- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Bryan Hill. (4 Mei 2015). Caractacus: The Powerful Celtic King Who Defied Rome.
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/caractacus-powerful-celtic-king-who-defied-rome-003006
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/caractacus-powerful-celtic-king-who-defied-rome-003006
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Caractacus merupakan
seorang raja dan pemimpin suku Britons purba pada Zaman Besi. Beliau juga
merupakan ketua kaum Catuvellaunui, salah satu suku British yang berkuasa.
Caractacus adalah putera kepada raja Celtic yang bernama Cunobeline dan memerintah
Briton dari tahun 43-50 Masehi. Caractacus dikaitkan dengan perluasan wilayah
sukunya berikutan kejayaan beliau dalam menangkis serangan Rom ke atas Britain.
Semasa Rom melancarkan serangan pada musim panas tahun 43M, mereka cuba
menyerap wilayah tersebut menjadi sebahagian dari Empayar Rom. Di kala
suku-suku British lain seperti Dobunni tunduk dan menyerah kepada Rom,
Caractacus berjuang dengan penuh bersungguh-sungguh demi memelihara kemerdekaan
sukunya.
Semasa Maharaja
Claudius menggempur Britain, berlaku peralihan tampuk kuasa dan penjajahan
selama lebih 350 tahun. Empat buah legion (istilah khusus untuk merujuk
batalion tentera Rom) dengan disokong oleh tentera-tentera rakyat membentuk
bala tentera Rom berjumlah lebih dari 40 000 orang. Walaupun bilangan ini
menggambarkan kekuatan pasukan tentera yang dimiliki oleh Empayar Rom, ia tidak
menghalang suku-suku asli di Britain untuk memberikan tentangan yang hebat.
Tanah yang kini
membentuk Britain tidak berjaya ditakluk sepenuhnya oleh Rom selama hampir 40
tahun sejak serangan dilancarkan. Bahkan setelah tempoh itu, Rom tidak pernah
berjaya menakluk dan menundukkan penduduk wilayah itu secara menyeluruh. Dari
semasa ke semasa, pihak Rom sentiasa perlu meletakkan pasukan tentera yang
besar untuk mengawal pertahanan wilayah yang telah mereka takluk itu agar tidak
jatuh ke tangan puak-puak asli yang kebanyakannya masih merdeka dari naungan
Rom. Walau bagaimanapun, tuah Caractacus dan para pengikutnya tidak berpanjangan.
![]() |
| Caractacus, raja Britons |
Setelah memberikan
penentangan yang cukup hebat terhadap kepenguasaan Rom, Caractacus ditewaskan
dalam Pertempuran Medway. Namun, beliau berjaya meloloskan diri dan bertahan
selama 7 tahun di Pergunungan Welsh di mana daripada sana, beliau melancarkan
perang gerila ke atas Rom. Coroctacus pada akhirnya ditewaskan dalam
Pertempuran Caer Caradoc di Wales di tangan gabenor Rom yang bernama Ostorious
Scapula pada tahun 51M. Pun begitu, nyawanya masih lagi panjang. Beliau
melarikan diri ke utara dan berlindung bersama sebuah suku yang dikenali
sebagai Brigantes.
Tanpa pengetahuan
Caractacus, ratu suku Brigantes iaitu Ratu Cartimandua secara rahsia
menjalinkan hubungan dengan Empayar Rom dan bersetuju untuk menyerahkan
Caractacus dalam keadaan terbelenggu sebagai hadiah perang (suku Brigantes
kemudiannya memberontak menentang Cartimandua). Bagi bangsa Britons, kekalahan
dan penangkapan Caractacus menandakan berakhirnya kepemimpinan ratusan tahun
bangsawan Catevallaunan ke atas mereka. Dengan penangkapan Caractacus, kebanyakan
wilayah di selatan Britain bermula dari Humber hingga ke Severn berhasil
dikuasai Rom sepanjang tahun 50an Masehi.
![]() |
| Cartimandua menyerahkan Caractacus kepada Rom |
The Annals,
karangan sejarahwan Rom yang bernama Tacticus menceritakan apa yang berlaku
sesudah penangkapan Caractacus. Beliau menulis bahawa sebuah perarakan diadakan
dan pejuang kemerdekaan Briton bersama isteri dan anaknya dipertontonkan di
khalayak ramai di kota Rom saat mereka bakal dijatuhkan hukuman mati.
“Masing-masing berasa teruja untuk melihat lelaki yang telah bertahun-tahun
lamanya menentang kekuaaan empayar mereka,” tulis Tacticus. Caractacus menjadi
nama yang begitu masyhur di kota Rome dan khabar angin pun segera tersebar
bahawa masalah penentangan di wilayah Britain akhirnya tamat, walaupun pada
hakikatnya keadaan tersebut sama sekali tidak menjadi kenyataan.
Pada saat-saat akhir,
Maharaja Claudius mengambil keputusan untuk membenarkan Caractacus membuat
rayuan terhadap Rom agar membelas-kasihani nyawanya. Sejarahwan Rom bernama
Cassius Dio mencatatkan bahawa semasa dibawa ke penghadapan senat, Caractacus
diarahkan untuk memberikan satu sebab mengapa beliau tidak seharusnya dihukum.
Caractacus menjawab,
“Andai kesederhanaanku dalam kemakmuran setara dengan status kebangsawan dan
hartaku, (pasti) aku akan memasuki kota ini sebagai rakan kalian berbanding
sebagai tawanan kalian; dan kalian pasti tidak akan berasa malu untuk menerima
persahabatan (menerusi perjanjian damai) seorang raja yang berketurunan mulai
dan memiliki wilayah pemerintahan yang luas.
Kehadiranku di sini
adalah suatu kemegahan buat kalian dan bagiku, ianya suatu perendahan. Aku
miliki rakyat dan kuda, senjata dan harta. Tidak hairan andai aku berasa berat
hati untuk tinggalkan mereka. Jika kalian Rom memilih untuk menguasai
(menjajah) mereka, adakah itu bermaksud kalian sedang mencorak dunia ini
menjadi sebuah tempat perhambaan? Andai aku dikurung sebagai banduan dan
dijatuhi hukuman, ketumbangan aku itu atau kejayaan kalian itu sama sekali
tidak akan meraih kemasyhuran. Hukumanku itu hanya akan dilupakan setelah
beberapa tempoh. Sementara andai kalian membelas-kasihani nyawaku sekarang, maka
aku akan menjadi memori berpanjangan yang memanifestasikan sifat pengampun
kalian.”
![]() |
| Caractacus semasa dalam tribunal di Rome |
Tidak dapat diketahui
adakah ucapan yang dituturkan oleh Caracticus itu sefasih yang digambarkan oleh
Tacticus di dalam tulisannya ataupun tidak. Terdapat persoalan yang berbangkit
daripada peristiwa ini, iaitu bahasa apakah yang dituturkan oleh Caractacus itu
dan adakah beliau fasih bertutur bahasa Latin? Walau apapun keadaannya, dewan
senat sememangnya sangat tersentuh dengan ucapan Caractacus itu hinggakan
Maharaja Claudius sendiri mengurniakan pengampunan kepada beliau. Caractacus kemudiannya
meluangkan sisa hayat beliau di kota Rome sebagai seorang yang merdeka.
Tidak ada catatan yang
merekodkan apa yang berlaku pada beliau sesudah peristiwa itu. Tiada juga rekod
berkenaan pulangnya beliau ke tanah airnya di Britain. Menurut Cassius Dio
dalam Roman History, setelah menerima pengampunan, Caractacus
mempersoalkan bagaimana empayar yang memiliki kota seindah Rome boleh berhasrat
untuk menakluk wilayahnya yang serba daif. “Caractacus, seorang pembesar
barbarian yang ditangkap dan dibawa ke Rome lalu diampunkan oleh Claudius,
berjalan di sekitar kota setelah dibebaskan. Ketika menyaksikan kemegahan dan
kebesaran kota itu, beliau berkata, “Bagaimana boleh kalian yang memiliki
kemegahan dan kekayaan sebesar ini mendambakan khemah-khemah kami yang daif?”
Penulis-penulis klasik
seperti Cassius Dio dan Tacticus meninggalkan kepada kita rasa penghormatan
yang berpanjangan terhadap Caractacus. Beliau dirincikan sebagai seorang
pejuang yang berani dan bersemangat tinggi dalam menentang Rom. Malah, beliau
dengan lantang menyatakan pendiriannya di hadapan seluruh senat sedangkan
nyawanya ketika itu sedang terancam. Caractacus dipandang sebagai seorang wira
rakyat dan legasinya yang dikenang oleh generasi dari generasi adalah hakikat
bahawa beliau merupakan seorang pejuang kebebasan yang paling diraikan di
zamannya.
SUMBER
- “The History Man”. King Caractacus on the Medway. September 16. 2011.
- “Caratacus.” Caratacus.
- “Building Blocks of Early British History.”
- “The Celts.” Caractacus.
- “The Celts.” The Roman Conquest of Britain.
- Higgins, Charlotte. “Caractacus: Britain’s Osama bin Laden?”
- Tactics. “I, Claudius Project: Tacitus, Annales XII.37.”
- Howell, Ray. “Ray Howell: Story of Tribal Leader Caractacus Who Became a Hero.” Walesonline.
- Johnson, Ben. “The Romans in England.” Roman England, the Roman in Britain 43.
Penterjemahan artikel
ini dihasilkan dengan kerjasama The Patriots Malaysia dan turut disiarkan di
portal berkenaan dengan judul ‘Caractacus: Raja Celtic Yang MenentangPenjajahan Empayar Rom’
- Get link
- X
- Other Apps



