- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (21 April 2015). The Origins of Voodoo, the Misunderstood Religion.
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/origins-voodoo-misunderstood-religion-002933
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/origins-voodoo-misunderstood-religion-002933
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Pada tahun 64 Masehi,
sebuah kebakaran dahsyat berlaku di kota Rome selama enam hari penuh. Kebakaran
ini membumihanguskan hampir seluruh kota. Menurut Tacitus, “Nero meletakkan
kesalahan dan menimpakan hukuman paling berat kepada sebuah kelas masyarakat yang
dibenci kerana kekejian mereka, dipanggil sebagai penganut Kristian oleh orang
ramai.” ‘Kekejian’ yang kononnya dilakukan oleh mereka ini berbentuk
kanibalisme dan sumbang mahram, dan anggapan ini berdasarkan daripada khabar
angin yang tersebar di Rome pada masa itu. Khabar angin ini berakar daripada
salah faham terhadap tradisi Eucharist.
Episod dalam sejarah
Gereja Awal ini menunjukkan bagaimana dengan mudahnya sesebuah kepercayaan itu,
terutama yang berkait dengan hal-hal yang bersifat rahsia (tidak diketahui
umum) boleh disalaherti. Kes yang sama dapat dilihat pada kepercayaan yang
dikenali sebagai Voodoo (juga dikenali dengan Vodou atau Voudon). Bagi
kebanyakan orang, perkataan ‘voodoo’ bakal menggamit imej patung-patung magis
yang dicucuk dengan jarung dengan tujuan menimpakan kesakitan atau kesengsaraan
pada musuh, ataupun menghidupkan orang yang telah mati. Imej-imej sebegini
terhasil akibat salah faham terhadap Voodoo yang dilakukan oleh budaya pop.
Gambaran terhadap Voodoo sebagaimana yang difahami oleh masyarakat umum ini
tidak bertepatan dengan apa yang diamalkan oleh para penganutnya.
![]() |
| Kebanyakan masyarakat mengaitkan Voodoo dengan patung yang dipenuhi dengan cucukan jarum, direka untuk menimpakan derita pada orang lain |
Voudon merujuk kepada “gabungan
elemen-elemen yang agak menyeluruh sehingga membentuk sebuah kebudayaan:
pegangan dan amalan individu, sistem perubatan tradisional yang terperinci,
sistem etika yang diwarisi generasi demi generasi, termasuklah peribahasa,
kisah rakyat, lagu dan juga legenda. Voudon lebih dari sekadar kepercayaan. Ia
adalah satu jalan hidup.” Begitulah apa yang ditulis oleh Leslie Desmangles,
seorang profesor Haiti dari Kolej Trinity Hartford dalam karyanya yang berjudul
The Encyclopedia of the Paranormal (Prometheus Books, 1996).
“Voudon mengajarkan
kepercayaan terhadap kemenjadian ulung yang dipanggil sebagai Bondve, iaitu
dewata pencipta yang tidak dapat dikenali dan juga tidak bersifat sama dengan
apapun jua,” jelas Live Science. “Para penganut Voudon memuja sejumlah semangat
(dipanggil sebagai loa atau lwa). Setiap satunya bertanggungjawab
terhadap sebuah lapangan mahupun bahagian hidup.
Misalnya, jika anda
seorang petani, maka anda mungkin akan memuja dan memberi sembah korban kepada
semangat pertanian. Jika anda menanggung derita cinta yang tidak berbalas, anda
akan memuja dan memberi sembah korban kepada Erzulie Freda, semangat cinta.
Begitulah selanjutnya. Selain membantu (atau menghalangi) urusan manusia, loa
juga berupaya memunculkan diri dengan merasuk tubuh para pemujanya. Para
penganut voudon juga percaya terhadap tenaga sejagat (universal) di
samping hakikat bahawa jiwa boleh meninggalkan tubuh semasa bermimpi mahupun
terkena rasukan.”
![]() |
| Kelengkapan Voodoo |
Walaupun sejarah
asal-usul sebenar Voodoo tidak diketahui, ilmuwan bersepakat secara umum bahawa
kepercayaan ini berakar dari Afrika Barat. Benin moden dianggap sebagai tempat
lahirnya kepercayaan ini. Nama voodoo sendiri bermaksud ‘semangat’ dalam
bahasa tempatan. Ada juga yang berpendapat bahawa voodoo di Afrika Barat
berkembang daripada tradisi-tradisi purba yang memuja nenek-moyang dan
mengamalkan animisme. Namun, bentuk-bentuk voodoo yang diamalkan pada
hari ini adalah kesan daripada salah satu episod yang paling tidak
berperikemanusiaan dalam sejarah manusia – iaitu pemerdagangan hamba-hamba
Afrika yang berlaku pada abad ke-16 hingga abad ke-19.
![]() |
| Zangbeto, pelindung voodoo di bawah kepercayaan Yoruba. Zangbeto berfungsi sebagai polis di wilayah terpencil Benin |
Semasa hamba-hamba Afrika
dibawa ke Amerika untuk melakukan kerja-kerja di sektor perladangan, mereka
turut membawa bersama kepercayaan Voodoo. Walau bagaimanapun,
majikan-majikan berkulit putih mereka mempunyai agendatersendiri terhadap
kepercayaan hamba-hamba mereka itu. Antaranya adalah undang-undang yang digubal
pada tahun 1685 yang mengharamkan pengamalan kepercayaan dari Afrika.
Undang-undang ini malah menuntut kesemua majikan agar mengkristiankan
hamba-hamba mereka dalam masa lapan hari selepas ketibaan mereka di Haiti.
Walaupun hamba-hamba tersebut menerima agama Rom-Katolik, mereka sama sekali
tidak meninggalkan kepercayaan tradisi yang dipegang sejak sekian lama.
Sebaliknya, kepercayaan lama dan baharu yang dianuti mereka ini
dicampuradukkan, sekaligus menghasilkan sebuah kesan yang tersendiri.
Kebanyakan paderi
Katolik dirujuk oleh mereka sebagai lwa (roh semangat/dewa) dalam
tradisi kepercayaan Vodoo. Paling tidak pun, mereka memegang maksud yang
bercabang bagi pengamal-pengamal kepercayaan Voodoo. Misalnya dalam kepercayaan
Voodoo yang diamalkan oleh masyarakat Afrika di Haiti, St. Peter dianggap
sebagai Papa Legba, iaitu penjaga gerbang dunia semangat (dunia kematian)
manakala St. Patrick pula dikaitkan dengan Dumballa, ular lwa dalam
kepercayaan Voodoo.
Walaupun hamba-hamba
Afrika dibawa ke Haiti dan New Orleans pada masa yang hampir sama, iaitu
1720an, perkembangan amalan Voodoo di kedua tempat tersebut agak berbeza. Di
Haiti, Vodoo menjadi suatu faktor yang memberikan kekuatan sekaligus
mengekalkan kelangsungan hidup para hamba Afrika dalam menghadapi kesusahan dan
penderitaan. Dalam rentang waktu antara tahun 1791 hingga 1804, sebuah siri
pemberontakan oleh golongan hamba yang diinspirasikan daripada kepercayaan
Voodo memuncak kepada pengusiran orang-orang Perancis dari Haiti.
Kolonis-kolonis yang
terselamat pula melarikan diri ke New Orleans. Sebahagian daripada mereka
ditemani oleh hamba-hamba Afrika yang fasih berbahasa Perancis dan masih
berpegang kepada kepercayaan Voodoo. Melalui kehadiran mereka inilah Voodoo
mula berkembang di New Orleans. Walaupun Voodoo diamalkan di New Orleans
sebelum tahun 1791 lagi, keadaannya tidaklah sekuat penganut di Haiti. Mereka
ditekan dengan dahsyat setiap kali cuba untuk menonjol. Hanya pada kurun ke-18,
barulah Voodoo di New Orleans diseragamkan oleh Marie Laveau.
![]() |
| Potret Marie Laveau |
Semenjak itu,
kepercayaan Voodoo tersebar ke negara-negara Afrika yang lain, Caribbean, serta
Erikaka Utara dan Selatan. Di Benin dan Haiti, Voodoo secara rasmi diperakui
sebagai sebuah agama. Walau apapun, Voodoo masih lagi merupakan sebuah agama
yang disalaherti berikutan gambaran tidak tepat yang disebarkan oleh media.
Berbanding mengaitkan agama ini dengan zombie mahupun patung sihir Voodoo, kita
mungkin seharusnya mengambil masa untuk mengenalinya dengan lebih lanjut. Hal
ini kerana Voodoo merupakan sebuah cara hidup yang boleh dikatakan agak lengkap
dalam membimbing para penganutnya.
SUMBER
- Brandstotte, B. S. 2015. Voodoo in New Orleans.
- Corbett, B. 1988. Introduction to Voodoo in Haiti.
- Haas, S. A. 2011. What is Voodoo? Understanding a Misunderstood Religion.
- Handwerk, B. 2002. Voodoo a Legitimate Religion, Anthropologist Says.
- Redford, B. 2013. Voodoo: Facts About Misunderstood Religion.
- Tacitus, The Annals. [Church, A. J. and Brodribb W. J. (trans.) 1888. Tacitus’ The Annals]
- NewOrleansOnline. 2015. New Orleans Voodoo’s African Origins.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Asal-Usul Voodoo, Agama Yang Disalaherti’
- Get link
- X
- Other Apps




