- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (26 November 2015). Al-Zahrawi: The Legacy of the Father of Modern
Surgery. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/artifacts-ancient-writings/al-zahrawi-legacy-father-modern-surgery-004693
https://www.ancient-origins.net/artifacts-ancient-writings/al-zahrawi-legacy-father-modern-surgery-004693
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Rentang waktu dari
kurun ke-8 hingga kurun ke-13 Masehi secara umum dirujuk sebagai Zaman Keemasan
Islam. Pada era ini, dunia Islam melahirkan begitu ramai ilmuwan yang memberi
sumbangan besar kepada pelbagai cabang keilmuan manusia, termasuklah falsafah,
matematik dan astronomi. Ahli-ahli intelek Islam pada zaman ini menghasilkan
banyak sumbangan kepada sejarah perubatan, antaranya seperti ‘Ali ibn al-‘Abbas
al-Majusi (nama Latinnya Haly Abbas), Muhammad ibn Zakariya Razi (nama Latinnya
Rhazes atau Rasis), dan Abu al-Qasim Khalaf ibn al-‘Abbas az-Zahrawi (masyhur
sebagai Al-Zahrawi, atau nama Latinnya iaitu Abulcasis).
KEHIDUPAN AL-ZAHRAWI
Al-Zahrawi dilahirkan
pada tahun 936M di El-Zahra, berhampiran Cordoba, Andalusia, selatan Sepanyol.
Beliau lahir pada zaman kegemilangan Kekhalifahan Umayyah di Cordoba, yang
menguasai rantau berkenaan. Malangnya, tidak banyak yang diketahui tentang
hidup Al-Zahrawi. Dikatakan bahawa Al-Zahrawi menerima naungan diraja dan
diperakui sebagai genius perubatan. Oleh kerana itu, selama 50 tahun, beliau
berkhidmat sebagai tabib diraja kepada khalifah Cordoba kedua, iaitu Al-Hakam
II, dan Al-Mansur, pemerintah de facto Muslim Sepanyol selepas
kemangkatan al-Hakam.
![]() |
| Al-Zahrawi, ‘bapa pembedahan moden’ |
Apapun, dikatakan
bahawa Al-Zahrawi sering bertegas mahu merawat pesakit tanpa mengambil kira
status kewangan mereka. Hal ini membolehkan Al-Zahrawi berjumpa dengan pelbagai
jenis dan ragam pesakit pada setiap hari, sekaligus merekodkan rawatan yang
diberikannya kepada mereka. Dengan melakukan sedemikian, tabib diraja itu berupaya
meninggalkan kitab perubatan berharga yang dikenali sebagai Al-Tasrif li man
ajz an-il-talif (Bantuan Bagi Yang Tidak Berkemampuan Membaca Kitab-Kitab
Besar), atau ringkasnya, Al-Tasrif.
AL-TASRIF:
ENSIKLOPEDIA PERUBATAN
Al-Tasrif
boleh dianggap sebagai hasil karya yang sangat penting dalam sejarah perubatan,
memandangkan ia menjadi rujukan piawaian dalam perubatan Islam dan Eropah
selama lebih dari separuh abad. Ensiklopedia perubatan ini disiapkan sepenuhnya
sekitar tahun 1000M, dan dibahagikan kepada 30 jilid. Setiap jilid meliputi
pelbagai aspek perubatan dan perincian tentang lebih 300 jenis penyakit serta
rawatannya.
![]() |
| Ilustrasi alat pembedahan Muslim di zaman pertengahan yang diambil daripada Kitab al-Tasrif karangan Al-Zahrawi |
Lebih daripada itu,
aspek-aspek perubatan lain turut dibincangkan di dalam Al-Tasrif.
Misalnya pada salah sebuah jilid awal, Al-Zahrawi menulis tentang kaedah
mendiagnosis penyakit dan menyatakan bahawa doktor yang bagus seharusnya kerap
bergantung pada pemerhatian sendiri terhadap pesakit dan simptom-simptom
penyakitnya – tidak hanya sekadar mendengar dan mengiyakan apa sahaja yang
diadukan oleh pesakit.
Al-Zahrawi juga menulis
tentang hubungan antara kesihatan dan pemakanan. Sebahagian daripada Al-Tasrif
dikhususkan untuk memperbahaskan tentang makanan apakah yang perlu dielakkan
oleh seseorang, pengekalan diet yang sihat, dan pemakanan sebagai rawatan.
![]() |
| Halaman judul dari terjemahan pertama Al-Tasrif dalam bahasa Latin, yang berjudul Liber theoricae nec non practicae Alsaharavii (Buku teori dan praktikal oleh Al-Zahrawi. 1599) |
AL-TASRIF:
DEDIKASI BUAT PEMBEDAHAN MODEN
Bahagian dalam Al-Tasrif
yang dianggap oleh ramai ilmuwan sebagai paling berpengaruh adalah jilid ke-30.
Jilid ini khusus membincangkan tentang pembedahan, dan disebabkan oleh bahagian
inilah Al-Zahrawi digelari sebagai ‘Bapa Pembedahan Moden’. Di samping
perkara-perkara lain, jilid ini mengandungi penjelasan-penjelasan terperinci
tentang prosedur beberapa pembedahan tertentu, sekitar 200 penerangan dan
ilustrasi alat pembedahan (gambar-gambar ini dikatakan yang terawal dalam
sejarah), serta sejumlah inovasi yang digunakan secara meluas di bilik bedah.
![]() |
| Operasi pembedahan di zaman pertengahan, dalam karya tabib-tabib Arab |
Misalnya, Al-Zahrawi
dikatakan merupakan pembedah pertama yang menggunakan usus kucing sebagai
benang untuk jahitan dalaman. Bahan ini diperbuat daripada lapisan usus haiwan,
dan untuk tempoh masa yang lama, ia adalah satu-satunya bahan yang boleh
digunakan untuk menjahit dan masih boleh diserap (diurai) oleh tubuh manusia.
Penggunaan usus kucing
bagi tujuan ini memaksudkan bahawa tiada keperluan untuk melakukan pembedahan
kedua bagi membuang benang dari jahitan dalaman itu. Antara inovasi lain yang dikatakan
telah digunakan buat pertama kali oleh Al-Zahrawi dan kemudian menjadi amalan
piawai dalam bidang pembedahan adalah penggunaan dakwat untuk menandakan
bahagian tubuh pesakit yang hendak dibedah.
![]() |
| Halaman dari terjemahan Latin tahun 1531 oleh Peter Argelatta terhadap kitab Al-Zahrawi berkenaan alat perubatan dan pembedahan |
Secara ringkas,
Al-Zahrawi menghasilkan banyak sumbangan penting buat bidang perubatan,
terutama pembedahan. Sebahagian inovasi yang dirintis oleh Al-Zahrawi masih
digunakan sehingga ke hari ini, atau paling tidak, digunakan buat tempoh masa
yang cukup lama. Hal ini membuktikan legasi berpanjangan Al-Zahrawi, walaupun
mungkin tidak ramai daripada kita yang menyedari hakikat tersebut.
SUMBER
- Al-Ghazal, S. K. 2015. Al-Zahrawi (Abulcasis) – A light in the dark middle ages in Europe.
- Alkhateeb, F. 2012. Al-Zahrawi – The Pioneer of Modern Surgery.
- Elgohary, M. A. 2006. Al-Zahrawi: The Father of Modern Surgery.
- Marvin, C. 2000. Abulcasis.
- Muslim Heritage. 2014. The Millennium Anniversary of Al-Zahrawi.
- Shaikh, I. 2015. Abu al-Qasim Al-Zahrawi the Great Surgeon.
- U.S. National Library of Medicine. 2011. The Great Systematizers.
- Science Museum. 2015. Abu al-Qasim Khalaf ibn al-Abbas Al-Zahrawi, known as Abulcasis.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Al-Zahrawi: Pakar Bedah Terkenal Dunia Islam’
- Get link
- X
- Other Apps





