIT meraih kejayaan pada
tahun 2005. Mereka berhasil membakar sebuah perahu di pelabuhan San Francisco
dengan menggunakan replika senjata berusia 2200 tahun itu.
Pada tahun 2001,
sejenis senjata sinaran-haba diperkenalkan oleh Defense Advanced Research
Projects Agency (DARPA) menggunakan gelombang mikro untuk menembusi “kulit
mangsa, lalu menghangatkannya sehingga mencecah 130 darjah Fahrenheit, suhu
yang cukup untuk membuatkannya terasa seolah-olah sedang dibakar,” jelas Mayor.
KONKRIT ROM
![]() |
| Konkrit Rom digunakan untuk menghasilkan pantheon besar, yang bertahan sehingga dua milenia |
Binaan-binaan besar Rom
yang tersergam selama ribuan tahun adalah testimoni kepada kelebihan yang
dimiliki oleh konkrit Rom berbanding konkrit yang digunakan oleh kita pada hari
ini yang mana konkrit pada hari ini akan memperlihatkan penurunan kualiti
setelah 50 tahun.
Para penyelidik pada
tahun-tahun kebelakangan ini berusaha untuk mengenal pasti rahsia di sebalik
ketahanan konkrit dari zaman purba itu. Dipercayai bahawa bahan rahsianya
adalah abu gunung berapi.
Sebuah artikel yang
disiarkan pada tahun 2013 oleh University of California-Berkeley News Center
mengumumkan bahawa para penyelidik universiti buat kali pertamanya menjelaskan
tentang bagaimana campuran stabil antara kalsium-aluminium-silikat-hidrat
(C-A-S-H) dengan luar biasanya mengikat kesemua bahan konkrit Rom. Proses
penciptaan konkrit ini dikatakan berupaya mengurangkan pelepasan karbon
dioksida jika dibandingkan dengan proses yang diguna pakai pada hari ini.
Namun, antara kekurangan proses ini adalah ianya mengambil masa yang lebih lama
untuk konkrit tersebut kering. Tambahan lagi, walaupun ianya mampu bertahan
dengan lebih lama, konkrit ini lebih lemah jika dibandingkan dengan konkrit
moden.
BESI DAMSYIK
![]() |
| Sebilah pedang yang diperbuat daripada besi Damsyik |
Pada zaman pertengahan,
pedang-pedang yang diperbuat daripada sejenis bahan dipanggil sebagai besi
Damsyik dihasilkan di Timur Tiengah dari bahan mentah yang dikenali sebagai
besi Wootz dari Asia. Bahan ini tersangatlah kuat. Hanya ketika berlakunya
Revolusi Industri, bahan ini tidak dapat dihasilkan lagi.
Rahsia pembuatan besi
Damsyik dari Timur Tengah muncul semula menerusi penelitian mikroskop pengimbas
elektron yang dijalankan di makmal-makmal moden. Besi ini kali pertama
digunakan sekitar tahun 300SM dan ilmu menghasilkan pedang Damsyik hilang
sekitar pertengahan kurun ke-18.
Dipercayai bahawa
nanoteknologi turut digunakan dalam penghasilan besi Damsyik, di mana
bahan-bahan tersebut ditambah semasa penghasilan besi demi menghadirkan tindak
balas kimia pada peringkat kuantum, jelas pakar arkeologi yang bernama K. Krist
Hirst dalam sebuah artikel yang ditulis untuk About Education.
Hirst memetik sebuah
kajian yang diketuai oleh Peter Paufler di Universiti Dresden, disiarkan di
dalam jurnal Nature pada tahun 2006. Paufler dan pasukannya berpendapat bahawa
bahan-bahan semula jadi bagi penghasilan besi Wootz dari Asia apabila
digabungkan dengan bahan-bahan tambahan yang dimasukkan semasa proses
penghasilan besi Damsyik di Timur Tengah berupaya menghasilkan satu tindak
balas yang dirincikan oleh Hirst sebagai “logam membangunkan sebuah struktur
mikro yang dipanggil ‘carbide nanotube’, sejenis tiub karbon yang sangat keras
yang muncul pada permukaan besi dan menghasilkan bilah yang ampuh.”
Antara bahan yang ditambah
semasa penghasilan besi Damsyik adalah kulit pokok Cassia auriculata,
pokok lembiaga, vanadium, kromium, batu kawi, kobalt, nikel dan
beberapa elemen jarang lain yang diyakini datang dari lombong-lombong di India.
Hirst menulis lagi, “Apa
yang berlaku pada pertengahan kurun ke-18 (sehingga penghasilan besi Damsyik
terhenti) adalah pembentukan kimia bagi bahan mentahnya berubah – kuantiti sau
atau lebih mineral hilang, berkemungkinan kerana telerang menjadi haus.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘6 Ciptaan Maju Zaman Silam Yang Mengatasi Pemahaman Moden’
- Get link
- X
- Other Apps






